Kaedah Jual Beli Dalam Islam (Panduan Lengkap)

jual beli dalam islam

Apakah hukum jual beli dalam Islam?

Artikel ini akan mengulas secara lengkap berkaitan topik jual beli dalam Islam seperti rukun, hukum, syarat-syarat dan lafaz ijab dan qabul.

Panduan ini disediakan secara ringkas dan mudah agar memudahkan anda mencari maklumat.

Tanpa membuang masa, mari kita mulakan..

Pengenalan

Mengapa kita perlu belajar tentang jual beli dalam Islam?

Dari sudut ilmu muamalat Islam, masih ramai yang tidak menyedari hukum fardu ain (wajib ke atas setiap individu) untuk belajar muamalat Islam apabila mereka mahu terlibat dengan jual beli.

Dengan ilmu, kita semua akan dapat mengelakkan diri daripada perangkap riba, perjudian, gharar dan kezaliman ketika bertransaksi.

 

Apakah maksud jual beli mengikut Islam?

Jual beli ialah suatu akad atau kontrak ke atas pertukaran harta dengan harta bagi tujuan pemilikan secara selama-lamanya.

Jual beli berlaku apabila ada pertukaran harta dengan tujuan pemilikan.

Demikian juga, sesuatu jual beli hendaklah berlaku ke atas sesuatu yang diiktiraf sebagai harta mengikut syarak.

Jadi, tidak sah menjadikan khinzir sebagai bahan berkontrak (barang yang dijual atau dibeli) kerana syarak tidak mengiktirafnya sebagai harta.

Pensyariatan jual beli ini dijelaskan oleh Allah SWT yang bermaksud:

Dan Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba 

Al-Baqarah 2

 

Bagaimana hendak mengetahui jual beli itu sah atau batal?

Akad atau kontrak ialah dua perkara yang membawa makna yang sama.

Ia mempunyai rukun dan syarat-syaratnya.

Rukun ialah elemen yang perlu ada ketika berkontrak dan terkandung dalam kontrak tersebut.

Elemen rukun dalam satu kontrak ialah:

  1. Dua pihak yang berkontrak, iaitu penjual dan pembeli.
  2. Barang jualan dan harga atau kadar bayaran.
  3. Ijab dan qabul (lafaz bertulis atau perbuatan serah terima)

Apabila adanya pembeli dan penjual, barang jualan dan harga tertentu serta serah-menyerah berdasarkan harga tertentu, maka kontrak itu menjadi sah.

 

Bagaimana sesuatu jual beli boleh terbatal atau dipertikaikan?

Setiap rukun tersebut ada syarat-syaratnya.

Umpamanya salah satu pihak yang berkontrak itu iaitu pembeli ialah seorang yang gila, maka kontrak tersebut perlu difasakhkan atau diungkaikan kerana orang gila tidak layak berkontrak.

Demikian juga, sekiranya  barang jualan ialah barang curi atau bukan hak milik penjual, maka jual beli tersebut juga fasid (rosak/tidak sah) dan perlu dirungkai semula.

Kotrak yang dilakukan secara paksa juga adalah fasid dan tidak boleh diteruskan dan wajib diungkai, kecuali mendapat kebenaran daripada pemiliknya yang sebenar.

 

Apakah syarat-syarat yang perlu ada bagi orang yang mahu berjual beli?

Jual beli akan menyebabkan suatu obligasi (kewajipan) kepada pihak yang berkontrak.

Maka Islam mensyaratkan beberapa syarat kepada pihak yang berkontrak, iaitu:

  1. Penjual dan pembeli mestilah seorang yang rasyidan iaitu berakal, baligh dan matang dalam berkontrak¹.
  2. Pembeli dan penjual hendaklah dalam keadaan tidak dipaksa atau dimanipulasi².
  3. Hendaklah ada dua pihak yang berkontrak iaitu pembeli dan penjual kerana adalah mustahil menjadi pembeli dan penjual dalam satu kontrak yang sama. Justeru, seseorang itu tidak boleh menjadi wakil bagi pihak pembeli dan penjual pada waktu yang sama.
  4. Pihak yang berkontrak juga hendaklah seorang yang boleh melihat, yakni tidak buta kerana sekiranya buta, maka barang yang dijual beli tidak diketahui dengan jelas. Oleh itu, orang buta perlu diurus oleh penjaganya untuk mengelakkan unsur ‘jahalah’ (ketidaktahuan) dalam berkontrak.

¹ Ini sesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “… Ujilah anak-anak yatim sehingga mereka sampai umur berkahwin (baligh). Sekiranya kamu melihat mereka matang, maka berikanlah harta-harta mereka (untuk mereka uruskan)…” (Al-Baqarah 2: 6)


² Syarat ini bersesuaian  dengan firman Allah SAW yang bermaksud: “… janganlah kamu makan harta  daripada kalangan kamu dengan cara yang batil kecuali melalui perniagaan secara redha-meredhai antara kamu…” (An-Nisa 4: 29).

 

Apakah Syarat-Syarat Barang Yang Boleh Diniagakan?

Ulama menggariskan beberapa syarat berpandukan nas-nas al-Quran dan hadis Nabi SAW yang bermaksud:

  1. Al-mabi’ (barang jualan) hendaklah wujud ketika berkontrak. Maka tidak boleh menjual barang yang belum dimiliki atau tidak wujud.
  2. Al-mabi’ hendaklah sesuatu harta yang diiktiraf oleh syarak sebagai harta. Maka, tidak sah berjual beli harta yang ditolak oleh syarak seperti arak, khinzir, anjing, najis dan bangkai.
  3. Barang yang kebiasaannya boleh dimanfaatkan dan dibenarkan oleh syariat Islam. Oleh itu, tidak boleh menjual binatang melata dan binatang buas, melainkan sekiranya menjadi kebiasaan semasa membenarkan penjualannya berdasarkan manfaat yang diiktiraf oleh syariat.
  4. Jenis barang hendaklah yang mampu diserah oleh penjual kepada pembeli bagi mengelakkan elemen membuang atau membazir harta (kerana membayar tanpa mendapatkan tukaran)
  5. Orang yang berkontrak hendaklah mempunyai kuasa atau pemilikan bagi membolehkan dia layak berkontrak.
  6. Barang jualan hendaklah barang yang diketahui oleh orang yang berkontrak bagi mengelakkan elemen ketidakpastian terhadap al-mabi’

 

Apakah yang dimaksudkan lafaz ijab dan qabul dalam berjual beli?

Ijab dan qabul adalah lafaz yang diucapkan semasa urusan jual beli.

Ia diucapkan pada akhir transaksi sebagai tanpa sah urusan tersebut.

Ketika melakukan urus niaga, kita biasa mendengar sesetengah penjual melafazkan perkataan “saya jual” dan pembeli pula membalas, “saya beli”.

Pada ketika yang lain pula, tiada kedengaran pembeli dan penjual melafazkan kata-kata tersebut

Maka adalah sah jual beli tanpa lafaz berikut?

Rujuk jawapan untuk persoalan ini di bawah..

 

Adakah Sah Jual Beli Tanpa Mengucapkan Lafaz Ijab dan Qabul?

Persoalan ini sebenarnya berkait rapat dengan perbahasan tajuk “sighah” (ijan dan qabul ketika berjual beli).

Kewajipan kepada sighah sebenarnya terbit daripada firman Allah SAW yang bermaksud:

… janganlah kamu makan harta  daripada kalangan kamu dengan cara yang batil kecuali melalui perniagaan secara redha-meredhai antara kamu…”

(An-Nisa 4: 29)

Redha ialah amalan hati yang sukar untuk diketahui oleh manusia.

Justeru itu, kita mencari sesuatu perbuatan yang menunjukkan seseorang itu redha dalam berkontrak.

Maka lafaz adalah cara paling mudah menunjukkan keredhaan.

Contoh, apabila berlaku pertikaian, seseorang mungkin mendakwa dia tidak redha dalam berkontrak, walaupun dia melafazkan kontrak jual beli.

Namun, dari segi hukum, kita tidak akan berpegang kepada penafiaan orang itu kerana lafaznya menunjukkan dia redha.

Apabila berlafaz, kontrak sudah tidak perlu kepada niat.

Inilah pandangan yang banyak dipegang oleh kebanyakkan ulama bagi memastikan adanya sifat-sifat keredhaan yang boleh dijadikan bukti.

 

Bolehkah Tidak Berkontrak Ketika Berjual Beli?

Pertama sekali, perlu dibezakan antara berlafaz dan berkontrak.

Sebagaimana yang kita bincangkan sebelum ini, ijab dan qabul ialah rukun kontrak dan mesti ada ketika memasuki kontrak.

Secara lazimnya, ijab dan qabul dilakukan secara lafaz ‘saya jual’ dan ‘saya beli’.

Namun ijab dan qabul juga dibenarkan berlaku secara bertulis pada kertas secara online.

Jadi, apabila tiada lafaz bukan bererti tidak berkontrak kerana ijab dan qabul sebagaimana yang dibincangkan boleh berlaku secara bertulis atau melalui perbuatan serah-menyerah barang dan harga sebagaimana berlaku di pasar raya atau menggunakan bahasa isyarat.

Namun sekiranya tiada kontrak atau tidak memasuki kontrak, maka tidak berlaku ijab dan qabul.

Jadi, transaksi tersebut adalah batil.

Contoh

Hasil

Apabila adanya satu pihak mengambil barang dan membayar, manakala satu pihak lain menerima bayaran. Berlaku kontrak secara serah-menyerah (mu’atah)
Sekiranya seseorang mengambil sesuatu barang milik orang yang menjual tanpa membayar Tidak berlaku jual beli
Tidak meminta izin untuk mengambilnya secara percuma Tidak berlaku sedekah atau hadiah

 

Adakah Boleh Berhenti Berlafaz Ijab Qabul?

Bolehkah seseorang yang sudah biasa dengan amalan melafazkan ‘ijab dan qabul’ semasa berjual beli, tidak mahu lagi melakukannya?

Eloklah diteruskan amalan melafazkan ‘ijab dan qabul’ itu kerana para ulama tidak bercanggah pendapat (tiada khilaf) menghukumkan jual beli tersebut adalah sah.

Bahkan menghindari sesuatu yang menjadi khilaf ulama adalah mustahab (disukai dan berpahala).

Tabiat atau amalan mengucapkan lafaz ijab dan qabul semasa berjual beli dapat memastikan wujudnya secara nyata keredhaan dalam berkontrak.

Namun begitu, kita tidak boleh menghukumkan transaksi yang tidak berlafaz sebagai batal.

Bahkan pada zaman kita ini, jual beli secara bertulis adalah lebih kukuh ikatannya berbanding secara berlafaz.

 

Hukum Jual Beli Yang Dilakukan Oleh Kanak-Kanak

Kita telah membincangkan bahawa asas kepada taklif (tanggungjawab terhadap hukum-hakam) ialah berakal dan baligh.

Ketetapan ini diputuskan berdasarkan garis panduan yang terkandung di dalam al-Quran yang bermaksud:

Dan ujilah anak-anak yatim yang belum baligh berurus niaga sehingga mereka mencapai umur kahwin (baligh)”.

An-Nisa 4: 6

Manakala dalam hadis Nabi SAW pula bersabda yang bermaksud:

Diangkat catatan (tidak dikira) kesalahan daripada tiga golongan; orang gila sehingga sembuh, orang yang tidur sehingga terjaga, kanak-kanak sehingga bermimpi (baligh)

– Riwayat Abu Dawud

Oleh yang demikian, kanak-kanak tidak boleh bertransaksi kerana kesan hukum atau tanggungjawab terhadap kontrak tidak boleh dipikulkan bebannya kepada kanak-kanak.

Walau bagaimana pun, berpandukan pendapat ulama semasa, anak-anak bukanlah berjual beli.

Sebaliknya melaksanakan sahaja arahan ibu bapa mereka untuk membeli barang-barang tertentu yang murah.

Mereka hanya pembawa kepada pembelian ibu bapa mereka.

Allah SWT menganjurkan pemegang amanah mengajar anak-anak berjual beli sebelum mereka baligh supaya mereka menjadi matang.

Maka adalah harus mengizinkan anak-anak berjual beli pada perkara-perkara yang tidak memudaratkan mereka dan barang-barang yang berharga murah.

 

Rujukan & Penutup

Rujukan artikel ini adalah memetik tulisan daripada buku Q&A Muamalat, Dr. Asmadi Mohamed Naim, Pensyarah Pusat Pengajian Perniagaan Islam, UUM.

Sebagai manusia, kita tidak terlepas dari berurusan dengan manusia lain.

Islam adalah agama yang menyeluruh meliputi semua aspek kehidupan termasuklah urusan jual beli.

Semoga tulisan ini dapat memberi pencerahan berkaitan soal jual beli dalam kehidupan.

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

12 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
syaa
syaa
1 tahun yang lalu

assalamualaikum ustaz, maaf nak tnya, kalau jual beli tu perlu ada saksi, tapi saksi tu x adil (fasik), adakah sah jual beli trsebut sbb saksi tiada dalam rukun jual beli ?

syaa
syaa
Reply to  Muhamad Naim
1 tahun yang lalu

Baik, terima kasih ustaz ! Semoga Allah permudahkan urusan ustaz aamiin dan smoga ustaz sntiasa dlm lindungan dan rahmat-Nya aamiin

syaa
syaa
Reply to  Muhamad Naim
1 tahun yang lalu

Aamiin aamiin ya rabbal ‘alamin, terima kasih sekali lagi ustaz.

mey
mey
3 tahun yang lalu

Bagaimana pendapat anda tentang jual beli yang tidak berijab qabul dikarenakan sedang terburu² sedangkan syarat jual beli adalah ijab qabul? 

mee
mee
3 tahun yang lalu

assalamualaikum ustz , sy pernh jual brg brg dan mngambil untung agak tggi drpa hrga jualan sbnr. Sy tdk sedar lagi pd mse itu , dan skrg sudah mnyesal. Selpas itu , sy telah meminta maaf kpd cust sy dn telah byr balik duit lebihan. Dan ad sstengah cust yg sy tak smpt nak pulangkan duit tu dan tdk mmpu utk jumpa diorang lagi , sy infak kan duit byran lebihan mereka tu dan berniat ats nama mereka utk diberikan kpd org yg memerlukan. Pada sy, ini dikira riba’ kerana sy mngambil untung lebih dan sy sudah mnyesal dan mngganti balik wang mereka. Ttapi sy tdk beritahu tujuan asal sy scra terperinci. Adakah dosa saya trhdp riba’ ini telah selsai setelah sy pulangkan wang dan mnta maaf pd cust cust sy ? tq ustz

Siti Khatijah
Siti Khatijah
5 tahun yang lalu

Terima kasih banyak atas ilmu yang diberi. Hanya Allah yang dapat membalaskannya

Ahmad
Ahmad
Reply to  Siti Khatijah
3 tahun yang lalu

Masih tak lengkap…
1) Apakah Syarat Sah Akad Jual Beli?… Bukan Syarat jual beli…
2)Adakah Sah Akad Jual Beli itu kpd Bukan Islam?… Atau sekadar terima kasih shj?…