DAM HAJI & UMRAH: Jenis Dam & Bayarannya (Lengkap)

Panduan Dam Haji dan Umrah

Apakah maksud Dam bagi Haji dan Umrah?

Ini adalah panduan lengkap yang membincangkan masalah berkaitan Dam bagi ibadah Haji dan Umrah.

Semoga panduan ini membantu anda mengerjakan ibadah haji dan umrah dengan sempurna.

Dam ialah suatu denda atau kifarah yang diwajibkan ke atas seseorang yang melanggar pantang larang ihram atau meninggalkan perkara yang diwajibkan semasa mengerjakan Haji atau Umrah.

Antara perkara yang dikenakan dam adalah:

  • Melakukan Haji Tamattuk
  • Melakukan Haji Qiran
  • Melanggar 5 wajib Haji
  • Melanggar 12 larangan ihram (wajib Haji)
  • Luput wukuf selepas berniat Haji
  • Meninggalkan Tawaf Wada’
  • Melakukan dam ihsar (menamatkan haji)
  • Melanggar nazar semasa mengerjakan haji

Tidak semua jemaah melanggar segala jenis dam di atas. Hanya yang berkaitan sahaja.

Melontar Jamrah

Jenis-jenis Dam Haji dan Umrah terbahagi kepada 4 kategori iaitu:

  1. Dam Tertib dan Taqdir
  2. Dam Tertib dan Ta’dil
  3. Dam Takhyir dan Ta’dir
  4. Dam Takhyir dan Taqdir
  5. Dam Ihsar (Dam ini di bawah kategori Tertib dan Ta’dil)

Penjelasan bagi istilah ringkas di atas ialah:

  • Tertib. Ertinya tidak boleh berpindah kepada yang kedua kecuali lemah melakukan yang pertama dan begitu seterusnya.
  • Taqdir. Syarak telah menetapkan gantiannya.
  • Takhyir. Boleh membuat pilihan.
  • Ta’dil. Syarak menyuruh kita mentaksirkan gantiannya.
  • Ihsar. Situasi di mana seseorang yang sedang dalam keadaan ihram terhalang untuk menyelesaikan haji atau umrahnya. Halangan ini disebabkan oleh berbagai sebab, misalnya penyakit, keadaan darurat, atau halangan lain yang tidak terduga. Jika seseorang terhalang dalam situasi ihsar, maka ia perlu membayar Dam sebagai ganti.

Semua pelaksanaan dam atau fidyah hendaklah dibuat di Makkah kecuali Dam Ihsar disembelih kambing di tempat terhalang.

📗 Bagi rujukan dan kemudahan para jemaah, ringkasannya disertakan juga dalam panduan ini pada bahagian di bawah.

TERTIB Dan TAQDIR

Tertib bermakna satu demi satu, tidak boleh dipilih atau diganti dengan yang lain, kecuali tidak terdaya melakukannya. Dan “Taqdir” penentuan syarak sebagai gantian jika tidak berkuasa.

Kesalahan

Berikut adalah kesalahan yang tertakluk dibawah dam tertib dan taqdir ini:

  1. Tidak berihram di Miqat
  2. Ihram Tamattuk (dengan syarat-syaratnya)
  3. Ihram Qiran (dengan syarat-syaratnya)
  4. Luput wukuf di Arafah
  5. Tidak melontar Jamrah
  6. Tidak bermalam di Muzdalifah (dengan syarat-syaratnya)
  7. Tidak bermalam di Mina (dengan syarat-syaratnya)
  8. Meninggalkan Tawaf Wada
  9. Melanggar nazar dalam masa mengerjakan haji
Dam Yang Dikenakan

Berikut adalah dam yang dikenakan dibawah tertib dan taqdir:

  • Menyembelih seekor kambing ataupun kibas ataupun 1/7 lembu ataupun unta.
  • Jika tidak berkeupayaan – puasa 10 hari iaitu 3 hari di Mekah dan 7 hari setelah balik ke tanah air ataupun 10 hari di tanah air tetapi hendaklah di selangkan di antara 3 hari pertama dengan bakinya.
  • Dan jika tiada keupayaan – bayar 1 cupak makanan sebagai ganti bagi setiap hari puasa.
  • Dan jika tiada keupayaan juga – tertanggunglah di atas zimmahnya (kemampuannya)

TERTIB Dan TA’DIL

Ta’dil bermakna apabila seseorang tidak berkuasa mengeluarkan makanan hendaklah diganti dengan puasa.

Kesalahan

Berikut adalah kesalahan yang tertakluk dibawah dam tertib dan ta’dil ini:

  1. Persetubuhan yang merosakkan Haji, iaitu yang dilakukan sebelum Tahallul Awal
  2. Mengadakan persetubuhan semasa ihram umrah.
  3. Tertahan atau tertegah daripada menyempurnakan Haji / Umrah setelah berihram.
Dam Yang Dikenakan

Berikut adalah dam yang dikenakan di bawah kesalahan Tertib dan Ta’dil

1

Kesalahan Mengadakan Persetubuhan Semasa Masih Dalam Ihram

  • Menyembelih seekor unta.
  • Dan jika tidak keupayaan – menyembelih seekor lembu dan sebanding.
  • Dan jika tidak keupayaan – menyembelih 7 ekor kambing atau biri-biri.

  • Dan jika tidak keupayaan -
memberi makan kepada fakir miskin mengikut nilai harga seekor unta dan dibahagikan kepada fakir / miskin di Tanah Haram.
  • Dan jika tidak ada keupayaan – berpuasa beberapa hari mengikut jumlah cupak yang dibeli dengan nilai seekor unta.

Peringatan:
Kerja-kerja Haji atau Umrahnya tetap perlu disempurnakan dan wajib diqada’ (diulang) kembali pada tahun berikutnya.

2

Tertahan atau Tertegah daripada Menyempurnakan Haji / Umrah setelah Berihram

  • Hendaklah dia bertahallul (ishar) iaitu menyembelih seekor kambing dan bercukur / bergunting
  • Dan jika tiada upaya – membeli makanan mengikut nilai harga seekor kambing dan diberikan kepada fakir miskin tempat tahallul.
  • Dan jika tiada upaya – berpuasa mengikut bilangan cupak makanan yang dapat dibeli mengikut nilai harga seekor kambing.

TAKHYIR Dan TA’DIL

Takhyir bererti boleh dipilih satu daripada perkara-perkara yang ditetapkan

Kesalahan

Berikut adalah kesalahan yang tertakluk dibawah dam takhyir dan ta’dil ini:

  1. Memburu binatang buruan daratan yang halal dimakan sama ada di Tanah Haram ataupun Halal semasa dalam ihram atau menyimpannya.
  2. Mengerat, menebang ataupun mencabut pokok-pokok di dalam ihram kecuali yang telah kering (mati).
Dam Yang Dikenakan

Berikut adalah dam yang dikenakan di bawah kesalahan Takhyir dan Ta’dil

1

Kesalahan memburu binatang buruan di Tanah Haram

  • Menyembelih binatang mengikut bandingan binatang yang diburu. Kalau rusa bandingannya lembu, kalau kijang bandingannya kambing dan lain-lain.
  • Atau membeli makanan mengikut nilai harga binatang bandingan dan disedekahkan kepada fakir miskin Makkah.
  • Atau berpuasa mengikut bilangan cupak makanan yang dapat dibeli daripada nilai harga binatang bandingan, iaitu satu cupak satu hari.
2

Kesalahan mengerat, menebang atau mencabut pokok dalam Tanah Haram

  • Sama seperti di atas, iaitu mengikut bandingan pokok yang dikerat / ditebang / dicabut. Kalau pokok besar bandingannya lembu, kalau pokok kecil bandingannya kambing.
  • Jika tidak mampu — maka damnya sama seperti peraturan dam memburu binatang buruan iaitu perlu bersedekah makanan atau berpuasa.

Catatan

  • Membunuh binatang dan membinasakan pokok di Tanah Haram adalah berdosa dan dikenakan dam bagi semua, sama ada dalam ihram atau tidak di Tanah Mekah dan berdosa serta tidak dikenakan dam di Tanah Haram yang lain.
  • Diharam memindahkan Tanah Haram ke Tanah Halal ataupun di antara ke satu tanah Haram yang lain.

TAKHYIR Dan TAQDIR

Ini adalah Dam yang paling ringan. Ia mempunyai ketetapan pada barang yang boleh diganti (boleh dipilih).

Kesalahan

Berikut adalah kesalahan yang tertakluk dibawah dam takhyir dan taqdir ini:

  1. Membuang / mencabut / menggunting 3 helai rambut ataupun bulu dari mana-mana anggota badan.
  2. Memakai pakaian yang dilarang dalam ihram.
  3. Mengerat ataupun mencabut kuku.
  4. Memakai minyak di kepala, janggut dan semua bulu muka kecuali bulu yang tumbuh di dahi ataupun pipi.
  5. Memakai wangi-wangian.
  6. Bercumbu-cumbuan (permulaan persetubuhan)
  7. Melakukan persetubuhan selepas selesai Tahalul Awal, tetapi belum selesai Tahallul Thani.
  8. Melakukan persetubuhan kali kedua sebelum menyempurnakan umrah yang telah rosak disebabkan persetubuhan pertama.
Dam Yang Dikenakan

Berikut adalah dam yang dikenakan di bawah kesalahan Takhyir dan Taqdir. Dam ini boleh dipilih salah satu

  • Menyembelih seekor kambing
  • Ataupun memberi sedekah kepada 6 orang fakir miskin sebanyak dua cupak setiap seorang.
  • Ataupun berpuasa 3 hari.

NOTA:
Sekiranya rambut itu tidak dibuang sekaligus ataupun dipotong 3 kali berturut-turut, maka damnya ialah 1 cupak bagi sehelai rambut dan 1 kuku.

Bagi masalah gugur rambut sama ada dengan sengaja atau tidak yang kurang dari 3 helai atau 3 kuku, maka Dam-nya adalah bersedekah kepada fakir miskin secupak sehelai setiap kali pelanggaran. Jika melebihi 3 helai atau 3 kuku barulah dibayar dam mengikut pilihan di atas.

DAM IHSAR

Maksud Dam Ihsar

Dam ihsar bermaksud dam untuk melepaskan diri daripada larangan ihram bagi seseorang yang sudah berniat ihram tetapi tidak dapat menyelesaikan rukun hajinya atau rukun umrahnya atau kedua-duanya disebabkan peperangan, musuh, wabak, penyakit dan sebagainya.

Dam Ihsar juga dapat dilakukan oleh wanita yang datang haid dan tidak dapat melakukan tawaf haji / umrah kerana terpaksa balik segera ke tanah air, atau pesakit yang berpenyakit berat yang terpaksa dihantar balik ke malaysia untuk rawatan lanjut.

Apabila wanita itu telah suci dan mandi hadas besar, atau pesakit berat telah sembuh daripada penyakitnya, hendaklah dia pergi lagi ke tanah suci Makkah bagi menyelesaikan haji / umrahnya (hanya bagi haji dan umrah wajib)

Dam Yang Dikenakan
  • Menyembelih seekor kambing dan bercukur / bergunting, atau jika tidak mampu;
  • Hendaklah membeli makanan dengan nilai seekor kambing dan dibahagikan kepada fakir miskin di tempat tahallul itu. Dan jika tidak berkuasa;
  • Hendaklah berpuasa beberapa hari sebanyak bilangan cupak makanan yang dapat dibeli dengan nilai seekor kambing

Cara Melaksanakan Dam Ihsar

Setelah keluar dari makkah sejau dua marhalah atau lebih kurang 91 kilometer atau setelah tiba di tanah air, hendaklah:

  • Menyembelih seekor kambing dan bercukur atau bergunting dengan niat tahallul, dan daging sembelihan itu dibahagikan kepada fakir miskin tempatan. Niatnya: “aku menyembelih kambing ini sebagai dam ihsar untuk tahallul nusukku.”
  • Jika tidak mampu hendaklah membeli makanan dengan nilai seekor kambing dan bercukur atau bergunting dengan niat tahallul, dan makanan itu dibahagikan kepada fakir miskin tempatan. Niatnya: “aku bersedekah makanan sebagai ganti menyembelih kambing dam ihsar untuk tahallul nusukku (haji/umrah)”
  • Jika tidak mampu juga, hendaklah berpuasa beberapa hari sebanyak bilangan cupak makanan yang dapat dibeli dengan nilai seekor kambing (1 cupak = 1 hari) dan bercukur atau bergunting dengan niat tahallul. Niatnya: “aku puasa esok hari sebagai ganti menyembelih kambing dam ihsar untuk tahallul nusukku (haji/umrah).”

Dengan berpuasa dan bercukur atau bergunting dengan niat tahallul ihsar itu, maka terhasillah tahallulnya meskipun bilangan hari puasanya belum selesai.

Dalam urusan Dam ada dua keadaan yang menentukan wajib dam atau dimaafkan, iaitu:

  1. ITLAF — Bermaksud membinasakan keaslian atau mengubahnya seperti gugur bulu atau rambut, mencabut tumbuh-tumbuhan di Tanah Haram atau membinasakan kuku juga memburu.

    Maka wajib bayar dam sama ada sengaja atau terlupa kerana merosakkan keaslian seperti tergugur rambut kerana mandi dan sebagainya. Bezanya ialah kalau sengaja berdosa dan jika sebaliknya tidak berdosa.

    Namun bagi wanita yang mandi mengangkat hadas besar, setelah bersih daripada haid tidak dikenakan dam jika rambut tergugur.
  2. TARAFFUH — Ertinya melanggar tetapi tidak membinasakan. Contohnya seorang lelaki tersilap menutup kepala secara tidak sengaja atau terkena minyak wangi lalu segera dicuci, maka dia tidak dikenakan dam dan dimaafkan jika tidak sengaja. Ini kerana dia tidak membinasakan apa-apa.

    Selain itu dimaafkan juga jika dia seorang yang jahil dan tidak tahu akan larangannya.

Soalan Lazim Berkaitan Dam

Berikut adalah beberapa soal jawab bagi soalan lazim yang berkaitan dengan Dam Haji & Umrah:

Bolehkah berhutang untuk membayar Dam?

Hukumnya harus.

Bolehkah Dam itu dibayar di Malaysia?

Boleh membayar di Malaysia tetapi melaksanakannya hendaklah di Makkah dan dagingnya juga dibahagikan kepada fakir miskin dan ahli-ahli Makkah sahaja.

Adakah mencabut gigi dikenakan Dam?

Tidak, kerana ianya tidak termasuk dalam perkara-perkara larangan dalam Ihram.

Adakah dikenakan Dam membunuh nyamuk atau lalat?

Tidak dikenakan Dam, harus membunuhnya.

Seseorang berniat Ihram Haji, sebelum Wuquf dia meninggal dunia, adakah dikenakan Dam?

Tidak dikenakan Dam.

Adakah dikenakan Dam seorang yang berihram dan mimpi bersetubuh?

Tidak dikenakan Dam.

Sebab apakah seseorang itu wajib membayar Dam?

Seseorang itu wajib membayar Dam dengan sebab atau lebih dari pekara-perkara berikut:

1. Melakukan perkara yang dilarang dalam masa berihram.

2. Meninggalkan perkara-perkara wajib Haji dan Umrah.

3. Membuat Haji Tamattu’ atau qiran (menurut syarat-syarat yang wajib dibayar Dam)

4. Luput Wuquf di Arafah bagi mereka yang tiada uzur syar’ie.

5. Meninggalkan Tawaf Wada bagi mereka yang tidak ada uzur syar’ie

6. Berlaku Ihsar bagi orang yang telah berniat Ihram (terhalang daripada menyempurnakan Wuquf di Arafah, Tawaf atau Sa’ie dengan sebab ketakutan daripada musuh, penyakit dan sebagainya).

7. Melanggar Nazar dalam masa mengerjakan haji.

Apakah syarat-syarat binatang yang hendak dijadikan Dam?

Syarat-syaratnya sama seperti syarat-syarat bagi binatang-binatang yang memadai dijadikan Quran iaitu:

1. la hendaklah dari binatang jenis unta, lembu, kibasy atau kambing.

2. Cukup umur iaitu:
(i) Unta: Cukup umur lima tahun masuk enam tahun.
(ii) Lembu, kerbau dan kambing: Cukup umur dua tahun masuk kepada tiga tahun.
(iii) Kibasy: Cukup umur satu tahun masuk kedua tahun atau telah bersalin dua gigi hadapan.

3. Tidak ada kecacatan dan tidak terlalu kurus, tidak terkerat ekor atau terputus telinga, tempang, terpotong lidah dan lain-lain

Perhatian:

1. Hendaklah berniat menyempurnakan Dam dan jenisnya pada ketika menyembelih.

2. Harga kambing, lembu atau unta adalah mengikut harga pasaran pada satu-satu masa.

(Lembu dan unta boleh dibuat 7 Dam manakala kambing adalah untuk 1 Dam)

Seorang yang melakukan Haji Tamattu’ membuat Umrah berulang-ulang kali sebelum Haji, adakah ia dikenakan berulang kali Dam?

Dikenakan Dam hanya sekali sahaja walaupun melakukan Umrah berkali-kali.

Apakah jenis dam yang wajib dibayar oleh mereka yang berniat Ihram di Jeddah? Dan adakah dikenakan dam jika dia tidak memakai pakaian Ihram di Miqat?

Dia dikenakan Dam Tertib dan Taqdir sebab meninggalkan Miqat semasa berniat Ihram kerana Jeddah bukan Miqat.
 
Hukum tidak memakai pakaian Ihram semasa / selepas berniat di Miqat adalah:
 
1.    Jika dengan sengaja dikenakan Dam Takhyir dan Taqdir serta berdosa.
 
2. Sekiranya dengan keadaan jahil / lupa/ tidak sengaja dan segera memakai Ihram bila teringat / diingatkan maka dia tidak dikenakan Dam

Seorang masuk ke Makkah tidak berniat Ihram di Miqat kerana sakit. Setelah dia sembuh, barulah dia berniat Ihram. Adakah dia dikenakan Dam?

Dia dikenakan Dam kerana tidak berihram di Miqat yang telah ditentukan oleh Rasulullah SAW

Seorang dalam Ihram mencabut sehelai bulu atau rambut dan sebelum sempat membayar dam dia mencabut sekali lagi yang berjumlah tiga helai rambut, adakah dikenakan Dam seekor kambing?

Pada setiap satu helai dikenakan dam satu cupak makanan (anggaran SR 5.00) dan pada masalah ini dikenakan tiga cupak makanan kerana ia berlainan masa.
 
Rujuk:
 
Minhaajut Talibin, juzu’. 2 muka surat 135 bermaksud:
 
“Kalau ia mencukupi 3 urat rambut di tiga masa yang berasingan (ia mencukur tiap-tiap seurat rambut pada tempat atau pada masa yang tidak sama hingga jadi 3 urat rambut) wajib ia membayar Dam bagi tiap-tap rambut yang gugur itu mengikut sekiranya rambut itu gugur sehelai (tiap-tiap sehelai dibayar satu cupak).”

Seseorang dalam Ihram, mandi kemudian ternampak rambut orang lain, adakah dikenakan Dam?

Tidak dikenakan Dam kecuali jika ia yakin rambut itu rambutnya dan gugurnya adalah hasil daripada perbuatannya seperti a menggosok-gosok kepala ketika mandi.

Seseorang lelaki yang sedang dalam Ihram melihat perempuan atau dilamun khayal lalu keluar air maninya, adakah dikenakan Dam?

Tidak dikenakan Dam

Adakah dikenakan Dam ke atas seorang yang berihram Umrah dan Umrah Sunat sebelum dia bercukur telah melakukan persetubuhan?

Jika dilakukan dalam keadaan berikut:
 
i.  Sengaja tidak dipaksa;
ii. Tahu akan haramnya;
iii.   Mumaiyiz (sudah dapat membezakan antara yang bersih dan yang kotor).
 
Maka wajib Dam ke atas lelaki sahaja iaitu Dam Tertib dan Ta’dil.
 
Hukum Umrah kedua-duanya batal (rosak) tetapi wajib ke atas kedua-duanya menghabiskan baki rukun-rukun Umrah yang belum dilaksanakan dan walib ke atas kedua-duanya yang mengqada’kan Umrah tersebut.

Adakah sah berwakil melakukan Dam tanpa niat?

Satu daripada syarat berwakil hendaklah yang (muwakil) itu melafazkan dengan lafaz yang menunjukkan redhanya. Oleh itu, tiada sah Wakalah (berwakil) dengan ketiadaan niat dan lafaz. Namun begitu sah Akad Wakalah dengan perbuatan di sertai niat الو كاله الفعلية

Seseorang yang dikenakan Dam Tertib dan Taqdir ia tidak mampu menyembelih binatang ternakan. Demikian juga tidak mampu berpuasa tiga hari di Tanah Suci, adakah dibolehkan ia berpuasa sepuluh hari kesemuanya di tanah air dan bagaimana caranya?

Boleh dia berpuasa sepuluh hari kesemuanya di tanah air dengan cara berikut:
 
la berpuasa 3 hari. Kemudian diselangi (tidak berpuasa) selama empat hari dan ditambah dengan tempo masa perjalanan yang menyampaikannya ke rumahnya dari Tanah Suci barulah ia berpuasa semula bagi hari keempat hingga hari kesepuluh.

Perlaksanaan puasa tersebut disunatkan berturut-turut.

Adakah dibolehkan Jemaah Haji yang telah dikenakan Dam berbentuk makanan seperti gandum atau beras diganti dengan bayaran wang?

Oleh kerana tidak ada yang mahu menerima dengan makanan seperti beras, gandum atau seumpamanya maka boleh ianya digantikan dengan wang yang sama nilainya dengan harga barang makanan itu.
 
Merujuk kitab al-Umm jilid 2, muka surat 215 bahawa Imam Syafi’e berkata yang bermaksud:

“Sesiapa yang meninggalkan Mina selain dari mereka yang aku telah sebutkan itu maka hendaklah ia bersedekah pada satu malam satu dirham dan pada dua malam dua dirham dan pada tiga malam satu Dam.”

Kami baru sahaja membayar Dam Tamattu kepada Tabung Haji dan kami tidak melakukan sebarang akad, tetapi berdasarkan resit serah / terima melalui akaun kami adakah sah pembayaran Dam tersebut?

Pembayaran Dam yang dibuat berdasarkan resit serah / terima melalui akaun masing-masing adalah sah kerana sahnya akad dengan perbuatan.

Jemaah Haji yang membayar Dam Ihsar adakah boleh digantikan dengan berpuasa?

Sekiranya ia tidak berkuasa menyembelih kambing maka diharuskan baginya berpuasa mengikut sebanyak secupak makanan yang dapat dibeli daripada harga nilai seekor kambing Dam, iaitu secupak makanan bagi sehari puasanya.

Adakah seseorang itu terlepas dari dosa kerana melakukan perkara-perkara yang diharamkan semasa berihram dengan membayar Dam?

Hukum melakukan perkara-perkara yang diharamkan semasa berihram sama ada terlepas dari dosa atau tidak terbahagi kepada empat hukum:

1. Tidak Berdosa dan Tidak Dikenakan Dam.

laitu melakukan perkara-perkara yang dilarang tetapi diharuskan kerana hajat seperti:
 
·      Lelaki memakai seluar kerana ketiadaan/ kehilangan kain.
·      Lelaki memakai kasut yang dipotong bahagian hujung jari dan tumit kerana ketiadaan selipar.
·      Mengikat sesuatu dengan perca kain kepada kemaluan lelaki berpenyakit Salisulbaul (tidak tus air kencing)
·      Mengangkat wangian seperti kasturi dengan tujuan memindahkannya dengan syarat masa mengangkatnya pendek.
·      Membunuh binatang buruan yang mengganas
·      Menyelematkan binatang buruan dari mulut binatang yang ganas dan binatang buruan itu menjadi mati.
·      Melakukan apa-apa perkara yang menjadi kenikmatan bersedap-sedap seperti memakai pakaian dan bau-bauan dengan keadaan lupa, jahil atau terpaksa.
 
2.     Berdosa Tetapi Tidak Wajib Bayar Fidyah.

laitu kerana melakukan perkara-perkara larangan seperti berikut:

·      Berakad nikah.
·      Memandang dengan syahwat.
·      Menolong orang lain sama ada orang itu dalam Ihram atau tidak membunuh binatang buruan walaupun hanya dengan menunjukkan atau meminjamkan alat buruan.
·      Memakan binatang buruan yang diburu oleh orang lain untuknya.
·      Melakukan perkara-perkara yang diharamkan semasa Ihram ke atas mayat yang masih dalam Ihram.
 
 
3. Wajib bayar Dam Tetapi Tidak Berdosa.
 
a)     Memakai pakaian berjahit (bersarung bagi lelaki dan menutup muka bagi perempuan kerana hajat (keperluan).
b)    Memotong / menghilangkan rambut atau kuku kerana sakit atau jahil.
c)     Menghalau binatang buruan dengan tada tujuan untuk membinasakannya dengan sebab perbuatannya itu.
d)    Menyembelih binatang buruan untuk dimakan kerana lapar yang darurat.
e)    Terbinasa binatang buruan dengan sebab ditendang atau digigit oleh binatang tunggangnya tapa taqsirnya (kecuaiannya)
 
4. Berdosa Dan Wajib Bayar Dam.
 
laitu kerana melakukan perkara-perkara yang dilarang selain dari perkara-perkara yang dilarang selain dari perkara dan keadaan yang disebutkan di atas.
 
Kesimpulannya:
 
1.     Dam tidak menghapuskan dosa.
 
2.     Melakukan perkara larangan dalam Ihram, tidak berdosa jika dilakukan dengan terlupa, tidak sengaja, terpaksa atau jahil.

Adakah dikenakan Dam seseorang yang sedang mengerjakan Sa’ie dipusingan pertama setibanya di Marwah digunting rambutnya oleh orang lain.

Jika bukan dengan ikhtiar dan persetujuan orang yang berihram itu sendiri semasa di dalam Sa’ie itu tiadalah dia dikenakan Dam. Sebaliknya Dam itu dikenakan ke atas orang yang mengguntingkan sama ada orang yang menggunting itu orang yang dalam Ihram atau halal sekalipun.
 
Tersebut keterangan di dalam Nihayatul Muhtaj, Juzuk 3, muka surat 338:
 
Bermaksud:

“Dan kalau mencukur/menggunting seseorang muhrim (di dalam Ihram) atau bukan seseorang bukan dalam Ihram akan kepala seseorang yang sedang dalam Ihram bukan dalam ikhtiarnya sebelum masuk waktu bercukur maka Damnya adalah dikenakan ke atas pencukurnya/pengguntingnya samalah seperti kalau dia melakukan yang demikian terhadap orang yang tidur atau orang gila atau orang yang tiada Taqsir dalam perkara tersebut dan kerana rambut nisbah kepada orang yang muhrim adalah sebagai Wadi’ah (suatu tanggungan amanah) bukan sebagai tanggungan pinjaman (jadi apabila rambut tersebut it dihukumkan sebagai Wadi’ah maka siapa yang merosakkannya dialah yang menanggungkannya, sebab itu maka Damnya dikenakan ke atas orang yang mencukur atau orang yang mengguntingkannya).”

Apakah Dam memotong satu kuku atau dua kuku atau tiga kuku atau lebih dalam waktu yang sama?

Dam memotong satu kuku wajib mengeluarkan satu cupak makanan, Dam memotong dua kuku wajib mengeluarkan mengeluarkan dua cupak makanan dan Dam memotong tiga atau lebih kuku pada masa yang sama wajib mengeluarkan Dam Takhyir dan Taqdir iaitu hendaklah menyembelih seekor kambing atau bersedekah kepada enam orang fakir miskin sebanyak dua cupak makanan tiap-tiap seorang atau berpuasa selama tiga hari.
 
— Rujuk: Manasik al-Haj, muka surat 191. cetakan Dar al-Hadith.
 

Jemaah Haji mengerjakan Haji Ifrad dan ia dikenakan Dam Takhyir dan Taqdir kerana memakai pakaian berjahit dan jemaah ini menukarkan pakaian untuk kali kedua dan seterusnya. Bagaimana kiraan Dam tersebut hendak dikira?

Sekiranya beliau telah membayar Dam di atas kesalahan yang pertama, maka beliau dikenakan Dam di atas kesalahan yang dilakukan berulang-ulang. Sebaliknya jika beliau belum membayar Dam maka dikenakan satu Dam sahaja sekalipun di atas kesalahan yang berulang-ulang. Kerana sebagai satu kesalahan yang sejenis.

Apakah Dam yang dikenakan jika seseorang dalam Ihram berasa was-was terhadap kerja-keria Haji atau Umrah yang sedang dilakukan khassnya terhadap pelanggaran larangan-larangan dalam Ihram?

Tidak ada Dam was-was. Jemaah Haji dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dalam penjagaan semasa berihram. Mereka hendaklah bersikap percaya kepada diri sendiri dan tidak membiarkan dirinya dilamun was-was kerana was-was itu adalah dari rasukan syaitan. Bersifat yakin adalah sebaik-baik jalan mengatasi perasaan was-was itu.

Pokok-pokok yang ditanam oleh Kerajaan Arab Saudi di Tanah Haram Makkah, adakah dikenakan Dam ke atas orang yang mematah, memotong atau mencabutnya?

Semua pokok di tanah Haram Makkah, sama ada yang tumbuh sendiri atau yang ditanam atau dicabut sekiranya ia berasal dari Tanah Haram. Maka dikenakan Dam ke atas orang yang , mematah, memotong atau mencabutnya sama ada ia di dalam Ihram atau tidak.
 
Sekiranya ia berasal dari Tanah Halal maka tidak haram. Ada pun beni daripada Tanah Halal ditumbuhkan di Tanah Haram kerana pokok diktibarkan kepada tempat tumbuhnya.

Memandangkan pokok-pokok yang ditanam oleh Kerajaan Arab Saudi di Tanah Suci itu tidak diketahui asalnya maka dinasihatkan ianya tidak dipatah, dipotong atau dicabut sebagai ihtiyat ( احتياط ). Damnya Takhyir dan Ta’dil.

Rujuk:
·      Nihayah al-Muhtaj juzuk 3 cetakan 1404 Hijrah mukasurat 353.
·      Sabiilul Muhtadim juzuk 2 muka surat 214.
 

Seorang Jemaah Haji hendak membayar Dam Tamattu’ selepas Hari Wuquf, supaya dengan tujuan menampung jika ada lagi kesalahan-kesalahan lain yang dikenakan Dam, maka dengan itu Dam Tamattu’ yang telah dilakukan selepas Umrah. Bolehkah menampung kesalahan-kesalahan lain?

Dam Tamattu’ boleh dibayar selepas Hari Wuquf tetapi Dam tersebut tidak boleh menampung Dam kesalahan-kesalahan lain.

Kuku jari tertanggal dengan sendiri, adakah dikenakan Dam?

Tidak dikenakan dam kerana tidak disengajakan jika kuku tersebut tidak tanggal sedangkan ia menganggu keadaan harus juga dikerat kuku itu tapa dikenakan dam.

Adakah dikenakan Dam apabila menanggalkan kulit bibir, kulit kaki dan tangan yang telah mengelupas dalam masa Ihram?

Harus ditanggalkan dan tidak dikenakan Dam.

Apakah hukumnya jika seseorang menyerah Dam Tamattu’nya kepada penuntut atau pelajar?

Diharuskan seseorang menyerahkan Dam Tamattu’ nya kepada penuntut akan tetapi tiada sah penyembelihan dam tersebut selagi ibadat Umrahnya belum selesai dilaksanakan.

Jika terbuka aurat perempuan seperti lengan, rambut, batang leher dan seumpamanya adakah dikenakan Dam?

Tidak dikenakan Dam.

Rambut saya mudah gugur dalam masa mandi / mengambil air solat, adakah ini dikenakan Dam?

Selagi keadaan rambut anda mudah gugur dengan tidak payah digosok atau diturut atau dilap maka tidak dikenakan Dam.

Bilakah masa melakukan Dam Tamattu’?

Waiib melaksanakan Dam Tamattu’ ketika niat, mengerjakan Haji, tetapi boleh dilakukan apabila selesai kerja-kerja Umrah.

Seorang bakal Haji tidak berniat umrah kerana sakit, beliau tidak boleh ke Madinah dan terus dimasukkan ke Hospital di Jeddah, kemudian dibawa ke Hospital Makkah dengan Ihram Tamattu’, apabila beliau sihat terus Tawaf dan Sa’ie, berapakah Dam yang dikenakan?

Beliau dikenakan satu Dam sahaja kerana mengerjakan Haji Tamttu’ iaitu Dam Tertib dan Taqdir.

Kami empat orang, mulakan Saie dari Marwah, apabila sampai 7 kali kami berada di Safa dan kami bergunting rambut itu kami teringat ini tidak betul lalu terus ke Marwah dengan bergunting lagi, adakah kami dikenakan Dam?

lanya dikenakan Dam kerana bergunting sebelum sempurna tujuh kali Sa’ie iaitu Dam Takhyir dan Taqdir.

Apakah hukum makan daging Dam sendiri?

Hukumnya tidak harus dimakan menurut Mazhab Syafi’e, tetapi menurut Mazhab Hanafi diharuskan.

Apakah hukum orang yang uzur syarie tidak kuasa melontar. Adakah boleh ia membayar Dam, walhal masih ada orang yang menggantikannya dengan sukarela atau dengan upahan.

la boleh berwakil orang lain melontar bagi dirinya dan tidak boleh ia membayar dengan Dam, melainkan jika tidak ada orang yang sanggup menggantikannya dengan sukarela atau dengan upahan.

Seorang Jemaah Haji mengerjakan Haji Tamattu’. Setelah selesai dari menyempurnakan Damnya adakah dikenakan Dam lagi apabila ia mengerjakan Umrah sunat selepas itu?

Tidak dikenakan Dam.

Jemaah Haji lelaki selesai Hajinya, kemudian melakukan persetubuhan dengan isterinya yang belum Tahallul Thani lagi, ke atas siapakah Dam diwajiban?

Persetubuhan di antara Jemaah Haji lelaki yang telah selesai Hajinya dengan isterinya yang belum Tahallul Thani, kedua-dua mereka itu tidak dikenakan Dam tetapi berdosa jika sengaja (kedudukan ibadat Haji isterinya tidak rosak kerana sudah Tahallul Awwal).

Adakah dikenakan Dam Jemaah Haji perempuan mengerjakan Umrah berkali-kali tetapi ia tidak bergunting kerana jahil dan telah melakukan bersetubuhan berkali-kali dengan suaminya?

Umrahnya tidak rosak kerana persetubuhan berlaku dalam keadaan jahil. Jemaah tersebut hendaklah bergunting semula. Sekiranya melanggari larangan ihram dalam bentuk Itlaf tempo tersebut maka jemaah dikenakan Dam mengikut syaratnya tidak berdosa sebab tidak tahu.

Adakah dikenakan Dam ke atas jemaah haji yang melakukan persetubuhan selepas selesai membuat Haji Ifrad (Tahallul Thani) tetapi belum mengerjakan Umrah lagi?

Jemaah haji boleh melakukan persetubuhan selepas selesai membuat Haji Ifrad (Tahallul Thani) walaupun ia belum lagi mengerjakan Umrahnya dan tidak dikenakan Dam.

Sekembalinya dari Mina Nafar Thani, sepasang suami isteri telah mengerjakan Umrah tanpa menyelesaikan keria-kerja Haji mereka. Ketika Tawaf suaminya batal wuduk, tetapi meneruskan juga Tawafnya kemudian Sa’ie dan bergunting. Sekembali mereka di tempat penginapan, mereka telah mengadakan hubungan suami isteri. Adakah dikenakan Dam seekor unta?

Umrah kedua-dua tidak sah kerana belum sempurna kerja-kerja Haji lagi. Jika persetubuhan dilakukan sebelum Tahallul Awwal maka (Fasad) rosak Haji keduanya dan wajib menyelesaikan kerja-kerja Haji dan Qada’ pada tahun hadapan ke atas kedua-duanya serta wajib ke atas suaminya Dam Tertib dan Ta’dil. Sekiranya mereka telah Tahallul Awwal Haji mereka tidak rosak. Dikenakan Dam Takhyir dan Taqdir ke atas suami. Kedua-dua mereka dikehendaki menyempurnakan kerja-kerja Haji hingga selesai Tahallul Thani.

Adakah dikenakan Dam seseorang yang luka berdarah semasa dalam Ihram?

Jemaah Haji yang luka semasa dalam Ihram, sama ada di Arafah atau di tempat-tempat lain tidak dikenakan Dam.

Adakah dikenakan Dam kepada orang yang Nafar Awwal kerana tidak melontar pada hari Tasyriq ketiga?

Jemaah Haji yang membuat Nafar Awwal, mereka tidak dikenakan Dam apabila tidak melontar Jamrah pada hari Tasyriq ketiga tidak dituntut mengerjakannya bagi mereka yang membuat Nafar Awwal.

Adakah dikenakan Dam ke atas Jemaah Haji membuat Haji Ifrad keluar ke Tanah Halal Arafah dan ia masuk semula ke Makkah?

Jemaah haji yang melakukan Haji Ifrad atau Qiran tidak wajib melakukan Tawaf Wada jika meninggalkan Makkah walaupun jarakya melebihi dari 2 marhalah (kerana jemaah tersebut belum selesai ihram hajinya)

Jika dipilih puasa 3 hari, bolehkah dilaksanakan di Malaysia?

Boleh dilakukan di mana sahaja, sama ada di Tanah Haram, di tanah air sendiri atau di tempat lain kerana tidak melibatkan hak fakir miskin di Tanah Haram tetapi puasa di Tanah Haram lebih Afdhal.

— Kitab al-Idah fi Manasik al-Hajj wa al-Umrah, hlm. 492.

Jika Jemaah haji membayar Dam Takhyir dan Taqdir secara berulang kerana melakukan dua larangan ihram berbentuk itlaf secara berulang; contohnya, bagi setiap kesalahan Dam yang dikenakan adalah 60 Riyal. Oleh itu bagi dua kesalahan, jumlah Dam yang dikenakan adalah 120 Riyal. Adakah sah jika kedua-dua Dam ini dibayar kepada 6 orang fakir miskin sahaja di mana setiap orang akan mendapat 20 Riyal?

Sah membayar Dam yang berulang-ulang kepada 6 orang fakir miskin sahaja dan tidak wajib mengagihkan 120 Riyal tersebut kepada 12 orang fakir miskin.

Sekiranya ketika saya mandi menggunakan “shower’ atau menjirus air ke kepala tapa menggosok kepala, adakah dikenakan Dam jika ada rambut yang gugur.

Tidak dikenakan Dam kerana rambut itu gugur bukan dengan perbuatan sendiri secara langsung.

Penutup

Kesimpulannya, pemahaman tentang Dam dalam konteks Haji dan Umrah adalah penting kerana ia bukan hanya tanggungjawab kewangan, tetapi juga simbolik penyesuaian diri atas segala kesalahan atau kekurangan yang mungkin berlaku semasa menjalankan ibadah.

Semoga panduan ini dapat membantu anda melaksanakan Haji atau Umrah dengan lebih sempurna.

Marilah kita berusaha mematuhi segala peraturan dan tuntutan ibadah ini dengan hati yang ikhlas dan penuh taqwa, dan semoga Allah SWT menerima segala amalan dan ibadah kita.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, anda boleh meninggalkan soalan tersebut pada ruangan komen di bawah.

InsyaAllah saya akan menjawab dengan segera yang mungkin.

Nota & Rujukan

  1. Nota Kursus Asas Haji 1440H, edisi cetakan kemaskini November 2018, Bahagian Bimbingan Jabatan Haji, Lembaga Tabung Haji
  2. Nota Kursus Ibadah Haji & Umrah serta Ziarah Madinah, Hj. Abdul Rahman Saleh & Hj Kamaluddin Ibrahim, al-Hidayah Publication
  3. Panduan Ziarah Madinah Umrah & Haji, Ustaz Dato’ Haji Md Daud Bin Che Ngah, Pustaka Haji Abdul Majid
  4. Panduan Haji, Umrah dan Ziarah, Ustaz Ibrahim Zakaria.
  5. Panduan Ibadah Umrah & Ziarah, Ustaz Muhamad Dhiauddin, Pustaka Azhar
  6. Panduan Lengkap Haji, Umrah & Ziarah Edisi Kemaskini, Haji Abu Mazaya Al-Hafiz, Al-Hidayah House of Publisher
  7. Panduan Meraih Umrah Yang Mabrurah, Dato’ Dr Hj Zahazan B. Mohamed, Telaga Biru
  8. Soal Jawab Haji, Umrah & Ziarah, Edisi kemaskini 2020, Disemak dan diluluskan oleh Jawatankuasa Penasihat Ibadah Haji (TH-JAKIM) Bil 2/1440H
  9. Bimbingan Umrah & Ziarah, Ust Mohd Faez Bin Mohd Shah Al-Hashim, Pustaka al-Ehsan
  10. Soal Jawab Fiqh Ibadah Jilid 3, Bab Puasa, Haji, Korban & Akikah, Ustaz Abu Usamah Mohd Hanapiah Haji Husin, Ikon Syabab Resources.
Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

121 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
HAMBA ALLAH
HAMBA ALLAH
2 hari yang lalu

Salam tuan,
Saya ada keraguan terhadap 3 perkara

Pertama ketika saya selesai melakukan Umrah saya mendapati kain ihram saya mempunyai tompokan ,saya tidak tahu tompokan kotaran atau apa. Sebelum saya niat di miqad saya ada membuang air besar, tetapi saya yakin saya sudah menyuci dgn baik.Saya risau itu tompokan najis.

kedua, ketika saya melakukan tawaf , berhenti solat zohor ketika itu, waktu sujud ada jemaah dihadapan terpijak sebahagian rambut saya, ketika saya bangun dari sujud saya merasa rambut saya tertarik , tetepi ketika itu saya berpendapat rambut saya yang tercabut hanya satu , tetapi di lantai terdapat banyak rambut bergururan di mana saya tidak tahu rambut saya atau tidak.

ketiga, ketika saya membuang air kecil , saya terasa seakan2 masih ada terkeluar ketika memakai ihram,tetapi sebelum saya memamakai ihram , saya dah buat sedaya uapya memersih pundi kecing saya degan baik, tetapi perasan itu masik datang kadang kala. adakah saya dalam keadaan kotor dan saya telah terbatal umrah sayadan harus membayar dam.
mohon pencerahan

Hamba Allah
Hamba Allah
14 hari yang lalu

Salam tuan,

saya mengerjakan umrah sekitar 20 tahun lepas, dalam tujuh atau lapan kali juga ketika itu. pertama kali mengerjakan umrah, ketika tawaf, entah kenapa mungkin sebab pertama kali melihat kaabah, saya sentuh kelambu kaabah. Selepas itu, saya tersedar yang baunya wangi (memang ketika itu jahil dan tidak tahu yang kelambu kaabah ini wangi). Bila tersedar, terus tidak menyentuhnya lagi dan saya terus sempurnakan tawaf, saie dan tahallul. Bagi umrah yang kedua hingga kelapan selepas itu, ia tidak lagi berlaku.

Soalan saya, perlukah saya membayar dam dalam situasi ini? Jika ya, apakah dam yang perlu saya bayar? Adakah umrah selepas itu boleh menampung kekurangan umrah yang pertama?

Terima kasih.

Hamba Allah
Hamba Allah
Reply to  Muhamad Naim
13 hari yang lalu

Terima kasih tuan atas penjelasan yang terperinci. alhamdulillah, amat dihargai. moga Allah merahmati tuan atas ilmu yang disampaikan.

puan i
puan i
25 hari yang lalu

assalamualaikum
saya mengerjakan umrah pd tahun 2012 dan 2013 dan menunaikan rukun umrah sebanyak 3@4x pada setiap tahun tersebut.

saya adalah orang yang sentiasa ada keputihan.tetapi waktu itu saya jahil, saya ingatkan keputihan itu bukan hadas ,maka saya tidak cakna untuk bersuci sblm berwuduk untuk tunaikan rukun tawaf,
kemungkinan besar saya dalam keadaan berhadas kecil ketika wuduk dan tawaf rukun
saya menyedari selepas beberapa tahun apabila mendalami ilmu.

pada tahun 2020 saya tunaikan umrah lagi, pada tahun tersebut saya telah faham tentang hadas maka saya bersuci dgn cara daumul hadas sblm wuduk dan melakukan tawaf rukun. sebelum kesana pd tahun 2020saya pernah bertanya kepada ustazah tentang kejadian 2012 dan 2013 ,jawapannya tidak mengapa kerana saya jahil ketika itu.

ketika ini sy tertanya-tanya adakah saya masih dlm ihram kerana umrah tidak sempurna kerana tawaf tersebut tidak sah.adakah saya dikenakan dam, pihak agensi mana yg sediakan khidmat utk selesaikan dam secara online.

saya sgt memerlukan pandangan tuan, apa yg perlu dilakukan sekarang.

puan i
puan i
Reply to  Muhamad Naim
24 hari yang lalu

terima kasih tuan, saya amat hargai penjelasan tuan. jazakallah khair

Z
Z
26 hari yang lalu

Salam

sekiranya semasa tawaf wada’, wuduk terbatal disebabkan keluar angin. Perlu kah seseorang itu membayar dam? Mohon pencerahan , terima kasih

Helena
Helena
1 bulan yang lalu

Tuan, saya telah melakukan transit selama 16 jam di Jeddah sebelum ke Cairo. Berniat ingin melakukan umrah. Akan tetapi, saya tertidur swmasa diumumkan telah sampai di miqat Qarnul Manazil, saya hanya berniat semasa terjaga.

Disebabkan tidak sempat untuk menyembelih kambing dan berpuasa 3 hari di Mekah, saya telah menyelesaikan dam bersamaan 10 cupak setelah mengerjakan umrah tersebut

Adakah dam terssebut mencukupi atau saya perlu menyelesaikan juga dam menyembelih kambing setelah sampai di Malaysia ini?

Terima kasih

peace
peace
1 bulan yang lalu

Assalamualaikum tuan,saya hendak bertanya.Jika orang tua yang memakai lampin pakai buang semasa buat umrah disebabkan penyakit tidak boleh tahan buang air kecil,perlukah beliau membayar dam? terima kasih

peace
peace
Reply to  Muhamad Naim
1 bulan yang lalu

جزاكم الله خيراً

Terima kasih banyak Tuan atas penjelasan nya.saya menghargai sangat-sangat..syukran Assalamualaikum.

Ain
Ain
2 bulan yang lalu

Assalamualaikum ustaz, saya telah pergi umrah pada bulan 2 tahun ini. Saya ingin bertanya mengenai tawaf.

Saya melakukan tawaf secara berkumpulan dengan jemaah umrah. Semasa tawaf, saya ada tertoleh belakang untuk tengok seorang makcik.Saya tak pasti sama ada ketika menoleh bahu saya lari atau tidak. Tapi saya dapat rasakan bahu saya tak lari cuma saya rasa takut jika saya salah. Lepas toleh saya undur ke belakang untuk tukar tempat dengan mak cik tu. Ketika proses ni pun saya risau jika saya ada membelakangi kaabah. Saya ada bertanya kepada makcik tersebut jika bahu saya ada lari atau tidak. Makcik tu kata tak lari sebab kami tukar tempat secara mengundur. Jadi saya tidak menambah bilangan tawaf tersebut. Dan saya tidak ingat adakah saya berasa was was atau yakin dengan keputusan tu ketika itu. Cuma saya rasa tenang dan tak ada fikir pasal ni sampai dah balik di Malaysia. Di Malaysia baru saya teringat dan berasa was-was.

Tawaf yang dilakukan ni untuk umrah sunat.

Persoalan saya:

1) Adakah tawaf yang dilakukan saya tidak sah? Jika tidak sah, maka tidak sah la umrah saya. Adakah saya masih berada di dalam ihram ketika ini? Kerana saya baru teringat kembali.

2) Jika saya perlu membayar dam, apakah bentuk dam yang perlu saya bayar?

3) Jika tidak sah tawaf tersebut, adakah saya perlu ke Mekah lagi untuk menyelesaikan tawaf yang tertunggak tersebut atau hanya boleh melunaskannya hanya dengan membayar dam?

Minta maaf ustaz atas kejahilan saya, saya ingin pencerahan untuk melegakan hati saya yang terlampau takut dan buntu jika tawaf saya tidak sah. Saya harap ustaz membantu. Terima kasih ustaz.

Ain
Ain
Reply to  Muhamad Naim
2 bulan yang lalu

Alhamdulillah terima kasih ustaz untuk penerangan yang jelas. Saya mengalami perasaan was-was yang teruk mengenai umrah yang telah saya lakukan.

Lepas satu-satu masalah teringat balik sedangkan di sana saya tak pernah terfikir semua yang saya rasa sekarang.

Bolehkah saya menganggap perasaan yang tenang sepanjang di sana sebagai perasaan yakin akan ibadah saya? Sebab sekarang saya jadi keliru adakah saya yakin atau tidak dengan ibadah saya disana.

Di samping itu ustaz, bolehkah saya minta nasihat atau doa yang boleh saya guna untuk melindungi dari perasaan was-was? Saya berasa takut dan penat dengan perasaan ni sehingga ingin melakukan kerja pun saya tidak mampu.

Terima kasih ustaz, semoga Allah membalas kebaikan ustaz.

Norelah
Norelah
2 bulan yang lalu

Assalamualaikum ustaz
saya ingin bertanya sbb ada keraguan seleoas membaca jenis2 warna darah haid
saya mengerjakan umrah pd 15/2/24-25/2/24 yg lalu
umrah wajib saya tiada masalah krn sejurus tiba di mekah km terus melakukan umrah
selepas itu selang sehari km melakukan 2 umrah sunat
tetapi saya ada klr cecair kuning apabila saya agak aktif ,pada waktu itu saya hanua yakin haid kalau warna hitam,merah atau coklat shj,warna kuninh itu sy ingat hy klr apabila saya penat
haid pertama :27/12/23
haid akhir:7/17/24
umrah;15/2/24-25/2/24
haid pertama utk kitar lain:29/2/24

adakah sah umrah sunat saya,adakah sy masih dlm ihram, bagaimana nak selesaikan jika saya masih dlm ihram dan sudah tentu byk perkara larangan yg sy dh langgar

mohon bantu beri jawapan pd saya
email:[email protected]
tel:0197779157
banyu saya ustaz

Norelah
Norelah
Reply to  Muhamad Naim
2 bulan yang lalu

Alhamdulillah,terima kasih ustaz

Yas
Yas
3 bulan yang lalu

Assalamualaikum ustaz, saya ingin bertanya. Jikalau saya tertengok benda yang tak senonoh (seperti s*x jokes) apabila saya scroll TikTok/insta semasa dalam ihram. Perlu ke saya membayar dam? Content tu tiba2 muncul semasa saya scroll. Jikalau perlu, berapa banyak perlu saya bayar?
Atau adakah hukumnya sama seperti yang diatas, tidak perlu membayar dam?

Last edited 3 bulan yang lalu by Yas
Muha
Muha
3 bulan yang lalu

salam ustaz, saya ingin bertanya.
saya was2 sama ada saya sudah niat atau belum masa dekat miqat, sebab saya tertidur. (Kalau dikira memang tak sengaja)
masa mutawwif kejut jemaah untuk bangun dan niat, saya x sure saya bangun ataupun tidak. Tapi sepupu saya kata saya bangun.

macam mana ya ustaz? Andai kata saya dikenakan Dam. Bole ka saya pilih untuk berpuasa 10 hari di tanah air ni. Sbb kalo nk kesana saya tak mampu. Nak qurban pon saya tak mampu. Atau ni semua bisikan syaitan untuk buat saya rasa bersalah.

Muha
Muha
Reply to  Muhamad Naim
3 bulan yang lalu

Alhamdulillah, terima kasih ustaz,
ustaz puasa 10 hari perlu berturut-turut ke ataupun saya boleh tidak berturut-turut?
Dan apabila sudah selesai berpuasa 10 hari adakah saya perlu berqurban sekiranya saya sudah mampu di kemudian hari?

Last edited 3 bulan yang lalu by Muha
Muha
Muha
Reply to  Muhamad Naim
3 bulan yang lalu

Alhamdulillah . Terima kasih banyak ustaz, lena saya tidur nanti. Moga allah rahmati ustaz