CARA & BACAAN SUJUD SAHWI (Panduan Lengkap Rumi)

sujud sahwi

Bagaimana cara dan bacaan Sujud Sahwi?

Panduan ini akan menerangkan bacaan dan cara sujud sahwi dengan betul, secara langkah demi langkah.

Setiap bacaan juga dipermudahkan dengan ejaan Rumi bagi memudahkan anda yang tidak boleh membaca tulisan arab.

Semoga membantu.

Pengenalan

Salah satu sifat semulajadi manusia adalah lupa.

Setiap individu tanpa mengira darjat dan kedudukan pasti pernah terlupa. Malah Rasulullah SAW yang mulia juga tidak dapat lari daripada sifat ini.

Selain dalam kehidupan biasa, kita juga boleh terlupa ketika bersolat, sama ada meninggalkan rukun atau sunat, atau terlupa rakaat yang dikerjakan atau terlebih.

Diriwayatkan Rasulullah SAW pernah terlebih rakaat dalam solat kemudian Baginda bersujud sahwi.

Abdullah r.a menceritakan daripada ibrahim r.a katanya:

Rasulullah SAW telah bersolat dan menambah rakaat atau kurang. Selepas baginda memberi salam, kami bertanya “Wahai Rasulullah, adakah berlaku perubahan dalam solat?” Baginda menjawab,”Jika berlaku perubahan pasti saya akan maklumkan kepada kamu. Tetapi saya juga hanya manusia yang lupa sebagaimana kamu lupa. Sesiapa dikalangan kamu yang merasa syak dalam solatnya hendaklah dia mengambil yang lebih tepat dan kemudian sempurnakannya. Setelah itu hendaklah dia memberi salam lalu bersujud dengan dua kali sujud.

Riwayat al-Nasa’i dalam Sunan al-Nasa’i, kitab Sahwi

Oleh itu, pensyariatan sujud sahwi adalah pengiktirafan Allah kepada sifat kemanusiaan hambaNya yang pelupa.

Selain itu, ia juga menonjolkan kelebihan mengapa Allah mengutuskan seorang rasul yang bersifat manusia kepada manusia lain sebagai panduan dan bimbingan.

Sekiranya Allah mengutuskan malaikat, sudah tentu manusia tidak dapat mengikutnya.

Maksud Sujud Sahwi

Apakah maksud sujud sahwi?

Sahwi disini bermaksud lupa atau lalai terhadap sesuatu, atau meninggalkan sesuatu secara tidak sengaja.

Dari segi syarak pula:

Sahwi bermaksud kecacatan atau kekurangan yang dilakukan oleh orang yang bersolat dalam solatnya sama ada dengan sengaja atau terlupa.

Oleh itu, sujud sahwi bertujuan untuk menutup kekurangan yang terjadi akibat kelupaan tersebut.

Sujud ini merupakan dua sujud tambahan yang dilakukan selepas selesai Tahiyat Akhir dan sebelum memberi salam.

Hukum Sujud Sahwi

sujud sahwi

Apakah hukum sujud sahwi?

Hukum sujud sahwi adalah sunat muakkad.

Dan tidak terbatal solat jika terlupa atau sengaja tidak melakukannya.

Dalil hukum ini adalah berdasarkan kepada perbuatan Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Abu Hurairah r.a, katanya:

Nabi SAW bersolat Zuhur atau Asar bersama dengan kami, kemudian Baginda memberi salam (selepas dua rakaat). Lalu Zul-Yadain bertanya; ‘Wahai Rasulullah, adakah solat telah dikurangkan?’. Nabi SAW bertanya kepada sahabat-sahabatnya: ‘Benarkah apakah yang dikatakannya?’ Mereka menjawab: ‘Ya’. Lalu Baginda bersolat dua rakaat dan setelah itu bersujud sebanyak dua kali. Saad (bin Ibrahim) berkata: ‘Saya melihat ‘Urwah bin al-Zubair bersolat maghrib dua rakaat dan memberi salam. Dia bercakap-cakap, kemudian bersolat rakaat yang tertinggal serta dua kali sujud’. Katanya: ‘Demikiankah yang dilakukan oleh Nabi SAW’

(Riwayat al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari, Kitab Jumaat: Bab jika salam pada rakaat kedua atau ketiga, hendaklah sujud)

Sebab Kena Sujud Sahwi

Apakah sebab sujud sahwi dilakukan?

Terdapat beberapa keadaan yang disunatkan untuk melakukan sahwi:

1. Tertinggal Rukun Solat

Meninggalkan mana-mana rukun dalam solat, kecuali niat dan takbiratul ihram.

Jika seseorang yang sedang solat sujud tanpa rukuk, bererti dia telah meninggalkan satu rukun dalam solat.

Dia hendaklah bangun kembali dan rukuk, kemudian meneruskan semula solatnya seperti biasa.

Tetapi sekiranya seseorang itu terlupa berniat atau bertakbiratulihram, solatnya tidak sah dan perlu mengulanginya semula.


2. Ragu-Ragu Terhadap Bilangan Rakaat Dalam Solat

Bagaimana jika kita tidak pasti bilangan rakaat dalam solat?

Contohnya, apabila berada di rakaat akhir, tiba-tiba dia keliru sama ada telah melakukan empat rakaat atau tiga rakaat.

Dalam keadaan ragu ini, dia hendaklah mengira rakaat yang paling sedikit.

Setelah itu, dia juga disunatkan melakukan sujud untuk menampung kalau-kalau dia melakukan lebih rakaat.

Imam Muslim meriwayatkan daripada Abu Said r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Apabila seseorang berasa ragu-ragu dalam solatnya, dan tidak mengetahui berapa rakaat yang telah dilakukannya, tiga atau empat rakaat, hendaklah dia menghilangkan perasaan ragu-ragu itu dan mengambil apa yang diyakini (iaitu tiga rakaat) dan kemudian sujud dua kali sebelum memberi salam. Jika dia sebenarnya bersolat lima rakaat, maka ia melengkapkan solat tersebut. Sekiranya solatnya cukup empat rakaat, sujudnya itu adalah untuk mencela syaitan.

(Riwayat Muslim dalam Sahih Muslim, kitab Masjid dan tempat-tempat solat: Bab lupa dalam solat dan sahwi)

3. Meninggalkan Sunat Ab’adh

Apakah yang dimaksudkan dengan sunat ab’adh?

Sunat-sunat ab’adh adalah seperti berikut:

  • Tahiyat awal (pertama)
  • Selawat ke atas Nabi SAW dalam tahiyat awal
  • Duduk tahiyat / tasyahud awal
  • Doa qunut pada rakaat kedua solat subuh dan pada solat witir yang terakhir sejak malam 15 hingga akhir bulan Ramadhan.
  • Selawat ke atas Nabi SAW dalam qunut
  • Selawat ke atas ahli keluarga Nabi SAW dalam qunut
  • Berdiri semasa berqunut
  • Selawat ke atas keluarga Nabi dalam tahiyat akhir.

4. Melakukan Perbuatan Yang Dilarang Dalam Solat

Disunatkan untuk melakukan sujud sahwi apabila melakukan perbuatan yang dilarang dalam solat secara tidak sengaja dan perbuatan tersebut tidak membatalkan solat.

Contohnya:

Bercakap dengan beberapa perkataan kerana terlupa atau menambah rakaat, dan kemudian teringat kembali ketika masih dalam solat.

Maka hendaklah dia bersujud.


5. Melakukan Rukun Bukan Pada Tempatnya

Melakukan satu rukun atau sebahagian rukun atau membaca surah bukan pada tempatnya.

Contohnya, seperti membaca al-Fatihah ketika rukuk, atau membaca tahiyat ketika berdiri.

Bacaan Sujud Sahwi

Bagaimanakah lafaz bacaan sujud sahwi?

Bacaan sujud sahwi adalah seperti berikut:

bacaan sujud sahwi

 SubhaaNa Man Laa YaNaaMu Walaa Yas-Huu (3 kali) 

Maksudnya:

Maha Suci Allah yang tidak tidur dan tidak lupa

Cara Melakukan Sujud Sahwi

Bagaimana cara melakukan sujud sahwi?

Tatacara urutan untuk melakukan sujud ini adalah seperti berikut:

Niat Sujud Sahwi

Orang yang hendak melakukan sujud ini hendaklah berniat malakukannya.

Dan ia hendaklah dilakukan di hujung solat sebelum salam atau selepas salam jika terlupa.

Lafaz niat sujud sahwi tidaklah ditentukan.

Anda boleh berniat dengan “sahaja aku melakukan sujud sahwi” di dalam hati.


Lakukan Sujud Sebanyak 2 Kali

Sujud Sahwi Pertama

sujud

1. Apabila selesai membaca tahiyat akhir dan sebelum salam, terus sujud untuk sujud sahwi pertama dan bacalah sebanyak tiga (3) kali:

bacaan sujud sahwi

 SubhaaNa Man Laa YaNaaMu Walaa Yas-Huu (3 kali) 

Maksudnya:

Maha Suci Allah yang tidak tidur dan tidak lupa

2. Sesudah itu, bangkit ke kedudukan antara dua sujud.

Sewaktu ini, boleh dibaca bacaan sebagaimana bacaan antara dua sujud solat fardu atau memadai dengan diam sahaja beserta tamakninah (diam sebentar).

Sujud Sahwi Kedua

3. Seterusnya lakukan sujud sahwi kedua dan bacalah sebagaimana sujud yang pertama tadi, juga sebanyak tiga (3) kali:

bacaan sujud sahwi

 SubhaaNa Man Laa YaNaaMu Walaa Yas-Huu (3 kali) 

Maksudnya:

Maha Suci Allah yang tidak tidur dan tidak lupa

3. Seterusnya mengakhiri solat dengan memberi salam

salam

Selesai sujud yang kedua, duduklah kembali sebagaimana duduk tahiyat akhir dan terus mengucapkan salam.

 Assalamu ‘Alaikum Warahmatullah 

Maksudnya:

Keselamatan ke atas kamu dan rahmat Allah

Tempoh Untuk Melakukan Sujud Sahwi

tempoh sujud sahwi

Jika tempoh selepas memberi salam terlalu lama, maka luputlah sunat melakukan sahwi.

Tetapi jika dia baru teringat untuk melakukan sujud sahwi selepas memberi salam dalam jangka masa yang singkat, dia masih boleh melakukannya.

Dia hendaklah kembali sujud, duduk, sujud semula dan duduk serta memberi salam sekali lagi.

Anggaran tempoh yang dikira lama selepas salam ialah sekadar boleh mendirikan solat sunat dua rakaat yang ringan.

Masalah-Masalah Berhubung Sujud Sahwi

Berikut adalah beberapa masalah yang sering timbul berkaitan dengan sujud sahwi:

Masalah 1

Terlupa Sujud Terakhir

Seseorang terlupa sujud terakhir pada rakaat yang terakhir, kemudian dia teringat sebelum salam.

Penyelesaian

Hendaklah dia kembali melakukan sujud tersebut, mengulangi bacaan tahiyat dan salam. Tetapi dia tidak perlu lagi buat sujud sahwi

Masalah 2

Tidak Pasti Bilangan Sujud

Seseorang itu tidak pasti sama ada dia telah bersujud sekali atau dua kali ketika melakukan sujud sahwi.

Penyelesaian

Hendaklah dia sujud sekali lagi untuk meyakinkannya.

Masalah 3

Tertinggal Perkara Rukun

Sekiranya seseorang tertinggal salah satu daripada rukun solat, solat tidak boleh ditutup dengan sahwi semata-mata.

Dia hendaklah terlebih dahulu melakukan rukun yang tertinggal itu sekiranya jarak tidak jauh dan dia teringat pada waktu sebelum memberi salam.

Contohnya, jika sesorang itu terus sujud dan terlupa untuk rukuk

Maka hendaklah dia bangun semula untuk melakukan rukuk dan barulah dilakukan sujud sahwi selepas tahiyat akhir sebelum salam.

Ataupun jika dia teringat selepas salam, seumpamanya, dia terlupa membaca al-fatihah pada mana-mana rakaat, walaupun ia telah bercakap sikit, maka bolehlah ia menyambung semula solatnya dengan menambah kekurangannya tadi dan disunatkan ia sahwi.

Masalah 4

Terlupa Membaca Doa Qunut

Bagaimana jika seseorang terlupa membaca doa qunut, dan terus melakukan sujud.

Penyelesaian

Apabila seseorang itu terlupa melakukan salah satu antara sunat ab’adh, maka dia tidak boleh kembali melakukannya setelah masuk ke rukun seterusnya dengan sempurna.

Dalam sujud itu baru ia teringat, maka tidak boleh ia bangun semula untuk membaca doa qunut itu.

Tetapi kalau belum sempurna sujudnya, maka bolehlah ia bangun semula untuk berqunut.

Sekiranya dia sudah turun daripada iktidal (berdiri setelah rukuk) dan belum sampai had rukuk, maka ia bangun membaca qunut, dia tidak sunat melakukan sahwi.

Tetapi kalau sudah melampaui had rukuk, belum sampai sempurna sujud dia boleh kembali membaca doa qunut, tetapi sunat mengerjakan sujud sahwi.

Masalah 5

Tersilap Baca Doa Qunut Sebelum Rukuk

Sekiranya seseorang membaca doa qunut sebelum rukuk, dia hendaklah membaca sekali lagi doa qunut selepas rukuk

Penyelesaian

Disunatkan sujud sahwi.

Ini kerana walaupun terdapat pendapat yang menyarankan membaca doa qunut sebelum rukuk kerana menurut pendapat mereka Rasulullah SAW pernah melakukannya, tetapi ini adalah pendapat segelintir ulama.

Sedangkan mereka yang berpendapat sebaliknya adalah jumhur ulama, bahkan ia mengikut amalan khulafa al-rasyidin.

Masalah 6

Tertinggal Tahiyat Awal

Bagaimana jika seseorang itu terus bangun dan terlupa melakukan tahiyat awal?

Penyelesaian

Sekiranya seseorang teringat sebelum naik ke batas rukuk, maka bolehlah ia duduk membaca tahiyat dan tidak sunat melakukan sahwi.

Sekiranya dia teringat setelah naik ke batas rukuk, tetapi belum sempurna berdiri, maka sunat dia melakukan sahwi.

Sekiranya telah berdiri, maka tidak boleh turun semula.

Bahkan kalau dilakukan juga, maka solatnya terbatal.

Hanya disunatkan sujud sahwi sahaja untuk menampulkan sunat yang tertinggal itu.

Masalah 7

Tidak Pasti Bilangan Rakaat

Apabila seseorang tidak pasti bilangan rakaat yang telah dilakukan.

Contohnya:

Seseorang yang bersolat zuhur, kemudian syak sama ada dia sudah melakukan 3 atau 4 rakaat.

Penyelesaian

Dia perlu mengambil bilangan yang sedikit, iaitu 3 rakaat dan menambah satu lagi rakaat serta disunatkan untuk melakukan sujud sahwi sebelum memberi salam.

Masalah 8

Terlupa Sujud Sahwi

Sekiranya seseorang itu terlupa melakukan sahwi dan teringat hanya selepas memberi salam, maka bolehlah dia melakukan sahwi dengan syarat ingatan itu timbul dalam masa yang tidak terlalu lama.

Walau bagaimana pun, kalau tertinggal sujud sahwi itu, tidaklah menjejaskan solat kerana ia sunat sahaja.

Masalah 9

Imam Terlupa Melakukan Sujud Sahwi

Sekiranya imam terlupa sujud sahwi, makmum bolehlah melakukan sahwi setelah imam memberi salam.

Penutup

Saya berharap panduan ini telah membantu anda memahami mengenai topik sujud sahwi.

Jika anda mempunyai sebarang persoalan berkaitan sujud sahwi, anda boleh tinggalkan pertanyaan tersebut di ruangan komen di bawah.

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

193 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
Mun
Mun
2 bulan yang lalu

Assalamualaikum. Kalau kita 2 kali niat sujud sahwi adalah solat kita sah?

Mun
Mun
Reply to  Muhamad Naim
2 bulan yang lalu

Terima kasih ustaz

Mun
Mun
Reply to  Muhamad Naim
1 bulan yang lalu

Assalamualaikum ustaz. Jika sy cakap dalam hati nak sujud sahwi,kemudian sy berniat “sahaja aku melakukan sujud sahwi” dalam hati itu dikira satu niat ke 2 niat ustaz? Adakah solat sy sah?

Mun
Mun
Reply to  Muhamad Naim
24 hari yang lalu

Assalamualaikum ustaz. Sebelum saya sujud sahwi, saya dah berniat. Tapi ketika sujud sahwi, dia teringat perkataan sujud sahwi tu tu tak dikira dua niat kan ustaz? Solat tetap sah kan?

Mun
Mun
Reply to  Muhamad Naim
20 hari yang lalu

Assalamualaikum ustaz. Sebelum saya sujud sahwi saya dah berniat. Ketika sujud yg kedua tiba2 ada lintasan hati niat sujud sahwi yg sama tanpa sengaja. Adakah itu dikira dua niat ustaz? Adakah solat saya sah? Sebab betul2 tak sengaja.

Hamba Allah
Hamba Allah
7 bulan yang lalu

Assalamualaikum ustaz
soalan saya

  1. jika saya telah selesai beri salam dan kemudian ragu tertinggal bacaan fatihah dalam rakaat tak pasti juga bolekah saya ulang semula solat saya.
  2. jika dalam rakaat ke 3 saya ragu sujud dalam rakaat ke dua tadi cuma sekali adakah saya terus turun posisi sujud rakaat ke 2 dan teruskan solat dan akhiri dengan sujud sahwi sebelum salam.
  3. Bolekah saya baca zikir2 lain dlm rukuk dan sujud ..?

Terima kasih ustaz di atas ilmu yang diberi.

Hamba Allah
Hamba Allah
7 bulan yang lalu

Assalamualaikum,
Mcm mana kalau terlebih buat sujud sahwi?
Saya x tahu kena buat 2 kali
Jadi saya buat 3 kali

Diana
Diana
11 bulan yang lalu

Assalamualaikum.

Sy nak tanya bagai
mana cara kalau saya lupa sujud kali ke 2 sebelum tahiyat awal? Setelah tahiyat akhir sy segera melakukan 3 kali sujud, dimana 1 ada lah sujud yg tertinggal sebelum tahiyat awk tadi dan 2 sujud sahwi. Adakah benar perbuatan sy?

Diana
Diana
Reply to  Muhamad Naim
11 bulan yang lalu

Baik terima kasih

mencari keredhaan
mencari keredhaan
1 tahun yang lalu

Assalamualaikum….
saya ingin bertanya
jika saya masuk mengikut imam pada rakaat terakhir pada solat zohor
dan pada tahyihat akhir imam melakukan sujud syahwi sedangkan saya dalam waktu itu ialah rakaat yg pertama
adakah saya perlu mengikut imam utk sujud syahwi ataupun hanya perlu duduk menunggu imam selesaikan sujud syahwi,memberi salam dan saya bangun utk meneruskan rakaat yg seterusnya?

Last edited 1 tahun yang lalu by mencari keredhaan
Hamba Allah
Hamba Allah
1 tahun yang lalu

Assalamualaikum.. saya ingin bertanya tentang membaca surah Al Fatihah.. sekiranya kita terlupa satu ayat dari surah tersebut atau lalai /tertinggal..adakah solat kita sah ? sebagai contoh bacaan “ihdinash shiroothol mustakim” tapi kita baca ihdinash shiroothollaziina an amta alaihim..adakah sah atau tidak ya ?

Ahmad
Ahmad
1 tahun yang lalu

“Ataupun jika dia teringat selepas salam, seumpamanya, dia terlupa membaca al-fatihah pada mana-mana rakaat, walaupun ia telah bercakap sikit, maka bolehlah ia menyambung semula solatnya dengan menambah kekurangannya tadi dan disunatkan ia sahwi.”

Assalam, adakah maksudnya Kita perlu tambah 1 rakaat dgn bacaan al-fatihah Yang lengkap selepas solat?

Harap admin boleh membantu.
Boleh terus hantar email kepada saya, terima kasih.

Ahmad
Ahmad
Reply to  Muhamad Naim
1 tahun yang lalu

Wassalam,Terima kasih

Last edited 1 tahun yang lalu by Ahmad
Muhammad
Muhammad
2 tahun yang lalu

Kalau dalam situasi seperti ini. 

Arab yang bukan mazhab syafie takkan Buat Doa Qunut. Dan takkan Buat sujud sahwi. 

Apa pula keadaan nya bagi makmum tadi. 

Oleh kerana imam tak Buat Qunut. Boleh kah makmum pula Buat sujud sahwi sebelum makmum beri Salam.

Izzuddin
Izzuddin
2 tahun yang lalu

Saya mempunyai persoalan yang hampir sama dengan saudara Haziq.

Mengenai Imam yang tidak melakukan Bacaan Doa Qunut sewaktu sembahyang Subuh.

Bukan kerana terlupa. Tetapi memang tak Buat Doa Qunut langsung. Lepas iktidal. Terus saja dia sujud.

Begini cerita nya. Anak Saya pernah bertahan di hospital kerana pembedahan. Maka Saya lah yang Teman kan dia Sewaktu dia bertahan.

Maka di suatu subuh. Saya pergi ke surau hospital. Nak sembahyang berjemaah bersama penghuni hospital.

Bila dah Ramai datang. Timbul satu kemusykilan. Siapa plak nak jadi imam.

Sorang sorang segan nak volunteer jadi imam.

Tiba-tiba masuk seorang Arab yang lengkap berpakaian jubah putih Dan bertopi Haji. Sedangkan kami cuma pakai Baju yang tak tukar Dari semalam.

Melihat kehadiran beliau, Salah Seorang Dari yang hadir di surau itu, dia tanpa usul periksa, terus lantik dan pelawa dia jadi imam.

Arab itu tak banyak soal. Terus meng imamkan solat subuh.

Yang heran nya. Bila waktu berdiri. Tangan dia tak di letak Bawah dada (atas perut). Kedua tangan dia turun kebawah, seperti Askar sedang kawad. Sambil membaca surah.

Persoalan Mula timbul dalam hati Saya. Mazhab dia ni berlainan sikit dari mazhab Kita, Saya Rasa Saya pernah jumpa Arab yang sembahyang seperti ini (kalau tak silap orang negara Oman) Maaf kalau tersilap.

Di pendekkan cerita. Tiba masa waktu nak baca Qunut. Dia terus sujud. Kami macam sedikit teragak agak, nak ikut dia sujud.

Takkan dia lupa Kot (orang Arab tu)

Last last, ikut jugak.
Sampai ke tahyat Akhir. Lepas tahyat Akhir, dia terus bagi Salam.

Kami pun macam teragak agak juga nak bagi Salam. Last last bagi salam jua. Tanpa Buat sujud sahwi.

Lepas tu Saya Rasa nak kerja kan semula sembahyang Subuh. Sebab imam mungkin berlainan mazhab. Sebab tu tak nak Buat Doa Qunut.

Apa pandangan Encik dalam situasi ini ?

Saya Rasa ganjil kalau tak Buat Qunut waktu sembahyang Subuh.

Perlu kah kami makmum sorang sorang Buat sujud sahwi sebelum beri Salam. Sebab Imam tak Buat.

Mazhab mana yang tak baca qunut ?

Dan mazhab mana yang sembahyang sewaktu berdiri. Tangan dia tak letak atas pusat.

Haziq
Haziq
2 tahun yang lalu

Dalam satu lagi kejadian.

Ketika Solat subuh. selepas ruku’ Imam terlupa melakukan Bacaan Doa Qunut. Dan dia terus sahaja sujud.

Semua jemaah lain pun ikut sujud mengikut imam.

Mungkin mereka tahu imam terlupa.

Dan mereka pasti, imam akan melakukan sujud sahwi di penghujung solat.

Dan betul sangkaan Saya. Imam melakukan sujud sahwi di penghujungnya. Kerana terlupa melakukan Bacaan Doa Qunut.

Cuma Saya realized, ada Seorang jemaah. Dia tak ikut imam sujud, bila imam lupa lakukan baca Doa Qunut. Tapi dia sendiri sendiri berdiri membaca Doa Qunut itu Seorang sorang.

Mungkin dia telah berniat keluar Dari jemaah. Dan Buat sembahyang seorang diri.

Soalan Saya. Mana yang lebih utama.

1. Adakah Kita wajib ikut semua perbuatan imam. Walaupun imam lupa Qunut.

2. Atau Kita berniat keluar Dari jemaah Dan sendiri sendiri baca qunut.

3. Atau Kita sendiri baca qunut. Kemudian Kita kejar imam sujud hingga ke tahyat Akhir.

Mana lebih utama 1 atau 2 atau 3.

Dan apa pula Hukumnya perbuatan yang ke 3 itu tadi. Adakah batal ( jika tak ikut perbuatan imam).

Safwan
Safwan
Reply to  Haziq
2 tahun yang lalu

Qunut bukan wajib. Mazhab shafie sunat qunut, dan sunat sujud sahwi jika lupa. Wajib ikut imam sehingga selesai salam. Lupa qunut dan kemudian lupa atau tidak buat sujud sahwi pun masih sah solat subuh. Kalau dia berdiri tambah rakaat utk qunut sudah lebih rukun subuh. Batal solat nya. Mgkn dia masbuk?.Wallahualam.