Berubah Ke Arah Kebaikan Memang Tak Mudah

Ke arah kebaikan
Ke arah kebaikan | the new by mikeshkaos

Berubah ke arah kebaikan memang tak mudah.

Antara kita, ada yang berpendapat bahawa usaha ke arah kebaikan berkadar langsung dengan keadaan sekeliling.

Ini merangkumi persekitaran keluarga, sahabat, tempat belajar, tempat tinggal dan pilihan hiburan.

Konsepnya, persekitaran yang baik akan mudah mendorong kita ke arah kebaikan.

Rebah bangun dalam perjalanan itu juga berasa ringan dengan nasihat dan teguran daripada jemaah persekitaran.

Saya benarkan pendapat yang ini.

Tambahan, yang memberi ilham untuk menasihati dan memberi teguran semuanya juga dari Allah. Setuju.

Jalan mencari redha Allah ini sukar, berliku, penuh duri. Itu semua tahu.

Maka tak hairanlah, langkah pertama ke arah kebaikan kadang-kadang tidak disambut baik oleh persekitaran.

Persekitaran mungkin agak luas rangkumannya, bagi tujuan penulisan ini, baik kita khususkan pada sahabat dan keluarga, tulang belakang segala cita dan cinta.

Tukang Besi atau Penjual Minyak Wangi?

Sahabat dan keluarga boleh jadi salah satu platform pergantungan.

Ini kerana mereka adalah entiti terdekat yang kita habiskan hampir 24 jam sehari bersama-sama.

Sahabat dan ahli keluarga yang baik agama dan akhlaknya akan memudahkan perjalanan kita meninggalkan keburukan.

Mungkin melalui konsep inilah ilmuwan Arab kata, ada bezanya bersahabat dengan tukang besi dan penjual minyak wangi.

“Bersahabat dengan orang yang soleh dan dengan orang yang jahat seperti berkawan dengan pengedar minyak wangi dan tukang besi (yang menghembus bara api).

Pengedar minyak wangi, sama ada ia memberi anda sebahagian ataupun anda membeli bau-bauan daripadanya, ataupun sekurang-kurangnya anda mendapat juga bau daripadanya.

Manakala tukang besi pula sama ada ia menyebabkan baju anda terbakar, ataupun anda mendapat bau yang kurang enak.”

— Riwayat Abu Daud

Tetapi jom kita fikir sejenak, bagaimana kalau kita berada di tengah-tengah masyarakat yang jahil?

Bagaimana kalau wujud kita ini antara mereka yang lalai, yang belum diketuk hidayah dan kalau sudah dapat pun, enggan memberi teguran malah menyimpan pengetahuannya hanya untuk diri sendiri?

Di sinilah pasaknya, jangan terlalu bergantung dengan persekitaran.

Bergantunglah hanya pada Allah, manusia tidak punya apa-apa untuk dijadikan tempat bergantung.

Tidak salah jika persekitaran ini kita anggap perantara, membantu melonjakkan kita ke awan, menyambut ketika jatuh dan sesekali mengingatkan untuk kekal berpijak di bumi nyata.

Meletakkan pergantungan pada manusia, baik keluarga mahupun sahabat, akan mendatangkan kecewa.

Lupakah kita pada tajamnya duri-duri di lorong hijrah?

Duri-duri ini terkumpul daripada sindiran teman-teman rapat, pujukan mengalah ahli keluarga dan tentang bantah saudara tetangga.

Kepahitan ini, tidak dapat tidak mengetuk pintu nafsu memujuk langkah supaya berpatah.

Walhal, pada Allahlah sepatutnya segala urusan diserahkan.

Hatta dalam sekecil-kecil perkara, Allah jualah yang memiliki daya upaya.

Mohonlah pada Allah agar dikurniakan hati yang tetap di jalanNya, dipinjamkan kekuatan menghadapi ranah rencam dalam perjalanan.

Allah tidak pernah menyisihkan kita walaupun kita dah celup rendam diri kita dalam tangki dosa yang besarnya dapat memuatkan sekalian penduduk bumi.

Malah Allah buka pintu taubat dan rahmatnya untuk kita siang dan malam. Tak cukup dengan itu, Allah beri kurniaan dan nikmat menurut ketetapanNya, cukup sempurna.

Padahal manusia, sedikit sekali yang menyokong kita demi kebaikan. Sedikit sekali.

Menariknya perjalanan ini jika kita cuba bertindak untuk menjadi persekitaran yang kita damba.

Kalau orang kata dalam usaha berubah ke arah kebaikan, kita perlukan sahabat dan keluarga yang baik, jom kita bentuk persekitaran sedemikian.

Jadi sahabat yang baik untuk sahabat kita.

Jalankan fungsi ‘baik’ dalam keluarga, ajak mereka sama-sama mencari redha Allah, tunjukkan dengan hikmah akan indahnya perjalanan menuju Jannatul Firdaus secara jemaah, apatah lagi kalau dengan orang yang kita kasihi kerana Allah.

Sembur-semburkanlah wangian Islami dalam rumah dan ketika bersama sahabat.

Boleh jadi, ada sahabat atau ahli keluarga yang akan terkena tempias semburan minyak wangi kita, siapa tahu?

Artikel ini adalah perkongsian ke Inbox kami ([email protected]) daripada Saidatul Faiqah Samasu, [ Facebook | Blog | Tumblr ] Pelajar tahun akhir Master Bahasa Melayu di UPM. Semoga perkongsian yang dikongsikan oleh beliau memberi makna dan manfaat kepada kita semua =)

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

3 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
syafiqah
syafiqah
9 tahun yang lalu

salam,betul apa yang diperkatakan oleh awak,sukar untuk kita ke jalan kebaikan bermacam macam dugaan yang banyak kita kena lalui…

BuduBilis
BuduBilis
10 tahun yang lalu

Stuju. memang sukar untuk kekal dalam perubahan bila orang sekeliling memperlekehkan usaha kita. Tambahan pula kita muda, diibaratkan tidak layak bercakap soal agama.

Minoru Kun
Minoru Kun
10 tahun yang lalu

ya, memang tidak mudah….