Kerana Allah Sayang, Sebab Itu Allah Turunkan Ujian Hebat!

allah sayang
Allah sayang kita dengan menurunkan ujiannya

Kerana Allah Sayang

Wardah duduk bersila di depan naqibah. Tetap dia memandang gerak laku naqibah yang mengacau perlahan air milo dalam cawan hijau garang.

Dada wardah berdegup kencang, detap-detup bunyi jantungnya seakan-akan didengari dari luar jasadnya sendiri. Sangkaannya, pasti naqibah turut mendengar getaran ini.

Dia meletakkan tangan kiri di dada, pura-pura mengurut sebelah kiri dadanya yang tidak sakit.

Sufiyah mendongak. Memandang adik usrah yang kelihatan keluh-kesah. Sudu besi corak bunga samar-samar diletakkan di atas piring biru.

Sisa air milo yang berbaki pada sudu mengalir. Anak mata wardah mengekori sisa milo yang mengalir perlahan daripada hujung sudu ke tengah piring. Asyik.

“Kamu sihat atau tidak, Wardah?” Sufiyah memecah buntu.

“Alhamdulillah kak. Kakak sihat? Sudah beberapa minggu rasanya tidak bertemu. Saya rasa rindu.” Tersengih-sengih wardah sambil memandang wajah naqibah yang tetap tenang.

“benarkah rindukan kakak?” Sufiyah menduga. Bibirnya menguntum senyum nipis. Wardah tidak menjawab. Tangannya meraba-raba tikar getah bilik naqibah.

“Saya rindu nak dengar nasihat. Hati saya resah.” Perlahan suara Wardah.

Sufiyah memusing gelang cawan menghadap Wardah. Milo panas dalam cawan hijau garang dipandang sepi. Wardah tidak rasa terusik dengan aroma milo panas yang menyelinap ke segenap rongga deria baunya.

Dia lebih pantas mahu bertanyakan persoalan besar yang bersarang di dalam dada.

“Maknanya adik kakak ni benarlah tidak rindukan kakak?” Wardah segera mengangkat muka.

“Kenapa kakak cakap begitu?”Merah muka Wardah menahan malu menunggu jawapan naqibah.

“Kalau rindukan kakak, pasti rasa rindu itu sudah reda sebaik saja Wardah sampai tadi. Tapi, lihatlah Wardah sekarang. Wardah duduk di depan kakak.

Tetapi hati Wardah tidak tenang. Wardah berkehendakkan yang lain – nasihat. Kalau nasihat yang Wardah rindukan, maka benarlah yang dirindui bukan kakak, tetapi Allah. Bukankah nasihat yang baik itu datangnya dari Allah?”

Wardah menghembuskan nafas lega. Riak wajahnya beransur biasa. Sufiyah menghirup air milo yang sudah agak suam. Sambil menghirup perlahan, dia mencuri pandang adik usrah yang jelas cuba menyembunyikan resah dalam tenang yang dibuat-buat.

“Apa yang menganggu awak, Wardah?” tanya Sufiyah sambil meletakkan cawan hijau garang.

“Saya bimbangkan sesuatu kak. Entah bagaimana harus saya mulakan. Em… kakak ikut perkembangan pesawat yang hilang?” Sufiyah bersandar pada kaki katil, memperbetul kaki yang sudah terasa sedikit lenguh.

“Ya.” Sufiyah mengangguk. Tertanya-tanya di dalam hati akan perkara yang membimbangkan Wardah.

“Kakak rasa, Allah marahkan kita kah, kak?” Mata Sufiyah dipandang tepat. Wajah Wardah penuh harap. Menunggu jawapan naqibah yang sedikit terkejut dengan soalan tersekat-sekat adik usrahnya.

“Kenapa Wardah kata begitu?” Soal Sufiyah.

“Kerana allah masih tidak beri petunjuk ke mana perginya pesawat yang hilang. Kesian mereka kak. Keluarga mereka, seluruh anggota masyarakat, malah seluruh dunia bimbangkan mereka. Allah marahkan kita ke kak?” Pandangannya tetap pada naqibah. Ada garis halus pada dahi yang mula kelihatan.

“Kakak tidak tahu, Wardah. Bolehkah kakak beri jawapan yang pasti bagi pihak Dia? Apa yang kakak yakin, ini ujian daripadaNya. Mengimani Allah bererti kita mengimani apa saja yang berlaku, baik perkara yang baik mahupun tidak, adalah ujian dari Allah.” Jawapan naqibah mengundang kembali getar di dada Wardah.

“Beratnya ujian ini, kak. Berat untuk mangsa yang tidak kita tahu kondisi mereka, untuk ahli waris…” Ayat wardah habis setakat itu apabila tangan sufiyah menyentuh lembut jari telunjuknya. Wajah naqibah dipandang sayu. Getaran di dalam dada masih terasa.

“Berat ujian ini seperti yang Wardah kata. Kerana Allah mahu menguji tidak saja mangsa, tetapi seluruh rakyat Malaysia. Dalam ujian ini, yang terlibat tidak saja individu, tetapi seluruh angota masyarakat. Allah mahu menguji keimanan semua sekali.

Allah sayang benar pada kita, Wardah. Kita ini sudah lama terlena  dalam nikmat yang tidak putus-putus. Sehingga satu tahap, kita perlukan satu daya besar untuk menggerakkan seluruh jasad dan hati agar bersegera menghadap Allah kembali. Bukan bermakna selama ini kita tidak menghadapNya, tetapi boleh jadi Dia mahu penyerahan yang sepenuhnya.

Itu tanda Allah sayang. Allah tidak mahu kita ini terus terbuai-buai saja. Ujian yang begini hebat melihat kebangkitan semua anggota masyarakat daripada lena yang panjang. Ini salah satu aspek yang wajar kita fikirkan.”

Sufiyah mencapai cawan air milo. Dihirup sedikit buat menghilangkan gelora pada isu yang dibawakan adik usrahnya.

“Kenapa begini ujiannya kak? Ujian ini terlalu misteri sifatnya. Perkara yang tidak dapat dilihat sukar untuk dijadikan ukuran iman.” Soal Wardah.

“Bolehkah tanda aras iman itu kita lihat? Iman itu memang sifatnya tidak dapat dilihat dengan mata kasar, Wardah. Ia ada di dalam hati kita. Cuma perlakuan kita sahaja yang dapat membuktikan iman kita ada. Yang zahir itu perlakuan iman, tetapi iman itu sendiri tetap tidak dapat dilihat oleh mata kasar.

Benarlah ujian ini untuk menguji iman kita kepada Allah. Kerana Allah itu juga tidak dapat kita lihat dengan mata kasar. Untuk yakin, percaya dan tawakal kepada tuhan yang sifatnya tidak menyerupai dan diserupai, inilah ujiannya. Masih bolehkah kita beriman bahawa Allah itu tuhan jika kita tidak melihatnya? Masih bolehkah kita yakin bahawa di sebalik kejadian ini Allah yang mengaturnya jika kita tidak dapat mengesan jejak pesawat yang hilang?” Jawapan naqibah menjemput rasa hiba di hati Wardah.

“Kalau begitu, pasti ramai yang gagal kak…” Mengalir air mata Wardah. Segera diseka dengan jari telunjuknya yang halus. Sufiyah menelan liur. Dadanya juga sebak. Dia sendiri sudah beberapa hari dirundung kesedihan mengenang ujian yang menimpa.

“Kita perlu optimis, Wardah. Dalam ujian, ada yang gagal dan ada lulus. Mungkin, boleh jadi ramai yang gagal, tetapi itu tidak menafikan kemungkinan ada yang akan lulus. Kerana itulah kakak kata ujian tidak melibatkan segelintir, tetapi seluruh anggota masyarakat. Allah menguji semua sekali, untuk menilai siapakah antara kita yang benar-benar beriman kepadaNya.

Allah mahu melakukan tapisan demi tapisan, saringan demi saringan. Lihat, Allah uji kita dengan jerebu dan air yang kurang. Dalam ujian panas yang begitu terik ini Allah hilangkan pula pesawat yang kita tahu pengangkutan udara tercanggih yang boleh merentasi benua ke benua.

Di antara semua ini, yang perlu difikirkan ialah bagaimana keadaan kita, apakah cara yang kita lakukan dalam menghadapi ujian ini, daripada sumber manakah kita meminta pertolongan, bagaimana reaksi kita terhadap sumber berita, bagaimana usaha kita dalam membantu dalam suasana yang begitu tegang – semua ini ukurannya Wardah. Ukuran iman kita.” Ada getaran dalam suara naqibah yang menahan hiba.

“Saringan begini akhirnya tidakkah akan meninggalkan orang-orang beriman dalam jumlah yang sedikit sahaja Kak Sufiyah?” Tanya Wardah. Kata-kata kak Sufiyah menambah kebimbangannya.

“Yang beriman itu ramai, Wardah, Cuma, yang benar-benar beriman kepada Allah ketika senang dan susah, tidak ramai. Dan memang golongan terbaik ini sedikit jumlahnya.” Pujuk Sufiyah. Dia memandang lembut wajah Wardah yang sayu.

“Allah marah ke kak? Allah marah kita selama ini tak benar-benar beriman?” Wardah mengulang soalan sama. Ditatap sayu anak mata naqibah, masih mengharap ada jawapan pada soalan awalnya.

“Allahu..” Keluh Sufiyah.

“Allah rindukan kita, Wardah. Allah sayang, maka Allah panggil. Allah rindu, maka Allah panggil. Tidakkah ujian ini juga panggilan Allah pada kita? Lihat, hampir semua masjid dan surau mengadakan solat hajat setiap hari. Malah berita pesawat yang muncul selang beberapa jam di media-media utama, di bibir masyarakat terus mengingatkan kita pada ujian Dia.

Setiap kali berita berkumandang, kita jadi sebak. Kita yang jarang ingat pada allah sepanjang masa, jadi ingat. Yang jarang berdoa untuk orang lain merayu kebaikan untuk orang lain. Semuanya melalui ujian ini.

Allah mahu kita merayu padaNya. memohon pertolonganNya. Allah mahu memberitahu kita bahawa Dialah Tuhan, yang Esa, satu tiada dua. Dan hanya kepada Dia kita meminta pertolongan, hanya Dia, tiada yang lebih berkuasa.

Buktinya, lihatlah himpunan teknologi yang selama ini kita agung-agungkan. Semua teknologi pengesan seolah-olah berhimpun mahu membuktikan teknologi siapa yang hebat mengesan pesawat tersebut, tetapi selagi Allah tidak berkata ‘jadi’, maka tidak akan terjadi, Wardah. Mustahil terjadi sesuatu tanpa kuasa Allah. Dan tidak ada juga yang mustahil dengan kuasa Allah.”

Mengalir air mata Sufiyah. Air mata itu sudah ditahan lama di depan adik usrah yang sama hiba. Wardah mengesat air mata yang laju berjatuhan dari cerun pipi. Basah hujung tudungnya dengan air mata. Sufiyah tunduk menangis. Suasana bilik itu jadi sayu dengan hujanan air mata kedua-duanya.

“ Kalaulah ujian yang sebegini besar, tidak mampu juga menyedarkan kita, maka ujian dalam bentuk yang bagaimana lagi yang kita nantikan?” Ujar Sufiyah dalam tangis.

“Kalaulah ujian ini semakin menjauhkan kita dari rahmat allah, dengan cara apa lagi kita mahu mendekatiNya?” Tambah Sufiyah. Dia menelan liur.

Tangis yang bersisa cuba diredakan. Dada disentuh. Sebak Wardah mendengar hujah naqibah.

Sufiyah menarik Wardah dalam pelukannya. Hangat tubuh adik usrahnya menjalar ke seluruh jasad. Air mata Wardah tumpah pada bahu Sufiyah.

“Kalau ujian yang besar begini, tidak menjadi asbab untuk kita berfikir tentang Allah, tidak menjadi asbab untuk meningkatkan iman, maka hamba apakah kita ini?” Berjuraian air  mata Sufiyah jatuh dari tubir mata.

Wardah terus teresak-esak di bahu naqibah. Dia mahu terus menangis, inilah tangisan yang sudah beberapa hari ditahannya.

“Benarlah kata kakak, hati ini rindukan Allah… Allah… Allah…” ujar Wardah. Pelukannya kian erat.

“Semoga kita lulus ujian ini, dik.” Bisik Sufiyah.

Allah sayang
#PrayforMH370 by niekaori  

*****

Artikel ini adalah perkongsian ke Inbox kami ([email protected]) daripada Saidatul Faiqah Samasu, [ Facebook ] Semoga perkongsian yang dikongsikan oleh beliau memberi makna dan manfaat kepada kita semua =)
Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

3 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
KehalusanKelembutan
KehalusanKelembutan
10 tahun yang lalu

Assalamualaikum..
nice entry.. terkesan dengan ayat ni.

“ Kalaulah ujian yang sebegini besar, tidak mampu juga menyedarkan kita, maka ujian dalam bentuk yang bagaimana lagi yang kita nantikan?”
“Kalaulah ujian ini semakin menjauhkan kita dari rahmat allah, dengan cara apa lagi kita mahu mendekatiNya?”
“Kalau ujian yang besar begini, tidak menjadi asbab untuk kita berfikir tentang Allah, tidak menjadi asbab untuk meningkatkan iman, maka hamba apakah kita ini?”

kita rindukan DIA sebenarnya

Saidatul Faiqah
Saidatul Faiqah
10 tahun yang lalu

Baiknya Allah, memberi Fatin rasa tersentuh yang menandakan mekarnya bunga-bunga iman di dalam dada. Syukurilah rasa kebaikan yang Allah hadirkan. Kekuatan mendepani ujian juga dari Allah. Mintalah Allah bantu. Teruslah memohon dan merayu. Allah lihat itu.

Wasalam.

Fatin Hannah
Fatin Hannah
10 tahun yang lalu

assalamua’laikum.
sedihnye :'( boleh jadikan sbgai nota muhasabah diri. terima kaseh kerana berkongsi entri ini. saya sgt tersentuh. smoga Allah beri kita semua kekuatan dlm mengharungi cabaran dan ujianNya. Allahu.