SYARAT WAJIB SOLAT (Siri Belajar Solat Asas)

Apakah syarat wajib solat bagi seseorang?

Syarat-syarat wajib solat menurut Al-Banjari bagi seseorang Islam melibatkan lima perkara.

Maksud Syarat Wajib Solat

Syarat wajib ialah syarat-syarat yang perlu dipenuhi sebelum seseorang itu melaksanakan solat.

Dengan erti kata lain, selagi syarat-syarat wajib belum dipenuhi, seseorang itu itu tidak diwajibkan untuk melakukan solat.

Apabila mencukupi syarat-syarat itu, seseorang itu wajib menunaikan solat.

Apakah syarat-syarat wajib solat tersebut?

Syarat-syarat tersebut ialah:

1. Islam

Apabila seseorang mengucap dua kalimah syahadah, iaitu:

 AsyHadu Allaa IlaaHa ilallah
Wa AsyHadu Anna Muhammadar Rasulullah
 

Aku bersaksi tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan aku bersaksi bahawasanya Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah.

… dia sudah dikira telah beragama Islam.

Sama ada ucapan itu dibuat oleh seorang yang bukan Islam ketika memeluk agama Islam atau ucapan yang diamalkan dari kecil lagi bagi seseorang yang dilahirkan dalam Islam.

Serentak dengan itu, wajib baginya menunaikan solat walau dalam apa keadaan sekalipun.

Sabda Rasulullah ﷺ dalam hadis yang diriwayatkan daripada In Abbas r.a.:

Serulah mereka agar bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu utusan Allah. Jika mereka taat kepadamu melaksanakannya, maka katakan kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan perlaksanaan solat lima kali sehari semalam.

(Riwayat Imam Al-Bukhari: 1496)

Ini bermakna tidak wajib ke atas orang kafir asli mengerjakan solat dan tidak pula wajib kepada mereka menggada’ solat yang sebelum itu apabila memeluk agama Islam.[1]

Tetapi orang kafir (yang tidak solat itu) akan tetap diazab di akhirat kerana mereka semasa di dunia mempunyai pilihan untuk memeluk agama Islam atau tidak.[2]

Firman Allah:

Katakanlah kepada orang yang kafir itu: “Jika mereka berhenti (daripada kekafirannya), nescaya Allah akan mengampuni mereka tentang dosa-dosa mereka yang sudah lalu..

(AI-Anfal 8: 38)

Ini berbeza dengan orang yang murtad, kerana orang yang murtad wajib menggada’ semula semua solat sepanjang masa mereka murtad sehingga kembali semula kepada Islam.[3]

2. Berakal

Orang yang tidak berakal tidak wajib menunaikan solat seperti kanak-kanak, orang gila, orang yang tidak cukup akal (seperti orang down sindrom), orang pitam, koma (tidak sedar diri) dan lain-lain yang seumpamanya.

Sabda Rasulullah ﷺ dalam hadis yang diriwayatkan daripada Sayyidina Ali bin Abi Talib r.a.:

Diangkatkan Al-Qalam daripada tiga golongan manusia iaitu daripada orang yang tidur sehingga bangun, kanak-kanak kecil sehingga baligh dan orang gila sehingga pulih.

(Sahih: Riwayat Imam Abu Dawud: 4403; Imam At-Tirmizi: 1423)

Maksud “diangkatkan Al-Qalam” dalam hadis di atas ialah tidak ditulis dan tidak dikira sebagai berdosa bagi orang yang tertidur, kanak-kanak, orang gila dan orang pengsan yang tidak melaksanakan perintah Allah seperti solat dan ibadah yang lain.

Bagi orang gila dan orang yang pengsan kerana uzur, mereka tidak wajib menggadak solat apabila sedar.

Tetapi orang yang hilang akal kerana sengaja seperti meminum arak atau menyalahgunakan dadah, orang yang terlupa dan orang yang tertidur, wajib menggada’ semula solat setelah kembali sedar.[4]

Sabda Rasulullah ﷺ dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a.:

Barang siapa yang tertidur atau terlupa untuk menunaikan solat maka hendaklah dia solat selepas dia sedar dan ingat semula. Tiada kafarah baginya selain daripada itu.

(Sahih: Riwayat Imam Al-Bukhari: 572 dan Imam Muslim: 684)

Isu “berakal” merupakan syarat yang sangat penting dalam perbincangan in kerana ramai yang terkeliru dengan syarat ini.

Mereka beranggapan uzur, sakit dan keadaan kritikal adalah satu lesen untuk meninggalkan solat, sedangkan mereka masih berakal.

Ini dapat dilihat daripada peratusan meningggalkan solat dalam kalangan mereka yang sakit yang berada di wad hospital. Peratusannya sangat tinggi sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini.

Oleh itu, selagi akal masih waras, kewajipan menunaikan solat sekali-kali tidak gugur. Jika tidak boleh solat dengan hukum asal (azimah), hendaklah solat dengan menggunakan rukhsah.

Jika tidak boleh dengan rukhsah pertama, hendaklah dengan rukhsah kedua dan begitulah seterusnya.

Contohnya jika seseorang tidak mampu solat dalam keadaan berdiri, solatlah dalam keadaan duduk.

Jika solat dalam keadaan duduk pun tidak mampu, harus solat dalam keadaaan mengiring.

Jika tidak mampu mengiring, hendaklah dalam keadaan melentang. Jika tidak mampu lagi, hendaklah solat juga bagi menghormati waktu.

In bermakna jika dalam keadaan sakit di wad ICU sekalipun, dalam keadaan tidak dapat mengambil wuduk, tidak dapat menghadap kiblat dan dalam keadaan tidak suci dari najis sekalipun, seseorang itu masih wajib menunaikan solat mengikut rukhsah-rukhsah tertentu.

Keadaan diri yang sakit, tenat, sibuk dan susah bukanlah alasan untuk meninggalkan solat.

3. Baligh

Solat tidak diwajibkan ke atas kanak-kanak walaupun sudah mumaiyiz sehinggalah mereka baligh.

Tanda baligh ada tiga perkara:

  • Telah mencapai umur 15 tahun qamariah (tahun hijrah) bagi lelaki dan perempuan (jika perempuan itu masih belum kedatangan haid lagi).
  • Telah berlaku ihtilam (keluar mani sama ada ketika tidur bermimpi atau ketika sedar) bagi lelaki dan perempuan yang mencapai umur lebih kurang 9 tahun qamariah dan ke atas.
  • Telah mengalami kedatangan haid bagi perempuan yang mencapai umur lebih kurang 9 tahun dan ke atas.[5]

Jika terdapat tanda-tanda ini, wajib ke atas mereka solat dan dikira berdosa besar jika meninggalkannya.

Namun ibu bapa sebagai penjaga dan pendidik kepada kanak-kanak, tetap digalakkan untuk melatih anak-anak mengerjakan solat lebih awal.

Sabda Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan daripada Amru bin Syuaib dan bapanya daripada datuknya:

Suruhlah anak-anak kamu mendirikan solat apabila mereka sudah mencapai umur tujuh tahun, dan pukullah mereka jika mereka meninggalkan solat setelah mencapai umur 10 tahun dan pisahkan tempat tidur mereka.

(Hasan Sahih: Riwayat Imam At-Tirmizi: 495)

4. Suci Daripada Haid Dan Nifas

Mengerjakan solat tidak diwajibkan bagi wanita dalam keadaan haid dan nifas sehingga suci daripada kedua-duanya.

Mereka juga tidak diwajibkan mengqadak semula solat selama tempoh tersebut berbanding dengan puasa yang wajib digada’ walaupun mereka meninggalkan puasa kerana haid dan nifas itu.[6]

Saba Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan daripada Sayidatina Aisyah r.a:

Fatimah binti Abu Hubaisy berkata: “Ya Rasulullah, sesungguhnya aku ini tidak suci. Bolehkah aku meninggalkan solat?” Rasulullah I bersabda: “Itu adalah darah yang keluar daripada saluran darah dan bukan haid. Jika kamu didatangi haid maka hendaklah kamu tinggalkan solat. Jika ia telah suci, maka bersihkan darah itu daripada diri anda dan solatlah.”

(Sahih: Riwayat Imam Al-Bukhari: 306 dan Imam Muslim: 333)

Kenapa puasa wajib digadak bagi wanita yang kedatangan haid dan nifas selepas berlalu Ramadan, sedangkan solat tidak wajib diqada’?

Mengikut Al-Jizani, sesuatu ibadah yang dilakukan kepada Allah SWT itu adalah perintah daripada Allah SWT.

Kita tidak ada hak untuk menentukan sesuatu ibadah itu, boleh dilaksanakan atau tidak.

Ini adalah berdasarkan satu kaedah dalam Kaedah Usul iaitu:

Asal setiap ibadah itu terhenti atau dilarang sehingga ada dalil yang mensyariatkannya.

— Al-Jizani (1431: 5)

Maksudnya, puasa diqadak selepas berlalu Ramadan disebabkan kedatangan haid dan nifas kerana ada dalil yang mewajibkannya, iaitu ayat 185 surah Al-Baqarah.

Tetapi solat yang ditinggalkan pada hari-hari yang sama, tidak wajib digadak kerana tidak ada dalil yang mewajibkan berbuat demikian.

5. Masuk Waktu Solat

Solat tidak diwajibkan sebelum masuk waktu.

Firman Allah SWT:

… Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang yang beriman, yang tertentu waktunya.

(An-Nisa’ 4; 103)

Kesimpulan

Demikian lima (5) syarat wajib solat sebagaimana yang telah termaktub dalam kitab-kitab para ulama.

Apabila mencukupi syarat wajib ini, wajiblah kita sebagai orang Islam mendirikan solat walau dalam apa keadaan sekalipun selagi tidak gugur syarat wajib di atas.

Meninggalkan solat adalah satu jenayah dan kesalahan yang sangat besar dalam Islam.

Kesimpulannya, daripada syarat-syarat wajib solat di atas, hanya mereka yang ada lima keuzuran sahaja yang boleh menggugurkan kewajipan solat dan tidak wajib qada’ solat iaitu:

  1. Perempuan yang berada dalam keadaan haid dan nifas.
  2. Orang kafir asli.
  3. Orang yang tidak siuman.
  4. Kanak-kanak yang belum cukup umur.
  5. Orang yang pitam, pengsan atau koma kerana uzur syari.[7]

Nota

  1. Sulaiman Al-Bujairimy, 2007: 407; Mustafa Al-Khin 1998, 1: 111; Al-Kaf 2003: 195
  2. Al-Kaf 2003: 195
  3. Asy-Syafaqah, 1989: 217
  4. Mustafa Al-Khin dan rakan-rakan, 1998: 1: 112; Khatib Asy-Syarbini, 1997: 1: 202-204
  5. Al-Kaf, 2003: 195
  6. Asy-Syaarani, 1989: 2: 10
  7. Rohidzir Rais dan rakan-rakan, 2015: 298;Abu Qatibah Al-Fatani (2013: 42)
Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

0 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments