Harta, Umur, Ilmu, Tubuh Badan – 4 Akar Penting Kehidupan Muslim

harta
Harta, Ilmu, Tubuh Badan | Merge with Nature XIX by djailledie

Asas di dalam agama Islam adalah, mempercayai serta meyakini hari kiamat.

Dengan wujudnya asas ini adalah kerana ingin mengajak umat manusia supaya tidak berputus asa dengan cabaran yang dihadapi semasa menjalani kehidupan di dunia.

Juga, agama Islam ingin membantu setiap insan dengan memberi dorongan, sokongan, kepercayaan, malah harapan yang berterusan.

Kita yang beragama Islam, semestinya sudah tahu akan hal-hal sebegini. Kepercayaan hari kiamat, adalah sebahagian daripada akar keimanan.

Untuk memperkukuhkan sebatang pokok, kita seharusnya terlebih dahulu memperkukuhkan akarnya.

Begitulah istilahnya pada diri kita. Untuk menggagahkan diri, kita harus mempersiapkan diri sendiri. Antaranya :-

UMUR

Perjalanan hidup kita berbeza.

Ada orang yang diberikan peluang untuk hidup lebih lama. Berpuluh-puluh tahun. Ada juga yang sampai ke ratusan tahun.

Namun, ianya tidak ramai. Tetapi, beruntunglah jika diberikan sedikit peluang berbanding dengan insan yang hidupnya hanya seketika cuma.

Tegasnya, umur merupakan satu perkara yang terpenting dalam hidup kita. Tidak kira umur kita banyak, ataupun sedikit.

Yang membuatkan kita bersyukur dan gembira dengan umur kita ini adalah dengan kita mendirikannya dengan sebaik mungkin.

Bukan dengan perkara yang sia-sia.

Kita memperhiasi umur dengan beribadah kepadaNya.

Semakin meningkat umur, semakin bertambah amal. Semakin melonjak umur, semakin bertambah baik akhlak. Semakin meninggi umur, semakin dekat dengan Tuhan.

Tanyakan, untuk apa dihabiskan dengan umur kita?

ILMU

Ilmu akan membawa seseorang itu keluar daripada dunia gelap ke dunia terang. Namun, dalam keluasan mendalami ilmu, amal itu adalah bukti seseorang itu berilmu.

Dan agama Islam sangat menekankan umatnya supaya sentiasa konsisten dalam beramal sekalipun sedikit. Dalam beramal, ianya memerlukan ilmu agar amal yang dikerjakan itu tidak menyeleweng, tidak sesat.

Jadi, pada hari ini ramai di antara kita yang sudah semestinya berkelulusan.

Namun, kelulusan dengan berteraskan status dunia itu bukan jaminan kita untuk masuk ke dalam syurga Allah dengan percuma.

Sebaliknya, dengan banyaknya ilmu yang kita peroleh, semakin kita rasa bertanggungjawab terhadap orang lain.

Tanyakan, untuk apa dilakukan oleh ilmu kita?

HARTA

Jangan terlalu taksub dalam mendefinisikan harta kita dengan duit, wang.

Ya, wang adalah sebahagian daripada harta kita. Tetapi tidak semua orang memiliki wang. Sepertimana seorang anak kecil yang masih belum bekerja dan belum menerima wang.

Ada kalanya, harta tidak dinisbahkan dengan duit. Ia boleh jadi perkara lain seperti makanan contohnya.

Harta walaupun ianya sebutir cuma, ianya tetap bernilai buat diri kita juga buat insan lain. Nilaian yang berbeza daripada perspektif kita.

Dan harta yang sangat bernilai, adalah harta baik buat diri, keluarga, jiran, masyarakat, dan negara.

Namun, untuk memperolehi harta yang baik, kita meski sedar akan sumber harta pencarian kita.

Tanyakan, dari mana kita memperolehi harta?

TUBUH BADAN

Andai diri masih lagi mampu berkata, menghidu, melihat, mendengar, memegang, dan berjalan, gunakanlah ia sebaik mungkin. Kerana orang lain tidak mampu.

Mungkin terdapat sedikit kekurangan pada anggota tubuh badan. Dan yang paling penting, mereka tidak menginginkan serta meminta untuk begitu.

Jadi kita yang masih lagi diberikan kurniaan Tuhan yang sarat dengan nikmat ini, jangan kita mengabaikannya.

Jangan sesekali kita cuba merosakkannya dengan perlakuan-perlakuan yang dilarang oleh Allah SWT.

Tanyakan, bagaimana kita menggunakannya?

Umur, ilmu, harta, dan tubuh badan, kesemuanya adalah aset yang penting serta bernilai buat diri kita.

Dan kita pasti, suatu hari nanti, apabila kita berhadapan dengan Allah SWT, kita akan disoal siasat.

Pada waktu itu, segala jawapan mesti dijawab dengan baik dan benar.

Sekiranya mulut kita cuba berdusta, maka Allah SWT akan menguncinya dan membiarkan anggota badan yang lain pula untuk berbicara.

Maka sudahkah kita menyiapkan diri? Sudahkah kita bermuhasabah? Sudahkah kita menghitung diri sebelum diperhitungkan di hadapan Allah SWT?

******

Artikel ini adalah kiriman ke inbox emel kami olehΒ Mohamad Nasiruddin Bin AmirΒ . Semoga memberi manfaat kepada semua pembaca AI. Barakallah fii kum =)

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments