Adakah Anak Belum Baligh Terikat Pantang Larang Korban?

hukum qurban kanak-kanak

Saya berhasrat untuk melakukan korban untuk kedua-dua anak saya. Jika salah seorangnya masih kecil dan belum baligh, adakah dia juga perlu menjauhi beberapa pantang larang seperti tidak memotong kuku dan sebagainya? Bagaimana pula hukumnya bagi anak yang sudah baligh? Adakah hukumnya sama sahaja atau bagaimana?

Kita sedia maklum bahawa individu yang hendak melakukan ibadah korban makruh menghilangkan rambut, bulu dan kuku sebaik sahaja masuk 1 Zulhijah sehinggalah haiwan korbannya disembelih.

Hal ini bersandarkan kepada beberapa dalil seperti berikut;

1. Rasulullah bersabda;

“Apabila masuk 10 (hari awal) Zulhijjah dan ada dalam kalangan kalian ingin melaksanakan ibadah korban, maka janganlah dia menyentuh sedikit pun daripada rambutnya dan kulitnya.”

(Riwayat Muslim)

2. Imam al-Nawawi menjelaskan dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab juz. 8 hIm. 392;

“(Pandangan) mazhab kami ialah (hukum) menghilangkan bulu dan kuku dalam 10 hari (terawal) Zulhijah bagi orang yang ingin melakukan ibadah korban adalah makruh tanzih sehinggalah (saat) dia melaksanakan ibadah korban itu.

Hukum Melakukan Korban Bagi Pihak Anak

PERTAMA: Jika si anak belum baligh.

Boleh, tiada halangan. Namun harta yang digunakan ialah harta si ayah itu sendiri, bukannya diambil daripada harta si anak.

Hal ini dinyatakan dalam kitab Hashiyah al-Bujairami ‘Ala al-Khatib juz. 4 hlm. 340;

“Kesimpulannya ialah tidak memadai melakukan ibadah korban untuk orang lain tapa ada keizinan melainkan dia melakukan ibadah korban untuk ahli keluarganya tau dia melakukan ibadah korban untuk orang yang berada di bawah jagaannya (seperti anak yang belum baligh) daripada harta penjaga tersebut.”

Hakikatnya, anak kecil tersebut tidaklah termasuk dalam kategori orang yang berkeinginan untuk melakukan ibadah korban.

Hal ini kerana si ayah yang melakukan korban bagi pihaknya tanpa dia memahami hal tersebut sepertimana orang yang telah baligh.

Adapun berkenaan larangan yang dinyatakan sebelum ini, ia hanya khusus tertumpu kepada orang yang hendak melakukan korban.

Justeru, tidak makruh bagi kanak-kanak atau anak kecil menghilangkan bulu dan kuku selepas tibanya 1 Zulhijjah memandangkan mereka tidak termasuk dalam ketegori tersebut.

Ini adalah pandangan yang lebih kuat dalam pandangan mazhab Syafi’i sepertimana yang dinyatakan dalam kitab Hashiyah al-Jamal ‘Ala Syarhi al-Minhaj juz. 5 hlm. 251;

“Dia teragak-agak berkenaan kanak-kanak yang walinya melakukan ibadah korban untukya daripada harta walinya itu. Begitu juga berkenaan seorang yang telah member izin kepada orang lain agar dilakukan korban untuknya. Pandangan yang bole diterima ialah tidak makruh bagi yang pertama itu (kanak-kanak) kerana tidak ada kehendaknya (untuk melakukan korban). Berbeza dengan yang kedua itu, sesungguhnya orang yang melakukan korban itu hanyalah wakilnya. Inilah yang disebutkan dalam kitab al-li’ab.

Namun pilihan yang lebih baik lagi bagi kanak-kanak itu adalah dia tidak menghilangkan rambut dan kukunya sepanjang tempoh 10 hari tersebut.

Hal ini kerana ada sebahagian ulama mengatakan bahawa hukumnya adalah makruh.

Imam Musaddad menyebut dalam musnadnya sepertimana yang dinyatakan dalam kitab al-Matalib al-‘Aliyah Bi Zawaid al-Masanid al-Thamaniyah24,

“Muktamir bin Sulaiman al-Taimiy menceritakan kepada kami, katanya, ‘Aku telah mendengar ayahku berkata, ‘Imam Ibn Sirin memakruhkan seorang lelaki menghilangkan bulunya apabila masuk 10 (hari terawal) Zulhijjah, bahkan dia juga memakruhkan kanak-kanak bercukur pada 10 (hari terawal) Zulhijjah itu.”

― No. 2287

KEDUA: Jika Anak Sudah Baligh.

Bagi anak yang telah baligh, tatkala dia memberi izin kepada ayahnya untuk melaksanakan ibadah korban untuknya, maka dia sebenarnya dikira berkeinginan untuk melakukan ibadah korban tersebut.

Justeru, dia makruh menghilangkan bulu-bulu dan kukunya sebaik sahaja masuk 1 Zulhijah, sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis di atas.

Wallahu a’lam.

Rujukan

  1. Soal Jawab Fiqh Ibadah (Bab Puasa, Haji, Korban & Akikah), Ustaz Abu Usamah Mohd Hanapiah Haji Hussin.
Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments