Bagaimana cara rukuk yang betul dan sempurna dalam solat?
Panduan ini akan menerangkan secara lengkap mengenai cara rukuk dalam solat yang betul dalam solat.
Soal jawab soalan lazim berkaitan cara rukuk dalam solat juga turut disediakan bagi meluaskan lagi pemahaman.
Pengenalan
Ini adalah bab 5 dari siri panduan solat sempurna.
Untuk bab ini, saya akan menerangkan mengenai rukun solat berkaitan cara rukuk dan bacaannya dalam solat secara spesifik.
Matlamat panduan ini adalah agar kita semua tahu dan faham mengenai cara rukuk dalam solat secara sempurna seterusnya solat kita diterima Allah.
Mari kita mulakan..
Bagaimana Cara Rukuk Yang Betul Dalam Solat?
Lakukan rukuk dengan membongkok ke hadapan dengan kedua tapak tangan memegang kedua lutut.
Paling afdal dan sempurna adalah membongkok ke hadapan dengan meluruskan belakang agar rata separas tengkuk dan meluruskan kaki.
Kedua tapak tangan memegang dua lutut dengan cara anak jari direnggangkan.
Firman Allah:
Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu rukuk dan bersujud (mengerjakan solat) ..
— Surah al-Hajj ayat 77
Kenapa Perlu Mengenggam Kedua-Dua Lutut dan Meluruskan Badan Ketika Rukuk?
Dalilnya adalah daripada hadis Abu Humaid as-Sa’idi beliau berkata:
Aku telah melihat Rasulullah SAW ketika baginda bertakbir, Baginda menjadikan kedua-dua tangannya setentang dengan dua bidang bahunya dan apabila rukuk, Baginda meletakkan kedua-dua tangannya pada kedua-dua lututnya, kemudian meluruskan belakangnya
— Riwayat Bukhari
Dalam hadis lain:
Adalah Nabi SAW menekankan kedua-dua tangannya ke atas kedua-dua lututnya seolah-olah Baginda menggenggam kedua-dua lututnya.
— Riwayat Bukhari dan Abu Dawud
Merenggangkan Jari-Jemari Ketika Rukuk
Dalil kepada perbuatan ini adalah:
Apabila kamu rukuk, maka letakkan kedua-dua tapak tanganmu ke atas kedua-dua lututmu, kemudian jarakkan di antara jari-jarimu, kemudian tenanglah sehingga tetap segala ruas tulang belakangmu
— Riwayat Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban
Tomakninah Ketika Rukuk
Maksud Tomakninah
Tomakninah bermaksud berhenti selepas bergerak, atau berhenti sekejap dalam kadar masa yang menceraikan di antara dua pergerakan.
Rasulullah SAW bersabda:
Sempurnakanlah rukuk dan sujud
— Riwayat Bukhari dan Muslim
Begitu juga hadis Abu Hurairah tentang kisah al-Musi’ Solatuh (orang yang tidak sempurna dalam solatnya), dimana Rasulullah SAW bersabda:
Kemudian rukuklah sehingga kamu tenang dalam keadaan rukuk
— Riwayat Bukhari, Muslim dan Ashhab as-Sunan
Rasulullah SAW bersabda:
Sejahat-jahat pencuri ialah yang mencuri ketika solat. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, bagaimana dia mencuri di dalam solatnya?” Baginda menjawab: “Dia tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya”
— Riwayat Ibnu Syaibah, Tirmizi dan al-Hakim
Syarat-Syarat Sah Rukuk
Ijmak ulama mengatakan bahawa rukuk adalah rukun solat.
Syarat-syarat sah rukuk solat adalah:
- Sah rukun yang sebelumnya (iaitu saha rukun membaca al-fatihah dan qiam)
- Melakukan rukuk kerana melaksanakan rukun solat, bukan kerana lain (umpama rukuk kerana mengelak terkena batu yang dilemparkan orang kepadanya yang sedang qiam)
- Melaksanakan tomakninah dalam rukuk
- Membongkokkan badan sehingga kedua-dua tangannya dapat mencapai kedua-dua lututnya.
Bacaan Dalam Rukuk
Bagaimana bacaan semasa rukuk?
Bacaan tasbih ketika rukuk adalah:
Subhana Rabbiyal ‘Azhimi wa bihamdih
Maha Suci Tuhanku yang Maha Agung dan dengan segala pujian ke atas-Nya
Dalil
Dalil bacaan ini adalah berdasarkan hadis daripada Ibnu Mas’ud berkata: Sesungguhnya Nabi SAW bersabda:
Apabila seseorang kamu rukuk lalu berkata di dalam rukuknya: (mafhumnya) “Maha Suci Tuhanku yang Maha Agung” tiga kali, maka telah sempurna rukuknya dan itulah yang sekurang-kurangnya dan apabila sesorang kamu sujud, lalu membaca dalam sujudnya: (mafhumnya) “Maha Suci Tuhanku yang Maha Tinggi” tiga kali, maka telah sempurna sujudnya dan itulah yang sekurang-kurangnya.
— Riwayat Abu Dawud dan Tirmizi
Ini juga berdasarkan hadis Nabi SAW:
Dan adapun ketika rukuk, maka agungkanlah Allah di dalamnya
— Riwayat Muslim
Kaedah Mengangkat Kedua-dua Tangan Ketika Hendak Bangkit Dari Rukuk
Bagaimana cara yang betul untuk mengangkat tangan apabila bangun dari rukuk?
Terdapat banyak pendapat mengenai perkara ini.
Antaranya adalah dari Ibnu Umar.
Sayyidina Ibnu Umar berkata:
Sesungguhnya Nabi SAW mengangkat kedua-dua tangannya selari dengan bahunya ketika mula solat, ketika bertakbir untuk rukuk dan ketika mengangkat kepalanya daripada rukuk
— Muttafaq ‘Alaih
Kaedah Yang Diajarkan Oleh Imam an-Nawawi
Cara yang diajarkan oleh imam an-Nawawi adalah seperti berikut:
Hujung jari kedua-dua tangan diangkat selari dengan hujung telinga bahagian atas. Ibu jari pula selari dengan bahagian bawah cuping telinga. Tapak tangan hendaklah selari dengan bahu.
Kaedah ini diterima oleh Mazhab Maliki dan Syafi’e, serta diamalkan oleh ar-Rafi’i, al-Ghazali, dan al-Baghawi.
Menurut Ibnu Hajar al-Asqalani (pengarang Bulugh al-Maram dan Fath al-Bari), kaedah ini selaras dengan laporan Wa’il bin Hujr:
Dia melihat Nabi Muhammad SAW apabila mahu mengerjakan solat, Baginda mengangkat kedua-dua tangannya sehingga selari dengan bahunya, dan ibu jarinya selari dengan kedua belah telinganya.
— Riwayat Abu Daud dalam Sunan Abi Daud
Soal Jawab Berkaitan Rukuk Dalam Solat
1. Apakah hukum mengangkat dua tangan ketika takbir untuk rukuk dan bangun daripada rukuk? Bagaimana sekiranya terlupa?
Mengangkat kedua-dua tangan ketika takbir untuk rukuk dan bangun daripada rukuk adalah sunat hai’ah di sisi Mazhad Syafi’e.
Ia adalah perbuatan yang digalakkan, tetapi sekiranya tidak dilakukan solat tetap sah.
2. Ketika rukuk, adakah perlu memegang lutut ataupun paha? Bagaimana pula sekiranya memegang betis?
Disyaratkan ketika rukuk hendaklah memegang lutut bagi memastikan tubuh bongkok dengan sempurna dan tidak berlebihan.
Ini berdasarkan perbuatan Rasulullah SAW sebagaimana yang direkodkan oleh al-Bukhari daripada Abu Humaid al-Sa’idi berkenaan dengan sifat solat Nabi, katanya:
Apabila rukuk, Rasulullah menekan kedua-dua tangan ke lututnya
— Direkod oleh al-Bukhari dalam sahih al-Bukhari pada bab Azan; Sunat Duduk Tasyahud
3. Berapa lama kadar masa untuk rukuk? Apakah hukum orang yang rukuk dan bangun daripada rukuk dengan pantas?
Perbuatan tergesa-gesa dalam solat ditegah kerana mampu menyebabkan solat tidak sah.
Rukuk dan bangun semula dalam keadaan terlalu pantas sehingga tidak dapat mendapat syarat tomakninah, iaitu berhenti sekejap, ialah solat yang tidak sah.
Rasulullah sendiri mencela perbuatan ini dengan menganggapnya sebagai perbuatan mencuri dalam solat.
“Seburuk-buruk manusia adalah pencuri yang mencuri dalam solatnya”. Mereka bertanya: “Wahai Rasulullah bagaimana mencuri dalam solat itu?” Baginda menjawab: “Dia tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya”
— Direkodkan oleh Ahmad dalam kitab Musnad Ahmad pada bab hadis Abu Qatadah al-Ansori
4. Bagaimana keadaan kepala yang betul semasa rukuk? Didongakkan atau ditundukkan.
Cara terbaik adalah dengan tidak terlalu mendongakkan kepala dan tidak juga terlalu menundukkannya.
Sebaik-baiknya berada sama lurus dengan badan.
Ini berdasarkan perbuatan Rasulullah sebagaimana yang diceritakan oleh Aisyah:
Rasulullah apabila rukuk tidak mengangkat kepalanya dan tidak juga menundukkannya, tetapi pertengahan antara kedua-duanya.
5. Sekiranya semasa saya rukuk, saya tidak membaca apa-apa — adakah sah solat saya? Apa yang perlu dibaca ketika rukuk?
Rukuk adalah rukun perbuatan dalam solat.
Ia wajib dilakukan, tetapi bacaan ketika rukuk adalah sunat hai’ah yang digalakkan.
Sekiranya anda rukuk tanpa membaca apa-apa tetapi dalam tempoh masa yang membolehkan membaca tasbih dengan tenang, solat anda sah.
Sebaik-baiknya baca tasbih sebanyak tiga kali sebagaimana yang disarankan oleh Rasulullah berdasarkan riwayat Ibnu Mas’ud.
Apabila seseorang daripada kamu rukuk, dan membaca dalam rukuknya subhana robbiyal ‘azim sebanyak tiga kali, dia sudah menyempurnakan rukuknya dan itu adalah sekurang-kurangnya (rukuk)
— Direkodkan oleh at-Tirmizi dalam kitab Sunan at-Tirmizi
6. Apa hukum tersilap rukuk dalam solat berjemaah? Adakah perlu bangun semula atau meneruskan rukuk? Adakah ia membatalkan solat?
Anda perlu kekal dalam posisi rukuk sehingga imam benar-benar rukuk dan ikut semula imam seperti biasa.
Dalam keadaan ini, anda sudah mendahului satu rukun daripada imam, dan ia tidak membatalkan solat.
Solat hanya batal sekiranya anda mendahului dua rukun daripada imam.
Nota Rujukan
Rujukan untuk panduan ini adalah:
- Praktikal Solat Sempurna, Ustaz Muhadir Haji Joll
- Anda Bertanya Ustaz Menjawab Mengenai Solat, Ustaz Rohidzir Rais
- Ensiklopedia Solat A-Z Tentang Solat, Dr. Nik Yusri Musa
- Indahnya Hidup Bersyariat, Modul Fardu Ain Diri, Keluarga dan Masyarakat Sepanjang Hayat, Dato’ Ismail Kamus dan Mohd Azrul Azlen Ab. Hamid.
Penutup
Semoga panduan ini memberi manfaat kepada anda semua dalam meningkatkan kualiti solat.
Panduan lain dalam siri ini:
Jika ada sebarang persoalan berkaitan topik ini, bolehlah nyatakan hal tersebut pada ruangan di bawah.
Tinggalkan Komen Anda..
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh Ustaz. Boleh tak sertakan gambar untuk Panduan solat bagi Perempuan. ( Sujud, Rukuk ) Bagaimana keadaan kedudukan tangan dan kaki yg betul utk Perempuan. Terima kasih Ustaz.
Walaikumsalam.
InsyaAllah, nanti saya cuba usahakan dengan model muslimah untuk panduan solat wanita.
Adakah sah solat jika melakukan rukuk dengan meletakkan kedua tangan di betis?
Dalam Mazhab Syafie, posisi tangan semasa rukuk dalam solat adalah penting untuk sah solat.
Semasa rukuk, kedua-dua tangan perlu diletakkan di atas lutut, dengan jari-jari tangan disebarkan agar memegang lutut. Ini adalah bagi memenuhi salah satu rukun solat, iaitu “ittisal” atau sambungan anggota badan dalam keadaan tertentu.
Jika seseorang itu sengaja meletakkan tangan di atas betis semasa rukuk dan bukan di lutut, tanpa ada alasan seperti sakit atau keuzuran, maka ini boleh menyebabkan solatnya tidak sah menurut Mazhab Syafie. Ini kerana tindakan tersebut dianggap telah meninggalkan salah satu rukun solat.
Namun, jika tindakan meletakkan tangan di betis dilakukan kerana alasan tertentu seperti sakit, kesukaran untuk rukuk dengan sempurna, atau keuzuran lain, maka solat tersebut dianggap sah dengan syarat asas dan rukun solat lainnya dipenuhi.
Wallahu a’lam
Kaki saya tidak dapat lurus ketika rukuk kerana sakit saraf punggung,,adakah sah rukuk saya ketika kaki tidak lurus/bengkok ke depan?
As Salam
Dalam situasi di mana anda mengalami sakit saraf punggung yang menyebabkan anda tidak dapat meluruskan kaki sepenuhnya ketika rukuk, solat anda masih dianggap sah menurut Mazhab Syafie.
Dalam Islam, ada prinsip yang sangat penting, yaitu kemudahan dan menghindari kesulitan (al-yusr wal-taysir).
Mazhab Syafie mengiktiraf keuzuran dan membolehkan penyesuaian dalam pelaksanaan ibadah berdasarkan keadaan individu. Jika seseorang menghadapi kesukaran atau kesakitan yang menghalang mereka dari melakukan gerakan solat dengan sempurna, mereka dibenarkan untuk melakukan sebaik yang mereka mampu.
Dalam kes anda, jika anda tidak dapat meluruskan kaki sepenuhnya semasa rukuk akibat kesakitan, anda boleh melakukan rukuk dengan posisi yang paling selesa dan mampu untuk anda, walaupun ini bermakna kaki anda sedikit bengkok. Kepentingannya di sini adalah anda melakukan rukuk dengan niat yang ikhlas dan semampu yang anda boleh, sambil memelihara rukun dan syarat solat lainnya.
Allah SWT Maha Mengetahui dan Maha Mengerti keadaan hamba-Nya, dan Islam adalah agama yang memberi kemudahan dan tidak memberatkan umatnya.
Jadi, lakukan solat anda dengan sebaik-baiknya sesuai dengan kemampuan dan keadaan anda.
Ketika rukuk atau sujud, adakah berat badan ditampung oleh kedua2 tangan
Dalam pelaksanaan rukuk atau sujud dalam solat, berat badan dan cara penumpuannya memainkan peranan penting dalam menentukan kesempurnaan gerakan tersebut, menurut panduan Mazhab Syafie.
1. Ketika Rukuk: Dalam rukuk, berat badan seharusnya dibahagikan antara kedua kaki dan tangan. Ini bermakna tangan anda (di mana jari-jari tangan dibuka dan diletakkan di atas lutut) harus menanggung sebahagian daripada berat badan anda. Ini membantu dalam membentuk posisi rukuk yang betul di mana punggung dan belakang anda lurus.
2. Ketika Sujud: Dalam sujud, berat badan ditumpukan pada tujuh anggota badan: dahi (termasuk hidung), kedua tangan, kedua lutut, dan kedua ibu jari kaki. Dalam sujud, tangan memainkan peranan penting dalam menopang berat badan. Jari-jari tangan harus disebar dan menghadap ke kiblat, dan siku tidak patut menyentuh lantai atau badan.
Dalam kedua-dua posisi, penting untuk memastikan bahawa berat badan disokong dengan seimbang, dan posisi anggota badan disusun dengan betul untuk memenuhi rukun solat.