Ramadan mungkin menjadi satu masa yang paling mencabar untuk kita menjadi produktif.
Bukan sahaja kita diminta meneruskan kehidupan normal kita (bekerja, belajar, memenuhi keperluan keluarga) tetapi kita juga perlu meluangkan separuh hari dalam keadaan berpuasa..
… dan separuh lagi dengan solat malam serta membaca al-Quran.
Ia amat sukar dan memerlukan kreativiti kita untuk terus-menerus mengekalkan produktiviti sambil beribadah.
Artikel ini adalah petikan terjemahan daripada tulisan Mohamed Faris dalam buku yang berjudul The Productive Muslim
Adakah Berpuasa Membunuh Produktiviti?
Apabila kita berfikir tentang puasa dan produktiviti, kedua-duanya seakan bertentangan!
Bagaimana kita harus fokus dan menjadi produktif ketika kita sedang lapar dan dahaga untuk tempoh yang lama?
Sebenarnya, terdapat satu hubungan yang menarik antara berpuasa dan produktiviti yang mungkin kita tidak sedari.
Berpuasa memberikan kita suatu rasa tujuan dan tanggungjawab (sense of purpose and responsibility) — ia memaksa kita untuk membuat pilihan yang bijak bagi mengelak kita membuang tenaga untuk perkara remeh dan membuang masa.
Di sini digariskan lima cara bagaimana puasa dapat menggandakan produktiviti:
1. Kita menjadi semakin peka dengan perangai dan corak pemikiran kita.
Tiga hari pertama berpuasa, kita akan menyedari betapa banyak perhatian yang kita diberikan kepada perkara yang kita lakukan.
Ini kerana berpuasa menjadikan kita lebih peka akan Allah dan diri kita.
Perasaan ‘kesedaran’ ini membolehkan kita membuang segala amalan tidak produktif kerana kita yang akan ‘menangkap’ diri kita sendiri ketika sedang melakukannya.
2. Puasa akan membantu kita memecahkan tabiat (breaking habits)
Tabiat tidak produktif ini ialah perbuatan-perbuatan yang dilakukan secara kerap sehingga ia menjadi sebahagian daripada hidup kita.
Bila kita menahan diri daripada mendapatkan keperluan asas dan fitrah seperti makan dan minum, maka kita akan menyedari yang kita juga akan turut mempunyai kekuatan untuk menghentikan tabiat buruk yang kita sangka “perlu” (ramai orang Islam berhenti merokok pada bulan ini).
Kita dapat melihat kekuatan sebenar minda serta hati ketika Ramadan dan kita akan sentiasa diingatkan bahawa kita wajib untuk berbuat lebih banyak kebaikan dan mengurangkan perkara buruk.
Jadi, tabiat apakah yang kita sanggup lakukan dan yang mana kita akan buang?
3. Berpuasa akan membantu kita kita mengurangkan ketagihan kopi dan snek
Jika kita fikirkan tentangnya, kita sebenarnya meluangkan banyak masa untuk makan.
Secara purata, kita mengambil masa selama 15 hingga 30 minit untuk mendapatkan semula fokus selepas kita diganggu dengan masa rehat ini (waktu kopi dan snek)
Fakta mudahnya, jika kita tidak mengganggu fokus kerja kita dengan rehat makan snek, maka kerja kita akan dapat diselesaikan dengan lebih cepat.
Ini akan memberikan kita lebih banyak masa luang.
4. Berpuasa akan menambahbaik daya tumpuan dan fokus
Ketika kita menjadi lebih peka dengan aktiviti dan tenaga kita, kita akan menjadi lebih peka dalam mengurus kedua-duanya.
Apabila kita belajar untuk berkata “tidak” pada setiap keinginan, kita sebenarnya sedang meningkatkan dan menguatkan kawalan minda kita terhadap tubuh kita.
Apabila kita berjaya mendisiplinkan diri kita untuk masa tertentu, kita akan dapat mengawal nafsu dan tubuh badan kita semula.
Untuk melakukannya, kita perlu mula memecahkan sempadan minda yang menghalang kita.
5. Puasa membolehkan tubuh kita memulakan proses penyembuhan
Jika kita mempunyai masalah kesihatan, amalan berpuasa diperlukan untuk mengembalikan tubuh kita kepada keadaan yang sesuai bagi proses penyembuhan .
Apabila kita fikirkan semula keadaan semasa kita sakit, kita akan teringat betapa kurangnya selera kita.
Ini perlu agar tubuh kita boleh mengambil manfaat untuk setiap tenaga ketika proses rawatan berlangsung.
Juga, kita akan terasa lebih muda dan sihat.
Salah satu manfaat berpuasa adalah ia menambahbaik rasa tekad (willpower muscle) kita.
Roy F. Baumeister, ahli psikologi di University state of Florida, yang menjadi penulis bersama sebuah buku yang menyentuh subjek ini, telah mengkaji bagaimana tekad (willpower) menjadi satu sumber yang tidak terhingga untuk hari kita.
Dia mendefinisikan tekad sebagai:
Kebolehan untuk menahan godaan dan mengutamakan manfaat jangka masa panjang berbanding keselesaan jangka masa pendek”.
Ini adalah apa yang puasa dapat berikan kepada kita.
Ia memaksa kita untuk menahan godaan (makanan, minuman, seks) dan membuatkan kita memilih kebaikan jangka masa panjang (ganjaran spiritual) berbanding keselesaan jangka pendek.
Perkara menarik yang ditemui adalah bahawa tekad itu ibarat suatu otot.
Ia boleh dilatih dan dikuatkan melalui latihan serta iltizam.
Jadi bayangkan apa yang puasa 30 hari dapat berikan kepada kuasa tekad kita.
Penutup: puasa sebenarnya menggandakan produktiviti
Terdapat banyak kebaikan berpuasa, namun kita menjadi kurang produktif dengan beralasan kita tidak mempunyai akses kepada sumber tenaga pada siang hari.
Saya harap artikel ini dapat membuktikan bahawa puasa sebenarnya menggandakan produktiviti kita dan kita patut melakukannya dengan lebih kerap pada bulan-bulan di luar Ramadan juga.
Tinggalkan Komen Anda..
Alhamdullilah satu kajian yg baik utk kita amalkan
Alhamdulillah