Beberapa hari lepas, usai solat berjemaah di masjid universiti, saya duduk merehatkan badan sebelum pergi menelaah di perpustakaan. Sambil rehat-rehat, ada kawan menegur.
Kemudian datang kelompok kawan-kawan yang lain. Wah ramai juga yang tak balik rumah walaupun sedang cuti study week.
Lalu berbicaralah kami dengan bermodalkan beberapa isu yang kian hangat; dari hal remeh seperti lampu jalan di sekitar universiti yang sudah lama rosak hinggalah kepada isu negara seperti kekecohan pra-kempen sebelum pilihan raya.
Sempat juga diselitkan hal-hal wanita, memandangkan kebanyakannya sudah tahun akhir maka hal jodoh – jodoh mungkin lebih dekat.
Seorang rakan (yang baru saya kenali di situ) melampiaskan kekecewaannya.
Katanya kerana pengaruh ‘ayat-ayat cinta islamik’ yang kian bertebaran di Facebook menyukarkan dia untuk mencari jodoh yang memahami.
Mana tidaknya, dia mengutarakan isu wanita kini (wanita yang baik-baik) yang meletakkan ‘penanda aras’ bahawa “lelaki yang berbaju melayu, pakai kain pelikat dan berkopiah pergi masjid adalah lelaki yang sweet dan sesuai dijadikan jodoh”.
Kata beliau lagi, “lalu kita ini, yang pergi masjid pakai seluar jeans, pakai t-shirt ni macam mana? Tak sweetkah?
Apakah kalau pergi masjid itu syaratnya perlu pakai baju melayu dan kain pelikat? Kalau selain dari itu, tidak layak digelar pemuda masjid?”
Seorang lagi rakannya mencelah, sambil mengiakan hal berkenaan.
Kata beliau, dua hari lepas dia terserempak dengan beberapa wanita yang memberikan pandangan berbeza. Ketika itu dia dan rakannya yang sedang berbaju melayu, berkain pelikat dan berkopiah sedang menghidupkan enjin motor di parkir.
kata beliau, wanita yang lalu lalang di situ tersenyum pada rakannya, tapi tidak pada beliau.
Beliau menambah wanita-wanita itu memandang beliau dengan pandangan ‘eleh mamat ni maghrib entah nak pi mana entah, orang pi la masjid’.
Dia dijeling hanya kerana dia tidak memakai baju melayu kain pelikat sedangkan tujuannya dan rakan disebelahnya sama; ke masjid!
Kami menggeleng.
Parah juga kalau terlalu taksub nak berlakikan orang masjid. Habis yang pakai t-shirt biasa dan seluar biasa, yang niat mereka nak ke masjid tu bagaimana? Tak cukup baguskah?
Jaga Hati, Bukan Kerana Jodoh
Kami terdiam sejenak. Seketika kami dihampiri seorang lagi rakan yang merupakan ahli tabligh. Beliau bertanya dalam nada lucu apa yang kami fikirkan hingga muka berkerut-kerut.
Rakan yang mengutarakan isu tadi menceritakan panjang lebar. Kemudian rakan tabligh tadi tersenyum.
Kata beliau “kalau enta fikir macam tu, enta kena hati – hati. Takut nanti niat enta nak ke masjid untuk beribadah ni, bertukar jadi benda lain pula. Ana ada baca buku, kitab agaknya tajuknya Risalah Sufi apa tu…al qusyair…al qusyri…”
“Risalah Sufi Al-Qusyairi.” saya membantunya.
“Haa…buku tu…bagus enta baca. Dalam buku tu ada menyebut yang cinta ni semuanya ada tujuan. Dan bila tujuan tu tercapai, atau tujuan tu dilupakan, maka tiada sebab untuk dia mencintai lagi.
Macam enta, contohnya, kalau enta pergi masjid sebab nak mengurat anak dara orang, nanti kalau enta dah dapat dia, enta masih pergi masjid lagi tak?
Atau kalau enta tahu anak dara orang tu dah ada yang punya, enta mesti rasa macam alah takda gunanya aku pi masjid dia dah ada orang lain. Kan?”
Kami semua mengangguk. “Al-Junaid punya kata-kata”, saya menegaskan. Rakan tabligh itu segera bersetuju.
Jadi katanya, “biarlah kita ke masjid ni, kita dan Tuhan saja yang tahu niat kita dan keikhlasan kita. Bukan apa, merungut begini, bimbang syaitan itu berbisik yang bukan-bukan.
Syaitan tu di mana-mana pun ada. Dalam masjid pun dia boleh bisik kat kita, walau kita tengah sembahyang. Inikan pulak tengah duduk-duduk begini.”
Azan isyak berkumandang. Kami bangkit dan bersalam, tersenyum seperti ada semangat baru meresap. Melangkah beramai-ramai ke dalam saf, untuk minta supaya ditetapkan hati dan iman hanya untuk DIA, bukan makhluk-Nya.
Ketika itu juga rakan tabligh kami mengangkat tangan dan berdoa “ya Allah, tahun baru akan datang, teguhkanlah hati kami agar sentiasa istiqamah di atas jalan-Mu, ibadah kami, amal kami, hidup mati kami, hanya untuk-Mu.”
Ramai-ramai kami mengaminkan doa itu.
Ikhlaskan hati. Kuatkan hati. Allah Allah Allah. Hati ini milik-Mu, jagakan ia sebaiknya kerana jika aku yang menjaganya, kerap aku campakkan ia di tempat yang tak sepatutnya.
.
# Tulisan ini adalah hak milik saudara Syukri Mohd Ali (Sederhana Indah). Semoga tulisan ini memberi makna dan membuatkan kita terfikir sejenak. May Allah bless :)
Tinggalkan Komen Anda..
Izinkan saya share ye? :)
nak share ye
Terimakasih datuk, artikelnya menggugah untuk menjatuhkan hati ini hanya kepada Sang Maha Tinggi.
Bukan untuk mendapatkan sesuatu apapun (baik itu jodoh, rezeki, ataupun nikmat yang lain).
Sekali lagi terimakasih :)
Terimakasih datuk,, artikelnya menggugah, untuk tetap menjatuhkan hati pada Sang Maha Tinggi.. :)
mohon share ya…
Btol cerita dalam artikel ini. Justeru membuat saya berfikir, lelaki juga punya perasaan macam ini. Pada saya hanya perempuan sahaja begini. Samalah keadaannya juga dengan perempuan. Lelaki hanya memandang perempuan yang menutup aurat dengan sempurna, lemah lembut, sopan dan kurus. Pada pandangan saya, perempuan begitu aja sesuai dijadikan calon isteri. Mereka juga tertarik dengan imej luaran yang dipamerkan. Adakah perempuan yang kasar perilakunya, kurang sempurna penutupan auratnya dan tidak kurus tidak sesuai langsung menjadi calon isteri. Pada pendapat saya, apa yang utama adalah hati. Pandang dengan mata hati…berubah kerana Allah…bukan kerana berubah untuk mendapat penghormatan manusia lain. Sifat manusia memang tidak pernah cukup dengan apa yang dia miliki. Utamakan lah keredaan Allah sebab yang lain akan datang dengan sendiri..in shaa allah…
syukran ya akhi :D syukran
Sy dpt ilmu dr penjelasan di ats…..teme kasih…sy pun plajar jgak…
terima kasih..artikel yg sangat menbantu..
betul2, kadang kita taksub dengan benda2 macam ni..dah jadi pandang luaran jer, tapi tak tengok dalaman..
betul ..ramai sgt sekarang suka memilih yang luaran berbanding dalaman…