You are what you eat
Ada benarnya ungkapan ini.
Dalam Islam, makanan akan membentuk hati.
Hati akan mati jika terlampau banyak makan seperti benih yang akan layu jika disiram terlalu banyak air.
Hati akan rosak jika memakan makanan yang haram dan syubhah seperti pohon yang akan mati jika dibajai oleh racun.
Sedangkan hati itu umpama raja dalam kerajaan diri, yang baiknya akan membaikkan seluruh pancaindera dan anggota badan.
Begitulah jika hati jahat, jahatlah seluruh diri manusia.
Oleh sebab itu, berhati-hatilah dengan “apa” yang kita akan makan dan “bagaimana” kita mendapatkan makanan itu. Hal ini sangat penting dalam kehidupan ini.
Apa yang kita makan dan bagaimana kita mendapatkannya akan menentukan cara hidup kita di dunia dan juga nasib kita di akhirat.
Makanan Yang Haram Itu bukan Semestinya Hanya Cadbury
Ramai umat Islam terperangkap.
Bukan disebabkan makanan yang haram tetapi cara mendapatkannya yang haram!
Misalnya, boleh dikatakan tidak ada orang Islam yang sanggup memakan daging babi, tetapi masih ramai umat Islam yang makan makanan yang dibeli dengan wang hasil rasuah, menipu, curi tulang dan menzalimi orang lain.
Dunia Islam masih dibelenggu oleh permasalahan sumber makanan yang haram angkara ‘umara yang zalim, ulama yang khianat, peniaga yang menipu, majikan yang menindas, pekerja yang curi tulang, hakikatnya sedang memakan makanan yang diperoleh daripada cara yang batil dan mungkar.
Bagaimana hati kita boleh menjadi gelap?
Makanan yang haram akan menyebabkan hati gelap.
Para ulama sering berpesan, “Sesiapa memakan makanan yang syubhah selama 40 hari, nescaya gelap hatinya.”
Apabila hati gelap, seseorang akan jauh daripada taufik dan hidayah
Seseorang akan mudah bosan, benci dan lesu dengan input-input berbentuk ilmu dan iman.
Hatinya berat untuk mencari ilmu. Malah jika majlis ilmu dan zikrullah di hadapan mata pun dia akan meninggalkannya.
Ibadah utama, bukan sahaja mengerjakan amalan soleh. Tetapi meninggalkan makanan yang haram juga adalah ibadah yang dituntut.
Sesungguhnya kamu telah melupakan ibadah yang lebih utama, yakni menjaga diri daripada makanan yang haram.“
[Sayidatina Aisyah ra]
Hati orang yang makan makanan yang halal akan dipenuhi oleh cahaya hidayah dan makrifah.
Imam Ghazali menukilkan dalam kitabnya Ihya Ulumuddin bahawa Rasulullah SAW telah bersabda;
Sesiapa memakan yang halal selama 40 hari, nescaya Allah akan menerangi hatinya dan mengalirkan kearifan hati melalui lidahnya.”
– Riwayat Abu Nu’aim dalam al-Hilyah
Sebab itu ulama-ulama terkenal zaman dahulu seperti Syeikh Abdul Qadir Jailani, sangat menjaga makanannya. Begitu juga Iman Syafi’e sangat teliti dengan makanannya.
Semuanya meneladani apa yang pernah dilakukan oleh para sahabat Rasulullah SAW
Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq misalnya, pernah memuntahkan susu yang terminum olehnya apabila diketahui susu itu diperolehi dengan cara yang haram.
Kita imam Syafi’e mengadu kepada gurunya tentang kesukarannya menghafal, lalu gurunya menasihatkan agar beliau menjauhi perbuatan dosa.
Makanan yang haram merosakkan fikiran
Memakan makanan yang haram akan merosakkan fikiran, kerana fikiran dipengaruhi oleh makanan secara langsung.
Fikiran yang jahat akan sentiasa dicemari oleh idea-idea yang jahat, perancangan yang kotor dan angan-angan maksiat.
Mungkin daya kreatif dan inovatifnya meningkat, tetapi semuanya terarah untuk melakukan kejahatan.
Apabila diajak untuk beribadah, fikiran yang kotor akan memberi pelbagai alasan untuk menolaknya.
Makanan juga boleh menajamkan fikiran.
Bangsa Yahudi yang bercita-cita “menguasai dunia” itu sangat menjaga pemakanan untuk meningkatkan daya fikir yang tajam.
Walaubagaimana pun, pada hakikatnya Islam sudah lebih dulu memperkatakan kepentingan makanan untuk fikiran manusia.
Untuk membina akal yang sihat, kita bukan sahaja perlu memakan makanan yang mengandungi karbohidrat, protein, lemak, air, mineral dan vitamin, tetapi kita juga perlu makan makanan yang halal dan menjauhi yang haram.
Bukankah segala-galanya berlaku dengan izin Allah?
Oleh itu, memilih makanan yang baik adalah tuntutan agama.
Emosi selalu tidak stabil kerana makanan yang kita ambil?
Emosi orang yang memakan makanan yang haram atau daripada sumber yang haram, tidak stabil.
Dia mudah marah, takut, bimbang, resah dan bosan.
Pakar-pakar pemakanan, sering mengingatkan impak makanan yang pedas, berlemak dan berkarbonat pada emosi seseorang.
Namun, dalam Islam makan makanan yang haram ialah satu dosa.
Apa itu dosa?
Dosa ialah suatu yang meresahkan jiwa. Rasulullah SAW bersabda, “Dosa itu sesuatu yang meresahkan jiwamu dan kamu tidak suka jika dilihat oleh orang lain ketika melakukannya.”
[Riwayat Muslim]
Akibat memakan makanan haram seseorang akan sukar mengawal emosinya – mudah marah, resah, sedih dan pelbagai kesan negatif.
Inilah akibat langsung daripada dosa makan makanan yang haram.
Antara 3 akibat memakan makanan haram:
- Mudah marah
- Resah
- Sedih
Oleh itu, apabila emosi tidak stabil, ada individu yang makan secara keterlaluan atau tidak makan langsung.
Terbukti, pengambilan nutrien daripada sumber tumbuhan dan haiwan sangat diperlukan untuk menjalankan fungsi tubuh.
Jadi kita perlu berhati-hati mengambil nutrien, jangan sesekali-kali mengambil yang syubhah apalagi yang haram.
Semoga kita semua akan lebih peka lagi selepas mengenai pemakan kita, dan sumber makanan itu sendiri. InsyaaAllah.
******
Artikel ini adalah petikan daripada buku Pesan Hati Untuk Hati, Ust Fahrol Mohamad Juoi.
Semoga peringatan dan ilmu yang dinukilkan memberi manfaat kepada kita semua =)
Tinggalkan Komen Anda..
Semoga kita selalu bisa menjaga makanan kita dari hal-hal yang haram.
bagus lagi kalo di buat fan page di facebook
terima kasih atas perkongsiannya….semoga kita istiqamah dalam menjaga makanan kita…dan semoga Allah Ta’ala melindungi kita semua..amin.