
Bagaimana doa minum air zam-zam?
Dalam panduan ini, saya akan melampirkan doa minum air zam-zam yang dipermudahkan dengan ejaan rumi.
Selain ini, panduan ini juga menerangkan kelebihan air zam-zam dan sejarah ringkas mengenainya.
Mari kita mulakan..
Doa Minum Air Zam-Zam
Doa minum air zam-zam adalah seperti berikut:

Allahumma inni as-Aluka ‘ilman naafi’an wa syifa’an min kulli daa’in wasaqomin birohmatika Yaa arhamar-rohimin.
Ya Allah, aku mohon kepada-Mu ilmu pengetahuan yang bermanfaat, rezeki yang luas serta penawar kesembuhan dari sebarang penyakit dengan rahmatMu ya Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Kelebihan Air Zam-Zam
Kelebihan air zam-zam adalah seperti berikut:
1. Penawar Pelbagai Penyakit
Rasulullah SAW bersabda:
Air terbaik di seluruh permukaan bumi adalah air zam-zam, di dalamnya terdapat makanan (yang membangkitkan) selera, ubat dari pelbagai penyakit
(HR Ath-Thabrani dalam Al-Mu’jam Al-Kabir)
2. Air Zam-Zam Bermanfaat Bagi Tujuan Ia Diminum
Rasulullah SAW bersabda:
Air Zam-zam itu sesuai dengan niat peminumnya
(HR Ibnu Majah)
3. Hati Rasulullah SAW Dibasuh Dengan Air Zam-Zam
Anas bin Malik r.a mengatakan bahawa Jibril AS pernah mendatangi Rasulullah SAW ketika Baginda SAW tengah bermain bersama-sama kanak-kanak lain.
Lalu Jibril memegangnya dan Baginda SAW telah jatuh pengsan, kemudian Jibril mengeluarkan hati Baginda SAW, membelahnya dan mengeluarkan segumpal darah dari dalamnyaa, sambil berkata, “Ini adalah bahagian syaitan dari dirimu.”
Kemudian Jibril AS mencucinya dengan air Zam-Zam lalu memperbaikinya, kemudian mengembalikan ke tempat asalnya.
4. Tanda Terbebas Dari Kemunafikan
Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:
Berasa kenyang oleh air zam-zam adalah (petanda) bebas dari kemunafikan.
Sejarah Air Zam-Zam
Para sejarawan bersepakat bahawa zam-zam adalah minuman Nabi Ismail AS dan ibunya Siti Hajar AS.
Tetapi mereka berselisih pendapat mengenai sebab munculnya air itu.
Sebahagian berpendapat bahawa Ibrahim AS datang membawa Hajar dan anaknya yang sedang menyusu badan.
Kemudian meninggalkan mereka dengan sedikit air.
Disebabkan bekalannya habis, Siti Hajar berusaha mencari makanan atau orang-orang yang berkemungkinan berada di sekelilingnya.
Dia pun berlari ke Bukit Marwah, balik lagi ke Bukit Safa, dan kembali lagi ke Bukit Marwah.
Dia melakukan hingga tujuh kali ulang alik antara Bukit Safa dan Marwah.
Apa yang dilakukan oleh Siti Hajar itu kini menjadi salah satu rukun haji dan umrah yang wajib dilaksanakan oleh Umat Islam, iaitu Sa’ie.
Setelah penat ulang alik antara Bukit Safa dan Marwah, Hajar mendengar perintah untuk melihat puteranya yang sedang menangis dan menghentak kakinya ke tanah.
Ternyata, hentakan kaki Ismail AS mengeluarkan air yang berlimpah.
Hajar pun kemudian berkata: “Zam-zam (berkumpullah)”, hingga akhirnya air berkumpul dan dinamakan zam-zam.
Kemunculan air daripada kesan hendakan Nabi Ismail ini kemudian menyebabkan hadirnya sekumpulan burung-burung disekelilingnya.
Melihat adanya burung ini, para kafilah yang juga sedang mencari air segera menuju tempat burung-burung berterbangan itu.
Inilah sejarah ringkas awal mula munculnya telaga zam-zam.
Penutup
Air zam-zam adalah adalah satu keistimewaan yang diturunkan oleh Allah terhadap bumi Mekah.
Oleh itu adalah lebih baik kita membaca doa khas agar dapat memanfaat segala kelebihan dan kebaikan pada air ini.
Semoga artikel ini membantu anda.
Tinggalkan Komen Anda..