Panduan Bacaan Al-Fatihah Dalam Solat (Siri Solat Sempurna)

bacaan al-fatihah

Bagaimana bacaan al-Fatihah yang sempurna dalam solat?

Panduan ini akan menerangkan secara lengkap mengenai bacaan al-Fatihah dalam solat yang betul dan tepat dalam solat.

Soal jawab soalan lazim berkaitan bacaan al-Fatihah dalam solat juga turut disediakan bagi membantu anda.

Pengenalan

Ini adalah bab 4 dari siri panduan solat sempurna.

Untuk bab ini, saya akan menerangkan mengenai rukun solat berkaitan bacaan al-Fatihah dalam solat secara spesifik.

Matlamat panduan ini adalah agar kita semua tahu dan faham mengenai bacaan al-Fatihah dalam solat secara sempurna seterusnya solat kita diterima Allah.

Mari kita mulakan..

Hukum Bacaan al-Fatihah Dalam Solat

surah al fatihah
Surah al-Fatihah

Rukun keempat dalam solat adalah membaca al-Fatihah.

Bacaan al-Fatihah adalah wajib pada tiap-tiap rakaat mengikut tertib.

Dalil kewajipan al-Fatihah:

Hadis daripada Ubadah bin ash-Shamit, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:

Tidak sah orang yang tidak membaca surah al-Fatihah.

— Riwayat Bukhari dan Muslim

Rasulullah bersabda:

Sesiapa yang solat suatu solat, tidak membaca di dalamnya surah al-Fatihah, maka ia dikira cacat, ia cacat, ia cacat, iaitu tidak sempurna (tidak sah).

— Riwayat Muslim

Syarat Sah Bacaan al-Fatihah

  1. Membaca dengan tertib susunan ayat surah Al-Fatihah.
  2. Dibaca dengan muwalat iaitu dibaca terus-menerus. Jika berhenti lebih daripada waktu sekadar untuk menarik nafas lalu mengeluarkannya lagi, maka batal bacaannya dan hendaklah diulang semula daripada awal.
  3. Membaca semua ayat surah al-Fatihah termasuklah basmallah dan memelihara harakat dan tajwidnya.
  4. Membaca semua tasydid (bacaan bersabdu) yang ada dalam surah al-Fatihah[1]
  5. Tidak berhenti lama ketika membaca ayat-ayat surah al-Fatihah lebih daripada waktu sekadar untuk menarik nafas lalu mengeluarkannya lagi. Jika dibuat demikian maka batal bacaannya dan hendaklah diulang semula daripada awal.
  6. Membaca ayat-ayat surah al-Fatihah dalam keadaan berdiri (untuk solat fardu jika mampu berdiri).
  7. Sekurang-kurangnya mendengar sendiri bacaan al-Fatihah yang dibaca sendiri[2]
  8. Membaca ayat-ayat surah al-Fatihah dan tidak diselang-seli dengan kalimah (perkataan) lain yang bukan sesuatu yang menjadi kemaslahatan solat.
  9. Membaca surah al-Fatihah dengan niat melaksanakan rukun solat.
  10. Membaca surah al-Fatihah dengan bahasa arab,

Nota Kaki

1 Jika tidak dibaca tasdidnya, maka bacaan lafaz tersebut batal. Jika tidak diulang kembali, maka batal solatnya rukun surah al-Fatihahnya sudah batal.

Jika membaca tasydid pada huruf yang tidak ada tasydid, tidak membatalkan solat atau bacaan jika tidak mengubah makna.

Jika mengubah makna, batal bacaannya sama ada sengaja atau tidak.

Batal solatnya jika tahu dan sengaja

2 Dikecualikan bagi orang pekak.

Hukum Membaca Basmallah Dalam Surah Al-Fatihah

Basmallah adalah salah satu ayat daripada surah al-fatihah.

Menurut mazhab Syafi’e, basmallah merupakan satu sayat daripada surah al-Fatihah, maka tidak sah solat jika tidak membacanya.

Allah berfirman:

Dan sungguh Kami telah berikan kepadamu (wahai Muhammad) tujuh ayat yang berulang-ulang dan al-Quran yang agung.

— Surah al-Hijr ayat 87

Menurut ulama, “tujuh ayat yang berulang-ulang” dalam ayat ini merujuk kepada surah al-Fatihah kerana surah ini mengandungi 7 ayat yang sentiasa dibaca berulang-ulang pada tiap-tiap rakaat solat sama ada fardu atau sunat.

Dan ayat yang pertama dalam surah al-Fatihah ialah basmallah.

Tasydid Dalam Surah al-Fatihah

Tasydid-tasydid yang terdapat dalam surah al-Fatihah ada 14 tempat semuanya.

Kedudukan sabdu yang perlu dijaga dalam surah al-Fatihah

Mengucapkan “Amin” (Berta’min) Selepas Membaca Surah al-Fatihah

Bacaan ta’min hukumnya adalah sunat haiah.

 ﺁمِينُ

Kabulkan permintaan kami, ya Allah!

Dalil mengenai perkara ini disebutkan dalam satu hadis:

Adalah Nabi SAW, ketika selesai daripada pembacaan al-Fatihah, Baginda membaca: Amin(perkenankanlah ya Allah), Baginda menyaringkannya dan memanjangkan suaranya ketika membacanya.

— Riwayat Bukhari dan Abu Dawud

Hendaklah menyaringkan dan memanjangkan suara ketika menyebut “Amin” dan sunat makmum bersama-sama imam mengucapkan “Amin”.

Rasulullah bersabda:

Apabila imam mengucapkan “Amin”, maka kamu bacalah “Amin” kerana sesiapa yang berbetulan sebutan Aminnya dengan Aminya para malaikat, diampunkan dosanya yang telah lalu

— Muttafaq ‘Alaih

Rasulullah juga bersabda:

Sebutlah kamu semua: “Amin”, nescaya Allah akan menyayangi kamu

— Riwayat Muslim dan Abu Awanah

Membaca Surah Selepas Membaca al-Fatihah

Setelah selesai membaca surah al-Fatihah, maka bacalah surah atau ayat al-Quran pada dua rakaat pertama bagi imam dan bagi orang yang solat bersendirian.

Hukumnya adalah sunat haiah.

Dalilnya daripada al-Barra’ katanya:

Aku mendengar Rasulullah SAW membaca surah at-Tin ketika solat Isyak dan aku tidak pernah mendengar seorang pun yang lebih bagus suaranya atau bacaannya daripada Baginda.

— Muttafaq ‘Alaih

Menyaringkan Bacaan al-Fatihah Pada Solat Tertentu

Disunatkan untuk menyaringkan (memperkuatkan) bacaan surah al-Fatihah dan surah pada kedua-dua rakaat Solat Subuh, Jumaat, Tarawih dan Hari Raya.

Dan pada rakaat pertama dan kedua pada solat Maghrib dan Isyak.

Tetapi diperlahankan bacaan-bacaan tersebut pada solat yang lain.

Hukumnya juga sunat haiah.

Dalilnya adalah daripada Abu Hurairah; beliau berkata:

Adalah Nabi SAW membaca ketika Solat Subuh pada hari Jumaat Alif Lam Mim, Tanzil as-Sajadah dan Hal ata ‘alal Insan

— Muttafaq ‘Alaih

Hadis daripada Abu Hurairah; beliau berkata:

Adalah bacaan Nabi SAW pada waktu malam kadang-kadang Baginda merendah suaranya dan kadang-kadang meninggikannya.

— Riwayat Abu Dawud

Soal Jawab Berkaitan Bacaan al-Fatihah Dalam Solat

Berikut adalah beberapa persoalan yang berkaitan dengan al-Fatihah dalam solat

1. Adakah perlu membaca bismillah ketika membaca surah al-Fatihah dalam solat?

Terdapat perbezaan pendapat dalam menentukan sama ada bismillah sebahagian daripada surah al-Fatihah ataupun sebaliknya.

Mazhab Syafi’e berpendapat ia sebahagian daripada surah al-Fatihah.

Oleh itu, ia wajib dibaca ketika membaca al-Fatihah dalam solat.

Ini berdasarkan kepada hadis yang dilaporkan daripada Abu Hurairah:

Sekiranya kamu membaca Alhamdulillah, hendaklah kamu membaca bismillahir rahmanir rahim. Ia (al-Fatihah) adalah Ummul Quran dan Ummul Kitab, dan ia mempunyai tujuh ayat. Bismillahir rahmanir rahim adalah salah satu ayatnya.

— Dilaporkan oleh al-Darquthni

2. Bolehkah menggantikan surah al-Fatihah dengan mana-mana surah yang lain?

Membaca surah al-Fatihah termasuk rukun solat.

Oleh itu, tidak sah solat sekiranya menggantikan surah al-Fatihah dengan surah yang lain.

Ini berdasarkan hadis yang direkodkan oleh al-Bukhari dan Muslim, Nabi SAW pernah berkata:

Tidak sah solat siapa yang tidak membaca al-Fatihah

— direkodkan oleh Muslim dalam kitab Sahih Muslim pada bab Solat; Wajib Membaca Al-Fatihah pada Setiap Rakaat

3. Saya baru memeluk Islam. Saya tidak pandai membaca al-Quran dan sukar menghafal surah al-Fatihah. Bagaimana saya mahu solat?

Anda boleh membaca sebahagian daripada surah al-Fatihah yang diingati dan menggantikan baki ayat yang tidak diingati dengan surah lain yang sama jumlah ayatnya ataupun lebih.

Anda juga boleh menggantikan baki ayat-ayat yang tidak diingatinya dengan zikir atau selawat sebanyak selawat ayat ayat yang tertinggal.

Ini berdasarkan kaedah fekah yang menyatakan apa yang tidak dapat dilakukan semuanya dengan sempurna, jangan ditinggalkan semuanya.

Tetapi sekiranya anda belum menghafal satu pun aya daripada surah al-Fatihah, dia boleh membaca surah-surah lain yang mempunyai jumlah ayat yang sama ataupun lebih.

Sekiranya surah-surah al-Quran yang lain juga tidak dapat dihafaz, dia boleh berzikir dan berselawat pada anggaran kebiasaan masa yang diambil untuk membaca al-Fatihah.


4. Bacaan al-Quran mempunyai qiraat yang pelbagai. Adakah harus membaca surah al-Fatihah dalam solat dengan mana-mana qiraat yang disukai?

Berdasarkan muzakarah jawatankuasa fatwa ke-16 yang dijalankan pada 18 Febuari 1986, qiraat yang boleh digunakan adalah bacaan yang masyhur di dunia dan di Asia, iaitu bacaan riwayat Hafsun


5. Sekiranya sebutan huruf dhod dalam surah al-Fatihah dibaca zho, adakah sah solat?

Membaca surah al-Fatihah dengan betul adalah rukun solat yang tidak boleh diabaikan.

Menyebut setiap perkataan dan huruf dengan sempurna dan betul adalah antara syarat bacaan al-Fatihah yang sempurna.

Sekiranya seseorang itu menyebut salah satu daripada huruf-huruf dalam surah al-Fatihah dengan sebutan yang tidak tepat, maka solat tidak sah.


6. Apakah hukum baca al-Fatihah tergesa-gesa. Misalnya, ketika masih menyebut waladhdholin, kita sudah mula membongkokkan badan untuk sujud. Apakah hukumnya?

Antara syarat sah bacaan al-Fatihah dalam solat adalah seluruh ayat surah ini hendaklah dibaca ketika sedang berdiri (qiam).

Mereka membaca al-Fatihah ketika rukuk ataupun rukuk ketika belum sempurna membaca al-Fatihah menyebabkan solat tidak sah kerana mengabaikan rukun membaca al-Fatihah.


7. Apakah hukum sering menghentikan bacaan al-Fatihah kerana batuk ataupun semput? Kadangkala lama diam sebelum kembali menyambung bacaan.

Disyaratkan dalam solat al-Fatihah hendaklah dibaca secara terus-menerus tanpa diam yang lama.

Tetapi dalam keadaan tertentu, seperti batuk ataupun menangis atau sesak nafas, harus berhenti.

Solat yang dilakukan tetap sah.


8. Ketika solat tarawih,saya mendapati imam sering membaca surah al-Fatihah dengan pantas. Kadangkala dengan hanya senafas. Bolehkah begitu?

Bacaan surah al-Fatihah yang paling sempurna adalah dengan berhenti pada waqaf-waqaf yang ditetapkan.

Bagaimanapun, harus seseorang itu membacanya dengan menyambung sebahagian atau seluruh ayat-ayatnya.

Tetapi, bacaan bersambung ini hendaklah dibaca dengan menyambungkan setiap hujung ayat dengan ayat berikutnya.

Sebahagian daripada imam membaca keseluruhan ayat dengan satu nafas tetapi mawaqafkan pada setiap akhir ayat.

Ini cara yang salah.

Nota Rujukan

Rujukan panduan ini adalah:

  1. Praktikal Solat Sempurna, Ustaz Muhadir Haji Joll
  2. Anda Bertanya Ustaz Menjawab Mengenai Solat, Ustaz Rohidzir Rais
  3. Ensiklopedia Solat A-Z Tentang Solat, Dr. Nik Yusri Musa
  4. Indahnya Hidup Bersyariat, Modul Fardu Ain Diri, Keluarga dan Masyarakat Sepanjang Hayat, Dato’ Ismail Kamus dan Mohd Azrul Azlen Ab. Hamid.

Penutup

Semoga panduan ini memberi manfaat kepada anda semua dalam meningkatkan kualiti solat.

Jika ada sebarang persoalan berkaitan topik ini, bolehlah nyatakan hal tersebut pada ruangan di bawah.

Photo of author

Muhamad Naim

Penulis utama dan ketua editor. Menubuhkan web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

66 thoughts on “Panduan Bacaan Al-Fatihah Dalam Solat (Siri Solat Sempurna)”

  1. Waalaikumussalam wbt, tuan Hazmi.

    Berkenaan bacaan hujung surah al-Fatihah pada lafaz “وَلَا الضَّالِّينَ”, dalam bacaan yang biasa kita amalkan, ada dua tempat mad yang perlu difahami:

    Pada “ضَا” (dād + alif), itu mad lazim dan kadar bacaannya 6 harakat.Pada hujung “لِّينْ” ketika berhenti (waqaf) di akhir ayat, itu mad ‘aridh lis-sukun dan boleh dibaca 2 / 4 / 6 harakat (pilih salah satu, kemudian cuba konsisten).
    Dari sudut sah solat, jika yang berlaku cuma panjang-pendek mad secara tidak sengaja (dan tuan masih menyebut huruf serta tasydid dengan betul, tidak bertukar huruf/baris), maka solat insya-Allah sah dan tidak sampai membatalkan.

    Cuma untuk lebih kemas dan yakin, tuan boleh latih dengan memperlahankan sedikit pada hujung ayat, serta tetapkan satu pilihan mad ‘aridh (contohnya 2 atau 4 harakat) supaya bacaan lebih stabil.

    Wallahu a’lam.

    Reply
  2. Assalamualaikum ustaz, pada ayat terakhir alfatihah.., apakah solat sah sekiranya tak sengaja bacaan “llin” lebih pendek drpd bacaan “dho”?.. bacaan harakat huruf dho dalam 2-4 harakat lebih pendek drpd bacaan huruf llin yang 4-6 harakat ketika solat tadi..
    Sedangkan bacaan dho yang sepatutnya 2-4 harakat dan llin 6 harakat..

    Reply
  3. Assalamualaikum ustaz, pada ayat terakhir alfatihah.., apakah solat sah sekiranya tak sengaja bacaan “llin” lebih pendek drpd bacaan “dho”?.. bacaan harakat huruf dho dalam 2-4 harakat lebih pendek drpd bacaan huruf llin yang 4-6 harakat ketika solat tadi..
    Sedangkan bacaan dho yang sepatutnya 2-4 harakat dan llin 6 harakat..

    Reply
    • Waalaikumussalam wbt, tuan Hazmi.

      Berkenaan bacaan hujung surah al-Fatihah pada lafaz “وَلَا الضَّالِّينَ”, dalam bacaan yang biasa kita amalkan, ada dua tempat mad yang perlu difahami:

      1. Pada “ضَا” (dād + alif), itu mad lazim dan kadar bacaannya 6 harakat.
      2. Pada hujung “لِّينْ” ketika berhenti (waqaf) di akhir ayat, itu mad ‘aridh lis-sukun dan boleh dibaca 2 / 4 / 6 harakat (pilih salah satu, kemudian cuba konsisten).

      Dari sudut sah solat, jika yang berlaku cuma panjang-pendek mad secara tidak sengaja (dan tuan masih menyebut huruf serta tasydid dengan betul, tidak bertukar huruf/baris), maka solat insya-Allah sah dan tidak sampai membatalkan.

      Cuma untuk lebih kemas dan yakin, tuan boleh latih dengan memperlahankan sedikit pada hujung ayat, serta tetapkan satu pilihan mad ‘aridh (contohnya 2 atau 4 harakat) supaya bacaan lebih stabil.

      Wallahu a’lam.

      Reply
  4. Assalamualaikum ustaz, maaf izin bertanya ..Jika waktu memberi salam pada rukun Qauli di lafaz كُمْ bacaan jadi seperti agak dengung pada huruf mim trsbt.Adakah batal solat sebab berdengung sedikit ? Adakah mengubah makna jika berlaku dengungan pada bacaan trsbt .

    Jazakumullahu Khairan Kathira

    Reply
    • Waalaikumussalam wbt.

      Solat tidak batal hanya kerana ada dengungan ringan pada huruf mīm di hujung lafaz “‘alaykum”.

      Dalam tajwid, ghunnah (dengung) yang mengubah huruf atau baris sehingga bunyinya bukan lagi mīm sukun, contohnya terlafaz seperti “‘alaykun” (bertukar kepada nūn) atau ditambah baris jadi “‘alaykumu”, maka barulah dianggap kesilapan yang boleh menjejaskan lafaz salam.

      Tetapi jika dengung itu sekadar getaran semula jadi ketika merapatkan kedua bibir pada mīm sukun, dan masih jelas huruf mīm tanpa menambah baris, maka lafaz salam tetap sah dan solat sah.

      Dengungan ringan yang tidak menukar huruf atau baris tidak mengubah makna dan tidak membatalkan solat.

      Wallahu a’lam

      Reply
  5. Assalamualaikum ustaz. Lafaz “la” dari “alhamdulillahirabil a’lamin berapa harkat ustaz? Saya tengok al quran di henpon ada tanda alif kecil diatas huruf lam dan ada juga yg tiada. Mana satu yg betul ustaz?

    Sah ke solat saya jika tersalah tertambah / terkurang harkat pd lafaz “lillahi”?

    Reply
    • Jika saya tertambah harkat pada huruf ain pada lafaz ” A’laamin” adakah sah solat saya?

      Saya selalu silap pada bacaan solat

      Reply
      • Waalaikumussalam warahmatullah.

        1. Harkat “lā” dalam “lillāhi”
        Huruf “lam” yang ada alif kecil di atasnya dibaca panjang 2 harakat (madd ṭabīe). Sesetengah mushaf/telefon tidak memaparkan alif kecil itu, tetapi hukum bacaannya tetap sama iaitu tetap dipanjangkan 2 harakat.

        2. Jika tersalah tambah atau kurang harakat (madd)
        Kesilapan memanjangkan atau memendekkan madd hingga tidak mengubah makna dianggap lahn khafī (kesalahan tajwid kecil). Ia tidak membatalkan solat, tetapi elok diperbaiki untuk kesempurnaan bacaan.

        3. Tertambah harakat pada huruf ‘ain dalam “ʿālamīn”
        Juga termasuk kesalahan tajwid kecil. Solat masih sah selagi sebutan huruf tidak berubah menjadi huruf lain dan makna tidak cacat.

        Solat tuan sah, insya-Allah. Teruskan belajar tajwid secara beransur-ansur supaya bacaan makin tepat dan sempurna.
        Semoga Allah memudahkan usaha puan memperbaiki bacaan. Aamiin.

        Reply
  6. salam ustaz. saya ingin bertanya. jikalau baca al fatihah, selepas itu membaca surah lain kemudian baru teringat- perasaan ada kesalahan bacaan pada bahagian al fatihah pertama td, lalu diulangi balik al-fatihah dari mula, sah ke solat?

    Reply
    • Waalaikumussalam warahmatullah.

      Ya, solat puan masih sah. Jika selepas membaca surah baru teringat ada kesalahan dalam bacaan al-Fatihah, maka dibolehkan untuk ulang semula bacaan al-Fatihah dari awal, selagi belum rukuk.

      Malah, jika yakin bacaan tadi ada kesalahan yang boleh menjejaskan makna atau sahnya solat, memang digalakkan untuk ulang supaya bacaan al-Fatihah itu sempurna. Ini kerana ia adalah rukun solat yang wajib dibaca dengan betul.

      Bacaan surah yang dilakukan sebelum ulang al-Fatihah itu tidak menjejaskan solat, dan tidak perlu dibaca semula.

      Wallahu a‘lam.

      Reply
  7. Assalamualaikum ustaz , sy seorang penghidap penyakit lintasan hati dan was was . Jadikadang waktu solat sy terucap sesuatu yg tk elok dlm hati jadi sy berhentikan bacaan solat untuk betulkan apa yg sy ckp dlm hati tu . Kira batal ke solat sy ? Sbb ia tk berlaku masa baca surah al-Fatihah shj . Apa hukum jika sy diam seketika ketika rukun lain ?

    Reply
    • Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh,

      Terima kasih atas soalan yang dikongsikan.

      Berkenaan lintasan hati yang tidak disengajakan ketika solat, ia tidak membatalkan solat selagi ia tidak disebut secara lisan dan tidak berlaku semasa membaca surah al-Fatihah. Jika tuan terhenti seketika semasa rukun lain untuk melawan lintasan tersebut, solat tetap sah selagi tidak bercakap, tidak bergerak secara berlebihan, dan tidak berhenti terlalu lama.

      Masalah ini adalah bentuk waswas yang sering mengganggu ramai orang. Saranan kami jangan dilayan lintasan tersebut. Teruskan solat seperti biasa dan banyakkan mohon perlindungan daripada Allah. Waswas ini datang daripada syaitan, dan melayannya hanya akan melemahkan hati kita.

      Semoga Allah memberikan ketenangan dan mempermudahkan ibadah tuan. Terus kuat dan jangan putus asa. Allah Maha Mengetahui segala usaha tuan melawan waswas.

      Wallahu a’lam.

      Reply
    • Wa’alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh,

      Terima kasih atas soalan yang sangat baik ini.

      Dalam Mazhab Syafi’i, membaca surah Al-Fatihah adalah rukun qauli (rukun yang memerlukan bacaan) dalam setiap rakaat solat. Bacaan ini perlu dilakukan dengan suara yang didengar oleh diri sendiri, walaupun dalam solat yang dilakukan secara perlahan (sir).

      Panduan Bacaan Al-Fatihah:

      1. Setiap Rakaat: Bacaan Al-Fatihah perlu didengar oleh diri sendiri dalam **setiap rakaat** solat, bukan hanya pada rakaat pertama. Ini adalah syarat untuk memastikan bacaan Al-Fatihah sah.
        
      2. Perlahan atau Kuat: Dalam solat sir (perlahan), bacaan Al-Fatihah tetap perlu didengar oleh diri sendiri, meskipun suaranya sangat perlahan. Dalam solat jahr (kuat), seperti Maghrib, Isyak, dan Subuh, imam perlu membaca dengan suara yang jelas agar makmum dapat mendengar.

      3. Jika Tidak Didengar: Jika bacaan Al-Fatihah hanya dilafazkan di hati tanpa menggerakkan lidah atau tanpa didengar oleh diri sendiri, maka bacaan tersebut tidak sah, dan ia boleh menjejaskan solat.

      Kesimpulan: Bacaan Al-Fatihah perlu didengar oleh diri sendiri dalam setiap rakaat solat. Bacaan ini boleh dilakukan dengan suara perlahan asalkan cukup untuk didengar, bukan sekadar dilafazkan di dalam hati.

      Semoga penjelasan ini membantu dan memberi kejelasan.

      Wallahu a’lam.

      Reply
    • Wa’alaikumussalam,

      Dalam bacaan Al-Fatihah, frasa “Lillahi” dalam ayat “Alhamdulillahi Rabbil ‘alamin” mengikut hukum tajwid adalah dibaca 2 harakat jika dilafazkan dengan hukum mad asli. Mad asli berlaku apabila terdapat huruf mad (ا, و, ي) diikuti oleh huruf yang tidak membawa tanda sukun atau hamzah, seperti dalam kes ini.

      1. Huruf “Lilla” (لِلّٰهِ) berasal dari kalimah “Lillahi”.
      2. Huruf alif kecil selepas huruf ha (ه) menunjukkan terdapat hukum mad asli, iaitu perlu dipanjangkan selama 2 harakat.

      Kesimpulannya: Lafaz “Lillahi” dibaca dengan panjang 2 harakat berdasarkan hukum mad asli.

      Semoga penjelasan ini membantu memperjelas bacaan puan dalam surah Al-Fatihah.

      Wallahu a’lam.

      Reply

Leave a Comment