RUKUN ISLAM: 5 Perkara Rukun Islam & Huraiannya

rukun Islam

Apakah maksud Rukun Islam?

Panduan ini akan membantu anda berkaitan topik rukun Islam secara lengkap dan tersusun.

Sebagai seorang Muslim, kita semua wajib mengetahui rukun iman dan rukun islam.

Dalam panduan ini, saya juga akan menyatakan huraian lengkap berkaitan setiap rukun yang terdapat dalam rukun islam, berserta dengan contoh-contoh yang berkaitan.

Jadi, mari kita mulakan..

Maksud Islam

Islam bererti tunduk dan patuh menurut segala peraturan dan panduan zahir serta batin yang dibawa oleh Baginda Rasulullah SAW.

Iman dan Islam tidak boleh diceraikan untuk memperoleh pelepasan azab akhirat nanti.

Keistimewaan Islam

  1. Memperbaiki kepercayaan dan memperkuatkan keyakinan atau akidah kepada Zat Allah Yang Maha Esa.
  2. Menghapuskan kepercayaan kepada yang lain selain Allah SWT.
  3. Mengatur cara beribadat kepada Allah SWT.
  4. Mengatur cara-cara perhubungan kehidupan manusia.
  5. Mengatur hukum-hukum jenayah (jinayat) yang sesuai dengan manusia.
  6. Mengatur hukum keadilan kekeluargaan dan keturunan.
  7. Mempertinggi akhlak manusia.
  8. Mengatur hukum-hukum yang berhubung dengan kebendaan.

Maksud Rukun Islam

Apakah maksud rukun Islam?

Rukun Islam adalah lima perkara dasar dalam Islam, yang dianggap sebagai asas yang wajib bagi orang-orang beriman

Ada satu hadis yang khusus menerangkan tentang 5 rukun Islam iaitu sabda Rasulullah SAW:

Islam dibangun di atas lima perkara: persaksian bahwa tiada tuhan yang berhak disembah kecuali Allah dan Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan shalat, menunaikan zakat, pergi haji, dan puasa di bulan Ramadhan'”.

(HR. Al-Bukhari dan Muslim)

5 Perkara Rukun Islam

Rukun Islam diibaratkan seperti tiang-tiang yang saling memerlukan dan melengkapi untuk menegakkan Islam dengan sempurna.

Rukun Islam itu ada 5 perkara, iaitu:

Rukun Islam Yang Pertama

Mengucap Dua Kalimah Syahadah

Perintah pertama Allah untuk manusia adalah mengucapkan 2 kalimah syahadah.

Ucapan dua kalimat syahadah wajib hukumnya bagi seseorang yang ingin menjadi muslim.

rukun islam syahadah

ASH-HADU AL LA ILAHA ILLA LLAH
WA ASH-HADU ANNA MUHAMMADA RRO SULU LLAH

Maksudnya:

Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah

Setelah manusia mengaku Allah sebagai Tuhan dan Nabi Muhammad ialah pesuruhnya, dia telah melakukan kebaikan terbesar disisi Tuhan.

Islam menetapkan syahadah sebagai teras atau tunjang keislaman yang perlu diucapkan, diimani, dihayati dan diamalkan selama mana seseorang itu melayari bahtera hidup di bumi Allah ini.

Syahadah bererti menyaksian atau pengakuan seseorang terhadap sesuatu.

Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

(Surah Ali ‘Imran : 18)

Apabila seseorang itu mengucapkan syahadah bererti dia telah mengaku dengan lidahnya mengenai sesuatu perkara.

Konsep syahadah perlu difahami dengan mendalam dan diterjemahkan ke dalam kehidupan setiap orang Islam.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

Barang siapa yang mengakhiri kalamnya sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan lailahaillaallah maka dia masuk syurga.

(HR Muaz bin Jabal)

Apabila seseorang telah melafazkan kalimah syahadah maka dia hendaklah mengerjakan segala apa yang telah diakui dengan lidah itu. Dia hendaklah mengerjakan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan Allah.


Rukun Islam Yang Kedua

Mendirikan Solat 5 Waktu Sehari Semalam

Semua orang Islam yang akil baligh wajib untuk solat.

Solat ialah wahyu yang disampaikan secara terus oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW. melalui peristiwa Israk dan Mikraj yang berlaku pada bulan Ramadan.

Solat wajib dilakukan 5 kali sehari walaupun sedang sakit (mengikut kemampuan).

Solat yang wajib dilakukan dikenali sebagai solat fardu.

Waktu

Bilangan Waktu

Zuhur 4 rakaat
Asar 4 rakaat
Maghrib 3 rakaat
Isyak 4 rakaat
Subuh 2 rakaat

Antara ayat di dalam al-Qur’an yang menekankan kewajipan bersolat ini ialah firman Allah yang bermaksud:

Katakanlah kepada hamba-Ku yang beriman, hendaklah mereka itu mendirikan sembahyang.

(Surah Ibrahim: 31)

Dan dirikanlah solat, kerana sesungguhnya sembahyang (dapat) melarang daripada segala kejahatan dan kemungkaran.

(Surah al-Ankabut: 45)

Tujuan solat

  1. Solat mendidik manusia supaya sentiasa mengingati Allah s.w.t. dan mematuhi perintah-Nya.
  2. Solat boleh memelihara manusia daripada melakukan kejahatan.
  3. Solat akan memberi ketenangan jiwa.
  4. Solat akan memberi kejayaan kepada orang mukmin tetapi solat itu hendaklah dilaksanakan dengan penuh khusyuk.

Rukun Islam Yang ketiga

Menunaikan Zakat

Zakat merupakan kewajipan yang dikeluarkan pada harta orang yang memiliki kelebihan.

Zakat dari segi syarak adalah mengeluarkan sebahagian daripada harta yang tertentu kepada golongan tertentu apabila cukup syarat-syaratnya.

Apabila zakat harta digunakan untuk menyucikan harta, maka zakat fitrah digunakan untuk menyucikan hati dan jiwa.

Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk) dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

(Surah At-Taubah : 103)

Zakat fitrah juga dinamakan “zakat al-nafs” ertinya zakat untuk menyucikan jiwa dengan mengeluarkan sebahagian bahan makanan yang mengenyangkan menurut ukuran yang ditentukan oleh syarak pada bulan Ramadhan setiap tahun.

Ada beberapa jenis zakat yaitu zakat fitrah yang dikeluarkan pada bulan Ramadan, ada juga zakat mal iaitu zakat yang dikeluarkan berdasarkan hasil perniagaan.

Zakat Harta

Antara jenis zakat harta adalah:

  • Binatang ternakan
  • Emas dan perak
  • Tanaman seperti padi, gandum, tamar, jagung dan sebagainya.
  • Buah-buahan seperti anggur dan sebagainya.

Tujuan Zakat

  1. Zakat dan jaminan sosial.
  2. Penggerak ekonomi bagi golongan yang tidak mampu supaya memainkan peranan dalam ekonomi.
  3. Menyuburkan kegiatan halal dalam aktiviti sosioekonomi umat Islam.
  4. Membantu kegiatan dakwah dan pendidikan dalam masyarakat.
  5. Mengiatkan semangat jihad dan kegiatan fisabililah.

Rukun Islam Yang Keempat

Puasa Pada Bulan Ramadhan

Ibadah puasa adalah rukun keempat dalam rukun Islam.

Semua orang Islam yang tiada keuzuran diwajibkan untuk berpuasa.

Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa.”

(Surah Al-Baqarah: 183)

Puasa bermaksud menahan anggota badan dari perkara yang menbatalkan puasa dari terbit fajar sehingga terbenam matahari.

Contoh: Menahan mulut dari makan dan bercakap sia-sia.

Syarat-syarat wajib puasa:

  1. Islam – Tidak wajib bagi orang kafir melakukan puasa.
  2. Baligh – Tidak diwajibkan berpuasa ke atas kanak-kanak yang belum sampai umur baligh. Walau bagaimanapun kanak-kanak digalakkan berpuasa.
  3. Berakal – Tidak diwajibkan berpuasa bagi orang gila.
  4. Berkemampuan – Tidak wajib bagi orang yang tidak berdaya berpuasa seperti orang sakit, musafir, orang tua dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, bagi mereka yang berikut dikecualikan daripada berpuasa:

GOLONGAN YANG DIKECUALIKAN BERPUASA

1.Orang yang sakit kerana sekiranya dia berpuasa akan menyebabkan bertambah mudarat atau penyakitnya lambat sembuh.

2.Orang yang sedang dalam perjalanan yang lebih daripada 2 marhalah (92km).

Kalau tidak menyusahkan boleh meneruskan puasa.

Ini adalah lebih baik dengan syarat, mula bertolak sebelum subuh.

3.Wanita yang hamil atau wanita yang menyusukan anak dan bimbangkan kesihatan dirinya atau anak, atau kedua-duanya.

4. Orang tua yang sudah tidak mampu berpuasa.


Rukun Islam Yang Kelima

Mengerjakan Haji Ke Baitullah

Semua orang Islam yang mampu wajib mengerjakan haji.

Orang Islam harus mengerjakan rukun ini sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka.

Ibadah ini wajib bagi mereka yang berkemampuan dari segi:

  1. Belanja pergi dan balik.
  2. Belanja untuk tanggungan yang ditinggalkan.
  3. Kesihatannya yang baik.
  4. Keselamatan perjalanan dan kenderaan.
  5. Sempat masa perjalanan mengikut kadar perjalanan biasa.

Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.”

(Surah Ali ‘Imran : 97)

Penutup

Semoga panduan ini dapat membantu anda memahami rukun Islam dengan mudah.

Jika anda mempunyai sebarang persoalan mengenai agama Islam, anda boleh meninggalkan pertanyaan tersebut pada ruangan komen di bawah.

Semoga bermanfaat!

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

1 Comment
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
Hanaffi
Hanaffi
4 tahun yang lalu

Asslm.Maklumat dan ilmu yang berguna. Admin mohon copy ye.jzkk