
Ini adalah panduan cara ambil wudhu yang betul & sempurna.
Dalam artikel ini, anda akan dibimbing secara langkah demi langkah dan lengkap.
Apa yang menarik:
Setiap langkah wudhu akan disertakan dengan gambar untuk rujukan anda.
Pengertian & Maksud Wudhu
Dari sudut bahasa, wuduk bererti kebaikan dan kebersihan. Manakala dari sudut istilahnya, wudhu ialah penggunaan air yang suci pada anggota tertentu (iaitu membasuh muka, dua belah tangan hingga ke siku, menyapu kepada dan membasuh kedua-dua belah kaki) dengan dimulai dengan niat.
Setiap individu yang mahu berwuduk, wajib mengetahui cara berwuduk iaitu tahu basuhan yang wajib dan sunat.
Begitu juga wajib untuknya mengetahui dan memenuhi syarat-syarat sah wuduk supaya wuduknya sah dan solatnya diterima Allah SWT.
Syarat Sah Wudhu
Terdapat beberapa syarat yang menjadikan wudhu itu sah.
Antaranya adalah:
- Islam
- Mumaiyiz iaitu kanak-kanak yang sudah pandai membezakan antara perkara yang baik dengan yang buruk.
- Suci daripada haid dan nifas
- Menggunakan air mutlak iaitu air yang suci lagi menyucikan.
- Tidak berubah sifat air wudhu akibat benda asing yang melekat pada anggota wudhu. Contohnya sabun, bedak atau apa-apa sahaja yang melekat pada anggota wuduk itu yang mengubah rasa, rupa atau bau air wuduk itu.
- Sekiranya ada benda asing yang melekat pada tubuh, ia perlu dibersihkan terlebih dahulu sebelum berwuduk.
- Tidak ada benda yang menghalang air sampai kepada anggota wuduk seperti cat, getah, pengilat kuku, lilin, kapur, minyak atau daki tebal yang melekat di celah jari, di bawah kuku atau di celah rekahan pada tumit.
Rukun Wudhu

Rukun wudhu bermaksud perkara-perkara asas yang wajib dilakukan ketika berwuduk. Jika tidak dibuat perkara rukun ini, maka wudhu tidak sah. Rukun wudhu mempunyai enam perkara; iaitu niat, membasuh muka, membasuh tangan hingga ke siku, menyapu kepala, membasuh kaki hingga ke buku lali dan tertib. Sekiranya tertinggal salah satu, maka wudhu itu tidak sah.
Rukun wudhu dalam Islam melibatkan langkah-langkah berikut:
- Berniat dalam hati untuk melakukan wudhu.
- Membasuh Muka. Membasuh keseluruhan muka dari dahi hingga ke bawah dagu dan dari telinga ke telinga.
- Membasuh Tangan hingga Siku: Membasuh kedua-dua tangan dari hujung jari hingga ke siku.
- Menyapu sebahagian daripada depan kepala.
- Membasuh Kaki hingga Mata Kaki: Membasuh kedua-dua kaki dari hujung jari kaki hingga ke buku lali.
- Tertib. Iaitu mengikut urutan-urutan yang telah ditetapkan semasa mengambil wudhu.
Menunaikan rukun-rukun ini adalah wajib untuk sahnya wudhu dalam Islam. Di bawah ini adalah penerangannya.
Rukun Wudhu Pertama:
Niat Wudhu
Lafaz niat wudhu adalah:
Nawaitu Rafaal Hadasi As-Ghori Lillahi Taala
Niat dalam Bahasa Melayu:
Sahaja aku mengangkat hadas kecil kerana Allah Taala
Lafaz niat dalam bahasa arab yang diucapkan secara lisan hukumnya sunat.
Niat yang wajib ialah lintasan dalam hati yang dihadirkan ketika mula membasuh sebahagian muka.
Sebaik-baiknya, dilafazkan niat sebelum mula mengambil wudhu untuk memudahkan berniat dalam hati.
Rukun Wudhu Kedua:
Membasuh Muka
Bahagian muka yang wajib dibasuh dengan mengalirkan air meliputi bahagian anak rambut di dahi sehingga ke bawah tulang dagu dan melebar dari anak telinga kanan sehingga ke anak telinga kiri termasuk rambut yang tumbuh di antaranya.
Sebaiknya, dimulakan basuhan di bahagian atas muka membawa ke bahagian bawah.
Rukun Wudhu Ketiga:
Membasuh Dua Tangan Hingga ke Siku
Wajib meratakan air ke semua bahagian di antara hujung jari hingga ke siku.
Sebaik-baiknya dimulakan basuhan dari hujung jari hingga melebihi siku dengan mendahulukan tangan kanan.
Rukun Wudhu Keempat:
Menyapu Sebahagian Kepala
Memadai menyapu air pada ubun-ubun, walaupun sekadar membasahkan sekurang-kurangnya tiga helai rambut asalkan rambut yang dibasahkan itu berada dalam had kepala.
Tidak sah menyapu air pada rambut yang melepasi had kepala seperti rambut pada bahagian bahu atau hujung rambut yang berikat.
Adalah lebih baik menyapu keseluruhan kepala sebagaimana amalan Rasulullah SAW.
Rukun Wudhu Kelima:
Membasuh Kaki hingga ke Buku Lali
Wajib membasuh kaki dari hujung jari hingga ke buku lali.
Sekiranya sebahagian kaki yang wajib dibasuh kudung, maka wajib membasuh bahagian yang masih ada.
Apabila seseorang itu terlupa membasuh kaki selepas beredar dari tempat wudhu, dia hanya perlu membasuh kaki selagi basuhan wudhu pada kepalanya belum kering.
Tidak perlu mengulang basuhan dari awal
Rukun Wudhu Keenam:
Tertib
Setiap rukun wudhu mesti dilakukan mengikut turutan.
Ini sebagaimana kata Nu’aim bin Abdullah al-Mujmir:
Aku lihat Abu Hurairah r.a berwuduk, maka dibasuhnya muka dan dilebihkan sedikit daripada had muka. Kemudian dibasuh dua tangannya kanan dan kiri masing-masing sampai ke ke siku. Kemudian menyapu kepalanya, kemudian membasuh dua kakinya kanan dan kiri masing-masing sampai ke betis. Kemudian berkata Abu Hurairah r.a: “Begini aku lihat Rasulullah SAW berwuduk”
– Riwayat Muslim

Cara Ambil Wudhu Yang Sempurna
Berikut adalah ringkasan cara-cara mengambil wudhu yang sempurna:
- Mengadap Kiblat: Disunatkan mengambil wudhu dengan menghadap ke arah kiblat.
- Membaca Basmallah: Mulakan wudhu dengan membaca “Bismillahir-rahmanir-rahim”.
- Membasuh Kedua-dua Tangan: Basuh tangan hingga ke pergelangan tangan sebanyak tiga kali dengan menyelati setiap jari. Disunatkan membaca doa khusus ketika melakukan ini.
- Berkumur-kumur: Lakukan ini sebanyak tiga kali. Ada doa sunat yang boleh dibaca ketika berkumur.
- Istinsyaq (Membersihkan Lubang Hidung): Dilakukan sebanyak tiga kali dengan menyedut air ke dalam hidung kemudian mengeluarkannya. Ada doa sunat yang boleh dibaca ketika melakukan istinsyaq.
- Membasuh Muka: Dilakukan sebanyak tiga kali. Ada lafaz niat dan doa sunat yang boleh dibaca ketika membasuh muka.
- Membasuh Kedua-dua Tangan hingga Melebihi Siku: Dilakukan sebanyak tiga kali untuk setiap tangan. Ada doa sunat yang boleh dibaca ketika membasuh tangan.
- Mengapu Sebahagian Kepala: Ada doa sunat yang boleh dibaca ketika mengapu kepala.
- Membasuh Kedua-dua Telinga: Dilakukan sebanyak tiga kali, termasuk membasuh luar dan dalam telinga. Ada doa sunat yang boleh dibaca.
- Membasuh Kaki hingga ke Buku Lali: Dilakukan sebanyak tiga kali untuk setiap kaki. Ada doa sunat yang boleh dibaca ketika membasuh kaki.
- Doa Selepas Wudhu: Setelah selesai mengambil wudhu, disunatkan membaca doa selepas wudhu.
Pada bahagian di bawah ini, saya akan menunjukkan langkah-demi-langkah cara mengambil wudhu yang sempurna dan digalakkan.
Anda boleh rujuk gambar dan bacaan yang disediakan.
Langkah-langkah yang ditunjukkan adalah termasuk doa yang sunat dibaca.
*Doa-doa tersebut tidak wajib dibaca dan boleh ditinggalkan.
1. Mengadap Kiblat
Disunatkan mengambil wudhu dengan menghadap ke arah kiblat.
2. Membaca Basmallah.
Mulakan wudhu dengan membaca basmallah seperti di bawah:

Bismillahir-rahmanir-rahim
3. Selepas itu, basuh kedua-dua tangan hingga ke pergelangan tangan sebanyak tiga kali dengan menyelati setiap jari sambil berdoa.
- Sunat maksudnya tidak wajib dibuat. Tetapi jika dibuat, akan mendapat pahala ?
Doa yang disunatkan untuk dibaca ketika ini adalah:

Allahumma Inni AsAlukal-Yumna Walbarakata Wa A’uzubika Minal Syu’mi Wal Halakati
Maksudnya:
Ya Allah, aku memohon kepada-Mu kebahagiaan dan keberkatan, dan aku berlindung dengan-Mu daripada sebarang kemalangan dan kebinasaan.
4. Kemudian, berkumur-kumur sebanyak tiga kali sambil berdoa di dalam hati (sunat).
- Sunat maksudnya tidak wajib dibuat. Tetapi jika dibuat, akan mendapat pahala ?
Doanya adalah seperti berikut:

Allahumma Inni ‘Alaa TilaaWati KitaaBika Wakasratiz Zikri Laka Wa Tsabbitni Bilqaulis TsaaBiti Fil Hayatid-Dunyaa Wa Fil Akhirati.
Maksudnya:
Ya Allah, bantulah aku dalam usaha membaca kitab-Mu dan banyak berzikir mengingati-Mu. Kukuhkanlah aku dengan kata-kata yang kukuh di dunia dan di akhirat.
5. Lakukan Istinsyaq
Istinsyaq membersihkan lubang hidung dengan cara menyedut air ke dalam hidung kemudian mengeluarkannya.
- Sunat maksudnya tidak wajib dibuat. Tetapi jika dibuat, akan mendapat pahala ?
Perbuatan ini dilakukan sebanyak tiga kali sambil berdoa:

Allahumma Arihnii Raa-Ihatu-Jannati Wa anta RaaDhin ‘Anni
Maksudnya:
Ya Allah, ciumkanlah aku dengan bauan syurga dan Engkau redha kepadaku.
Sesudah itu. ketika mengeluarkan air berdoa pula dengan doa ini:

Allahumma Inni A’uzubika Min Rawaa-Ihin-narr Wamin Su’id-darr
Maksudnya:
Ya Allah, aku berlindung denganMu daripada menghidu bauan neraka dan seburuk-buruk tempat tinggal.
6. Seterusnya, membasuh muka sebanyak tiga kali dengan menggunakan kedua-dua belah tangan.
Basuhan dimulakan pada bahagian dahi dan turun perlahan-lahan ke anak telinga, hidung dan dagu.
Lafaz niat sebelum air mengenai muka:

Nawaitul WudhuA Fardhonn ‘Alayya Lillahi Ta’ala
Niat dalam Bahasa Melayu:
Sahaja aku mengambil wudhu fardu atasku kerana Allah Taala.
- Sunat maksudnya tidak wajib dibuat. Tetapi jika dibuat, akan mendapat pahala ?
Apabila air mengenai muka, mulakan berniat dalam hati dan membaca doa:

Allahumma Bayyid Wajhi BinuuRika Yauma Tabyaddu Wujuuhu Auliyaa-ika Wala Taswaddu Wajhi Bizulumaatika Yauma Taswaddu Wujuuhu ‘Adaa-Ika
Maksudnya:
Ya Allah, putihkan mukaku dengan nurMu pada hari putihnya muka para waliMu dan jangan hitamkan mukaku sepertimana Engkau gelapkan muka musuh-musuhMu.
7. Selepas itu, basuh kedua-dua tangan hingga melebihi had siku sebanyak tiga kali.
- Sunat maksudnya tidak wajib dibuat. Tetapi jika dibuat, akan mendapat pahala ?
Mulakan dengan tangan kanan, dari jari hingga ke siku sambil berdoa:

Allahumma A’tini Kitabi Biyamini Wahaasibni Hisaaban Yasiira
Maksudnya:
Ya Allah, berilah catatan amalan dari sebelah kananku dan hisablah aku dengan mudah.
Perkara yang sama dilakukan pada tangan kiri sambil berdoa:

Allahumma Inni A’uzubika An Tu’tiyani Kitaabi Bisamaali Au Min Waraa’i Zohri
Maksudnya:
Ya Allah aku berlindung kepadaMu supaya janganlah Engkau berikan catatan amalanku dari sebelah kiriku atau dari sebelah belakangku.
8. Langkah seterusnya. mengapu sebahagian ubun-ubun atau keseluruhan kepala sambil berdoa:
- Sunat maksudnya tidak wajib dibuat. Tetapi jika dibuat, akan mendapat pahala ?
Doa yang sunat dibacakan adalah:

Allahumma Ghosyini Birahmatika Wa Anzil ‘Alayya Min Birakatika Wa Azillani Tahta Zilli ‘Arsyika Yauma Laa Zilla Illa Zilluka. Allahumma Harrim Sya’ri Wabasyari ‘Alan-nar
Maksudnya:
Ya Allah lindungi daku dengan rahmatMu dan limpahi daku keberkatanMu. Dan masukkan daku di bawah naungan ArasyMu pada hari tiada perlindungan kecuali perlindunganMu sahaja. Ya Allah, haramkan rambutku dan kulitku daripada api neraka.
9. Selepas itu, membasuh pula kedua-dua telinga luar dan dalam sebanyak tiga kali.
Cara membasuh dengan memasukkan jari telunjuk ke dalam lubang telinga dan ibu jari diletakkan di belakang telinga, kemudian ditolak ke atas.
- Sunat maksudnya tidak wajib dibuat. Tetapi jika dibuat, akan mendapat pahala ?
Doa yang elok dibaca ketika ini:

Allahummaj-‘alni minallazina Yastami’uNal Qaula Fayattabi’uNa Ahsanahu, Allahumma Asmi’ni Munaadiyal-jannata Fil Jannati Ma’al Abrar.
Maksudnya:
Ya Allah, jadikan aku daripada kalangan orang yang mendengar peringatan lalu mengikutinya. Ya Allah dengarkanlah kepadaku seruan syurga bersama-sama orang yang baik.
10. Akhir sekali, membasuh kaki hingga ke buku lali atau lebih, sebanyak tiga kali.
Basuhan dimulakan dengan kaki kanan sambil menyelati jari-jari kaki.
- Sunat maksudnya tidak wajib dibuat. Tetapi jika dibuat, akan mendapat pahala ?
Ketika membasuh kaki kanan bacalah doa:

Allahumma Tsab-bit Qadami ‘Alas-sirotil Mustaqim Yauma Tazillal Aqdam Fin-Narr
Maksudnya:
Ya Allah, tetaplah dua kakiku di atas Titian Mustaqim pada hari tergelincir kaki-kaki lalu jatuh ke dalam Neraka.
Lakukan pula pada kaki kiri dan baca doa:

Wa A’uzubika An Tazilla Qadami ‘Anis-siroti Yauma Tazilla Fiihi Aqdam
Maksudnya:
Ya Allah, aku berlindung kepadaMu daripada tergelincir kakiku di atas Titian Mustaqim ke dalam neraka pada hari tergelincir kaki orang munafik.
11. Setelah selesai mengambil wudhu, maka bacalah pula doa selepas wudhu.
Doa selepas wudhu boleh dibaca sebagaimana di bahagian bawah.

Doa Selepas Wudhu
Selepas selesai mengambil wudhu, disunatkan untuk membaca doa berikut:

Asy-hadu An Laa Ilaha illallahu Wahdahu Laa Syarikalah
Wa-asy-hadu Anna Muhammadan ‘Abduhu Warasuluh.
Allahummaj’aini Minat Tauwabin, Waj’alni Minal Mutatahhirin
Waj’alni Min ‘ibadikas-solihin.
Maksudnya:
Aku bersaksi tidak ada Tuhan melainkan Allah Yang Maha Esa.
Tidak ada sekutu untukNya. Aku bersaksi juga bahawa Nabi Muhammad itu hamba dan utusanNya.
Ya Allah, jadikan aku daripada golongan orang yang bertaubat kepadaMu.
Dan jadikanlah aku daripada golongan orang yang bersih.
Dan jadikan aku daripada golongan hambaMu yang soleh.
Sekiranya tidak membaca doa di atas, wudhu tetap sah.
Doa ini terdapat dalam kitab Hidayatus Salikin.
Perkara Membatalkan Wudhu
Terdapat beberapa perkara yang akan membatalkan wudhu. Antara perkara tersebut adalah:
- Keluar sesuatu daripada qubul atau dubur meliputi benda yang cair, keras, kering, basah dan angin, sama ada ada sedikit atau sebanyak.
- Tidur tidak tetap kedudukan dua papan punggung.
- Hilang akal kerana mabuk, pengsan, gila, tidur, pitam dan lain-lain.
- Bersentuh kulit antara lelaki dan wanita yang halal nikah (ajnabi / bukan mahram) tanpa berlapik.
- Menyentuh kemaluan hadapan atau belakang dengan perut tapak tangan atau perut anak jari dengan tidak belapik. Kemaluan itu sama ada kepunyaan sendiri atau kepunyaan orang lain, lelaki atau perempuan, yang hidup atau yang telah mati.
Anggota Wajib Wudhu
Anggota-anggota wuduk yang wajib untuk dibasuh ialah:
- Seluruh muka beserta niat.
- Membasuh tangan hingga ke siku.
- Membasuh sebahagian daripada kepada sekurang-sekurangnya membasahkan tiga helai rambut
- Membasuh kaki sehingga ke buku lali.
Perkara Sunat Ketika Berwudhu
Terdapat beberapa perkara sunat untuk dilakukan semasa mengambil wudhu.
Sunat bermaksud; jika kita lakukan perkara-perkara ini, kita akan mendapat pahala tambahan. Jika kita meninggalkannya, wudhu kita tetap juga sah.
Antara perkara tersebut adalah:
- Mengadap kiblat
- Membaca basmallah بسم الله الرحمن الرحيم (Bismillahirrahmanirrahim) sewaktu hendak membasuh tapak tangan
- Membaca taawuz
- Membasuh tangan hingga ke pergelangan tangan.
- Bersugi atau berkumur-kumur untuk membuang kotoran dan bau mulut.
- Istinsyaq iaitu menyedut air ke dalam hidung.
- Membaca lafaz niat sebelum menghadirkan niat di dalam hati.
- Membasuh setiap anggota wudhu sebanyak tiga kali.
- Mendahulukan membasuh anggota yang kanan daripada kiri.
- Menyapu telinga dengan air
- Menyelat janggut dengan air. Sunat menyelat janggut yang tebal dan lebat sekiranya tidak nampak kulit di bawahnya. Selat janggut itu dengan jari tangan yang menampung air wudhu. Untuk janggut yang nipis wajib dibasahkan keseluruhan janggut dan bahagian dagu dengan air.
- Menyapu seluruh kepala.
- Menyelati jari-jari tangan dan kaki. Gunakan tangan kiri untuk menyelati jari kaki kanan dan kiri. Dengan cara ini daki dan kotoran yang terdapat di celah-celah jari dapat dibersihkan untuk menyampaikan air ke situ.
- Melebihkan basuhan melebihi had yang wajib. Contohnya, membasuh muka hingga sampai ke pangkal leher.
- Berturut-turut (muwalat) iaitu tidak lama selang masa antara membasuh satu anggota dengan anggota berikutnya, sekira-kira belum kering air basuhan pada anggota sebelumnya.
- Membaca doa selepas wudhu.
Perkara Makruh Ketika Wudhu
Terdapat beberapa perkara makruh ketika berwuduk.
Perkara tersebut adalah:
- Menggunakan air yang telalu sejuk atau terlalu panas
- Menggunakan air yang terjemur di dalam bekas yang mudah berkarat atau bekas yang sudah berkarat kerana dibimbangi menyebabkan penyakit sopak
- Berlebih-lebihan menggunakan air seperti membasuh anggota wudhu lebih daripada tiga kali.
- Menggelap anggota wuduk tanpa sebarang keuzuran. Tidak makruh sekiranya ada keuzuran seperti dalam keadaan terlalu sejuk.
- Berwudhu di dalam tandas.
- Meminta pertolongan daripada orang lain untuk menjirus air ke anggota wudhu tanpa sebarang keuzuran kerana hal ini dikhuatiri membawa kepada sifat sombong.
- Mendahulukan anggota kiri daripada anggota kanan.
- Berlebih-lebihan berkumur ketika berpuasa kerana dibimbangi air akan masuk ke dalam kerongkong dan membatalkan puasa.
- Menepuk air ke muka atau mengambil wudhu secara tergopoh-gapah.
- Berbual-bual ketika berwuduk.
Penutup: Kepentingan Wudhu Sempurna
Firman Allah bermaksud:
Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu dan kedua belah tangan kamu meliputi siku dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali…”
— Surah al-Ma’idah, ayat 6
Wuduk dalam bahasa Arab berasal daripada al-wada’ah yang membawa makna al-hasan iaitu kebaikan dan makna an-nazofah (kebersihan).
Daripada istilah ‘kebaikan’ dan ‘kebersihan’ ini dapat difahami bahawa pensyariatan wuduk membawa satu mesej penting dalam kehidupan kita sebagai Muslim yang perlu sentiasa melakukan kebaikan dan menjaga kebersihan zahir mahupun batin.
Ayuh kita perbaiki cara berwuduk dan pertingkatkan kualitinya.
Kita amalkan wuduk yang sempurna agar pada hari kiamat nanti kita tergolong dalam kalangan umat yang anggotanya bercahaya disebabkan kesan wuduk sempurna.
Tinggalkan Komen Anda..
Assalamualaikum ustaz. Jika kita rasa sesuatu bergerak dalam kemaluan ketika duduk tahiyyat akhir tapi tak keluar, kemudian muncul lintasan hati kata dah keluar tapi sy yakin belum keluar wuduk tetap sah kan?
Waalaikumussalam warahmatullah.
Ya, wuduk puan tetap sah.
Selagi tuan yakin belum ada sesuatu yang keluar, maka rasa bergerak dalam kemaluan atau lintasan hati itu tidak membatalkan wuduk. Ia hanyalah was-was yang tidak perlu diikuti.
Dalam fiqh, kita berpegang pada kaedah:
Wallahu a‘lam.
Assalamualaikum ustaz.
Waalaikumussalam warahmatullah.
1. Rasa seperti ada air mengalir dalam kemaluan ketika solat:
Jika hanya rasa semata-mata tanpa ada kesan keluar najis atau cecair, wuduk masih sah. Selagi tiada bukti nyata (seperti basah, bau atau cecair keluar ke luar), rasa itu tidak membatalkan wuduk. Ini termasuk dalam was-was yang tidak perlu dilayan.
2. Niat wuduk tidak serentak masa basuh muka pertama:
Dalam Mazhab Syafie, niat wajib disertakan serentak dengan basuhan pertama muka. Jika niat dibuat selepas mula menyapu muka, wuduk tidak sah. Ulang-ulang niat semasa tengah sapu muka tidak mencukupi — niat perlu tepat pada permulaan basuhan muka.
Jika ini berlaku, wajib ulang semula wuduk dari awal dengan niat yang betul.
Wallahu a‘lam.
Jika tak mampu nak niat wuduk serentak camne ye ustaz? Ada cara lain x? Sebab sy sukar nk niat serentak.
Waalaikumussalam.
Memang benar, bagi sesetengah orang niat serentak ketika mula membasuh muka agak mencabar. Tapi jangan risau, ada cara untuk mudahkan niat disertakan serentak seperti yang disyaratkan dalam Mazhab Syafie.
Cara yang boleh membantu:
1/ Niat sebelum air sampai ke muka
Contohnya, niat dalam hati:“Sahaja aku berwuduk untuk mengangkat hadas kecil kerana Allah Ta‘ala”. Kemudian terus basuh muka sebaik sahaja niat itu selesai dalam hati.
2/ Latih diri dengan menyebut niat dalam hati sebelum buka paip air
Bila dah siap niat, buka air dan terus basuh muka. Lama-kelamaan, tuan akan biasa dan niat itu akan datang lebih mudah.
3/ Jangan niat ketika air sudah mengalir di muka atau semasa menyapu muka kerana itu tidak lagi serentak dengan permulaan basuhan, dan wuduk jadi tidak sah.
Wallahu a‘lam.
Assalamualaikum ustaz. Selepas saya amik wuduk, sy yakin dah basuh kaki kanan. Tiba2 dtg keraguan sama ada dh basuh kaki kanan ke belum, dan sy yakin dah basuh. Ketika solat, tiba2 dtg keraguan yg sama, mula2 x nk lyn, tp bila lyn sy yakin terus. Adakah solat saya sah?
Waalaikumussalam warahmatullah,
Dalam situasi tuan ini, hukumnya adalah seperti berikut:
Solat tuan sah. Abaikan keraguan yang timbul selepas tuan yakin sudah sempurna wuduk.
Wallahu a‘lam.
Assalamualaikum ustaz. Sebelum solat ada rasa macam ada benda bergerak kt dalam kemaluan, mula2 fikiran kata dah keluar kentut, tp hati saya yakin wuduk saya masih sah, saya x rasa apa2 keluar drpd kemaluan, cuma ada benda bergerak drpd dlm, dan sy fikir tu pergerakan otot. Adakah wuduk sy sah ustaz walaupun mula2 fikir dh keluar?
Waalaikumussalam warahmatullah,
Wuduk tuan sah, dan solat yang dilakukan dengan wuduk tersebut adalah sah.
Wallahu a‘lam.
Assalamualaikum ustaz. Jika ada lintasan hati niat wuduk tanpa sengaja ketika membasuh tangan hingga ke siku batal tak wuduk? sdgkan dah niat ketika basuh muka.
Waalaikumsalam warahmatullahi wabarakatuh.
1. Kedudukan Niat dalam Wuduk
Dalam mazhab Syafie, niat adalah rukun wuduk yang mesti dilakukan bersama permulaan membasuh muka. Jika niat sudah dilakukan dengan betul ketika membasuh muka, maka wuduk tersebut adalah sah, dan tidak ada keperluan untuk memperbaharui niat semasa membasuh anggota lain.
2. Lintasan Hati Tanpa Sengaja
Jika lintasan hati tentang niat berlaku tanpa sengaja ketika membasuh tangan hingga ke siku, ia tidak membatalkan wuduk. Lintasan hati atau was-was yang datang selepas niat asal dilakukan tidak memberi kesan kepada sahnya wuduk, kerana niat yang sah sudah dilakukan pada waktu yang tepat.
Semoga penjelasan ini membantu puan memahami isu tersebut. Jika ada persoalan lain, jangan segan untuk bertanya.
Wallahu a‘lam.
Assalammualaikum ustaz. Saya nak tanya, mana satu niat wudhu yang sebenarnya digunakan dalam wudhu “Nawaitu Rafaal Hadasi As-Ghori Lillahi Taala” atau “Nawaitul WudhuA Fardhonn ‘Alayya Lillahi Ta’ala” ? Dan lagi satu niat sebelum air mengena pada muka atau semasa air mengena pada muka?
Waalaikumsalam warahmatullahi wabarakatuh.
1. Lafaz Niat Wuduk yang Betul
Dalam mazhab Syafi’i, niat adalah rukun wuduk yang wajib dihadirkan dalam hati. Lafaz niat secara lisan adalah sunat dan berfungsi untuk membantu menghadirkan niat dalam hati.
Kedua-dua lafaz ini betul dan boleh digunakan, kerana yang penting adalah niat dalam hati untuk berwuduk kerana Allah Ta’ala. Lafaz niat dalam bahasa Melayu juga dibolehkan, seperti:
“Sahaja aku berwuduk untuk menghilangkan hadas kecil, fardu kerana Allah Ta’ala.”
—
2. Waktu Melafazkan Niat
Niat wuduk hendaklah dihadirkan dalam hati semasa mula membasuh muka, iaitu pada permulaan basuhan muka. Melafazkan niat sebelum membasuh muka adalah sunat dan bertujuan membantu menghadirkan niat dalam hati. Oleh itu, niat dalam hati mesti disertakan serentak dengan permulaan membasuh muka untuk memastikan kesahan wuduk.
Semoga penjelasan ini membantu puan dalam memahami niat wuduk dengan lebih jelas.
Wallahu a’lam.
Assalamualaikum ustaz. Jika bercakap seorang diri, sdgkan fikiran dia fokuskan solat adakah itu dikira gila? Adakah batal wuduk jika dia bercakap seorang diri?
Waalaikumsalam warahmatullahi wabarakatuh.
Bercakap seorang diri tidak dianggap gila, selagi seseorang itu sedar, memahami, dan mampu mengawal tindakannya. Gila dalam istilah syarak merujuk kepada hilang kewarasan akal atau tidak sedar akan perbuatannya. Jika seseorang bercakap seorang diri tetapi fikiran masih fokus atau sedar, ia bukan tanda gila.
Adakah Batal Wuduk?
Bercakap seorang diri tidak membatalkan wuduk. Dalam mazhab Syafie, wuduk hanya batal disebabkan perkara-perkara berikut:
Oleh itu, bercakap seorang diri, sama ada sengaja atau tidak, tidak membatalkan wuduk.
Teruskan ibadah dengan tenang dan elakkan keraguan yang tidak berasas.
Wallahu a‘lam.
Assalamualaikum ustaz. Saya dah basuh dgn air celah jari kaki tanpa gosok sblm ambik wuduk. Ketika ambik wuduk, basuhan pertama rasa macam licin, tapi tak tau apa yg menyebabkan celah jari kaki tu licin sebab xde kotoran. Bila basuhan kedua rasa bersih. Wuduk saya sah tak ustaz?
Wa’alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh,
Wuduk puan tetap sah, insyaAllah, selagi air telah mengalir dan merata ke semua bahagian anggota wuduk yang wajib dibasuh, termasuk celah jari kaki.
Berikut adalah penjelasan:
1. Rasa Licin Tidak Membatalkan Wuduk
Rasa licin pada celah jari kaki tidak semestinya menunjukkan terdapat kotoran atau bahan yang menghalang air daripada sampai ke kulit. Jika puan telah membasuh kawasan tersebut dan yakin air telah sampai ke semua bahagian yang wajib dibasuh, wuduk adalah sah, walaupun tanpa menggosok celah jari kaki.
2. Basuhan Pertama dan Kedua
Dalam wuduk, membasuh setiap anggota sekali sudah mencukupi untuk memenuhi syarat sah wuduk. Basuhan kedua hanya menambah kebersihan tetapi tidak menjejaskan kesahan wuduk jika basuhan pertama telah merata.
Kesimpulan:
Jika air telah sampai ke celah jari kaki pada basuhan pertama, wuduk puan sah walaupun terasa licin. Basuhan kedua pula hanya menambah kebersihan. Rasa licin itu tidak menjejaskan sahnya wuduk.
Semoga penjelasan ini memberi ketenangan kepada puan dalam ibadah.
Wallahu a’lam.
Assalamualaikum ustaz. Jika ada kotoran di kuku spt serbuk kunyit dan debu tanah, dh cuci tiga kali pki air dan sabun, tp x tanggal kotoran, blh ke ambil wuduk dalam keadaan kuku yg kotor? Wuduk tetap sah ke ustaz?
Wa’alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh,
Jika terdapat kotoran di kuku seperti serbuk kunyit atau debu tanah yang tidak menghalang air daripada sampai ke permukaan kuku, wuduk tetap sah. Kotoran yang melekat tetapi tidak membentuk lapisan yang menghalang air, seperti kesan warna kunyit, tidak menjejaskan sahnya wuduk.
Namun, jika kotoran tersebut berbentuk bahan yang boleh menghalang air (contohnya seperti cat atau lilin), maka ia mesti dihilangkan terlebih dahulu sebelum mengambil wuduk. Dalam kes puan, jika telah mencuci kotoran menggunakan air dan sabun sebanyak tiga kali tetapi kotoran tersebut masih tidak tanggal sepenuhnya, wuduk puan tetap sah kerana usaha telah dilakukan untuk membersihkannya.
Semoga Allah mempermudahkan ibadah puan. Wallahu a’lam.
Assalamualaikum ustaz. Jika kita ambil wuduk dgn kotoran kuku yang lama dan x tanggal kotoran tu, wuduk sah x ustaz? Lps solat sy kerat kuku yg ada kotoran tu sbb dh pnjg, dan ternyata kuku yg ada kotoran tu hilang. Adakah sah solat sy ustaz? Sbb x tau pulak kotoran boleh hilang bila dh dikerat.
Wa’alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh,
1. Wuduk dengan Kotoran pada Kuku
Dalam berwuduk, salah satu syarat sah adalah air mesti sampai ke semua bahagian anggota wuduk yang wajib dibasuh, termasuk tangan dan kuku. Jika terdapat kotoran yang menghalang air daripada sampai ke permukaan kuku, maka wuduk tidak sah. Namun, jika kotoran tersebut adalah sisa kecil yang tidak menghalang air, seperti noda kecil yang melekat tetapi air masih boleh menyerap, maka wuduk dianggap sah.
2. Solat dengan Kotoran Kuku yang Dibuang Selepas Solat
Jika puan menyedari selepas solat bahawa kotoran pada kuku sebenarnya menghalang air wuduk, maka wuduk dan solat yang dilakukan sebelumnya tidak sah. Dalam keadaan ini, puan perlu mengambil wuduk semula dan mengulang solat tersebut.
Namun, jika kotoran tersebut hanya hilang setelah kuku dikerat, dan sebelum itu air wuduk sebenarnya sampai ke bahagian yang perlu dibasuh, maka wuduk dan solat puan adalah sah.
—
Sebaiknya pastikan kuku bersih daripada kotoran yang boleh menghalang air wuduk sebelum mengambil wuduk. Langkah ini akan memastikan wuduk dilakukan dengan sempurna tanpa keraguan.
Jika kotoran pada kuku menghalang air wuduk, wuduk dan solat yang dilakukan sebelumnya perlu diulang. Namun, jika air wuduk sebenarnya sampai ke permukaan yang wajib dibasuh, maka wuduk dan solat tersebut sah. Semoga Allah mempermudahkan urusan ibadah puan.
Wallahu a’lam.
Assalamualaikum ustaz. Saya pernah amik kuku yg sy kerat tu, sy basuh dgn air dan sabun. Tp ttp x tanggal kotoran tu ustaz. Maknanya wuduk dan solat saya sebelum ni sah kan ustaz?
Wa’alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh,
Jika puan telah mengerat kuku dan membasuh kuku tersebut dengan air dan sabun, tetapi masih terdapat kotoran yang tidak dapat dihilangkan, maka perkara berikut perlu dipertimbangkan:
1. Keadaan Kotoran pada Kuku
2. Langkah yang Perlu Dilakukan
Berdasarkan situasi puan, jika kotoran itu tidak menghalang air daripada sampai ke kuku, maka wuduk dan solat yang telah dilakukan sebelum ini adalah sah. Namun, jika kotoran tersebut menghalang air, maka disarankan untuk menggantikan wuduk dan solat tersebut.
Semoga Allah mempermudahkan urusan ibadah puan dan memberikan ketenangan hati.
Wallahu a’lam.
Assalamualaikum ustaz. Jika ada bunyi dari punggung, tapi tak rasa keluar kentut, wuduk dan solat tetap sah kan ustaz?
Wa’alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh,
Dalam situasi di mana terdengar bunyi dari punggung tetapi tidak merasakan angin keluar, wuduk dan solat puan tetap sah. Hal ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang menyatakan bahawa seseorang tidak perlu membatalkan solatnya sehingga dia mendengar bunyi atau mencium bau yang jelas menunjukkan keluarnya angin.
Oleh itu, jika hanya terdengar bunyi tanpa disertai rasa atau bau yang menunjukkan keluarnya angin, wuduk tidak batal dan solat boleh diteruskan.Adalah penting untuk tidak membiarkan perasaan was-was mengganggu ibadah puan.
Semoga penjelasan ini membantu.
Wallahu a’lam.