Suami, Layan Dan Bersabarlah Dengan Karenah Isteri

melayan karenah isteriAdakah anda bosan melayan karenah isteri?

Hari ini, terlalu banyak kes yang kita jumpa tentang perilaku tidak berperikemanusiaan seorang suami terhadap isterinya.

Isteri diperlakukan dengan teruk, seolah-olah tubuh badannya amat murah.

Sedangkan suami adalah pelindung dan pembela kepada isterinya.

Janganlah kita menjadi seperti apa yang digambarkan sebagai suami tidak guna.

Iaitu seorang suami yang memukul isterinya seperti memukul seorang hamba. Kemudian disetubuhi pula pada malam hari.

— Inilah yang dikatakan seorang suami yang jahat.

Suami tak guna juga sering memukul, menyepak dan mendera isterinya.

Malah ada yang menyimbah dengan air panas.

Namun ketika dia memerlukan isteri di tempat tidur, pandai pula dia mendatanginya.

Inilah dia jenis suami yang tidak berguna.

Dia bukan setakat tidak menghargai, malah boleh pula berkelakuan seolah-olah isteri itu adalah hamba kepadanya.

Inilah sikap yang tidak patut ada pada seorang lelaki bergelar suami.

Pantang untuk dijadikan sebagai pemimpin, dan inilah sejahat-jahat manusia.

 

Contohi Bagaimana Sifat Rasulullah Dalam Melayani Isteri

Rasulullah tidak pernah melakukan perbuatan sebegitu kepada isteri-isteri baginda.

Bahkan baginda minum di tempat bekas bibir isterinya sendiri. Betapa baik dan romantiknya baginda.

Ia berlawanan dengan kepercayaan karut sesetengah orang kita yang percaya, sekiranya minum di tempat bekas bibir isteri atau anak, ia menyebabkan mereka derhaka.

– Ini sangat karut dan langsung tidak boleh dijadikan pegangan.

Namun, sekiranya kita melakukan seperti yang Rasulullah contohkan, ia adalah salah satu cara yang mungkin boleh menambahkan kemesraan diantara kita dan pasangan.

Bahkan, isteri akan merasakan romantiknya perbuatan itu.

Sesetengah orang tidak sanggup melakukan perbuatan sedemikian kerana beranggapan ia meloyakan.

Sikap ini sepatutnya diubah.

Ingatlah, segeli-geli kita pada isteri, dia tetap isteri kita.

Sedangkan ketika kita sakit dan tidak mampu untuk bangun, isteri kitalah yang menolong membasuhkan kotoran kita.

Mereka langsung tidak jijik untuk melakukannya.

Ketika sakit dan sukar untuk bangun, tiada siapa yang mahu menjaga kita.

Ada yang menjauhkan diri dan enggan melakukannya.

Anak-anak juga belum tentu mahu membantu.

Namun, berbeza dengan isteri.

Dialah satu-satunya yang bersedia berkorban segalanya untuk kita, termasuk masa, tenaga dan perasaan.

 

Kisah Sayidina Umar Bersabar Dengan Karenah Isteri Beliau

Pernah ada seorang lelaki pergi ke rumah Sayidina Umar al-Khattab untuk mengadukan perangai isterinya yang kuat berleter.

Namun, sebaik tiba di rumah beliau, dia mendengar suara isteri Umar yang sedang berleter.

Mendengar leteran berkenaan, lelaki itu berkata sekiranya Umar pun dileteri, apatah lagi dirinya.

Kemudian lelaki berkenaan berpatah balik.

Namun, ketika dia sedang berlalu pergi, Umar pun keluar dan memanggilnya.

Lelaki itu berkata, dia mahu mengadukan Umar tentang sikap isterinya. Namun dia terdengar Umar juga dileteri isteri.

Umar kemudian berkata bahawa ketika dileteri, dia tidak membalas leteran isterinya itu.

Katanya, ini kerana isterinya telah banyak mengambil alih tugasnya. Selama ini banyak sungguh jasa isteri kepadanya.

Disebabkan itulah apabila dileteri, dia tidak membalasnya.

Marilah kita bersama-sama merenung kisah ini.

Mari kita muhasabah diri:

– Sudah berapa lama kita dan isteri mendirikan rumah tangga?

Berapa orang anak yang sudah dikandung dan dilahirkan isteri untuk kita?

Sudah berapa lama masanya digunakan untuk memasak dan membasuh pakaian kita?

Bandingkan pula berapa lama isteri menggunakan masanya untuk meleteri kita?

Jadi, adakah logik untuk kita memarahinya hanya kerana dia meleteri kita?

Sudah tentu tidak.

Bayangkan jika boleh dikumpul segala usahanya itu, agaknya setinggi manakah pakaian yang disusun isteri sejak awal pernikahan sehingga kini?

Sudah berapa banyak pinggan mangkuk yang telah dibasuhnya?

Apakah itu tidak mampu meredakan kemarahan hati kita terhadap isteri?

 

Suami Yang Baik Adalah Suami Yang Bijak Menghargai Isterinya.

Penghargaan terhadap isteri tidak semestinya dilakukan dengan  memberikan hadiah yang mahal kepada isteri.

Tidak. Namun cukuplah dengan menunjukkan kasih sayang kepadanya.

Ada isteri yang tidak mengimpikan pun suaminya memberikan harta melimpah ruah. Tidak juga mengharapkan suami membawanya melancong ke luar negara dengan menggunakan belanja yang banyak.

Namun, baginya cukuplah sekadar ucapan terima kasih diatas penat lelah usahanya menyediakan keperluan suami.

Maka, para suami sekalian, apakah kita tidak boleh menghargai isteri sendiri?

Isteri tahu keupayaan dan kemampuan kita.

Bukan semua isteri meminta itu ini kepada suaminya.

Namun cukuplah baginya sebuah kasih sayang yang mampu membahagiakannya.

Jika ini pun tidak mampu dilakukan seorang suami, jadi apakah lagi yang boleh kita berikan kepada isteri?

 

Bersabarlah Dalam Melayani Karenah Isteri

Hanya dengan kita sahajalah tempatnya bermanja dan menumpang kasih.

Maka sekiranya ada dalam kalangan isteri yang melakukan perbuatan yang tidak kita sukai, janganlah kita cepat menghukum dan memarahinya.

Sebaliknya, hadapilah karenah itu dengan kebijaksanaan dan berhikmah.

Didiklah isteri kita dengan lemah lembut dan sebaik-baiknya.

Isteri apabila diperlakukan sedemikian oleh seorang suami, pasti dia akan menuruti nasihat suaminya.

Namun, sekiranya kita menggunakan kekerasan, bimbang ia boleh menyebabkan isteri menjauhi kita.

Malah reaksinya terhadap kita juga akan menjadi keras seperti didikan kita juga.

Boleh jadi isteri juga akan memendam perasaan terhadap perilaku kita.

Saya sangat sedih apabila membaca laporan media tentang suami yang melakukan perbuatan tidak baik kepada isterinya.

Ada isteri yang didera dengan seterika panas hanya kerana isteri tidak memasak untuknya.

Ada isteri isteri yang dicucuh puntung rokok kerana gagal memberikan duit kepada suaminya. Tidak kurang juga ada isteri yang dikeji dan dimaki kerana kesalahan yang secebis cuma.

— Apakah ini layanan kita kepada isteri?

Isteri insan yang telah banyak membantu kita dalam melayari bahtera rumah tangga.

Kala kita tiada, isterilah yang menguruskan rumah kita. Isterilah yang banyak menyediakan makan pakai anak-anak kita.

Apakah kita masih sanggup melakukan perbuatan yang tidak baik kepadanya?

Jika insan sehebat Umar boleh bertimbang rasa dengan isterinya sedangkan beliau adalah seorang yang tegas, apatah lagi kita manusia biasa ini.

 

Belajarlah Untuk Menghargai Isteri

Jika marah sekalipun kita kepada isteri, jangan sesekali membiarkan tangan kita menyentuh tubuh badannya.

Jangan didera dan dilakukan kecederaan fizikal atau mental kepadanya.

Isteri juga pakaian kita.

Isteri adalah pembantu dan penolong kita.

Ingatlah, tanpa isteri kita tidak akan mampu berada seperti hari ini. Ingatlah, jasa isteri terlalu besar untuk kita remehkan, apatah lagi untuk tidak mengenangkannya dengan bertindak mengasari dirinya.

Jadilah suami yang bertanggungjawab.

Sekalipun terbatasnya kemampuan kita untuk menggembirakan hati isteri, memadailah kita menghargainya dengan mengucapkan terima kasih di atas susah payahnya menjaga kita selama ini.

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

0 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments