
Bagaimana cara dan bacaan Sujud Sahwi?
Panduan ini akan menerangkan bacaan dan cara sujud sahwi dengan betul, secara langkah demi langkah.
Setiap bacaan juga dipermudahkan dengan ejaan Rumi bagi memudahkan anda yang tidak boleh membaca tulisan arab.
Semoga membantu.
Pengenalan

Salah satu sifat semulajadi manusia adalah lupa.
Setiap individu tanpa mengira darjat dan kedudukan pasti pernah terlupa. Malah Rasulullah SAW yang mulia juga tidak dapat lari daripada sifat ini.
Selain dalam kehidupan biasa, kita juga boleh terlupa ketika bersolat, sama ada meninggalkan rukun atau sunat, atau terlupa rakaat yang dikerjakan atau terlebih.
Diriwayatkan Rasulullah SAW pernah terlebih rakaat dalam solat kemudian Baginda bersujud sahwi.
Abdullah r.a menceritakan daripada ibrahim r.a katanya:
Rasulullah SAW telah bersolat dan menambah rakaat atau kurang. Selepas baginda memberi salam, kami bertanya “Wahai Rasulullah, adakah berlaku perubahan dalam solat?” Baginda menjawab,”Jika berlaku perubahan pasti saya akan maklumkan kepada kamu. Tetapi saya juga hanya manusia yang lupa sebagaimana kamu lupa. Sesiapa dikalangan kamu yang merasa syak dalam solatnya hendaklah dia mengambil yang lebih tepat dan kemudian sempurnakannya. Setelah itu hendaklah dia memberi salam lalu bersujud dengan dua kali sujud.
Riwayat al-Nasa’i dalam Sunan al-Nasa’i, kitab Sahwi
Oleh itu, pensyariatan sujud sahwi adalah pengiktirafan Allah kepada sifat kemanusiaan hambaNya yang pelupa.
Selain itu, ia juga menonjolkan kelebihan mengapa Allah mengutuskan seorang rasul yang bersifat manusia kepada manusia lain sebagai panduan dan bimbingan.
Sekiranya Allah mengutuskan malaikat, sudah tentu manusia tidak dapat mengikutnya.
Maksud Sujud Sahwi
Apakah maksud sujud sahwi?
Sahwi disini bermaksud lupa atau lalai terhadap sesuatu, atau meninggalkan sesuatu secara tidak sengaja.
Dari segi syarak pula:
Sahwi bermaksud kecacatan atau kekurangan yang dilakukan oleh orang yang bersolat dalam solatnya sama ada dengan sengaja atau terlupa.
Oleh itu, sujud sahwi bertujuan untuk menutup kekurangan yang terjadi akibat kelupaan tersebut.
Sujud ini merupakan dua sujud tambahan yang dilakukan selepas selesai Tahiyat Akhir dan sebelum memberi salam.
Hukum Sujud Sahwi

Apakah hukum sujud sahwi?
Hukum sujud sahwi adalah sunat muakkad.
Dan tidak terbatal solat jika terlupa atau sengaja tidak melakukannya.
Dalil hukum ini adalah berdasarkan kepada perbuatan Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Abu Hurairah r.a, katanya:
Nabi SAW bersolat Zuhur atau Asar bersama dengan kami, kemudian Baginda memberi salam (selepas dua rakaat). Lalu Zul-Yadain bertanya; ‘Wahai Rasulullah, adakah solat telah dikurangkan?’. Nabi SAW bertanya kepada sahabat-sahabatnya: ‘Benarkah apakah yang dikatakannya?’ Mereka menjawab: ‘Ya’. Lalu Baginda bersolat dua rakaat dan setelah itu bersujud sebanyak dua kali. Saad (bin Ibrahim) berkata: ‘Saya melihat ‘Urwah bin al-Zubair bersolat maghrib dua rakaat dan memberi salam. Dia bercakap-cakap, kemudian bersolat rakaat yang tertinggal serta dua kali sujud’. Katanya: ‘Demikiankah yang dilakukan oleh Nabi SAW’
(Riwayat al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari, Kitab Jumaat: Bab jika salam pada rakaat kedua atau ketiga, hendaklah sujud)
Sebab Kena Sujud Sahwi

Apakah sebab sujud sahwi dilakukan?
Terdapat beberapa keadaan yang disunatkan untuk melakukan sahwi:
1. Tertinggal Rukun Solat
Meninggalkan mana-mana rukun dalam solat, kecuali niat dan takbiratul ihram.
Jika seseorang yang sedang solat sujud tanpa rukuk, bererti dia telah meninggalkan satu rukun dalam solat.
Dia hendaklah bangun kembali dan rukuk, kemudian meneruskan semula solatnya seperti biasa.
Tetapi sekiranya seseorang itu terlupa berniat atau bertakbiratulihram, solatnya tidak sah dan perlu mengulanginya semula.
2. Ragu-Ragu Terhadap Bilangan Rakaat Dalam Solat
Bagaimana jika kita tidak pasti bilangan rakaat dalam solat?
Contohnya, apabila berada di rakaat akhir, tiba-tiba dia keliru sama ada telah melakukan empat rakaat atau tiga rakaat.
Dalam keadaan ragu ini, dia hendaklah mengira rakaat yang paling sedikit.
Setelah itu, dia juga disunatkan melakukan sujud untuk menampung kalau-kalau dia melakukan lebih rakaat.
Imam Muslim meriwayatkan daripada Abu Said r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Apabila seseorang berasa ragu-ragu dalam solatnya, dan tidak mengetahui berapa rakaat yang telah dilakukannya, tiga atau empat rakaat, hendaklah dia menghilangkan perasaan ragu-ragu itu dan mengambil apa yang diyakini (iaitu tiga rakaat) dan kemudian sujud dua kali sebelum memberi salam. Jika dia sebenarnya bersolat lima rakaat, maka ia melengkapkan solat tersebut. Sekiranya solatnya cukup empat rakaat, sujudnya itu adalah untuk mencela syaitan.
(Riwayat Muslim dalam Sahih Muslim, kitab Masjid dan tempat-tempat solat: Bab lupa dalam solat dan sahwi)
3. Meninggalkan Sunat Ab’adh
Apakah yang dimaksudkan dengan sunat ab’adh?
Sunat-sunat ab’adh adalah seperti berikut:
- Tahiyat awal (pertama)
- Selawat ke atas Nabi SAW dalam tahiyat awal
- Duduk tahiyat / tasyahud awal
- Doa qunut pada rakaat kedua solat subuh dan pada solat witir yang terakhir sejak malam 15 hingga akhir bulan Ramadhan.
- Selawat ke atas Nabi SAW dalam qunut
- Selawat ke atas ahli keluarga Nabi SAW dalam qunut
- Berdiri semasa berqunut
- Selawat ke atas keluarga Nabi dalam tahiyat akhir.
4. Melakukan Perbuatan Yang Dilarang Dalam Solat
Disunatkan untuk melakukan sujud sahwi apabila melakukan perbuatan yang dilarang dalam solat secara tidak sengaja dan perbuatan tersebut tidak membatalkan solat.
Contohnya:
Bercakap dengan beberapa perkataan kerana terlupa atau menambah rakaat, dan kemudian teringat kembali ketika masih dalam solat.
Maka hendaklah dia bersujud.
5. Melakukan Rukun Bukan Pada Tempatnya
Melakukan satu rukun atau sebahagian rukun atau membaca surah bukan pada tempatnya.
Contohnya, seperti membaca al-Fatihah ketika rukuk, atau membaca tahiyat ketika berdiri.
Bacaan Sujud Sahwi
Bagaimanakah lafaz bacaan sujud sahwi?
Bacaan sujud sahwi adalah seperti berikut:

SubhaaNa Man Laa YaNaaMu Walaa Yas-Huu (3 kali)
Maksudnya:
Maha Suci Allah yang tidak tidur dan tidak lupa
Cara Melakukan Sujud Sahwi
Bagaimana cara melakukan sujud sahwi?
Tatacara urutan untuk melakukan sujud ini adalah seperti berikut:
Niat Sujud Sahwi
Orang yang hendak melakukan sujud ini hendaklah berniat malakukannya.
Dan ia hendaklah dilakukan di hujung solat sebelum salam atau selepas salam jika terlupa.
Lafaz niat sujud sahwi tidaklah ditentukan.
Anda boleh berniat dengan “sahaja aku melakukan sujud sahwi” di dalam hati.
Lakukan Sujud Sebanyak 2 Kali
Sujud Sahwi Pertama

1. Apabila selesai membaca tahiyat akhir dan sebelum salam, terus sujud untuk sujud sahwi pertama dan bacalah sebanyak tiga (3) kali:

SubhaaNa Man Laa YaNaaMu Walaa Yas-Huu (3 kali)
Maksudnya:
Maha Suci Allah yang tidak tidur dan tidak lupa
2. Sesudah itu, bangkit ke kedudukan antara dua sujud.

Sewaktu ini, boleh dibaca bacaan sebagaimana bacaan antara dua sujud solat fardu atau memadai dengan diam sahaja beserta tamakninah (diam sebentar).
Sujud Sahwi Kedua
3. Seterusnya lakukan sujud sahwi kedua dan bacalah sebagaimana sujud yang pertama tadi, juga sebanyak tiga (3) kali:

SubhaaNa Man Laa YaNaaMu Walaa Yas-Huu (3 kali)
Maksudnya:
Maha Suci Allah yang tidak tidur dan tidak lupa
3. Seterusnya mengakhiri solat dengan memberi salam

Selesai sujud yang kedua, duduklah kembali sebagaimana duduk tahiyat akhir dan terus mengucapkan salam.

Assalamu ‘Alaikum Warahmatullah
Maksudnya:
Keselamatan ke atas kamu dan rahmat Allah
Tempoh Untuk Melakukan Sujud Sahwi

Jika tempoh selepas memberi salam terlalu lama, maka luputlah sunat melakukan sahwi.
Tetapi jika dia baru teringat untuk melakukan sujud sahwi selepas memberi salam dalam jangka masa yang singkat, dia masih boleh melakukannya.
Dia hendaklah kembali sujud, duduk, sujud semula dan duduk serta memberi salam sekali lagi.
Anggaran tempoh yang dikira lama selepas salam ialah sekadar boleh mendirikan solat sunat dua rakaat yang ringan.
Masalah-Masalah Berhubung Sujud Sahwi
Berikut adalah beberapa masalah yang sering timbul berkaitan dengan sujud sahwi:
Terlupa Sujud Terakhir
Seseorang terlupa sujud terakhir pada rakaat yang terakhir, kemudian dia teringat sebelum salam.
Penyelesaian
Hendaklah dia kembali melakukan sujud tersebut, mengulangi bacaan tahiyat dan salam. Tetapi dia tidak perlu lagi buat sujud sahwi
Tidak Pasti Bilangan Sujud
Seseorang itu tidak pasti sama ada dia telah bersujud sekali atau dua kali ketika melakukan sujud sahwi.
Penyelesaian
Hendaklah dia sujud sekali lagi untuk meyakinkannya.
Tertinggal Perkara Rukun
Sekiranya seseorang tertinggal salah satu daripada rukun solat, solat tidak boleh ditutup dengan sahwi semata-mata.
Dia hendaklah terlebih dahulu melakukan rukun yang tertinggal itu sekiranya jarak tidak jauh dan dia teringat pada waktu sebelum memberi salam.
Contohnya, jika sesorang itu terus sujud dan terlupa untuk rukuk
Maka hendaklah dia bangun semula untuk melakukan rukuk dan barulah dilakukan sujud sahwi selepas tahiyat akhir sebelum salam.
Ataupun jika dia teringat selepas salam, seumpamanya, dia terlupa membaca al-fatihah pada mana-mana rakaat, walaupun ia telah bercakap sikit, maka bolehlah ia menyambung semula solatnya dengan menambah kekurangannya tadi dan disunatkan ia sahwi.
Terlupa Membaca Doa Qunut
Bagaimana jika seseorang terlupa membaca doa qunut, dan terus melakukan sujud.
Penyelesaian
Apabila seseorang itu terlupa melakukan salah satu antara sunat ab’adh, maka dia tidak boleh kembali melakukannya setelah masuk ke rukun seterusnya dengan sempurna.
Dalam sujud itu baru ia teringat, maka tidak boleh ia bangun semula untuk membaca doa qunut itu.
Tetapi kalau belum sempurna sujudnya, maka bolehlah ia bangun semula untuk berqunut.
Sekiranya dia sudah turun daripada iktidal (berdiri setelah rukuk) dan belum sampai had rukuk, maka ia bangun membaca qunut, dia tidak sunat melakukan sahwi.
Tetapi kalau sudah melampaui had rukuk, belum sampai sempurna sujud dia boleh kembali membaca doa qunut, tetapi sunat mengerjakan sujud sahwi.
Tersilap Baca Doa Qunut Sebelum Rukuk
Sekiranya seseorang membaca doa qunut sebelum rukuk, dia hendaklah membaca sekali lagi doa qunut selepas rukuk
Penyelesaian
Disunatkan sujud sahwi.
Ini kerana walaupun terdapat pendapat yang menyarankan membaca doa qunut sebelum rukuk kerana menurut pendapat mereka Rasulullah SAW pernah melakukannya, tetapi ini adalah pendapat segelintir ulama.
Sedangkan mereka yang berpendapat sebaliknya adalah jumhur ulama, bahkan ia mengikut amalan khulafa al-rasyidin.
Tertinggal Tahiyat Awal
Bagaimana jika seseorang itu terus bangun dan terlupa melakukan tahiyat awal?
Penyelesaian
Sekiranya seseorang teringat sebelum naik ke batas rukuk, maka bolehlah ia duduk membaca tahiyat dan tidak sunat melakukan sahwi.
Sekiranya dia teringat setelah naik ke batas rukuk, tetapi belum sempurna berdiri, maka sunat dia melakukan sahwi.
Sekiranya telah berdiri, maka tidak boleh turun semula.
Bahkan kalau dilakukan juga, maka solatnya terbatal.
Hanya disunatkan sujud sahwi sahaja untuk menampulkan sunat yang tertinggal itu.
Tidak Pasti Bilangan Rakaat
Apabila seseorang tidak pasti bilangan rakaat yang telah dilakukan.
Contohnya:
Seseorang yang bersolat zuhur, kemudian syak sama ada dia sudah melakukan 3 atau 4 rakaat.
Penyelesaian
Dia perlu mengambil bilangan yang sedikit, iaitu 3 rakaat dan menambah satu lagi rakaat serta disunatkan untuk melakukan sujud sahwi sebelum memberi salam.
Terlupa Sujud Sahwi
Sekiranya seseorang itu terlupa melakukan sahwi dan teringat hanya selepas memberi salam, maka bolehlah dia melakukan sahwi dengan syarat ingatan itu timbul dalam masa yang tidak terlalu lama.
Walau bagaimana pun, kalau tertinggal sujud sahwi itu, tidaklah menjejaskan solat kerana ia sunat sahaja.
Imam Terlupa Melakukan Sujud Sahwi
Sekiranya imam terlupa sujud sahwi, makmum bolehlah melakukan sahwi setelah imam memberi salam.
Penutup
Saya berharap panduan ini telah membantu anda memahami mengenai topik sujud sahwi.
Jika anda mempunyai sebarang persoalan berkaitan sujud sahwi, anda boleh tinggalkan pertanyaan tersebut di ruangan komen di bawah.
Assalamualaikum.. ustaz, kalau dah bca tahiyat lalu sujud sahwi 2x dan duduk tahiyat tp trbca tahiyat sekalinlg sah tak solat tu?
Wassalam.
Tidak apa jika tidak sengaja, tak batal solat.
Tapi jika sedar masa terbaca tu, maka wajib berhenti dan terus beri salam.
Salam. Saya juga ada soalan yang sama dengan saudari di atas.
Katakan saya tak sengaja terbaca bacaan tahiyat akhir, bila dah habis baru sedar, adakah perlu sujud sahwi semula atau terus beri salam?
Sunat untuk sujud sahwi lagi. Tapi jika terus beri salam pun tidak batal solat.
Alhamdulilah. Terima kasih untuk jawapannya, ustaz.
1 lagi soalan, semasa sujud pertama sujud sahwi, saya baca bacaan yg betul, tetapi bila dah bagi salam, baru tersedar yg saya terbaca bacaan rukuk pada sujud kedua tu, adakah saya perlu sujud sahwi sekali lagi?
Tidak perlu sebab dalam sujud sahwi tiada masalah baca bacaan rukuk yang biasa. Malah kalau diam sahaja pun sujud sahwi itu tetap sah.
Ooo ok, terima kasih utk penjelasan di atas. 1 lagi soalan, insyaAllah yang terakhir. Saya kadang2 akan tersasul sebut Bismillah lepas Al-Fatihah rakaat 3 @ 4. Tapi lepas sebut tu saya stop dan terus ruku macam biasa. Perlukah sujud sahwi?
Maaf banyak soalan saya. Saya sangat kurang ilmu agama.
Tidak perlu sujud sahwi sebab bismillah juga merupakan salah satu doa. ?
Terima kasih atas penjelasannya, ustaz. Semoga Allah merahmati ustaz dengan pahala yang banyak.
Boleh kah sujud sahwi lepas bagi salam?
Boleh. Tapi kena mula dengan takbiratul ihram dan rukuk dahulu.
Assalammualaikum USTAZ.. maaf tumpang tanya.. sama mcm situati yg soalan di atas Nabilah tu(terlupa nak sujud sahwi sblum salam…tp sedar selepas salam. mcm mana cara nk takbiratul ihram dan rukuk dahulu yg USTAZ bagi tahu tu ya?.sy tak berapa jelas..perlu berdiri takbir pastu rukuk dan terus sujud sahwi ke USTAZ?.. pastu kena bagi salam balik ke USTAZ?.
Dan takbiratul ihram tu perlu berdiri kembali?
Saya sujud terus nak bangun utk rakaat akhir, dgn keadaan yg masih duduk, tiba2 saya x pasti adakah saya sudah baca doa antara dua sujud, saya terus duduk kembali dan baca doa antara dua sujud dan sujud semula baru bangun utk rakaat akhir, apakah saya perlu sujud sahwi. T kasih
Ya disunatkan untuk buat sujud sahwi.
Klo sekadar sujud tp tak membaca ayat sujud sahwi tu boleh kah?
Boleh. Baca seperti bacaan sujud biasa pun boleh.
Trma ksh blsan nya Smoga Allah merahmati ustaz.. Dan smua yg mmbca ?
Sama-sama.
Terima kasih kerana mendoakan kebaikan kita semua.
Assalamualakum Tuan. Saya cuma nak cakap terima kasih atas perkongsian dalam blog ini. Saya memang selalu rujuk portal Tuan jika mengahadapi kekeliruan dalam bab solat. Terima kasih Tuan, saya doakam semoga Allah membalas jasa baik Tuan didunia dan akhirat.
Wassalam.
Alhamdulillah jika begitu. Dan terima kasih juga kerana sudi mendoakan kebaikan buat saya ?
Assalamualaikum Ustaz , Jikalau saya dah niat nak buat sujud sahwi diwaktu rakaat kedua , kerana ada perasaan ragu2 . Dan sebelom mengucap salam pada tahiyat akhir , saya buat sujud sahwi hanya sujud pertama sahaja . Sujud sahwi yang kedua saya terlupa . Bagaimana ya ustaz
Terima kasih ya ustaz?
Wassalam, tiada masalah. Sah sujud sahwi itu.
Assalamualaikum, saya nak bertanya kalau masa solat tak pasti dah tahiyat awal atau tidak tapi kalau tadi rasa dah buat maksudnya solat nya lengkap sebenarnya cuma ada rasa tiba tiba rasa ragu jadi kalau buat juga sujud sahwi apa hukumnya ya? terima kasih ya
Wassalam.
Kalau rasa syak tak buat tahiyat awal, maka buatlah sujud sahwi.
Kalau was-was sahaja tidak perlu layan.
Disebabkan Iman bacaan kurang jelas membuatkan saya terlupa untuk sujud kali ke dua pada rakaat pertama solat jumaat.
as salam ustz , apa hukum dia jika kita terlupa baca doa qunut pada solat subuh dan kita teringat pada rakaat terakhir tetapi kita tidak melakukan sujud sahwi ? terima kasih ustz .
Wassalam.
Solat subuh itu tetap sah.
Hukum melakukan doa qunut adalah sunat sahaja, dan melakukan sujud sahwi juga adalah sunat.
Assalamualaikum ustaz, saya nak tanya masa di rakaat yang keempat saya jadi lupa sama ada saya sujud sekali atau dah dua kali.. jadi apa yg sepatutnya saya buad ustz.. kena sujud sahwi terus ke atau baca tahiyat akhir dulu dan sebelum salam tu sujud sahwi dan bagi salam macam biasa?
Assalamualaikum ustaz, saya mahu tanya. Saya ada terlupa betul atau tidak bacaan allahu akbar saya masa solat subuh dan saya lakukan sujud sahwi untuk sempurnakan solat. Selepas mengetahui tujuan sebenar sujud sahwi, saya panik kerana saya tersalah tafsir. Saya dah tahu tapi selepas dengar penjelasan dari kawan saya, saya tersalah faham. Masih sahkah lagi solat saya? Perlukah saya qadakan solat subuh?
Assalamualaikum Ustaz jika terlupa ayat Dalam tahiyat akhir selepas Allahumma Solli ala Muhammad iaitu “Wa ala alii Muhammad” macam mana ustaz.
Assalamualaikum ustaz, saya ingin meminta izin panduan mengenai sujud sahwi ini dijadikan rujukan dalam tugasan sekolah saya..boleh saya tahu tarikh ustaz menulis artikel ini? Terima kasih ustaz?
Wassalam
Ya silakan, semoga membantu tugasan awak. Tarikh artikel ini ditulis adalah pada 7 November 2018
Assalamualaikum ustz, boleh tak terangkan cara bila teringat bahawa terlupa baca fatihah pada rakaat pertama selepas salam.
Wassalam.
Kena bangun dan tambah satu rakaat lagi, selepas itu sebelum beri salam buat sujud sahwi sebanyak 2 kali.
Assalamualaikum ustaz , sy terlupa tahiyat awal.. semasa rakaat 3 baru sedar sebelum memberi salam sy buat sujud sahwi tp tidak membaca ape² sah ke solat sy tu?sbb tak terfikir boleh baca ‘subahan narabbiyal a’la wabihamdi’ Mohon penjelasan..
Wassalam.
Ya sah solat.
Bacaan tersebut adalah sunat sahaja.
Alhamdullilah terima kasih ustaz ?
Sama-sama
Ustaz,saya membaca tahiyat awal pada rakaat ke 4 Selepas Salam baru sedara yang terbaca tahiyat awal.Macam mana nak buat sujud sahwi?
Tidak apa, solat awak sudah sah.
Tahiyat dikira sah walaupun awak baca tahiyat awal dalam tahiyat akhir.
Assalamualaikum saya ada persoalan sekiranya saya menjadi imam /makmum dan meletakkan slh satu rukun bukan pada tempatnya spt membaca Al-Fatihah ketika tahiyat Awal ,perlukah saya melakukan sujud sahwi
Wassalam,
Ya disunatkan untuk melakukan sujud sahwi.
Nak tanya sikit. Maaf ganggu.
Seseorang itu solat tetapi tak ingat samada dah sujud sekali ke dua kali. Jadi apa tindakan seterusnya kena lakukan. Tksh.
Dalam masalah ini, awak kena sujud sekali lagi untuk menghilangkan syak, dan seterusnya buat sujud sahwi sebelum memberi salam.
Jazakallahu Kheir atas perkongsian ilmu.
Sama-sama :-)
Assalamualaikum,
sekiranya direkaat ketiga selepas fatihah kita terbaca bismillah spt mahu baca surah lalu kita teringat dan berhenti dan teruskan solat. Adakah perlu sujud sahwi. Terima kasih
Wassalam,
Tidak perlu kerana ia bukan kesalahan dalam solat.
Ustaz kalau waktu sujud sahwi terbaca tahiyat akhir lagi sekali sah atau tidak solat
Tidak sah