Apakah hukum jual beli dalam Islam?
Artikel ini akan mengulas secara lengkap berkaitan topik jual beli dalam Islam seperti rukun, hukum, syarat-syarat dan lafaz ijab dan qabul.
Panduan ini disediakan secara ringkas dan mudah agar memudahkan anda mencari maklumat.
Tanpa membuang masa, mari kita mulakan..
- Pengenalan
- Maksud jual beli dalam Islam
- Bagaimana jual beli yang sah atau batal?
- Jenis jual beli yang tidak sah
- Syarat berjual beli
- Syarat barang jualan
- Ijab dan Qabul
- Adakah sah jual beli tanpa lafaz ijab dan qabul?
- Tidak berkontrak semasa berjual beli
- Berhenti dari amalan ijab & qabul
- Hukum jual beli yang dilakukan kanak-kanak
Pengenalan
Mengapa kita perlu belajar tentang jual beli dalam Islam?
Dari sudut ilmu muamalat Islam, masih ramai yang tidak menyedari hukum fardu ain (wajib ke atas setiap individu) untuk belajar muamalat Islam apabila mereka mahu terlibat dengan jual beli.
Dengan ilmu, kita semua akan dapat mengelakkan diri daripada perangkap riba, perjudian, gharar dan kezaliman ketika bertransaksi.
Apakah maksud jual beli mengikut Islam?
Jual beli ialah suatu akad atau kontrak ke atas pertukaran harta dengan harta bagi tujuan pemilikan secara selama-lamanya.
Jual beli berlaku apabila ada pertukaran harta dengan tujuan pemilikan.
Demikian juga, sesuatu jual beli hendaklah berlaku ke atas sesuatu yang diiktiraf sebagai harta mengikut syarak.
Jadi, tidak sah menjadikan khinzir sebagai bahan berkontrak (barang yang dijual atau dibeli) kerana syarak tidak mengiktirafnya sebagai harta.
Pensyariatan jual beli ini dijelaskan oleh Allah SWT yang bermaksud:
Dan Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba
Bagaimana hendak mengetahui jual beli itu sah atau batal?
Akad atau kontrak ialah dua perkara yang membawa makna yang sama.
Ia mempunyai rukun dan syarat-syaratnya.
Rukun ialah elemen yang perlu ada ketika berkontrak dan terkandung dalam kontrak tersebut.
Elemen rukun dalam satu kontrak ialah:
- Dua pihak yang berkontrak, iaitu penjual dan pembeli.
- Barang jualan dan harga atau kadar bayaran.
- Ijab dan qabul (lafaz bertulis atau perbuatan serah terima)
Apabila adanya pembeli dan penjual, barang jualan dan harga tertentu serta serah-menyerah berdasarkan harga tertentu, maka kontrak itu menjadi sah.
Bagaimana sesuatu jual beli boleh terbatal atau dipertikaikan?
Setiap rukun tersebut ada syarat-syaratnya.
Umpamanya salah satu pihak yang berkontrak itu iaitu pembeli ialah seorang yang gila, maka kontrak tersebut perlu difasakhkan atau diungkaikan kerana orang gila tidak layak berkontrak.
Demikian juga, sekiranya barang jualan ialah barang curi atau bukan hak milik penjual, maka jual beli tersebut juga fasid (rosak/tidak sah) dan perlu dirungkai semula.
Kotrak yang dilakukan secara paksa juga adalah fasid dan tidak boleh diteruskan dan wajib diungkai, kecuali mendapat kebenaran daripada pemiliknya yang sebenar.
Apakah syarat-syarat yang perlu ada bagi orang yang mahu berjual beli?
Jual beli akan menyebabkan suatu obligasi (kewajipan) kepada pihak yang berkontrak.
Maka Islam mensyaratkan beberapa syarat kepada pihak yang berkontrak, iaitu:
- Penjual dan pembeli mestilah seorang yang rasyidan iaitu berakal, baligh dan matang dalam berkontrak¹.
- Pembeli dan penjual hendaklah dalam keadaan tidak dipaksa atau dimanipulasi².
- Hendaklah ada dua pihak yang berkontrak iaitu pembeli dan penjual kerana adalah mustahil menjadi pembeli dan penjual dalam satu kontrak yang sama. Justeru, seseorang itu tidak boleh menjadi wakil bagi pihak pembeli dan penjual pada waktu yang sama.
- Pihak yang berkontrak juga hendaklah seorang yang boleh melihat, yakni tidak buta kerana sekiranya buta, maka barang yang dijual beli tidak diketahui dengan jelas. Oleh itu, orang buta perlu diurus oleh penjaganya untuk mengelakkan unsur ‘jahalah’ (ketidaktahuan) dalam berkontrak.
¹ Ini sesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “… Ujilah anak-anak yatim sehingga mereka sampai umur berkahwin (baligh). Sekiranya kamu melihat mereka matang, maka berikanlah harta-harta mereka (untuk mereka uruskan)…” (Al-Baqarah 2: 6)
² Syarat ini bersesuaian dengan firman Allah SAW yang bermaksud: “… janganlah kamu makan harta daripada kalangan kamu dengan cara yang batil kecuali melalui perniagaan secara redha-meredhai antara kamu…” (An-Nisa 4: 29).
Apakah Syarat-Syarat Barang Yang Boleh Diniagakan?
Ulama menggariskan beberapa syarat berpandukan nas-nas al-Quran dan hadis Nabi SAW yang bermaksud:
- Al-mabi’ (barang jualan) hendaklah wujud ketika berkontrak. Maka tidak boleh menjual barang yang belum dimiliki atau tidak wujud.
- Al-mabi’ hendaklah sesuatu harta yang diiktiraf oleh syarak sebagai harta. Maka, tidak sah berjual beli harta yang ditolak oleh syarak seperti arak, khinzir, anjing, najis dan bangkai.
- Barang yang kebiasaannya boleh dimanfaatkan dan dibenarkan oleh syariat Islam. Oleh itu, tidak boleh menjual binatang melata dan binatang buas, melainkan sekiranya menjadi kebiasaan semasa membenarkan penjualannya berdasarkan manfaat yang diiktiraf oleh syariat.
- Jenis barang hendaklah yang mampu diserah oleh penjual kepada pembeli bagi mengelakkan elemen membuang atau membazir harta (kerana membayar tanpa mendapatkan tukaran)
- Orang yang berkontrak hendaklah mempunyai kuasa atau pemilikan bagi membolehkan dia layak berkontrak.
- Barang jualan hendaklah barang yang diketahui oleh orang yang berkontrak bagi mengelakkan elemen ketidakpastian terhadap al-mabi’
Apakah yang dimaksudkan lafaz ijab dan qabul dalam berjual beli?
Ijab dan qabul adalah lafaz yang diucapkan semasa urusan jual beli.
Ia diucapkan pada akhir transaksi sebagai tanpa sah urusan tersebut.
Ketika melakukan urus niaga, kita biasa mendengar sesetengah penjual melafazkan perkataan “saya jual” dan pembeli pula membalas, “saya beli”.
Pada ketika yang lain pula, tiada kedengaran pembeli dan penjual melafazkan kata-kata tersebut
Maka adalah sah jual beli tanpa lafaz berikut?
Rujuk jawapan untuk persoalan ini di bawah..
Adakah Sah Jual Beli Tanpa Mengucapkan Lafaz Ijab dan Qabul?
Persoalan ini sebenarnya berkait rapat dengan perbahasan tajuk “sighah” (ijan dan qabul ketika berjual beli).
Kewajipan kepada sighah sebenarnya terbit daripada firman Allah SAW yang bermaksud:
… janganlah kamu makan harta daripada kalangan kamu dengan cara yang batil kecuali melalui perniagaan secara redha-meredhai antara kamu…”
(An-Nisa 4: 29)
Redha ialah amalan hati yang sukar untuk diketahui oleh manusia.
Justeru itu, kita mencari sesuatu perbuatan yang menunjukkan seseorang itu redha dalam berkontrak.
Maka lafaz adalah cara paling mudah menunjukkan keredhaan.
Contoh, apabila berlaku pertikaian, seseorang mungkin mendakwa dia tidak redha dalam berkontrak, walaupun dia melafazkan kontrak jual beli.
Namun, dari segi hukum, kita tidak akan berpegang kepada penafiaan orang itu kerana lafaznya menunjukkan dia redha.
Apabila berlafaz, kontrak sudah tidak perlu kepada niat.
Inilah pandangan yang banyak dipegang oleh kebanyakkan ulama bagi memastikan adanya sifat-sifat keredhaan yang boleh dijadikan bukti.
Bolehkah Tidak Berkontrak Ketika Berjual Beli?
Pertama sekali, perlu dibezakan antara berlafaz dan berkontrak.
Sebagaimana yang kita bincangkan sebelum ini, ijab dan qabul ialah rukun kontrak dan mesti ada ketika memasuki kontrak.
Secara lazimnya, ijab dan qabul dilakukan secara lafaz ‘saya jual’ dan ‘saya beli’.
Namun ijab dan qabul juga dibenarkan berlaku secara bertulis pada kertas secara online.
Jadi, apabila tiada lafaz bukan bererti tidak berkontrak kerana ijab dan qabul sebagaimana yang dibincangkan boleh berlaku secara bertulis atau melalui perbuatan serah-menyerah barang dan harga sebagaimana berlaku di pasar raya atau menggunakan bahasa isyarat.
Namun sekiranya tiada kontrak atau tidak memasuki kontrak, maka tidak berlaku ijab dan qabul.
Jadi, transaksi tersebut adalah batil.
Contoh |
Hasil |
Apabila adanya satu pihak mengambil barang dan membayar, manakala satu pihak lain menerima bayaran. | Berlaku kontrak secara serah-menyerah (mu’atah) |
Sekiranya seseorang mengambil sesuatu barang milik orang yang menjual tanpa membayar | Tidak berlaku jual beli |
Tidak meminta izin untuk mengambilnya secara percuma | Tidak berlaku sedekah atau hadiah |
Adakah Boleh Berhenti Berlafaz Ijab Qabul?
Bolehkah seseorang yang sudah biasa dengan amalan melafazkan ‘ijab dan qabul’ semasa berjual beli, tidak mahu lagi melakukannya?
Eloklah diteruskan amalan melafazkan ‘ijab dan qabul’ itu kerana para ulama tidak bercanggah pendapat (tiada khilaf) menghukumkan jual beli tersebut adalah sah.
Bahkan menghindari sesuatu yang menjadi khilaf ulama adalah mustahab (disukai dan berpahala).
Tabiat atau amalan mengucapkan lafaz ijab dan qabul semasa berjual beli dapat memastikan wujudnya secara nyata keredhaan dalam berkontrak.
Namun begitu, kita tidak boleh menghukumkan transaksi yang tidak berlafaz sebagai batal.
Bahkan pada zaman kita ini, jual beli secara bertulis adalah lebih kukuh ikatannya berbanding secara berlafaz.
Hukum Jual Beli Yang Dilakukan Oleh Kanak-Kanak
Kita telah membincangkan bahawa asas kepada taklif (tanggungjawab terhadap hukum-hakam) ialah berakal dan baligh.
Ketetapan ini diputuskan berdasarkan garis panduan yang terkandung di dalam al-Quran yang bermaksud:
Dan ujilah anak-anak yatim yang belum baligh berurus niaga sehingga mereka mencapai umur kahwin (baligh)”.
– An-Nisa 4: 6
Manakala dalam hadis Nabi SAW pula bersabda yang bermaksud:
Diangkat catatan (tidak dikira) kesalahan daripada tiga golongan; orang gila sehingga sembuh, orang yang tidur sehingga terjaga, kanak-kanak sehingga bermimpi (baligh)
– Riwayat Abu Dawud
Oleh yang demikian, kanak-kanak tidak boleh bertransaksi kerana kesan hukum atau tanggungjawab terhadap kontrak tidak boleh dipikulkan bebannya kepada kanak-kanak.
Walau bagaimana pun, berpandukan pendapat ulama semasa, anak-anak bukanlah berjual beli.
Sebaliknya melaksanakan sahaja arahan ibu bapa mereka untuk membeli barang-barang tertentu yang murah.
Mereka hanya pembawa kepada pembelian ibu bapa mereka.
Allah SWT menganjurkan pemegang amanah mengajar anak-anak berjual beli sebelum mereka baligh supaya mereka menjadi matang.
Maka adalah harus mengizinkan anak-anak berjual beli pada perkara-perkara yang tidak memudaratkan mereka dan barang-barang yang berharga murah.
Rujukan & Penutup
Rujukan artikel ini adalah memetik tulisan daripada buku Q&A Muamalat, Dr. Asmadi Mohamed Naim, Pensyarah Pusat Pengajian Perniagaan Islam, UUM.
Sebagai manusia, kita tidak terlepas dari berurusan dengan manusia lain.
Islam adalah agama yang menyeluruh meliputi semua aspek kehidupan termasuklah urusan jual beli.
Semoga tulisan ini dapat memberi pencerahan berkaitan soal jual beli dalam kehidupan.
Tinggalkan Komen Anda..
assalamualaikum ustaz, maaf nak tnya, kalau jual beli tu perlu ada saksi, tapi saksi tu x adil (fasik), adakah sah jual beli trsebut sbb saksi tiada dalam rukun jual beli ?
Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.
Dalam jual beli menurut syariah, yang paling utama dalam rukun (tunjang) transaksi ialah ijab (tawaran) dan qabul (penerimaan). Saksi tidak termasuk dalam rukun jual beli. Namun, kehadiran saksi adalah lebih kepada memastikan transaksi tersebut dapat dibuktikan dan ada rekod bagi mengelakkan sebarang pertikaian atau masalah di masa depan.
Sebagai contoh, dalam jual beli sehari-hari kita (seperti membeli barangan di kedai), kita jarang memerlukan saksi kerana resit atau invois yang diberikan oleh penjual sudah memadai sebagai bukti transaksi.
Namun, untuk transaksi-transaksi tertentu seperti akad nikah atau jual beli harta tanah, kehadiran saksi adalah dianjurkan atau diwajibkan oleh undang-undang tertentu kerana sifat transaksi itu yang lebih kompleks.
Jadi, jika saksi dalam jual beli tersebut fasik dan transaksi itu memerlukan saksi (seperti dalam kes jual beli tanah), masalah utamanya adalah bukti transaksi itu mungkin dipersoalkan kemudian hari. Tetapi dari segi kesahihan jual beli itu sendiri dari perspektif syariah, ia tetap sah asalkan memenuhi rukun dan syarat jual beli.
Tetapi, adalah lebih baik untuk memastikan saksi yang dipilih adalah orang yang adil dan boleh dipercayai bagi mengelakkan sebarang masalah atau pertikaian di masa depan.
Baik, terima kasih ustaz ! Semoga Allah permudahkan urusan ustaz aamiin dan smoga ustaz sntiasa dlm lindungan dan rahmat-Nya aamiin
Terima kasih atas doa yang baik-baik. Semoga Allah juga memudahkan segala urusan awak, memberikan hidayah, keberkatan, dan perlindungan kepada awak dan keluarga. Aamiin Ya Rabbal ‘Alamin. 🌼
Aamiin aamiin ya rabbal ‘alamin, terima kasih sekali lagi ustaz.
Bagaimana pendapat anda tentang jual beli yang tidak berijab qabul dikarenakan sedang terburu² sedangkan syarat jual beli adalah ijab qabul?
Dalam Islam, ijab (tawaran) dan qabul (penerimaan) adalah rukun utama dalam transaksi jual beli. Kedua-dua elemen ini perlu ada agar transaksi dianggap sah menurut syariah.
Jika seseorang melakukan transaksi jual beli tanpa melakukan ijab dan qabul dengan jelas, maka transaksi tersebut boleh dipersoalkan kesahihannya.
Namun, perlu diperhatikan bahawa ijab dan qabul boleh dilakukan dengan berbagai cara, termasuk melalui isyarat atau tindakan yang jelas menunjukkan kesediaan kedua pihak dalam transaksi tersebut. Dalam situasi moden, ijab dan qabul boleh juga dilakukan melalui cara elektronik seperti klik ‘beli’ di laman web e-dagang.
Dalam situasi terburu-buru yang disebutkan, jika tawaran dan penerimaan masih jelas walaupun tidak diucapkan secara lisan, transaksi itu boleh dianggap sah. Namun, jika kedua-dua elemen ini tidak jelas atau tidak ada, maka transaksi tersebut tidak sah menurut syariah.
Dalam semua situasi, adalah penting untuk memastikan bahawa transaksi dilakukan dengan jelas dan mengikut prinsip syariah untuk mengelakkan sebarang ketidakpastian atau perselisihan di kemudian hari.
assalamualaikum ustz , sy pernh jual brg brg dan mngambil untung agak tggi drpa hrga jualan sbnr. Sy tdk sedar lagi pd mse itu , dan skrg sudah mnyesal. Selpas itu , sy telah meminta maaf kpd cust sy dn telah byr balik duit lebihan. Dan ad sstengah cust yg sy tak smpt nak pulangkan duit tu dan tdk mmpu utk jumpa diorang lagi , sy infak kan duit byran lebihan mereka tu dan berniat ats nama mereka utk diberikan kpd org yg memerlukan. Pada sy, ini dikira riba’ kerana sy mngambil untung lebih dan sy sudah mnyesal dan mngganti balik wang mereka. Ttapi sy tdk beritahu tujuan asal sy scra terperinci. Adakah dosa saya trhdp riba’ ini telah selsai setelah sy pulangkan wang dan mnta maaf pd cust cust sy ? tq ustz
Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.
Pertama sekali, tahniah atas kesedaran tuan untuk memperbetulkan kesilapan dan langkah-langkah yang telah diambil untuk mengembalikan hak kepada pelanggan.
Dalam Islam, mengambil keuntungan dalam jual beli adalah dibenarkan selagi ia dilakukan dengan cara yang adil dan tidak menzalimi pembeli. Namun, jika tuan merasa keuntungan yang diambil adalah tidak adil atau terlalu tinggi sehingga menzalimi pelanggan, maka tindakan tuan mengembalikan kelebihan tersebut adalah langkah yang terpuji.
Tindakan tuan menginfakkan duit kelebihan bagi pihak pelanggan yang tidak dapat dihubungi juga merupakan langkah yang baik.
Berkenaan dengan dosa riba’, perlu difahami bahawa riba’ mempunyai definisi yang khusus dalam syariah. Riba’ berlaku apabila ada pertambahan dalam hutang atau pinjaman tanpa pertimbangan yang sah dari segi syariah. Dalam kes jual beli, keuntungan yang diambil oleh penjual tidak dikira sebagai riba’ selagi ia dilakukan dengan kesepakatan dan tanpa penipuan.
Walau bagaimanapun, jika tuan merasa telah menzalimi pelanggan dengan mengambil keuntungan yang tidak wajar, maka tindakan tuan telah mengembalikan wang tersebut dan meminta maaf adalah tindakan yang sepatutnya. Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang, dan pintu taubat sentiasa terbuka bagi hambaNya yang ingin kembali ke jalan yang benar.
Dengan tindakan yang tuan telah lakukan, insyaAllah dosa tuan telah diampuni oleh Allah. Namun, adalah baik bagi kita untuk sentiasa memohon keampunan dari Allah dan berusaha untuk tidak mengulangi kesilapan di masa depan.
Terima kasih banyak atas ilmu yang diberi. Hanya Allah yang dapat membalaskannya
Sama-sama Siti Khatijah.
sama-samalah kita belajar dan menambah ilmu.
Masih tak lengkap…
1) Apakah Syarat Sah Akad Jual Beli?… Bukan Syarat jual beli…
2)Adakah Sah Akad Jual Beli itu kpd Bukan Islam?… Atau sekadar terima kasih shj?…