
Bagaimana jika kita tertinggal rukun atau perbuatan dalam solat dan hanya tersedar selepas salam?
Dalam artikel ini, saya melampirkan jawapan yang pernah dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus dihalaman facebook beliau.
Semoga bermanfaat.
SOALAN:
Selepas memberi salam baru kita teringat telah tinggal satu rukun contohnya fatihah adakah boleh kita masuk semula atau kena qadha semua sekali dari awal solat?
JAWAPAN:
Seorang yang telah memberi salam dari solatnya kemudian baru teringat dia telah meninggalkan satu rukun maka hendaklah ia masuk semula di dalam solat dengan syarat belum lagi panjang jarak masa antara beri salam dan teringatnya itu atau belum lagi dia lakukan perkara yang membatalkan solat seperti makan dan minum atau memegang najis.
Berkata Imam Nawawi :
فلو تذكر بعده – أي السلام – أنه ترك ركنا بنى على ما فعله إن لم يطل الفصل ولم يطأ نجاسة
Maksudnya :
Maka jika teringat seorang itu selepas beri salam bahawa dia telah meninggalkan satu rukun maka sambunglah atas apa yang dia tinggal itu selama belum lagi lama perceraian dan tidak menyentuh ia akan najis.”
(Kitab Ar-Raudhah)
Dan tidak mengapa jika selepas dari salam itu telah berpusing dari kiblat atau berjalan sedikit atau berkata-kata sedikit.
Tersebut pada kitab I’anah At-Talibin :
وخرج بالشك ما لو تيقن ترك فرض بعد سلام فيجب البناء ما لم يطل الفصل، أو يطأ نجسا، وإن استدبر القبلة أو تكلم أو مشى قليلا.
Maksudnya :
Dan keluar dengan syak itu perkara yang diyakinkan tinggal satu rukun kemudian daripada beri salam maka hendaklah menyambung tempat tertinggal itu selama belum panjang perceraian atau belum terkena najis sekalipun telah berpaling dari kiblat atau berkata atau berjalan sedikit.”
Oleh itu jika sudah panjang masa perceraian antara beri salam dan teringat itu nescaya tidak boleh lagi ia menyambung sembahyangnya itu tetapi wajiblah dimulakan dari awal.
Kadar Masa Perceraian
Para fuqaha’ berselisih pada kadar lama manakah yang dikatakan panjang perceraian dari masa beri salam kepada masa teringat itu.
Menurut wajah yang paling kuat ialah jika jarak antara memberi salam dengan masa teringat itu sekurang-kurang sempat serakaat sembahyang yang ringkas maka itu sudah dikira panjang dan jika kurang dari itu dikira tidak panjang perceraian.
Tersebut pada kitab Hilyatul Ulamak Fi Ma’rifati Mazahibi Al-Fuqahak:
نسي ركعة من ركعات الصلاة وذكرها بعد السلام فإن لم يتطاول الفصل أتى بها وبنى على صلاته وإن تطاول الفصل استأنفهاوفي حد التطاول أوجه أحدها قال أبو إسحاق إن مضى قدر ركعة فهو تطاول وقد نص عليه الشافعي رحمه الله في البويطي
Maksudnya :
Seorang terlupa satu rakaat dari rakaat-rakaat solat dan hanya teringat selepas memberi salam maka jika belum panjang masa perceraian hendaklah dia menyambung semula akan rakaat tersebut dan masuk ke dalam sembahyang dan jika sudah panjang masa perceraian maka hendaklalah ia mulai dari awal.
Dan pada kadar panjang mana itu menurut wajah yang paling kuat salah satunya ialah yang berkata oleh Abu Ishaq jika telah berlalu kadar satu rakaat maka ia dikira panjang.
Telah menaskan atasnya oleh Imam Syafie di dalam kitab Mukhtasar Al-Buwaithi.”
Disini Saya Buat Contoh Cara Untuk Masuk Semula ke Dalam Solat
Contoh Pertama:
Katakan seorang telah meninggalkan baca fatihah pada rakaat terakhir dan dia teringat selepas memberi salam maka hendaklah dia berdiri kemudian membaca fatihah sebab tadi dia terlupa membaca kemudian rukuk semula dan lakukan semua rukun yang selepas rukuk hingga kepada memberi salam.
Dan sunat dia lakukan dua kali sujud sahwi sebelum memberi salam.
Contoh Kedua:
Selepas memberi salam maka seorang itu baru teringat bahawa dia hanya kerjakan tiga rakaat sembahyang zuhur maka hendaklah dia berdiri dan baca fatihah kemudian rukuk kemudian iktidal dan turun sujud dan baca tahyat akhir serta sujud sahwi sebelum memberi salam.
Maka jadilah rakaat yang baharu ditambah ini sebagai rakaat yang kurang dari sembahyang zuhur tersebut.
Contoh Ketiga:
Dan kalau terlupa sujud dua kali dan teringat selepas memberi salam bahawa tadi dia hanya sujud sekali sahaja pada rakaat terahir maka hendaklah dia masuk dengan cara duduk kemudian sujud sekali sahaja dan membaca semula tahyat akhir dan sujud sahwi kemudian memberi salam.
Dan perlu diingat jika sudah panjang masa perceraiaan antara memberi salam dan teringat itu atau sudah makan minum atau terkena najis nescaya tidak boleh lagi disambung bahkan wajib dimulakan dari awal sembahyang.
Semoga dengan keterangan yang ringkas ini memberi faham kepada pihak tuan.
Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus
Sumber asal kepada jawapan ini boleh dilihat pada Facebook Ustaz Azhar Idrus pada pautan ini
Assalamualaikum ustz, jika seseorang terlupa sujud sahwi dan dia telah memberi salam, orang tersebut telah melakukan perkara yang sepatutnya membatalkan solat seperti pergerakan lebih 3 kali dan badan lari drpd kiblat. Dalam kes saya, saya terus buat banyak pergerakan seperti melipat sejadah…
Tetapi jarak pemisah solat tersebut belum lagi panjang kerana memang baru lepas salam dan belum lagi sampai 1 rakaat panjang, sata terus sujud sahwi dan menghabiskan solat.. apakah solat saya sah ustz?
Waalaikumussalam wbt.
Dalam mazhab Syafi‘e, jika puan sedar tertinggal rukun selepas salam dan belum lama pemisah serta belum buat perkara yang membatalkan solat, maka puan hanya menyambung (bina atas) solat yang tadi, bukan memulakan solat baru.
Jadi tidak perlu niat solat semula (dan tidak perlu takbiratul ihram baru). Cukup kembali ke tempat rukun yang tertinggal dan teruskan rukun-rukun selepasnya hingga selesai, kemudian salam. (Sujud sahwi juga disunatkan sebelum salam seperti dalam contoh.)
Namun jika sudah panjang terpisah atau sudah berlaku perkara yang membatalkan solat, maka tidak boleh sambung, dan perlu ulang solat dari awal dengan niat baharu.
Wallahu a‘lam.