
Ini adalah panduan cara ambil wudhu yang betul & sempurna.
Dalam artikel ini, anda akan dibimbing secara langkah demi langkah dan lengkap.
Apa yang menarik:
Setiap langkah wudhu akan disertakan dengan gambar untuk rujukan anda.
Pengertian & Maksud Wudhu
Dari sudut bahasa, wuduk bererti kebaikan dan kebersihan. Manakala dari sudut istilahnya, wudhu ialah penggunaan air yang suci pada anggota tertentu (iaitu membasuh muka, dua belah tangan hingga ke siku, menyapu kepada dan membasuh kedua-dua belah kaki) dengan dimulai dengan niat.
Setiap individu yang mahu berwuduk, wajib mengetahui cara berwuduk iaitu tahu basuhan yang wajib dan sunat.
Begitu juga wajib untuknya mengetahui dan memenuhi syarat-syarat sah wuduk supaya wuduknya sah dan solatnya diterima Allah SWT.
Syarat Sah Wudhu
Terdapat beberapa syarat yang menjadikan wudhu itu sah.
Antaranya adalah:
- Islam
- Mumaiyiz iaitu kanak-kanak yang sudah pandai membezakan antara perkara yang baik dengan yang buruk.
- Suci daripada haid dan nifas
- Menggunakan air mutlak iaitu air yang suci lagi menyucikan.
- Tidak berubah sifat air wudhu akibat benda asing yang melekat pada anggota wudhu. Contohnya sabun, bedak atau apa-apa sahaja yang melekat pada anggota wuduk itu yang mengubah rasa, rupa atau bau air wuduk itu.
- Sekiranya ada benda asing yang melekat pada tubuh, ia perlu dibersihkan terlebih dahulu sebelum berwuduk.
- Tidak ada benda yang menghalang air sampai kepada anggota wuduk seperti cat, getah, pengilat kuku, lilin, kapur, minyak atau daki tebal yang melekat di celah jari, di bawah kuku atau di celah rekahan pada tumit.
Rukun Wudhu

Rukun wudhu bermaksud perkara-perkara asas yang wajib dilakukan ketika berwuduk. Jika tidak dibuat perkara rukun ini, maka wudhu tidak sah. Rukun wudhu mempunyai enam perkara; iaitu niat, membasuh muka, membasuh tangan hingga ke siku, menyapu kepala, membasuh kaki hingga ke buku lali dan tertib. Sekiranya tertinggal salah satu, maka wudhu itu tidak sah.
Rukun wudhu dalam Islam melibatkan langkah-langkah berikut:
- Berniat dalam hati untuk melakukan wudhu.
- Membasuh Muka. Membasuh keseluruhan muka dari dahi hingga ke bawah dagu dan dari telinga ke telinga.
- Membasuh Tangan hingga Siku: Membasuh kedua-dua tangan dari hujung jari hingga ke siku.
- Menyapu sebahagian daripada depan kepala.
- Membasuh Kaki hingga Mata Kaki: Membasuh kedua-dua kaki dari hujung jari kaki hingga ke buku lali.
- Tertib. Iaitu mengikut urutan-urutan yang telah ditetapkan semasa mengambil wudhu.
Menunaikan rukun-rukun ini adalah wajib untuk sahnya wudhu dalam Islam. Di bawah ini adalah penerangannya.
Rukun Wudhu Pertama:
Niat Wudhu
Lafaz niat wudhu adalah:
Nawaitu Rafaal Hadasi As-Ghori Lillahi Taala
Niat dalam Bahasa Melayu:
Sahaja aku mengangkat hadas kecil kerana Allah Taala
Lafaz niat dalam bahasa arab yang diucapkan secara lisan hukumnya sunat.
Niat yang wajib ialah lintasan dalam hati yang dihadirkan ketika mula membasuh sebahagian muka.
Sebaik-baiknya, dilafazkan niat sebelum mula mengambil wudhu untuk memudahkan berniat dalam hati.
Rukun Wudhu Kedua:
Membasuh Muka
Bahagian muka yang wajib dibasuh dengan mengalirkan air meliputi bahagian anak rambut di dahi sehingga ke bawah tulang dagu dan melebar dari anak telinga kanan sehingga ke anak telinga kiri termasuk rambut yang tumbuh di antaranya.
Sebaiknya, dimulakan basuhan di bahagian atas muka membawa ke bahagian bawah.
Rukun Wudhu Ketiga:
Membasuh Dua Tangan Hingga ke Siku
Wajib meratakan air ke semua bahagian di antara hujung jari hingga ke siku.
Sebaik-baiknya dimulakan basuhan dari hujung jari hingga melebihi siku dengan mendahulukan tangan kanan.
Rukun Wudhu Keempat:
Menyapu Sebahagian Kepala
Memadai menyapu air pada ubun-ubun, walaupun sekadar membasahkan sekurang-kurangnya tiga helai rambut asalkan rambut yang dibasahkan itu berada dalam had kepala.
Tidak sah menyapu air pada rambut yang melepasi had kepala seperti rambut pada bahagian bahu atau hujung rambut yang berikat.
Adalah lebih baik menyapu keseluruhan kepala sebagaimana amalan Rasulullah SAW.
Rukun Wudhu Kelima:
Membasuh Kaki hingga ke Buku Lali
Wajib membasuh kaki dari hujung jari hingga ke buku lali.
Sekiranya sebahagian kaki yang wajib dibasuh kudung, maka wajib membasuh bahagian yang masih ada.
Apabila seseorang itu terlupa membasuh kaki selepas beredar dari tempat wudhu, dia hanya perlu membasuh kaki selagi basuhan wudhu pada kepalanya belum kering.
Tidak perlu mengulang basuhan dari awal
Rukun Wudhu Keenam:
Tertib
Setiap rukun wudhu mesti dilakukan mengikut turutan.
Ini sebagaimana kata Nu’aim bin Abdullah al-Mujmir:
Aku lihat Abu Hurairah r.a berwuduk, maka dibasuhnya muka dan dilebihkan sedikit daripada had muka. Kemudian dibasuh dua tangannya kanan dan kiri masing-masing sampai ke ke siku. Kemudian menyapu kepalanya, kemudian membasuh dua kakinya kanan dan kiri masing-masing sampai ke betis. Kemudian berkata Abu Hurairah r.a: “Begini aku lihat Rasulullah SAW berwuduk”
โ Riwayat Muslim

Cara Ambil Wudhu Yang Sempurna
Berikut adalah ringkasan cara-cara mengambil wudhu yang sempurna:
- Mengadap Kiblat: Disunatkan mengambil wudhu dengan menghadap ke arah kiblat.
- Membaca Basmallah: Mulakan wudhu dengan membaca “Bismillahir-rahmanir-rahim”.
- Membasuh Kedua-dua Tangan: Basuh tangan hingga ke pergelangan tangan sebanyak tiga kali dengan menyelati setiap jari. Disunatkan membaca doa khusus ketika melakukan ini.
- Berkumur-kumur: Lakukan ini sebanyak tiga kali. Ada doa sunat yang boleh dibaca ketika berkumur.
- Istinsyaq (Membersihkan Lubang Hidung): Dilakukan sebanyak tiga kali dengan menyedut air ke dalam hidung kemudian mengeluarkannya. Ada doa sunat yang boleh dibaca ketika melakukan istinsyaq.
- Membasuh Muka: Dilakukan sebanyak tiga kali. Ada lafaz niat dan doa sunat yang boleh dibaca ketika membasuh muka.
- Membasuh Kedua-dua Tangan hingga Melebihi Siku: Dilakukan sebanyak tiga kali untuk setiap tangan. Ada doa sunat yang boleh dibaca ketika membasuh tangan.
- Mengapu Sebahagian Kepala: Ada doa sunat yang boleh dibaca ketika mengapu kepala.
- Membasuh Kedua-dua Telinga: Dilakukan sebanyak tiga kali, termasuk membasuh luar dan dalam telinga. Ada doa sunat yang boleh dibaca.
- Membasuh Kaki hingga ke Buku Lali: Dilakukan sebanyak tiga kali untuk setiap kaki. Ada doa sunat yang boleh dibaca ketika membasuh kaki.
- Doa Selepas Wudhu: Setelah selesai mengambil wudhu, disunatkan membaca doa selepas wudhu.
Pada bahagian di bawah ini, saya akan menunjukkan langkah-demi-langkah cara mengambil wudhu yang sempurna dan digalakkan.
Anda boleh rujuk gambar dan bacaan yang disediakan.
Langkah-langkah yang ditunjukkan adalah termasuk doa yang sunat dibaca.
*Doa-doa tersebut tidak wajib dibaca dan boleh ditinggalkan.
1. Mengadap Kiblat
Disunatkan mengambil wudhu dengan menghadap ke arah kiblat.
2. Membaca Basmallah.
Mulakan wudhu dengan membaca basmallah seperti di bawah:

Bismillahir-rahmanir-rahim
3. Selepas itu, basuh kedua-dua tangan hingga ke pergelangan tangan sebanyak tiga kali dengan menyelati setiap jari sambil berdoa.
- Sunat maksudnya tidak wajib dibuat. Tetapi jika dibuat, akan mendapat pahala ?
Doa yang disunatkan untuk dibaca ketika ini adalah:

Allahumma Inni AsAlukal-Yumna Walbarakata Wa A’uzubika Minal Syu’mi Wal Halakati
Maksudnya:
Ya Allah, aku memohon kepada-Mu kebahagiaan dan keberkatan, dan aku berlindung dengan-Mu daripada sebarang kemalangan dan kebinasaan.
4. Kemudian, berkumur-kumur sebanyak tiga kali sambil berdoa di dalam hati (sunat).
- Sunat maksudnya tidak wajib dibuat. Tetapi jika dibuat, akan mendapat pahala ?
Doanya adalah seperti berikut:

Allahumma Inni ‘Alaa TilaaWati KitaaBika Wakasratiz Zikri Laka Wa Tsabbitni Bilqaulis TsaaBiti Fil Hayatid-Dunyaa Wa Fil Akhirati.
Maksudnya:
Ya Allah, bantulah aku dalam usaha membaca kitab-Mu dan banyak berzikir mengingati-Mu. Kukuhkanlah aku dengan kata-kata yang kukuh di dunia dan di akhirat.
5. Lakukan Istinsyaq
Istinsyaq membersihkan lubang hidung dengan cara menyedut air ke dalam hidung kemudian mengeluarkannya.
- Sunat maksudnya tidak wajib dibuat. Tetapi jika dibuat, akan mendapat pahala ?
Perbuatan ini dilakukan sebanyak tiga kali sambil berdoa:

Allahumma Arihnii Raa-Ihatu-Jannati Wa anta RaaDhin ‘Anni
Maksudnya:
Ya Allah, ciumkanlah aku dengan bauan syurga dan Engkau redha kepadaku.
Sesudah itu. ketika mengeluarkan air berdoa pula dengan doa ini:

Allahumma Inni A’uzubika Min Rawaa-Ihin-narr Wamin Su’id-darr
Maksudnya:
Ya Allah, aku berlindung denganMu daripada menghidu bauan neraka dan seburuk-buruk tempat tinggal.
6. Seterusnya, membasuh muka sebanyak tiga kali dengan menggunakan kedua-dua belah tangan.
Basuhan dimulakan pada bahagian dahi dan turun perlahan-lahan ke anak telinga, hidung dan dagu.
Lafaz niat sebelum air mengenai muka:

Nawaitul WudhuA Fardhonn ‘Alayya Lillahi Ta’ala
Niat dalam Bahasa Melayu:
Sahaja aku mengambil wudhu fardu atasku kerana Allah Taala.
- Sunat maksudnya tidak wajib dibuat. Tetapi jika dibuat, akan mendapat pahala ?
Apabila air mengenai muka, mulakan berniat dalam hati dan membaca doa:

Allahumma Bayyid Wajhi BinuuRika Yauma Tabyaddu Wujuuhu Auliyaa-ika Wala Taswaddu Wajhi Bizulumaatika Yauma Taswaddu Wujuuhu ‘Adaa-Ika
Maksudnya:
Ya Allah, putihkan mukaku dengan nurMu pada hari putihnya muka para waliMu dan jangan hitamkan mukaku sepertimana Engkau gelapkan muka musuh-musuhMu.
7. Selepas itu, basuh kedua-dua tangan hingga melebihi had siku sebanyak tiga kali.
- Sunat maksudnya tidak wajib dibuat. Tetapi jika dibuat, akan mendapat pahala ?
Mulakan dengan tangan kanan, dari jari hingga ke siku sambil berdoa:

Allahumma A’tini Kitabi Biyamini Wahaasibni Hisaaban Yasiira
Maksudnya:
Ya Allah, berilah catatan amalan dari sebelah kananku dan hisablah aku dengan mudah.
Perkara yang sama dilakukan pada tangan kiri sambil berdoa:

Allahumma Inni A’uzubika An Tu’tiyani Kitaabi Bisamaali Au Min Waraa’i Zohri
Maksudnya:
Ya Allah aku berlindung kepadaMu supaya janganlah Engkau berikan catatan amalanku dari sebelah kiriku atau dari sebelah belakangku.
8. Langkah seterusnya. mengapu sebahagian ubun-ubun atau keseluruhan kepala sambil berdoa:
- Sunat maksudnya tidak wajib dibuat. Tetapi jika dibuat, akan mendapat pahala ?
Doa yang sunat dibacakan adalah:

Allahumma Ghosyini Birahmatika Wa Anzil ‘Alayya Min Birakatika Wa Azillani Tahta Zilli ‘Arsyika Yauma Laa Zilla Illa Zilluka. Allahumma Harrim Sya’ri Wabasyari ‘Alan-nar
Maksudnya:
Ya Allah lindungi daku dengan rahmatMu dan limpahi daku keberkatanMu. Dan masukkan daku di bawah naungan ArasyMu pada hari tiada perlindungan kecuali perlindunganMu sahaja. Ya Allah, haramkan rambutku dan kulitku daripada api neraka.
9. Selepas itu, membasuh pula kedua-dua telinga luar dan dalam sebanyak tiga kali.
Cara membasuh dengan memasukkan jari telunjuk ke dalam lubang telinga dan ibu jari diletakkan di belakang telinga, kemudian ditolak ke atas.
- Sunat maksudnya tidak wajib dibuat. Tetapi jika dibuat, akan mendapat pahala ?
Doa yang elok dibaca ketika ini:

Allahummaj-‘alni minallazina Yastami’uNal Qaula Fayattabi’uNa Ahsanahu, Allahumma Asmi’ni Munaadiyal-jannata Fil Jannati Ma’al Abrar.
Maksudnya:
Ya Allah, jadikan aku daripada kalangan orang yang mendengar peringatan lalu mengikutinya. Ya Allah dengarkanlah kepadaku seruan syurga bersama-sama orang yang baik.
10. Akhir sekali, membasuh kaki hingga ke buku lali atau lebih, sebanyak tiga kali.
Basuhan dimulakan dengan kaki kanan sambil menyelati jari-jari kaki.
- Sunat maksudnya tidak wajib dibuat. Tetapi jika dibuat, akan mendapat pahala ?
Ketika membasuh kaki kanan bacalah doa:

Allahumma Tsab-bit Qadami ‘Alas-sirotil Mustaqim Yauma Tazillal Aqdam Fin-Narr
Maksudnya:
Ya Allah, tetaplah dua kakiku di atas Titian Mustaqim pada hari tergelincir kaki-kaki lalu jatuh ke dalam Neraka.
Lakukan pula pada kaki kiri dan baca doa:

Wa A’uzubika An Tazilla Qadami ‘Anis-siroti Yauma Tazilla Fiihi Aqdam
Maksudnya:
Ya Allah, aku berlindung kepadaMu daripada tergelincir kakiku di atas Titian Mustaqim ke dalam neraka pada hari tergelincir kaki orang munafik.
11. Setelah selesai mengambil wudhu, maka bacalah pula doa selepas wudhu.
Doa selepas wudhu boleh dibaca sebagaimana di bahagian bawah.

Doa Selepas Wudhu
Selepas selesai mengambil wudhu, disunatkan untuk membaca doa berikut:

Asy-hadu An Laa Ilaha illallahu Wahdahu Laa Syarikalah

Wa-asy-hadu Anna Muhammadan โAbduhu Warasuluh.

Allahummajโaini Minat Tauwabin, Wajโalni Minal Mutatahhirin

Wajโalni Min โibadikas-solihin.
Maksudnya:
Aku bersaksi tidak ada Tuhan melainkan Allah Yang Maha Esa.
Tidak ada sekutu untukNya. Aku bersaksi juga bahawa Nabi Muhammad itu hamba dan utusanNya.
Ya Allah, jadikan aku daripada golongan orang yang bertaubat kepadaMu.
Dan jadikanlah aku daripada golongan orang yang bersih.
Dan jadikan aku daripada golongan hambaMu yang soleh.
Sekiranya tidak membaca doa di atas, wudhu tetap sah.
Doa ini terdapat dalam kitab Hidayatus Salikin.
Perkara Membatalkan Wudhu
Terdapat beberapa perkara yang akan membatalkan wudhu. Antara perkara tersebut adalah:
- Keluar sesuatu daripada qubul atau dubur meliputi benda yang cair, keras, kering, basah dan angin, sama ada ada sedikit atau sebanyak.
- Tidur tidak tetap kedudukan dua papan punggung.
- Hilang akal kerana mabuk, pengsan, gila, tidur, pitam dan lain-lain.
- Bersentuh kulit antara lelaki dan wanita yang halal nikah (ajnabi / bukan mahram) tanpa berlapik.
- Menyentuh kemaluan hadapan atau belakang dengan perut tapak tangan atau perut anak jari dengan tidak belapik. Kemaluan itu sama ada kepunyaan sendiri atau kepunyaan orang lain, lelaki atau perempuan, yang hidup atau yang telah mati.
Anggota Wajib Wudhu
Anggota-anggota wuduk yang wajib untuk dibasuh ialah:
- Seluruh muka beserta niat.
- Membasuh tangan hingga ke siku.
- Membasuh sebahagian daripada kepada sekurang-sekurangnya membasahkan tiga helai rambut
- Membasuh kaki sehingga ke buku lali.
Perkara Sunat Ketika Berwudhu
Terdapat beberapa perkara sunat untuk dilakukan semasa mengambil wudhu.
Sunat bermaksud; jika kita lakukan perkara-perkara ini, kita akan mendapat pahala tambahan. Jika kita meninggalkannya, wudhu kita tetap juga sah.
Antara perkara tersebut adalah:
- Mengadap kiblat
- Membaca basmallah ุจุณู ุงููู ุงูุฑุญู ู ุงูุฑุญูู (Bismillahirrahmanirrahim) sewaktu hendak membasuh tapak tangan
- Membaca taawuz
- Membasuh tangan hingga ke pergelangan tangan.
- Bersugi atau berkumur-kumur untuk membuang kotoran dan bau mulut.
- Istinsyaq iaitu menyedut air ke dalam hidung.
- Membaca lafaz niat sebelum menghadirkan niat di dalam hati.
- Membasuh setiap anggota wudhu sebanyak tiga kali.
- Mendahulukan membasuh anggota yang kanan daripada kiri.
- Menyapu telinga dengan air
- Menyelat janggut dengan air. Sunat menyelat janggut yang tebal dan lebat sekiranya tidak nampak kulit di bawahnya. Selat janggut itu dengan jari tangan yang menampung air wudhu. Untuk janggut yang nipis wajib dibasahkan keseluruhan janggut dan bahagian dagu dengan air.
- Menyapu seluruh kepala.
- Menyelati jari-jari tangan dan kaki. Gunakan tangan kiri untuk menyelati jari kaki kanan dan kiri. Dengan cara ini daki dan kotoran yang terdapat di celah-celah jari dapat dibersihkan untuk menyampaikan air ke situ.
- Melebihkan basuhan melebihi had yang wajib. Contohnya, membasuh muka hingga sampai ke pangkal leher.
- Berturut-turut (muwalat) iaitu tidak lama selang masa antara membasuh satu anggota dengan anggota berikutnya, sekira-kira belum kering air basuhan pada anggota sebelumnya.
- Membaca doa selepas wudhu.
Perkara Makruh Ketika Wudhu
Terdapat beberapa perkara makruh ketika berwuduk.
Perkara tersebut adalah:
- Menggunakan air yang telalu sejuk atau terlalu panas
- Menggunakan air yang terjemur di dalam bekas yang mudah berkarat atau bekas yang sudah berkarat kerana dibimbangi menyebabkan penyakit sopak
- Berlebih-lebihan menggunakan air seperti membasuh anggota wudhu lebih daripada tiga kali.
- Menggelap anggota wuduk tanpa sebarang keuzuran. Tidak makruh sekiranya ada keuzuran seperti dalam keadaan terlalu sejuk.
- Berwudhu di dalam tandas.
- Meminta pertolongan daripada orang lain untuk menjirus air ke anggota wudhu tanpa sebarang keuzuran kerana hal ini dikhuatiri membawa kepada sifat sombong.
- Mendahulukan anggota kiri daripada anggota kanan.
- Berlebih-lebihan berkumur ketika berpuasa kerana dibimbangi air akan masuk ke dalam kerongkong dan membatalkan puasa.
- Menepuk air ke muka atau mengambil wudhu secara tergopoh-gapah.
- Berbual-bual ketika berwuduk.
Penutup: Kepentingan Wudhu Sempurna
Firman Allah bermaksud:
Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu dan kedua belah tangan kamu meliputi siku dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali…โ
โ Surah al-Maโidah, ayat 6
Wuduk dalam bahasa Arab berasal daripada al-wadaโah yang membawa makna al-hasan iaitu kebaikan dan makna an-nazofah (kebersihan).
Daripada istilah โkebaikanโ dan โkebersihanโ ini dapat difahami bahawa pensyariatan wuduk membawa satu mesej penting dalam kehidupan kita sebagai Muslim yang perlu sentiasa melakukan kebaikan dan menjaga kebersihan zahir mahupun batin.
Ayuh kita perbaiki cara berwuduk dan pertingkatkan kualitinya.
Kita amalkan wuduk yang sempurna agar pada hari kiamat nanti kita tergolong dalam kalangan umat yang anggotanya bercahaya disebabkan kesan wuduk sempurna.







Assalamualaikum ustaz ,
saya ada seluar jeans yang dia dah start luntur , lalu warna dekat seluar saya tu mula melekat dekat hujung kuku , bukan bawah kuku tapi memang betul betul hujung kuku , walaupun guna sabun , hanya sedikit warna tu hilang dan susah nak tanggal , kalau tersentuh seluar ni , warna tu pula akan beralih ke hujung kuku sahaja kalau tersentuh, biasanya sedikit sahaja tapi memang akan nampak dari jauh ,
Adakah warna dari seluar ni akan menghalang sahnya wudu bila melekat dekat hujung kuku saya? Adakah pewarna pakaian yang digunakan dekat seluar jeans halang wudu?
Saya juga telah meneruskan 3 solat dengan keadaan kuku begini ,adakah sah atau saya perlu qada solat solat itu?
Waalaikumussalam.
1) Menurut pandangan mazhab Syafie, jika sesuatu melekat pada kulit yang boleh menghalang air dari sampai ke kulit semasa berwudu’ atau mandi wajib, maka wudu’ atau mandi tersebut tidak sah sehingga benda tersebut dibuang. Contohnya seperti cat kuku, cat dan sebagainya.
2) Jika warna dari seluar jeans yang melekat pada hujung kuku anda adalah tipis dan tidak menghalang air sampai ke kulit di bawahnya, maka tidak menghalang sahnya wudu’. Pewarna pakaian pada seluar jeans itu sendiri tidak najis, jadi tidak mempengaruhi kebersihan wudu’.
3) Oleh itu, jika warna yang melekat di kuku anda itu tipis dan anda yakin air dapat sampai ke kulit di bawahnya semasa berwudu’, maka wudu’ dan solat anda sah dan anda tidak perlu qada’ solat tersebut. Jika tidak, maka anda perlu qada’ solat yang telah dilakukan dengan wudu’ yang tidak sah.
Semoga penjelasan ini membantu. Wallahu a’lam
Terima Kasih Ustaz ๐๐
Assalamualaikum, saya bila berwuduk masa basuh muka tu, akan sentiasa terbasahkan sekali rambut sampai belakang dan sampai telinga, basah yang memang basah la , tapi sebab saya nak reach kan air menyeluruh ke seluruh muka, adakah ia akan melanggar rukun wudu dan membuatkan solat saya tak sah dan kena qada ke nanti?
Wassalam
Ia tidak melanggar rukun wuduk dan solat itu sah.
aslm,saya nak tanya,kalau ambil wuduk menggunakan paip air yang berkarat tapi air tu tak karat ,sah kan ?
Wassalam
Sah
Assalamualaikum ustaz. Betul ke kalau ambik wudhu tapi tidak berkumur dan beristinsyaq, masih dikira sah wudhunya?
Wassalam. Ya selagi dibasuh anggota wajib wuduk maka wuduk itu sah
Salam, maaf saya cuma nak confirmkan.. yg rambut kalau dibasahkan di blakang leher bahagian tengah tu dikira sah ke wudhunya?
Salam, maaf saya cuma nak confirmkan.. yg rambut kalau dibasahkan di blakang leher bahagian tengah tu dikira sah ke wudhunya?
Salam, maaf saya cuma nak confirmkan.. yg rambut kalau dibasahkan di blakang leher bahagian tengah tu dikira sah ke wudhunya?
Salam, maaf saya cuma nak confirmkan.. yg rambut kalau dibasahkan di blakang leher bahagian tengah tu dikira sah ke wudhunya?
Salam, maaf saya cuma nak confirmkan.. yg rambut kalau dibasahkan di blakang leher bahagian tengah tu dikira sah ke wudhunya?
Assalamualaikum ustaz
Kalau Kita niat baca wuduk
Bukan niat dalam hati
Niat besuara Guna mulut
Sebab saya tak pandai niat dalam hati
Tolong bantu saya ustaz ?
Wassalam. Boleh, tiada masalah.
Apabila kita melafazkan niat melalui mulut, maka secara automatik kita berniat dalam hati.
Assalamualaikom… U,ztaz JIKA Saya mengerjakan solat sunat qabliyah sebelum solat Subuh Dan Saya sudah mengambil air wuduh ketika solat sunat adaka Saya perlu wudhu lagi atau tidak solat sunat qabliyah sebelum Subuh LALU tunggu solat Subuh
Wassalam. Tidak perlu berwuduk lagi, boleh terus tunggu dan mengerjakan solat subuh.
Assalamualaikum ustaz, saya mandi kemudian berwuduk tanpa menutup aurat selepas itu lap badan dengan tuala mandi hingga kering. Adakah sah wuduk tersebut? Terima kasih atas jawapan.
Wassalam. Sah, tiada masalah
Assalamualaikum Ustaz, saya keliru sikit bab wudhu Dan tersentuh suami isteri tu kira batal ke ?
Wassalam. Ya batal wuduk tersentuh suami isteri mengikut mazhab Syafie
Assalamualaikum’ustaz nak Tanya perlu ka kita Baca setiap doa yg ada di atas itu) dan boleh ka klu kita cuma baca doa sebelum ambil wuduk dan selepas ambil wuduk ja…2 itu ja di Baca ada ka sah wuduk itu ustaz) sbb ada org cakap yg panting baca sebelum wuduk dan selepas ambil wuduk ja… mna satu yg perlu di ikut ya ustaz… harap ada jawapan dari ustaz
Wassalam.
Bacaan-bacaan doa itu sunat sahaja. Yang wajib adalah niat berwuduk sahaja.
oh terima kasih
Assalam ustaz, apakah hukum jika selepas kita solat kita baru tahu yang wudhu kita tidak sah seperti ada cat melekat dekat kulit kita yang dapat membatalkan wudhu. Terima kasih
Wassalam. Jika cat itu besar dan menghalang air, maka wuduk itu tidak sah. Oleh kena wuduk balik dan lakukan balik solat tadi.
Assalamualaikum. Saya nak Tanya, Kalau selepas solat contohnya solat tahajjud, sementara tunggu waktu subuh masuk, Kita tidur tapi tak lama Dalam 15 minit. Adakah wudhu akan batal? Kalau ya, adakah untuk tidur dengan sengaja atau tertidur pun akan batal wudhu?
Wassalam.
Boleh. Tetapi kena tidur di dalam posisi duduk,sama ada duduk di atas lantai atau tanah seperti duduk di atas tikar sembahyang atau duduk di atas kerusi seperti duduk di dalam kapal terbang dan termasuklah duduk sambil memeluk lutut.
Kalau tidur selain di atas, batal wuduk
Terima kasih Ustaz
Sama-sama
Assalamualaikum. Di rumah Kami, bilik mandi sekali dengan tandas. Dan disitulah yang saya perlu mengambil wuduk. Saya sentiasa tutup tempat buang air. Soalan saya, doa selepas wuduk, adakah terus kena baca selepas selesai wuduk dan masih didalam bilik air atau boleh selepas wuduk saya keluar dari bilik air lalu membaca doa selepas wuduk?
Wassalam. Boleh dibaca diluar bilik air, tiada masalah.
Assalam ustaz. nk tnya. kalau mcm ada bergesel kt vaginal bila ada wuduk dan juga bila tgh solat dan dia rasa mcm keluar angin( tp rasanya angin bukan kentut sbb kentut blh rasa) mcm mana ya. batal ke wuduk dan solat? saya kdg2 bila tgh solat atau ada wuduk , 4-5kali jugakla terasa macam bergesel kt vaginal n mcm ada angin dr vagina tp xde bau atau bunyi. kebiasanya masa sujud dan rukuk . dia mcm keluar angin sbb terkepit semasa sujud dan rukuk. ke itu dikira kentut vagina? saya musykil.
Wassalam. Ya. Masalah ini hukumnya sama dengan masalah istihadah. Puan kena memperbaharui wuduk setiap kali solat.
Salam ustaz. Klau lepas wuduk tiba2 rasa dahaga ke boleh ke minum air atau mkn sesuatu mcm kuih ke? Wuduk batal ke ustaz?
Wassalam. Boleh, cuma sunat untuk berkumur pula selepas makan.
salam ustaz..sye ni berbadan besar..dan prnah eksiden 2014 .buku lali kaki kanan patah..efek skrang ni kaki buku lali tu akan bengkak sangat2 bila bnyk brjalan n kerja..jadi bila amik wuduk part basuh kaki tu sye sdaya upaya jgk nk bsuh dgn mggosok kaki..dgn keadaan sye yg bdn besar n kaki bengkak dan sakit sye gigih kn jugak..tapi haritu sye trjatuh trgelincir masa basuh part kaki.sye takot n fobia.jadi buat masa ni sye wuduk hanye lalu kan air sje di bhgian kaki..apa hukum nye ye..sah ke wuduk..blh ke sye wuduk mcm tu dgn keadaan sye ni..
Wassalam.
Iya sah, syarat sah wuduk adalah air diratakan ke seluruh anggota wuduk.
Jika awak yakin ia telah rata, maka insyaaAllah sah.
Jika ada tempat kurang sempurna, insyaaAllah dimaafkan oleh syarak atas keterbatasan yang wujud pada awak.