Rukun Qauli, Fi’li dan Qalbi (Panduan Lengkap)

rukun qauli

Apakah itu rukun fi’li, qauli dan qalbi?

Rukun-rukun fi’li, qauli dan qalbi amat penting untuk difahami dalam solat.

Oleh itu:

Artikel ini akan menerangkan secara ringkas (tetapi lengkap) mengenai rukun fi’li, rukun qauli dan rukun qalbi.

Pembahagian Rukun Solat

Ibadah solat terdiri daripada 13 rukun.

Dalam 13 rukun solat tersebut, rukun-rukun ini terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu fi’li, qauli dan qalbi.

  • Maksud qalbi ialah hati
  • Maksud qauli pula ialah perkataan atau bacaan.
  • Manakala rukun fi’li ialah pergerakan atau perbuatan.

Baik, mari saya jelaskan melalui infografik di bawah..

rukun qauli dan fi'li

Rukun Qalbi

Rukun qalbi (hati) adalah melibatkan perkara yang perlu dilakukan dalam hati.

Antara perkara yang terdapat dalam rukun qalbi ada dua, iaitu:

  1. Niat
  2. Tertib

Rukun Qauli

Rukun qauli (perkataan atau bacaan) ialah rukun yang wajib didengari oleh telinga sendiri setiap bacaan lafaznya.

Jika tertinggal satu huruf, maka wajiblah diulangi bacaan itu.

YouTube video

Antara bacaan yang terlibat dengan rukun qauli ialah:

  1. Takbiratul Ihram (ucapan Allahu Akbar)
  2. Al Fatihah
  3. Tahiyat Akhir
  4. Selawat atas nabi
  5. Salam yang pertama

Bacaan sunat yang lain seperti zikir dan rukuk adalah tidak wajib didengari, tetapi jika didengarkan maka akan mendapat pahala bacaan.

Rukun Fi’li

Seperti yang telah diterangkan di atas, rukun fi’li adalah rukun pergerakan atau perbuatan.

Dalam rukun fi’li terdapat enam rukun.

Rukun tersebut adalah:

  1. Berdiri (qiam).
  2. Rukuk.
  3. Iktidal.
  4. Sujud.
  5. Duduk antara dua sujud.
  6. Duduk tahiyat akhir.

Jika terlupa atau tertinggal diantara rukun ini, maka perlu berpatah balik kepada rukun tersebut.

Namun, jika seseorang telah sampai pada rukun sama yang ditinggalkan itu pada rakaat seterusnya, contohnya dia terlupa rukuk di rakaat pertama, tetapi dia tersedar ketika telahpun melakukan rukuk di rakaat ke-2, maka rukuknya ketika itu menjadi rukuk rakaat pertama.

Dan perbuatan sebelumnya itu tidak dikira (menjadi lagha) (Fathul Mu’in)

Dalam solat berjemaah, jika seorang makmum tertinggal rukun fi’li, dia tidak boleh berpatah balik apabila imam sedang sama rukun dengannya.

Ini kerana makmum telah terikat dengan pergerakan imamnya.

Apa yang perlu adalah diteruskan sahaja ikutannya dengan imam.

Kemudian tambah rakaat lepas salam bagi menggantikan rakaat yang ketinggalan rukun itu.

Perkara Diharuskan Dalam Solat

Terdapat beberapa perkara yang diharuskan dalam solat.

Perkara tersebut adalah:

1. Bergerak atau berjalan ke hadapan atau ke belakang, ke kiri atau ke kanan sekiranya ada keperluan dengan syarat tidak sampai tiga pergerakan berturut-turut.

  • Apabila salah seorang ahli jemaah meninggalkan saf solat, makmum di belakang atau di sisi boleh bergerak ke tempat yang kosong itu.
  • Atau apabila najis cicak tiba-tiba terjatuh ke tempat sujud, maka diharuskan bergerak ke tempat lain untuk mengelakkan terkena najis yang menyebabkan batal solat.

2. Membunuh binatang berbisa yang membahayakan nyawa ketika sedang solat seperti lipan, ular dan kala jengking.


3. Mengingatkan imam yang terlupa ayat yang sedang dibacanya. Makmum boleh mengingatkan dengan membaca bacaan itu.


4. Membetulkan imam dengan niat berzikir apabila imam tersilap seperti tersalah bilangan atau terlupa bacaan al-Fatihah.

Makmum lelaki dibolehkan membetulkan imam dengan bertasbih (subhanallah).

Bagi makmum wanita, perlu memperbetulkan imam dengan menepuk tangan ke atas belakang tapak tangan kiri.


5. Membaca dengan melihat al-Quran. Seseorang yang tidak hafal surah atau ayat al-Quran yang hendak dibaca dalam solat, boleh melihat al-Quran atau lembaran kertas yang bertulis ayat tersebut.


6. Menggerakkan anggota badan seperti menggaru-garu di tempat yang gatal dengan syarat tidak sampai tiga kali berturut-turut.

Sekiranya menggaru menggunakan anggota kecil seperti jari, tidak mengapa apabila melebihi tiga kali.


7. Menangis yang tidak mengeluarkan bunyi dan tidak tersedu-sedu atau hingga bergerak-gerak badan. Menangis di sini adalah kerana takut dan rasa berdosa kepada Allah SWT.

Peringatan Dalam Solat

  1. Solat batal apabila makmum mendahului imam sebanyak dua rukun fi’li (perbuatan) dengan sengaja.

    Apabila makmum mendahului imam secara tidak sengaja seperti ketika bangun dari sujud dan dia mendapati imam masih sujud, dia perlu duduk menunggu imam yang sedang sujud dalam kedudukan itu.
  2. Melangkah dua langkah yang berturut-turut dalam solat, tidak batal solat, tetapi sekiranya melangkah tiga langkah berturut-turut maka solat itu batal.
  3. Menambah rukun fi’li seperti sujud atau rukuk yang berlebihan maka batal solatnya.
  4. Sesiapa yang solat menghala ke arah dinding, tiang atau apa-apa yang dibuat sebagai sekatan maka disunatkan dia menolak orang yang melintas di hadapanya jika jarak di antaranya dengan sekatan yang tersebut tidak lebih daripada tiga hasta yang sederhana.
  5. Melintas ke hadapan orang yang sedang solat itu hukumnya haram.
  6. Mengangkat muka ke langit hukumnya makruh.
  7. Makruh menahan buang air kecil atau besar atau angin (kentut)
  8. Makruh solat sekiranya makanan sudah dihidangkan dan perut terasa lapar.
  9. Meninggalkan salah satu rukun solat secara sengaja, solat akan terbatal.

    Sekiranya terlupa, tidak terbatal solat.

    Tetapi perlu ditambah rukun yang terkurang itu apabila ingat kembali. Contohnya seorang yang terlupa membaca tahiyat semasa duduk tahiyat akhir, sebaliknya membaca al-Fatihah.

    Apabila menyedari kesilapannya, dia perlu terus membaca tahiyat.

Penutup

Semoga artikel ini dapat membantu anda.

Jika anda ada sebarang persoalan, boleh tinggalkan pertanyaan tersebut pada ruangan komen di bawah.

InsyaaAllah saya akan cuba membantu.

Photo of author

Muhamad Naim

Penulis utama dan ketua editor. Menubuhkan web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

73 thoughts on “Rukun Qauli, Fi’li dan Qalbi (Panduan Lengkap)”

  1. Assalamualaikum ustaz. Jika kita ragu melafazkan salam “assalamualaikum” atau “assalamualaikom”, dan jika melafazkan “assalamualaikom”, ia kesalahan jali atau khofi ustaz? Adakah solat boleh jadi batal?

    Reply
  2. Assalamualaikun, tumpang tanya berkenaan terlupa rukun dan berpatah balik kepada rukun yang terlupa tu boleh diterangkan lagi tak dengan detail? Adakah rukun yang terlupa tu kita terus sahaja buat sebaik sahaja teringat? Contoh saya sedang duduk antara dua sujud dalam rakaat ketiga, kemudian saya ingat yang saya terlupa al fatihah untuk rakaat kedua, adakah saya terus bangun dan angkat takbir kemudian terus membaca al fatihah tersebut? bagaimana dengan rakaat ketiga saya tu? Minta dijelaskan lagi ustaz.

    Terima kasih in advance, minta maaf panjang persoalan saya.

    Reply
    • Waalaikumussalam warahmatullah, tuan.

      Terima kasih atas soalan yang terperinci.
      Ringkasnya begini:

      1/ Al‑Fatihah ialah rukun tiap‑tiap rakaat. Jika tertinggal, rakaat itu belum lengkap.

      2/ Bila tuan sedar semasa duduk antara dua sujud rakaat ketiga bahawa Al‑Fatihah rakaat kedua tertinggal, terus bangun berdiri (takbir intiqal) dan baca Al‑Fatihah. Rukuk, i‘tidal serta sujud seperti biasa. Pada ketika itu, rakaat yang tuan sedang lengkapkan dianggap rakaat kedua; semua pergerakan sebelum ini selepas rukun yang tertinggal tidak diambil kira.

      3/ Seterusnya, teruskan solat hingga cukup jumlah rakaat (contohnya empat rakaat bagi Zuhur/Asar/Isyak).

      4/ Sebelum salam, lakukan sujud sahwi kerana berlaku penambahan atau pengurangan.

      5/ Jika tuan baru teringat selepas salam (belum bercakap atau beralih tempat), bangun tambah satu rakaat ganti rakaat cacat itu, sujud sahwi, kemudian salam semula. Jika sudah lama berlalu atau terlibat percakapan, solat wajar diulang dari awal.

      Semoga membantu, dan Allah mempermudah ibadah tuan.

      Wallahu a‘lam.

      Reply
      • Alhamdulillah jelas dan faham ustaz, terima kasih banyak atas penjelasan tersebut. semoga ustaz dirahmati amin

        Reply
  3. Assalamualaikun, tumpang tanya berkenaan terlupa rukun dan berpatah balik kepada rukun yang terlupa tu boleh diterangkan lagi tak dengan detail? Adakah rukun yang terlupa tu kita terus sahaja buat sebaik sahaja teringat? Contoh saya sedang duduk antara dua sujud dalam rakaat ketiga, kemudian saya ingat yang saya terlupa al fatihah untuk rakaat kedua, adakah saya terus bangun dan angkat takbir kemudian terus membaca al fatihah tersebut? bagaimana dengan rakaat ketiga saya tu? Minta dijelaskan lagi ustaz.

    Terima kasih in advance, minta maaf panjang persoalan saya.

    Reply
  4. Assalamualaikum ustaz saya mau bertanya bagai mna rukun mengambil wudhu apa kah sah wudhu seseorang apa bila membaca niat waktu membasuh tangan,

    Reply
    • Walaikumsalam,

      Menurut mazhab Syafie, rukun wudu ada enam, termasuk niat yang harus dilakukan ketika membasuh muka, bukan ketika membasuh tangan. Rukun-rukun wudu dalam mazhab Syafie adalah niat ketika membasuh muka, membasuh muka, membasuh kedua tangan hingga siku, mengusap sebahagian kepala, membasuh kedua kaki hingga mata kaki, dan melakukan semua ini secara tertib.

      Oleh itu, niat wudu seharusnya dihadirkan di dalam hati pada saat membasuh muka, bukan pada saat membasuh tangan. Jadi, jika awak membaca niat ketika membasuh tangan, wudu tersebut mungkin tidak sah menurut mazhab Syafie.

      Wallahu a’lam.

      Reply

Leave a Comment