Ini Sebab Graduan Muda Peroleh 2 Rezeki Besar Awal Tahun 2018

graduan mudaIni kisah graduan muda mendapat rezeki kerja dan rezeki dalam bidang yang diminati iaitu penulisan untuk dihayati dan dapatkan pengajaran.


Aku terduduk, temuduga kali ini aku gagal lagi.

Satu mesej masuk dari aplikasi Whatsapp. Rakan mengajak aku menjadi fasilitator program Kem Tahfiz, akan ada saguhati diberikan.

Aku fikir aku perlukan wang dan tak mahu meminta dengan orang tua lagi.

Aku katakan ya kepada dia.

Di program, selain jalankan tanggungjawab, aku setkan fikiran ia peluang untuk aku berbakti, rehatkan minda dan lapangkan hati.

Aku ada tanyakan kepada rakan, “Bagaimana nak hati redha melepaskan sesuatu bukan rezeki kita?”

Jawab dia, “Aku akan terus ubah mindset dan kata pada diri, for sure ada rezeki lain Allah ganti selepas ini. Say like that on that time! Don’t delay it. Memang betul dapat rezeki lain dan lebih banyak.

Ketika itu juga aku cakap dalam hati, aku redha ya Allah semua tu bukan rezeki aku dan aku yakin ada rezeki lain nanti.

Rupanya selama ini hatiku belum redha yang sebenar-benarnya.

Tamat kem, pertama yang aku buka adalah emel.

Berderet emel masuk sebab 4 hari aku tiada internet.

Dua emel buat aku teruja nak baca.

Emel dari Langit Ilahi dan Byond Success Sdn Bhd.

Paling timbul tanda tanya, kenapa syarikat ni hantar emel kat aku? Aku kan dah gagal temuduga kat sana.

Aku buka.

MasyaAllah, aku dipanggil untuk bermesyuarat face to face.

Bermakna aku ada secebis lagi peluang.

Di sana aku bertemu semula dengan dua penemuduga yang temuduga aku kali pertama.

Dalam bilik, aku persiapkan hati, ‘jangan terlalu meletak harapan, tawakkal pada Allah. Ada rezeki alhamdulillah.’

Mereka bertanya beberapa soalan dan soalan terakhir ni buat aku sangat bahagia.

“Jadi bila awak boleh masuk kerja?”

Inilah kali pertama dalam hidup aku dapat soalan ni. Who’s agree with me? Budak graduan baru mana tak suka dengan soalan ini.

Aku nak tersenyum sampai ke telinga waktu tu tapi aku tahan sikit kebahagiaan tu. Keluar bilik baru aku senyum lebar. Alhamdulillah ya Tuhan!

Emel dari Langit Ilahi aku diterima menjadi peserta Program Pengasahan Bakat Penulisan 2018 ini.

Bermakna selama setahun aku akan dilatih oleh penulis hebat, Tuan Hilal Asyraf. Siapa tak gembira?

Hari ini apabila aku flashback semula, aku sedar sesuatu.

Sebelum aku ke kem, hampir seminggu aku buat solat Hajat dan doa sungguh-sungguh dikurniakan rezeki terbaik. Kalau kerja, aku harap budaya dan environment tempat kerja itu bagus.

Paling aku ingat, dalam tempoh seminggu itu aku ada bermimpi bertemu dengan seorang lelaki tua. Dia berjubah putih, berserban dan berkopiah. Serba putih. Dia orang alim.

Dalam mimpi itu, aku ikut dia dan dia ajarkan aku ilmu agama.

Aku juga mengemas dan menyapu sampah di rumah tempat aku belajar tu. Ada juga seorang wanita bersama aku tapi tak tahu siapa.

Bangun pagi aku tertanya, apa maksud mimpi itu?

Tak menakutkan tapi timbul 1001 persoalan. Aku tergerak hati ingin bertanya beberapa orang termasuk mak angkat aku.

Kata mak angkat, “mak pernah mimpi jumpa orang soleh macam tu, Ustaz Wan pesan doakan yang baik-baik, berkemungkinan nak dapat rezeki baik. Tak lama lepas tu mak dapat buat umrah, urusan semua mudah.”

Hari ini dah cukup 3 bulan aku bekerja, aku baru sedar.

Mungkin 2 rezeki besar yang aku dapat awal tahun 2018, bukan asbab solat Hajat saja. Tapi petunjuk dari Allah swt melalui mimpi tempoh hari.

Untuk menjemput rezeki, ini amalan untuk dipraktiskan :

1 – Jika pernah kehilangan, redhakan hati dengan sebenar-benar redha.

2 – Yakin akan ada ganti lebih baik.

3 – Solat Hajat yang berterusan. Paling kurang seminggu.

4 – Sebutkan doa dengan spesifik.

5 – Buat kebaikan kepada mereka yang memerlukan seperti anak yatim dan orang miskin.

6 – Jika nak kaya, doakan orang lain dikayakan. Jika nak dapat keputusan cemerlang, doakan anak jiran mendapat keputusan cemerlang.

7 – Lupakan rezeki yang bukan ditakdirkan untuk kita.

8 – Amalkan zikir “ya Wahhab – Maha Pemberi” setiap kali selepas solat.

9 – Solat Sunat Dhuha.

Jika mahu Allah makbulkan hajat kita, sempurnakan tugas hakiki kita sebagai hamba-Nya.

Allah lihat kesungguhan kita. Bukan kesungguhan dalam berusaha sahaja tetapi kesungguhan berdoa.

Kesungguhan meredhai sesuatu yang bukan ditakdirkan untuk kita.

Kesungguhan dalam mengikhlaskan hati.

Jika semua dah disusuli dengan kesungguhan, Allah pasti memberi. Yakin.

Allah tidak akan pernah mengecewakan hamba yang mengangkat tangan berdoa kepada-Nya.

Harapan saya sebagai penulis mengharapkan graduan muda tidak berputus asa jika berkali-kali gagal dalam temuduga kerja.

Usah berputus asa. Setiap kali gagal, redha dengan hati ikhlas.

Itu kesilapan yang saya sedar, saya masih teringat temuduga kerja yang saya gagal menyebabkan rezeki lain susah nak datang.

Rezeki besar ini hanya datang sejurus saya meredhai dengan seikhlas hati bahawa kerja di tempat sebelumnya bukan rezeki saya.

Semoga bermanfaat.

Biodata Penulis


Artikel ini ditulis oleh Cik Balqis Sanusi, seorang penulis muda dari Langit Illahi. Blog Cik Balqis boleh dilayari pada pautan ini.

Semoga apa yang dikongsikan bermanfaat, insyaaAllah.

Tinggalkan Komen Anda..

2 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu
Inline Feedbacks
View all comments
Saps
4 April, 2018 2:44 PM

Bagus perkongsian penulis ni. Bagi semangat utk para pelajar di luar sana