
Apakah maksud Dam bagi Haji dan Umrah?
Ini adalah panduan lengkap yang membincangkan masalah berkaitan Dam bagi ibadah Haji dan Umrah.
Semoga panduan ini membantu anda mengerjakan ibadah haji dan umrah dengan sempurna.
Maksud Dam
Dam ialah suatu denda atau kifarah yang diwajibkan ke atas seseorang yang melanggar pantang larang ihram atau meninggalkan perkara yang diwajibkan semasa mengerjakan Haji atau Umrah.
Antara perkara yang dikenakan dam adalah:
- Melakukan Haji Tamattuk
- Melakukan Haji Qiran
- Melanggar 5 wajib Haji
- Melanggar 12 larangan ihram (wajib Haji)
- Luput wukuf selepas berniat Haji
- Meninggalkan Tawaf Wada’
- Melakukan dam ihsar (menamatkan haji)
- Melanggar nazar semasa mengerjakan haji
Tidak semua jemaah melanggar segala jenis dam di atas. Hanya yang berkaitan sahaja.
Jenis-Jenis Dam Haji Dan Umrah

Jenis-jenis Dam Haji dan Umrah terbahagi kepada 4 kategori iaitu:
- Dam Tertib dan Taqdir
- Dam Tertib dan Ta’dil
- Dam Takhyir dan Ta’dir
- Dam Takhyir dan Taqdir
- Dam Ihsar (Dam ini di bawah kategori Tertib dan Ta’dil)
Penjelasan bagi istilah ringkas di atas ialah:
- Tertib. Ertinya tidak boleh berpindah kepada yang kedua kecuali lemah melakukan yang pertama dan begitu seterusnya.
- Taqdir. Syarak telah menetapkan gantiannya.
- Takhyir. Boleh membuat pilihan.
- Ta’dil. Syarak menyuruh kita mentaksirkan gantiannya.
- Ihsar. Situasi di mana seseorang yang sedang dalam keadaan ihram terhalang untuk menyelesaikan haji atau umrahnya. Halangan ini disebabkan oleh berbagai sebab, misalnya penyakit, keadaan darurat, atau halangan lain yang tidak terduga. Jika seseorang terhalang dalam situasi ihsar, maka ia perlu membayar Dam sebagai ganti.
Semua pelaksanaan dam atau fidyah hendaklah dibuat di Makkah kecuali Dam Ihsar disembelih kambing di tempat terhalang.
📗 Bagi rujukan dan kemudahan para jemaah, ringkasannya disertakan juga dalam panduan ini pada bahagian di bawah.
TERTIB Dan TAQDIR
Tertib bermakna satu demi satu, tidak boleh dipilih atau diganti dengan yang lain, kecuali tidak terdaya melakukannya. Dan “Taqdir” penentuan syarak sebagai gantian jika tidak berkuasa.
Berikut adalah kesalahan yang tertakluk dibawah dam tertib dan taqdir ini:
- Tidak berihram di Miqat
- Ihram Tamattuk (dengan syarat-syaratnya)
- Ihram Qiran (dengan syarat-syaratnya)
- Luput wukuf di Arafah
- Tidak melontar Jamrah
- Tidak bermalam di Muzdalifah (dengan syarat-syaratnya)
- Tidak bermalam di Mina (dengan syarat-syaratnya)
- Meninggalkan Tawaf Wada
- Melanggar nazar dalam masa mengerjakan haji
Berikut adalah dam yang dikenakan dibawah tertib dan taqdir:
- Menyembelih seekor kambing ataupun kibas ataupun 1/7 lembu ataupun unta.
- Jika tidak berkeupayaan – puasa 10 hari iaitu 3 hari di Mekah dan 7 hari setelah balik ke tanah air ataupun 10 hari di tanah air tetapi hendaklah di selangkan di antara 3 hari pertama dengan bakinya.
- Dan jika tiada keupayaan – bayar 1 cupak makanan sebagai ganti bagi setiap hari puasa.
- Dan jika tiada keupayaan juga – tertanggunglah di atas zimmahnya (kemampuannya)
TERTIB Dan TA’DIL
Ta’dil bermakna apabila seseorang tidak berkuasa mengeluarkan makanan hendaklah diganti dengan puasa.
Berikut adalah kesalahan yang tertakluk dibawah dam tertib dan ta’dil ini:
- Persetubuhan yang merosakkan Haji, iaitu yang dilakukan sebelum Tahallul Awal
- Mengadakan persetubuhan semasa ihram umrah.
- Tertahan atau tertegah daripada menyempurnakan Haji / Umrah setelah berihram.
Berikut adalah dam yang dikenakan di bawah kesalahan Tertib dan Ta’dil
Kesalahan Mengadakan Persetubuhan Semasa Masih Dalam Ihram
- Menyembelih seekor unta.
- Dan jika tidak keupayaan – menyembelih seekor lembu dan sebanding.
- Dan jika tidak keupayaan – menyembelih 7 ekor kambing atau biri-biri.
- Dan jika tidak keupayaan - memberi makan kepada fakir miskin mengikut nilai harga seekor unta dan dibahagikan kepada fakir / miskin di Tanah Haram.
- Dan jika tidak ada keupayaan – berpuasa beberapa hari mengikut jumlah cupak yang dibeli dengan nilai seekor unta.
Peringatan:
Kerja-kerja Haji atau Umrahnya tetap perlu disempurnakan dan wajib diqada’ (diulang) kembali pada tahun berikutnya.
Tertahan atau Tertegah daripada Menyempurnakan Haji / Umrah setelah Berihram
- Hendaklah dia bertahallul (ishar) iaitu menyembelih seekor kambing dan bercukur / bergunting
- Dan jika tiada upaya – membeli makanan mengikut nilai harga seekor kambing dan diberikan kepada fakir miskin tempat tahallul.
- Dan jika tiada upaya – berpuasa mengikut bilangan cupak makanan yang dapat dibeli mengikut nilai harga seekor kambing.
TAKHYIR Dan TA’DIL
Takhyir bererti boleh dipilih satu daripada perkara-perkara yang ditetapkan
Berikut adalah kesalahan yang tertakluk dibawah dam takhyir dan ta’dil ini:
- Memburu binatang buruan daratan yang halal dimakan sama ada di Tanah Haram ataupun Halal semasa dalam ihram atau menyimpannya.
- Mengerat, menebang ataupun mencabut pokok-pokok di dalam ihram kecuali yang telah kering (mati).
Berikut adalah dam yang dikenakan di bawah kesalahan Takhyir dan Ta’dil
Kesalahan memburu binatang buruan di Tanah Haram
- Menyembelih binatang mengikut bandingan binatang yang diburu. Kalau rusa bandingannya lembu, kalau kijang bandingannya kambing dan lain-lain.
- Atau membeli makanan mengikut nilai harga binatang bandingan dan disedekahkan kepada fakir miskin Makkah.
- Atau berpuasa mengikut bilangan cupak makanan yang dapat dibeli daripada nilai harga binatang bandingan, iaitu satu cupak satu hari.
Kesalahan mengerat, menebang atau mencabut pokok dalam Tanah Haram
- Sama seperti di atas, iaitu mengikut bandingan pokok yang dikerat / ditebang / dicabut. Kalau pokok besar bandingannya lembu, kalau pokok kecil bandingannya kambing.
- Jika tidak mampu — maka damnya sama seperti peraturan dam memburu binatang buruan iaitu perlu bersedekah makanan atau berpuasa.
Catatan
- Membunuh binatang dan membinasakan pokok di Tanah Haram adalah berdosa dan dikenakan dam bagi semua, sama ada dalam ihram atau tidak di Tanah Mekah dan berdosa serta tidak dikenakan dam di Tanah Haram yang lain.
- Diharam memindahkan Tanah Haram ke Tanah Halal ataupun di antara ke satu tanah Haram yang lain.
TAKHYIR Dan TAQDIR
Ini adalah Dam yang paling ringan. Ia mempunyai ketetapan pada barang yang boleh diganti (boleh dipilih).
Berikut adalah kesalahan yang tertakluk dibawah dam takhyir dan taqdir ini:
- Membuang / mencabut / menggunting 3 helai rambut ataupun bulu dari mana-mana anggota badan.
- Memakai pakaian yang dilarang dalam ihram.
- Mengerat ataupun mencabut kuku.
- Memakai minyak di kepala, janggut dan semua bulu muka kecuali bulu yang tumbuh di dahi ataupun pipi.
- Memakai wangi-wangian.
- Bercumbu-cumbuan (permulaan persetubuhan)
- Melakukan persetubuhan selepas selesai Tahalul Awal, tetapi belum selesai Tahallul Thani.
- Melakukan persetubuhan kali kedua sebelum menyempurnakan umrah yang telah rosak disebabkan persetubuhan pertama.
Berikut adalah dam yang dikenakan di bawah kesalahan Takhyir dan Taqdir. Dam ini boleh dipilih salah satu
- Menyembelih seekor kambing
- Ataupun memberi sedekah kepada 6 orang fakir miskin sebanyak dua cupak setiap seorang.
- Ataupun berpuasa 3 hari.
NOTA:
Sekiranya rambut itu tidak dibuang sekaligus ataupun dipotong 3 kali berturut-turut, maka damnya ialah 1 cupak bagi sehelai rambut dan 1 kuku.
Bagi masalah gugur rambut sama ada dengan sengaja atau tidak yang kurang dari 3 helai atau 3 kuku, maka Dam-nya adalah bersedekah kepada fakir miskin secupak sehelai setiap kali pelanggaran. Jika melebihi 3 helai atau 3 kuku barulah dibayar dam mengikut pilihan di atas.
DAM IHSAR
Maksud Dam Ihsar
Dam ihsar bermaksud dam untuk melepaskan diri daripada larangan ihram bagi seseorang yang sudah berniat ihram tetapi tidak dapat menyelesaikan rukun hajinya atau rukun umrahnya atau kedua-duanya disebabkan peperangan, musuh, wabak, penyakit dan sebagainya.
Dam Ihsar juga dapat dilakukan oleh wanita yang datang haid dan tidak dapat melakukan tawaf haji / umrah kerana terpaksa balik segera ke tanah air, atau pesakit yang berpenyakit berat yang terpaksa dihantar balik ke malaysia untuk rawatan lanjut.
Apabila wanita itu telah suci dan mandi hadas besar, atau pesakit berat telah sembuh daripada penyakitnya, hendaklah dia pergi lagi ke tanah suci Makkah bagi menyelesaikan haji / umrahnya (hanya bagi haji dan umrah wajib)
- Menyembelih seekor kambing dan bercukur / bergunting, atau jika tidak mampu;
- Hendaklah membeli makanan dengan nilai seekor kambing dan dibahagikan kepada fakir miskin di tempat tahallul itu. Dan jika tidak berkuasa;
- Hendaklah berpuasa beberapa hari sebanyak bilangan cupak makanan yang dapat dibeli dengan nilai seekor kambing
Cara Melaksanakan Dam Ihsar
Setelah keluar dari makkah sejau dua marhalah atau lebih kurang 91 kilometer atau setelah tiba di tanah air, hendaklah:
- Menyembelih seekor kambing dan bercukur atau bergunting dengan niat tahallul, dan daging sembelihan itu dibahagikan kepada fakir miskin tempatan. Niatnya: “aku menyembelih kambing ini sebagai dam ihsar untuk tahallul nusukku.”
- Jika tidak mampu hendaklah membeli makanan dengan nilai seekor kambing dan bercukur atau bergunting dengan niat tahallul, dan makanan itu dibahagikan kepada fakir miskin tempatan. Niatnya: “aku bersedekah makanan sebagai ganti menyembelih kambing dam ihsar untuk tahallul nusukku (haji/umrah)”
- Jika tidak mampu juga, hendaklah berpuasa beberapa hari sebanyak bilangan cupak makanan yang dapat dibeli dengan nilai seekor kambing (1 cupak = 1 hari) dan bercukur atau bergunting dengan niat tahallul. Niatnya: “aku puasa esok hari sebagai ganti menyembelih kambing dam ihsar untuk tahallul nusukku (haji/umrah).”
Dengan berpuasa dan bercukur atau bergunting dengan niat tahallul ihsar itu, maka terhasillah tahallulnya meskipun bilangan hari puasanya belum selesai.
Bagaimana Menentukan Sesuatu Perbuatan Itu Dikenakan Dam?
Dalam urusan Dam ada dua keadaan yang menentukan wajib dam atau dimaafkan, iaitu:
- ITLAF — Bermaksud membinasakan keaslian atau mengubahnya seperti gugur bulu atau rambut, mencabut tumbuh-tumbuhan di Tanah Haram atau membinasakan kuku juga memburu.
Maka wajib bayar dam sama ada sengaja atau terlupa kerana merosakkan keaslian seperti tergugur rambut kerana mandi dan sebagainya. Bezanya ialah kalau sengaja berdosa dan jika sebaliknya tidak berdosa.
Namun bagi wanita yang mandi mengangkat hadas besar, setelah bersih daripada haid tidak dikenakan dam jika rambut tergugur. - TARAFFUH — Ertinya melanggar tetapi tidak membinasakan. Contohnya seorang lelaki tersilap menutup kepala secara tidak sengaja atau terkena minyak wangi lalu segera dicuci, maka dia tidak dikenakan dam dan dimaafkan jika tidak sengaja. Ini kerana dia tidak membinasakan apa-apa.
Selain itu dimaafkan juga jika dia seorang yang jahil dan tidak tahu akan larangannya.
Soalan Lazim Berkaitan Dam
Berikut adalah beberapa soal jawab bagi soalan lazim yang berkaitan dengan Dam Haji & Umrah:
Hukumnya harus.
Boleh membayar di Malaysia tetapi melaksanakannya hendaklah di Makkah dan dagingnya juga dibahagikan kepada fakir miskin dan ahli-ahli Makkah sahaja.
Tidak, kerana ianya tidak termasuk dalam perkara-perkara larangan dalam Ihram.
Tidak dikenakan Dam, harus membunuhnya.
Tidak dikenakan Dam.
Tidak dikenakan Dam.
Seseorang itu wajib membayar Dam dengan sebab atau lebih dari pekara-perkara berikut:
1. Melakukan perkara yang dilarang dalam masa berihram.
2. Meninggalkan perkara-perkara wajib Haji dan Umrah.
3. Membuat Haji Tamattu’ atau qiran (menurut syarat-syarat yang wajib dibayar Dam)
4. Luput Wuquf di Arafah bagi mereka yang tiada uzur syar’ie.
5. Meninggalkan Tawaf Wada bagi mereka yang tidak ada uzur syar’ie
6. Berlaku Ihsar bagi orang yang telah berniat Ihram (terhalang daripada menyempurnakan Wuquf di Arafah, Tawaf atau Sa’ie dengan sebab ketakutan daripada musuh, penyakit dan sebagainya).
7. Melanggar Nazar dalam masa mengerjakan haji.
Syarat-syaratnya sama seperti syarat-syarat bagi binatang-binatang yang memadai dijadikan Quran iaitu:
1. la hendaklah dari binatang jenis unta, lembu, kibasy atau kambing.
2. Cukup umur iaitu:
(i) Unta: Cukup umur lima tahun masuk enam tahun.
(ii) Lembu, kerbau dan kambing: Cukup umur dua tahun masuk kepada tiga tahun.
(iii) Kibasy: Cukup umur satu tahun masuk kedua tahun atau telah bersalin dua gigi hadapan.
3. Tidak ada kecacatan dan tidak terlalu kurus, tidak terkerat ekor atau terputus telinga, tempang, terpotong lidah dan lain-lain
Perhatian:
1. Hendaklah berniat menyempurnakan Dam dan jenisnya pada ketika menyembelih.
2. Harga kambing, lembu atau unta adalah mengikut harga pasaran pada satu-satu masa.
(Lembu dan unta boleh dibuat 7 Dam manakala kambing adalah untuk 1 Dam)
Dikenakan Dam hanya sekali sahaja walaupun melakukan Umrah berkali-kali.
Dia dikenakan Dam Tertib dan Taqdir sebab meninggalkan Miqat semasa berniat Ihram kerana Jeddah bukan Miqat.
Hukum tidak memakai pakaian Ihram semasa / selepas berniat di Miqat adalah:
1. Jika dengan sengaja dikenakan Dam Takhyir dan Taqdir serta berdosa.
2. Sekiranya dengan keadaan jahil / lupa/ tidak sengaja dan segera memakai Ihram bila teringat / diingatkan maka dia tidak dikenakan Dam
Dia dikenakan Dam kerana tidak berihram di Miqat yang telah ditentukan oleh Rasulullah SAW
Pada setiap satu helai dikenakan dam satu cupak makanan (anggaran SR 5.00) dan pada masalah ini dikenakan tiga cupak makanan kerana ia berlainan masa.
Rujuk:
Minhaajut Talibin, juzu’. 2 muka surat 135 bermaksud:
“Kalau ia mencukupi 3 urat rambut di tiga masa yang berasingan (ia mencukur tiap-tiap seurat rambut pada tempat atau pada masa yang tidak sama hingga jadi 3 urat rambut) wajib ia membayar Dam bagi tiap-tap rambut yang gugur itu mengikut sekiranya rambut itu gugur sehelai (tiap-tiap sehelai dibayar satu cupak).”
Tidak dikenakan Dam kecuali jika ia yakin rambut itu rambutnya dan gugurnya adalah hasil daripada perbuatannya seperti a menggosok-gosok kepala ketika mandi.
Tidak dikenakan Dam
Jika dilakukan dalam keadaan berikut:
i. Sengaja tidak dipaksa;
ii. Tahu akan haramnya;
iii. Mumaiyiz (sudah dapat membezakan antara yang bersih dan yang kotor).
Maka wajib Dam ke atas lelaki sahaja iaitu Dam Tertib dan Ta’dil.
Hukum Umrah kedua-duanya batal (rosak) tetapi wajib ke atas kedua-duanya menghabiskan baki rukun-rukun Umrah yang belum dilaksanakan dan walib ke atas kedua-duanya yang mengqada’kan Umrah tersebut.
Satu daripada syarat berwakil hendaklah yang (muwakil) itu melafazkan dengan lafaz yang menunjukkan redhanya. Oleh itu, tiada sah Wakalah (berwakil) dengan ketiadaan niat dan lafaz. Namun begitu sah Akad Wakalah dengan perbuatan di sertai niat الو كاله الفعلية
Boleh dia berpuasa sepuluh hari kesemuanya di tanah air dengan cara berikut:
la berpuasa 3 hari. Kemudian diselangi (tidak berpuasa) selama empat hari dan ditambah dengan tempo masa perjalanan yang menyampaikannya ke rumahnya dari Tanah Suci barulah ia berpuasa semula bagi hari keempat hingga hari kesepuluh.
Perlaksanaan puasa tersebut disunatkan berturut-turut.
Oleh kerana tidak ada yang mahu menerima dengan makanan seperti beras, gandum atau seumpamanya maka boleh ianya digantikan dengan wang yang sama nilainya dengan harga barang makanan itu.
Merujuk kitab al-Umm jilid 2, muka surat 215 bahawa Imam Syafi’e berkata yang bermaksud:
“Sesiapa yang meninggalkan Mina selain dari mereka yang aku telah sebutkan itu maka hendaklah ia bersedekah pada satu malam satu dirham dan pada dua malam dua dirham dan pada tiga malam satu Dam.”
Pembayaran Dam yang dibuat berdasarkan resit serah / terima melalui akaun masing-masing adalah sah kerana sahnya akad dengan perbuatan.
Sekiranya ia tidak berkuasa menyembelih kambing maka diharuskan baginya berpuasa mengikut sebanyak secupak makanan yang dapat dibeli daripada harga nilai seekor kambing Dam, iaitu secupak makanan bagi sehari puasanya.
Hukum melakukan perkara-perkara yang diharamkan semasa berihram sama ada terlepas dari dosa atau tidak terbahagi kepada empat hukum:
1. Tidak Berdosa dan Tidak Dikenakan Dam.
laitu melakukan perkara-perkara yang dilarang tetapi diharuskan kerana hajat seperti:
· Lelaki memakai seluar kerana ketiadaan/ kehilangan kain.
· Lelaki memakai kasut yang dipotong bahagian hujung jari dan tumit kerana ketiadaan selipar.
· Mengikat sesuatu dengan perca kain kepada kemaluan lelaki berpenyakit Salisulbaul (tidak tus air kencing)
· Mengangkat wangian seperti kasturi dengan tujuan memindahkannya dengan syarat masa mengangkatnya pendek.
· Membunuh binatang buruan yang mengganas
· Menyelematkan binatang buruan dari mulut binatang yang ganas dan binatang buruan itu menjadi mati.
· Melakukan apa-apa perkara yang menjadi kenikmatan bersedap-sedap seperti memakai pakaian dan bau-bauan dengan keadaan lupa, jahil atau terpaksa.
2. Berdosa Tetapi Tidak Wajib Bayar Fidyah.
laitu kerana melakukan perkara-perkara larangan seperti berikut:
· Berakad nikah.
· Memandang dengan syahwat.
· Menolong orang lain sama ada orang itu dalam Ihram atau tidak membunuh binatang buruan walaupun hanya dengan menunjukkan atau meminjamkan alat buruan.
· Memakan binatang buruan yang diburu oleh orang lain untuknya.
· Melakukan perkara-perkara yang diharamkan semasa Ihram ke atas mayat yang masih dalam Ihram.
3. Wajib bayar Dam Tetapi Tidak Berdosa.
a) Memakai pakaian berjahit (bersarung bagi lelaki dan menutup muka bagi perempuan kerana hajat (keperluan).
b) Memotong / menghilangkan rambut atau kuku kerana sakit atau jahil.
c) Menghalau binatang buruan dengan tada tujuan untuk membinasakannya dengan sebab perbuatannya itu.
d) Menyembelih binatang buruan untuk dimakan kerana lapar yang darurat.
e) Terbinasa binatang buruan dengan sebab ditendang atau digigit oleh binatang tunggangnya tapa taqsirnya (kecuaiannya)
4. Berdosa Dan Wajib Bayar Dam.
laitu kerana melakukan perkara-perkara yang dilarang selain dari perkara-perkara yang dilarang selain dari perkara dan keadaan yang disebutkan di atas.
Kesimpulannya:
1. Dam tidak menghapuskan dosa.
2. Melakukan perkara larangan dalam Ihram, tidak berdosa jika dilakukan dengan terlupa, tidak sengaja, terpaksa atau jahil.
Jika bukan dengan ikhtiar dan persetujuan orang yang berihram itu sendiri semasa di dalam Sa’ie itu tiadalah dia dikenakan Dam. Sebaliknya Dam itu dikenakan ke atas orang yang mengguntingkan sama ada orang yang menggunting itu orang yang dalam Ihram atau halal sekalipun.
Tersebut keterangan di dalam Nihayatul Muhtaj, Juzuk 3, muka surat 338:
Bermaksud:
“Dan kalau mencukur/menggunting seseorang muhrim (di dalam Ihram) atau bukan seseorang bukan dalam Ihram akan kepala seseorang yang sedang dalam Ihram bukan dalam ikhtiarnya sebelum masuk waktu bercukur maka Damnya adalah dikenakan ke atas pencukurnya/pengguntingnya samalah seperti kalau dia melakukan yang demikian terhadap orang yang tidur atau orang gila atau orang yang tiada Taqsir dalam perkara tersebut dan kerana rambut nisbah kepada orang yang muhrim adalah sebagai Wadi’ah (suatu tanggungan amanah) bukan sebagai tanggungan pinjaman (jadi apabila rambut tersebut it dihukumkan sebagai Wadi’ah maka siapa yang merosakkannya dialah yang menanggungkannya, sebab itu maka Damnya dikenakan ke atas orang yang mencukur atau orang yang mengguntingkannya).”
Dam memotong satu kuku wajib mengeluarkan satu cupak makanan, Dam memotong dua kuku wajib mengeluarkan mengeluarkan dua cupak makanan dan Dam memotong tiga atau lebih kuku pada masa yang sama wajib mengeluarkan Dam Takhyir dan Taqdir iaitu hendaklah menyembelih seekor kambing atau bersedekah kepada enam orang fakir miskin sebanyak dua cupak makanan tiap-tiap seorang atau berpuasa selama tiga hari.
— Rujuk: Manasik al-Haj, muka surat 191. cetakan Dar al-Hadith.
Sekiranya beliau telah membayar Dam di atas kesalahan yang pertama, maka beliau dikenakan Dam di atas kesalahan yang dilakukan berulang-ulang. Sebaliknya jika beliau belum membayar Dam maka dikenakan satu Dam sahaja sekalipun di atas kesalahan yang berulang-ulang. Kerana sebagai satu kesalahan yang sejenis.
Tidak ada Dam was-was. Jemaah Haji dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dalam penjagaan semasa berihram. Mereka hendaklah bersikap percaya kepada diri sendiri dan tidak membiarkan dirinya dilamun was-was kerana was-was itu adalah dari rasukan syaitan. Bersifat yakin adalah sebaik-baik jalan mengatasi perasaan was-was itu.
Semua pokok di tanah Haram Makkah, sama ada yang tumbuh sendiri atau yang ditanam atau dicabut sekiranya ia berasal dari Tanah Haram. Maka dikenakan Dam ke atas orang yang , mematah, memotong atau mencabutnya sama ada ia di dalam Ihram atau tidak.
Sekiranya ia berasal dari Tanah Halal maka tidak haram. Ada pun beni daripada Tanah Halal ditumbuhkan di Tanah Haram kerana pokok diktibarkan kepada tempat tumbuhnya.
Memandangkan pokok-pokok yang ditanam oleh Kerajaan Arab Saudi di Tanah Suci itu tidak diketahui asalnya maka dinasihatkan ianya tidak dipatah, dipotong atau dicabut sebagai ihtiyat ( احتياط ). Damnya Takhyir dan Ta’dil.
Rujuk:
· Nihayah al-Muhtaj juzuk 3 cetakan 1404 Hijrah mukasurat 353.
· Sabiilul Muhtadim juzuk 2 muka surat 214.
Dam Tamattu’ boleh dibayar selepas Hari Wuquf tetapi Dam tersebut tidak boleh menampung Dam kesalahan-kesalahan lain.
Tidak dikenakan dam kerana tidak disengajakan jika kuku tersebut tidak tanggal sedangkan ia menganggu keadaan harus juga dikerat kuku itu tapa dikenakan dam.
Harus ditanggalkan dan tidak dikenakan Dam.
Diharuskan seseorang menyerahkan Dam Tamattu’ nya kepada penuntut akan tetapi tiada sah penyembelihan dam tersebut selagi ibadat Umrahnya belum selesai dilaksanakan.
Tidak dikenakan Dam.
Selagi keadaan rambut anda mudah gugur dengan tidak payah digosok atau diturut atau dilap maka tidak dikenakan Dam.
Waiib melaksanakan Dam Tamattu’ ketika niat, mengerjakan Haji, tetapi boleh dilakukan apabila selesai kerja-kerja Umrah.
Beliau dikenakan satu Dam sahaja kerana mengerjakan Haji Tamttu’ iaitu Dam Tertib dan Taqdir.
lanya dikenakan Dam kerana bergunting sebelum sempurna tujuh kali Sa’ie iaitu Dam Takhyir dan Taqdir.
Hukumnya tidak harus dimakan menurut Mazhab Syafi’e, tetapi menurut Mazhab Hanafi diharuskan.
la boleh berwakil orang lain melontar bagi dirinya dan tidak boleh ia membayar dengan Dam, melainkan jika tidak ada orang yang sanggup menggantikannya dengan sukarela atau dengan upahan.
Tidak dikenakan Dam.
Persetubuhan di antara Jemaah Haji lelaki yang telah selesai Hajinya dengan isterinya yang belum Tahallul Thani, kedua-dua mereka itu tidak dikenakan Dam tetapi berdosa jika sengaja (kedudukan ibadat Haji isterinya tidak rosak kerana sudah Tahallul Awwal).
Umrahnya tidak rosak kerana persetubuhan berlaku dalam keadaan jahil. Jemaah tersebut hendaklah bergunting semula. Sekiranya melanggari larangan ihram dalam bentuk Itlaf tempo tersebut maka jemaah dikenakan Dam mengikut syaratnya tidak berdosa sebab tidak tahu.
Jemaah haji boleh melakukan persetubuhan selepas selesai membuat Haji Ifrad (Tahallul Thani) walaupun ia belum lagi mengerjakan Umrahnya dan tidak dikenakan Dam.
Umrah kedua-dua tidak sah kerana belum sempurna kerja-kerja Haji lagi. Jika persetubuhan dilakukan sebelum Tahallul Awwal maka (Fasad) rosak Haji keduanya dan wajib menyelesaikan kerja-kerja Haji dan Qada’ pada tahun hadapan ke atas kedua-duanya serta wajib ke atas suaminya Dam Tertib dan Ta’dil. Sekiranya mereka telah Tahallul Awwal Haji mereka tidak rosak. Dikenakan Dam Takhyir dan Taqdir ke atas suami. Kedua-dua mereka dikehendaki menyempurnakan kerja-kerja Haji hingga selesai Tahallul Thani.
Jemaah Haji yang luka semasa dalam Ihram, sama ada di Arafah atau di tempat-tempat lain tidak dikenakan Dam.
Jemaah Haji yang membuat Nafar Awwal, mereka tidak dikenakan Dam apabila tidak melontar Jamrah pada hari Tasyriq ketiga tidak dituntut mengerjakannya bagi mereka yang membuat Nafar Awwal.
Jemaah haji yang melakukan Haji Ifrad atau Qiran tidak wajib melakukan Tawaf Wada jika meninggalkan Makkah walaupun jarakya melebihi dari 2 marhalah (kerana jemaah tersebut belum selesai ihram hajinya)
Boleh dilakukan di mana sahaja, sama ada di Tanah Haram, di tanah air sendiri atau di tempat lain kerana tidak melibatkan hak fakir miskin di Tanah Haram tetapi puasa di Tanah Haram lebih Afdhal.
— Kitab al-Idah fi Manasik al-Hajj wa al-Umrah, hlm. 492.
Sah membayar Dam yang berulang-ulang kepada 6 orang fakir miskin sahaja dan tidak wajib mengagihkan 120 Riyal tersebut kepada 12 orang fakir miskin.
Tidak dikenakan Dam kerana rambut itu gugur bukan dengan perbuatan sendiri secara langsung.
Penutup
Kesimpulannya, pemahaman tentang Dam dalam konteks Haji dan Umrah adalah penting kerana ia bukan hanya tanggungjawab kewangan, tetapi juga simbolik penyesuaian diri atas segala kesalahan atau kekurangan yang mungkin berlaku semasa menjalankan ibadah.
Semoga panduan ini dapat membantu anda melaksanakan Haji atau Umrah dengan lebih sempurna.
Marilah kita berusaha mematuhi segala peraturan dan tuntutan ibadah ini dengan hati yang ikhlas dan penuh taqwa, dan semoga Allah SWT menerima segala amalan dan ibadah kita.
Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, anda boleh meninggalkan soalan tersebut pada ruangan komen di bawah.
InsyaAllah saya akan menjawab dengan segera yang mungkin.
Nota & Rujukan
- Nota Kursus Asas Haji 1440H, edisi cetakan kemaskini November 2018, Bahagian Bimbingan Jabatan Haji, Lembaga Tabung Haji
- Nota Kursus Ibadah Haji & Umrah serta Ziarah Madinah, Hj. Abdul Rahman Saleh & Hj Kamaluddin Ibrahim, al-Hidayah Publication
- Panduan Ziarah Madinah Umrah & Haji, Ustaz Dato’ Haji Md Daud Bin Che Ngah, Pustaka Haji Abdul Majid
- Panduan Haji, Umrah dan Ziarah, Ustaz Ibrahim Zakaria.
- Panduan Ibadah Umrah & Ziarah, Ustaz Muhamad Dhiauddin, Pustaka Azhar
- Panduan Lengkap Haji, Umrah & Ziarah Edisi Kemaskini, Haji Abu Mazaya Al-Hafiz, Al-Hidayah House of Publisher
- Panduan Meraih Umrah Yang Mabrurah, Dato’ Dr Hj Zahazan B. Mohamed, Telaga Biru
- Soal Jawab Haji, Umrah & Ziarah, Edisi kemaskini 2020, Disemak dan diluluskan oleh Jawatankuasa Penasihat Ibadah Haji (TH-JAKIM) Bil 2/1440H
- Bimbingan Umrah & Ziarah, Ust Mohd Faez Bin Mohd Shah Al-Hashim, Pustaka al-Ehsan
- Soal Jawab Fiqh Ibadah Jilid 3, Bab Puasa, Haji, Korban & Akikah, Ustaz Abu Usamah Mohd Hanapiah Haji Husin, Ikon Syabab Resources.
Waalaikumussalam puan.
1/ Dalam mazhab Syafi‘e, menutup muka (seperti memakai mask) ketika ihram termasuk larangan bagi wanita. Jika puan pakai kerana hajat (batuk/sakit), ia dibenarkan tetapi tetap wajib fidyah/dam (tanpa dosa kerana ada keperluan).
2/ Boleh, kerana fidyah/dam bagi larangan ini termasuk takhyir & taqdir: pilih salah satu iaitu sembelih seekor kambing, atau beri makan 6 orang fakir miskin (2 cupak setiap seorang), atau puasa 3 hari.
Wallahu a‘lam.
Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh puan Ana.
Maksud “bukan isu dam ihsar” ialah ihsar berlaku apabila seseorang yang sudah berihram benar-benar terhalang daripada menyempurnakan manasik (contoh: sakit berat, darurat, arahan pulang, halangan keselamatan). Dalam kes puan, isu utamanya bukan “terhalang”, tetapi sah atau tidak sahnya tawaf kerana persoalan wuduk.
1/ Jika puan sekadar syak/waswas (tidak ada keyakinan jelas wuduk memang batal ketika tawaf), maka pegang kaedah fiqh: yakin tidak hilang dengan syak.
Umrah puan dikira sah, puan sudah keluar daripada ihram, dan puan tidak tertanggung dam.
Jika puan sudah buat sembelihan/infak yang puan niatkan sebagai “dam ihsar”, ia tidak merosakkan apa-apa; ia jatuh sebagai sedekah (insyaAllah berpahala), cuma bukan dam wajib.
2/ Jika (dan hanya jika) puan benar-benar yakin wuduk memang batal semasa tawaf dan puan meneruskan tawaf, maka tawaf itu tidak sah.
Dalam mazhab Syafi‘e, sa‘i bergantung kepada tawaf, maka puan perlu kembali ke Makkah apabila berkemampuan untuk ulang tawaf dan sa‘i, kemudian bertahallul (bergunting) dengan betul.
Selagi belum disempurnakan, larangan ihram masih terpakai.
Dalam keadaan begini, “ihsar” biasanya tidak dipakai melainkan memang ada halangan syarie yang benar-benar menghalang puan kembali; perkara ini elok disahkan dengan pembimbing bertauliah/Tabung Haji kerana bergantung pada butiran keadaan puan.
Kalau puan tidak pasti (sekadar syak), jangan anggap puan masih ihram. Pegang pada yang pasti, dan jangan hukum diri dengan sangkaan.
Wallahu a‘lam.
Terima kasih ustaz , menjawap pertanyaan saya.
Maaf ustaz , apa maksud ustaz bukan isu dam ihsar. Adakah saya masih tetap dalam keadaan ihram jika saya belum ke Mekah dan sempurnakan rukun semula ? Saya sudah melakukan dam ihsar , adakah dam ihsar saya tak sah dan saya masih dalam ihram?
1.Seorg wanita memakai mask kerana batuk semasa dlm ihram adakah dikenakan dam
2. Bolehkah membayar dam secara berinfak makanan