Hijrah Ke Arah Kebaikan Itu Pengorbanan Yang Sukar, Tapi Juga Perjalanan Paling Indah Dalam Hidup Kita!

hijrah ke arah kebaikan
Adakah kita bersedia melakukan hijrah dalam hidup kita? * image by RhymeLawliet

Dalam kita berniat untuk berhijrah, kadang-kadang ada angin munafik sepoi-sepoi hadir dalam hati kita.

Bisikan-bisikan ke halwa telinga sehingga akal menerbitkan rasa ingin bertangguh dan bertangguh lagi.

Dari situ, bermulalah perdebatan antara akal yang terbatas dengan kebenaran yang sudah terang lagi bersuluh. Mengapa jadi begitu?

Adakah wajar kita menyalahkan ibubapa kerana kurang memberi perhatian terhadap pendidikan agama kepada kita semenjak kecil?

Tidak, itu mungkin dosa mereka.

Usah ditambah lagi belenggu dosa-dosa yang sudahpun sarat terkandung di dalam akaun pahala-dosa kita.

Mintakan sahaja ampunan bagi mereka.

Mudah-mudahan Allah mengampunkan ketelanjuran mereka.

Bangkitlah! Dengarkan tangisan jiwa yang meronta-ronta meminta kita kembali kepada Tuhan.

Usah biarkan jiwa-jiwa kita terperangkap dalam penjara nafsu dan godaan syaitan yang lemah.

 

Mulakanlah langkah untuk berhijrah, sekalipun harus mengengsot!

Tanya pada diri dari jiwa yang paling dalam, sampai bila aku harus begini?

Sampai bila aku harus terus derhaka pada Allah yang telah menciptakan aku dari air mani yang hina? Istighfar dan menangislah.

Ingatlah bahawa sakaratul maut itu kiamat yang paling hampir dengan diri kita.

Sekujur badan, dari urat-urat kaki yang bakal menjadi kebiruan saat ajal dicabut malaikat maut yang bernama Izrail, sehingga ke urat halkum.

Itulah hakikat yang tidak boleh kita sangkal lagi, boleh terjadi pada bila-bila masa sahaja! Bayangkanlah!

Berhijrahlah.

Usah ditangguh lagi. Usah tertipu lagi.

Berhentilah menyeksa batin yang meronta-ronta meminta dikembalikan kepada Tuhannya.

Indahnya berhijrah, jangan pernah mimpi untuk dapatkannya selagimana kita masih bertangguh, dan asyik bertangguh sehingga kita tertipu dengan janji palsu yang dibuat oleh diri kita sendiri!

Mulakanlah langkah untuk berhijrah kepada Allah dan RasulNya dengan hati dan jiwa yang terbuka.

 

Bagaimana memulakan langkah untuk berhijrah?

Memang tidak dinafikan, kebanyakan kita tidak terbimbing kerana kurangnya usaha mencari-gali ilmu.

Ilmu itu harus yang bagaimana? Beli buku yang banyak dan baca seharian sehingga naik jemu?

Tidak.

Ilmu itu tidak semestinya harus daripada buku sahaja.

Namun, jika kita perhatikan kembali, apakah perintah pertama yang diwahyukan kepada Rasulullah s.a.w melalui perantaraan malaikat Jibrail a.s?

Iqra’! (Bacalah!).

Itulah wahyu yang pertama diturunkan kepada Nabi kita, Muhammad s.a.w.

Oleh itu, kepada anda yang sedang mencari petunjuk dan bimbingan, di sini saya kongsikan apakah rahsia untuk kekal (istiqomah setelah) berhijrah.

Semoga dengan pembacaan saudara-saudari sekalian melalui penulisan yang sangat dhaif ini, serba sedikit dapat memberi dorongan dan semangat untuk anda yang masih terkapai-kapai mencari cahaya hijrah. InsyaAllah.

Sebelum memulakan langkah, berniatlah untuk berhijrah keranaNya semata-mata, bukan kerana nafsu.

Usah berkira-kira denganNya untuk memulakan langkah. Usah memilih jalan berhijrah yang didorongi hawa nafsu!

Agama itu bukan untuk dipilih-pilih yang mana satu pilihan qalbu.

Agama itu bukan selayaknya dipilih menurut hawa nafsu kita.

Bukan seperti kita memilih makanan; yang mana kita sukai, kita ambil dan jamu.. dan yang mana kita tidak sukai, kita tinggalkan atau buang sahaja.

Jangan begitu, wahai jiwa-jiwa yang meronta mencari ketenangan!

 

Sekarang rujuk semula rukun Islam dari nombor satu.

Rukun Islam yang pertama adalah syahadah.

Yang ini saya pasti anda sudah lulus (boleh menyebutnya dengan tepat), bukan?

 

Lihat pula rukun Islam yang kedua.

Bukankah solat lima waktu adalah rukun Islam yang kedua?

Rahsia untuk istiqomah setelah berhijrah itu sebenarnya cuma satu (mengikut pengalaman sendiri).

Pernah tak anda mengamalkan sesuatu (ibadah) dan meninggalkan yang lain dalam waktu yang sama?

Contohnya, berpuasa tetapi tidak menunaikan solat. Berpuasa, tetapi tidak menutup aurat. Banyak bersedekah, tetapi tidak menunaikan solat. Suka membaca al-Qur’an, tetapi tidak menutup aurat.

Amalan wajib dikerjakan sementara amalan yang wajib lain ditinggalkan. Atau amalan wajib ditinggalkan sementara amalan sunat digandakan.

Adakah anda antara yang seperti saya nyatakan di atas?

Jika ya, maka itulah yang dimaksudkan sebagai agama yang dipilih menurut hawa nafsu.

Oleh itu, apakah satu rahsia yang saya maksudkan untuk istiqomah?

Rahsianya ialah solat lima waktu.

Jagalah solat sehingga dapat merasakan nikmat khusyuk dan kemanisan memeliharanya dalam kehidupan seharian.

Jangan pernah meninggalkannya sekalipun harus mengengsot ke tempat wudhuk kerana sifat malas yang telah menguasai diri.

Jika direnungi kembali, untuk menjaganya tidaklah sampai harus mengengsot kerana terlalu malas, bukan?

Berhentilah memperhambakan diri kepada selain Allah dengan meninggalkan solat.

Sekiranya anda meninggalkan solat ketika melaksanakan sesuatu tugasan, bermakna anda sedang memperhambakan diri kepada tugasan itu dan telah menduakan Allah!

Solat itu adalah tujuan utama Allah ciptakan kita.

Allah berfirman (yang bermaksud);

“Tidaklah Ku ciptakan jin dan manusia kecuali supaya mereka beribadah kepada-Ku.” [QS. adz-Dzariyat: 56]

“dan ibadah yang paling agung di sisi Allah adalah solat!”Ustaz Don Daniyal bin Don Biyajid.

Sesuai dengan ungkapan yang biasa kita dengar, ‘hijrah itu pengorbanan’.

Sekiranya tiada pengorbanan, usah bermimpi di siang hari untuk mendapatkan hasilnya yang lumayan.

Dan hasil yang lumayan itu adalah ‘istiqomah’, kemanisan iman, ketenangan, nikmat Islam dan ganjaran dari Allah di akhirat kelak.

Sebelum anda berniat untuk kekal hijrah dengan sesebuah amalan, mulakanlah dahulu dengan menjaga solat lima waktu.

Usah mulakan dengan memakai tudung terlebih dahulu, kerana dari solatlah juga aurat itu akan terpelihara dengan sempurna. Percayalah!

Dengan terjaganya solat, Allah akan terus membimbing kita ke jalan yang benar.

Perlahan-lahan dan sedikit demi sedikit anda akan dapat merasakan ketenangan dan dapat ‘melihat’ cahaya yang indah yang tidak akan ada lagi perkara selain Islam yang anda akan nampak lebih indah.

Kerana sesungguhnya Islam itu terlalu indah dan tiada yang lebih indah daripada nikmat Islam dan iman.

Sekiranya dengan memakai tudung dahulu langkah dimulakan, maka tidak mustahil hanya tudung sahajalah yang akan kekal, sedangkan aurat itu bukan sekadar rambut dan leher.

Sekiranya hijrah dimulakan dengan berpuasa terlebih dahulu, maka tidak mustahil hanya puasalah yang akan kekal, padahal solat lima waktu itu adalah rukun yang lebih atas daripada puasa.

Sekiranya langkah untuk mulakan hijrah dimulakan dengan membaca al-Qur’an, maka tidak mustahil hanya membaca al-Qur’an sahajalah yang akan kekal, isinya tidak diamalkan, sedangkan Kalamullah itu terkandung ayat-ayat yang memerintahkan kita untuk solat.

Dan begitulah seterusnya jika kita hanya memilih untuk berhijrah yang didorongi oleh hawa nafsu.

Usah begitu, wahai jiwa-jiwa yang merintih!

Namun, bukanlah bererti saya meninggi diri dan merendah-rendahkan setiap hamba yang berusaha menjadi yang lebih baik.

Kerana boleh jadi ia baik untuk saya, tetapi tidak baik untuk anda, dan begitu juga sebaliknya.

Tidak mustahil juga jika memulakan hijrah melalui pembacaan al-Qur’an, setelah itu timbul kesedaran untuk istiqomah beramal dengan isi-isinya yang telah dibacakan.

Kerana wahyu yang pertama diturunkan kepada Rasulullah s.a.w adalah perintah membaca.

Tetapi melalui penulisan ini, saya menyeru sekalian pembaca yang memerlukan bimbingan, untuk berfikir dan muhasabahkan diri sejenak dengan apa yang telah saya kongsikan.

Sudah berapa ramai dalam kalangan kita yang terjebak dengan permasalahan agama seperti ini?

Mengambil agama apabila berasa senang dengannya, dan melupakannya apabila berasa tidak senang dengannya.

Sebab itulah saya kongsikan melalui pengalaman saya sendiri memulakan penghijrahan beberapa tahun yang lalu.

Jangan lupa jaga akhlak juga! Kerana daripada akhlaklah punca amal soleh kita diterima Allah, insyaAllah.

Rasulullah s.a.w bersabda: إنما بعثت لأتم صالح الاخلق
”Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang soleh”. (HR: Bukhari dalam sahih Bukhari kitab adab, Baihaqi dalam kitab syu’bil Iman dan Hakim).

Ayat-ayat tafsir al-Qur’an di bawah saya lampirkan sekali sebagai peringatan serta panduan untuk kita semua termasuk diri saya sendiri.

Semoga saya, dan kita semua dapat istiqomah sehingga sampainya satu saat di mana tiada lagi taubat diterima oleh Allah, iaitu ketika malaikat Izrail hadir di sisi tanpa diundang.

Amin ya rabbal a’lamin.

Wallahua’lam bisowab.

Sekian, semoga bermanfaat.

Selawat serta salam kepada junjungan besar kita, Nabi Muhammad s.a.w serta kaum kerabat dan para sahabat baginda, semoga Allah merahmati mereka semua. Amin.

Allahumma solli a’la sayyidina Muhammad, wa a’la alihi wasohbihi wabarik wasallim.

“Bacalah kitab (al-Qur’an) yang telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan laksanakanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan) keji dan mungkar. Dan (ketahuilah) mengingati Allah (solat) itu lebih besar (keutamaannya dari ibadah lain). Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.”[Surah al-Ankabut, ayat 45]

“Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) dengan sia-sia (tanpa tujuan)? Dan kamu (menyangka pula) bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?”[Surah al-Mu’minun, ayat 115]

“Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.”[Surah As-Saff, ayat 2-3]

“Dan mereka berkata: ‘Kami sekali-kali tidak akan disentuh oleh api neraka, kecuali selama beberapa hari sahaja, “Katakanlah; ‘Sudahkah kamu menerima janji dari Allah sehingga Allah tidak akan memungkiri janjiNya, ataukah kamu hanya mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui?’ (Bukan demikian), yang benar; barangsiapa berbuat dosa dan ia telah diliputi oleh dosanya, mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.”[Surah al-Baqarah, ayat 80-81]

“Bagi setiap umat telah Kami tetapkan syariat yang tertentu yang (mesti) mereka amalkan, maka tidak selayaknya mereka membantah dengan engkau (wahai Muhammad) dalam urusan (syariat) ini, dan serulah (mereka) kepada Tuhanmu. Sungguh, engkau berada di jalan yang lurus.”[Surah al-Hajj, ayat 67]

“Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan di dunia itu hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-bangga tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanaman-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman-tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keredhaanNya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.”[Surah al-Hadid, ayat 20]

“Maka bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya yang kamu mampu.” [Surah at-Taghabun, ayat 16]

“Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang-orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara).” [Surah an-Nahl, ayat 43]

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya ia merupakan musuh yang nyata bagi kamu.”[Surah al-Baqarah, ayat 208]

“Dan mintalah pertolongan kepada Allah dengan jalan sabar dan solat. Dan sesungguhnya hal itu amatlah berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk, (iaitu) orang-orang yang meyakini bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya.”[Surah al-Baqarah, ayat 45-46]

“Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang-orang yang mengerjakan kejahatan (dosa) kerana kejahilan, yang kemudian mereka bertaubat dengan segera, maka mereka itulah yang diterima Allah taubatnya; Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Dan tidaklah taubat itu diterima Allah dari orang-orang yang mengerjakan kejahatan (dosa) yang hingga apabila dating ajal kepada seseorang di antara mereka, (barulah) ia mengatakan, “Sesungguhnya saya bertaubat sekarang.” Dan tidak (pula diterima taubat) orang-orang yang mati sedang mereka di dalam kekafiran. Bagi orang-orang itu telah Kami sediakan seksa yang pedih.”[Surah an-Nisa’, ayat 17-18]

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menetapi kebenaran.” [Surah al-‘Asr, ayat 1-3]

Artikel ini ditulis oleh Fatin Farhanah Bt Repini untuk dikongsikan bersama pembaca laman ini. Semoga apa yang disampaikan dapat memberi manfaat kepada anda.

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

7 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
halimatus
halimatus
3 tahun yang lalu

Assalamualakum akhi, terimakasih ats sharing yang superb ini dan mintak izin utk share ilmu ini

nurul
nurul
4 tahun yang lalu

Doakan saya kuat untuk berhijrah.. Semoga penulis dipanjangkan umur dan dapat menulis artikal yang boleh menjentik hati sesiapa yg membacanya… Terima kasih

rokstar
rokstar
8 tahun yang lalu

assalamualaikum…sy seorng Y DAH BERISteri…sy nak tanya kalau isteri melawan cakap knapa ya,..

rokstar
rokstar
8 tahun yang lalu

dfetgr6u56

Erfansyah Ahmad
Erfansyah Ahmad
8 tahun yang lalu

#1Masterpiece

Ara
Ara
8 tahun yang lalu

Assalamualaikum, Subhanalllah, Alhamdulillah…sesungguhnya benar wahai penulis… mulakan hijrah dengan solat.Solat itu yang dapat menjauh kita drpd sifat keji mungkar..saya disitu ..dan..sesungguhnya….solat itu sungguh indah..saya dapat rasai nikmat Allah..subhanaallah…alhamdulillah…ya Allah ampunkan dosa kami..

Jazakallah bikhoir..

Violet Ana
Violet Ana
8 tahun yang lalu

Alhamdulillah dan jazakallah atas ilham yg Allah berikn melalui anda..tepat pd masanya..