Apakah kelebihan Solat Sunat Tahajjud?
Banyak kelebihan melakukan Solat Sunat Tahajjud.
Antara kelebihan solat sunat tahajjud ialah makbul doa, tenang hati serta fikiran, murah rezeki dan mendapat perlindungan daripada pengkhianatan manusia.
Yang paling penting adalah waktu ini pintu taubat terbuka luas.
Artikel ini akan mengupas lanjut mengenai beberapa kelebihan-kelebihan melaksanakan Tahajjud di dunia dan akhirat.
Penjelasan Mengenai Kelebihan Solat Tahajjud Oleh Ustaz Jafri
Berikut adalah penjelasan mengenai kelebihan-kelebihan bagi orang yang sentiasa melazimi tahajjud:
Fadhilat Dan Kelebihan Solat Tahajjud Menurut al-Hadis
Antara dalil kelebihan solat sunat Tahajjud menurut beberapa riwayat hadis adalah:
1. Pencegah Dosa dan Menghalang Penyakit
Rasulullah SAW bersabda:
kerjakanlah solat malam sebab itu adalah kebiasaan orang solihin sebelum kamu, juga suatu jalan untuk mendekatkan diri kepada TuhanMu, juga sebagai penebus segala amalan buruk, pencegah dari amalan dosa dan dapat menghalangi penyakit
— Riwayat Tirmizi dan Ahmad R.A
Malah, dengan solat tahajjud juga akan menjadikan diri kita lebih kuat dan lebih produktif.
Nabi Muhammad SAW bersabda bahawa tahajud adalah kehormatan seseorang mukmin kerana ia memberikan masa peribadi antara kita dengan Tuhan.
Jika kita percaya bahawa kita milik-Nya dan kita akan kembali kepada-Nya, maka laburkan sedikit masa spiritual kita dengan tahajud dan lihatlah bagaimana kekuatan dan produktiviti ktia akan meningkat!
2. Solat Yang Paling Utama Selepas Solat Fardu
Abu Hurairah RA meriwayatkan sebuah hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Sebaik-baik puasa selepas bulan Ramadan adalah bulan Allah Muharram dan sebaik-baik solat selepas solat fardu adalah solat malam (tahajjud)”
– Hadis riwayat Muslim
Dalam hadis ini, solat tahajjud disebut sebagai solat sunat yang afdal dilakukan selepas solat fardu lima waktu. Ini sekaligus menunjukkan kelebihan yang terdapat dalam solat tersebut.
3. Dimasukkan Dalam Syurga Tanpa Sebarang Hisab
Rasulullah SAW bersabda:
Seluruh manusia akan dihimpunkan di suatu kawasan pada hari kiamat, lalu kedengaran satu suara yang menyeru: ‘Siapakah (di dunia) yang telah meninggalkan tempat-tempat tidur mereka (untuk qiamullail)?’ Lalu sekumpulan kecil yang bangun malam itu masuk syurga tanpa hisab. Selepas itu barulah diperintahkan oleh Allah SWT untuk dilakukan hisab kepada semua manusia
— Riwayat al-Baihaqi daripada Asma binti Yazid
4. Diberikan Kebaikan Oleh Allah SWT Pada Setiap Malam
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Sesungguhnya pada malam hari ada satu waktu, tidak ada seorang Muslim yang meminta kebaikan dari urusan dunia dan akhirat melainkan Allah mengabulkan permintaannya. Hal tersebut berlaku setiap malam”
– Hadis riwayat Muslim
Waktu yang dimaksudkan dalam hadis di atas adalah waktu selepas pertengahan malam yang mana kebaikan yang dipohon adalah melalui Solat Sunat Tahajjud ataupun Qiyamullail.
5. Diberi Rahmat Kepada Pasangan Suami Isteri Yang Solat Malam
Abu Hurairah RA juga meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:
Semoga Allah merahmati seorang suami yang bangun pada malam hari, kemudian melakukan solat dan membangunkan isterinya (untuk solat bersama). Ketika isterinya enggan bangun dari tidurnya, maka dia merenjiskan air ke wajahnya. Dan semoga Allah merahmati seorang isteri yang bangun pada malam hari, lalu melakukan solat dan membangunkan suaminya. Ketika suaminya enggan bangun dari tidurnya, maka dia pun merenjiskan air ke wajahnya”
– Hadis riwayat Abu Daud
Hadis ini mengkhabarkan bahawa Allah SWT mengurniakan rahmat kepada pasangan suami isteri yang bangun pada waktu malam untuk melaksanakan solat tahajjud yang mana suami atau isteri tersebut membangunkan pasangannya untuk solat bersama dengan kasih sayang.
6. Benteng Dan Perisai Yang Kuat Untuk Menangkis Syaitan
Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW menegaskan bahawa solat tahajjud merupakan benteng dan perisai yang kuat dalam menangkis dan meleraikan kawalan syaitan.
Baginda bersabda:
Ketika kamu tidur, syaitan akan membuat tiga ikatan di leher kamu. Di setiap ikatan syaitan akan mengatakan: Malam masih panjang, tidurlah! Jika dia bangun lalu berzikir kepada Allah, lerailah satu ikatan. Kemudian jika dia berwuduk, lerailah lagi satu ikatan berikutnya. Kemudian jika dia mengerjakan solat, lerailah ikatan terakhir. Pada pagi hari dia akan bersemangat dan bergembira. Jika dia tidak melakukan seperti ini, jiwanya menjadi kotor dan malas”
– Hadis riwayat al-Bukhari daripada Abu Hurairah
Realitinya, hadis ini merupakan sumber motivasi dan galakan bagi seorang muslim untuk menjalani hari-harinya dengan penuh semangat di samping mendapat keberkatan dan keredhaan Allah SWT di waktu orang lain sedang lena tidur.
Rahsianya adalah bangun malam, mensucikan diri dengan berwuduk lalu mengerjakan solat malam.
Itulah sebaik-baik perisai untuk melindungi diri daripada bisikan
Manfaat Solat Tahajjud Menurut Imam al-Ghazali
Hujjatul Islam Imam al-Ghazali ada menyatakan beberapa manfaat dan kelebihan bagi orang-orang yang sentiasa menjaga Solat Tahajjud.
Antara kelebihan tahajjud adalah:
- Untuk membersihkan hati kita daripada sebarang kebencian terhadap orang Islam lain.
- Untuk sentiasa mempunyai rasa takut dalam hati kita terhadap Tuhan dan menyedari bahawa hidup kita sangat singkat.
- Untuk memahami manfaat tahajud.
- Untuk mencintai Allah, dan mempunyai iman yang kuat apabila kita bangun solat malam ‘memanggil’ Allah.
Lima Ganjaran Melazimi Solat Tahajjud di Dunia
1. Jauh Daripada Semua Penyakit
Salman Al-Farisi menceritakan, Rasulullah SAW pernah bersabda;
Kerjakanlah solat malam, kerana itu adalah kebiasaan orang soleh sebelum kamu, jalan mendekatkan diri kepada Tuhan, penebus kesalahan, pencegah dosa, serta penghindar penyakit.”
2. Dikurniakan Kesan Takwa Pada Wajah
Pernahkah melihat wajah-wajah ahli ibadah yang mengamalkan solat malam?
Bukankah wajah mereka kelihatan berseri dan tenang?
Itulah bukti anugerah yang Allah berikan kepadanya.
Bukan itu sahaja, dengan melihat wajah mereka sahaja pun kita berasa cukup bahagia dan seronok, bahkan terasa mahu melihatnya berkali-kali.
3. Dikasihi Oleh Semua Manusia
Sesiapa yang mengamalkan ibadah malam pasti akan dikasihi oleh setiap manusia, apatah lagi oleh Allah SWT.
Begitulah ciri-ciri orang yang beriman dan beramal dengan Allah pasti akan mendapat kasih sayang dari sesiapa pun.
4. Percakapan Dan Perbuatannya Mengandungi Hikmah (Kebijaksanaan)
Sesungguhnya ciri-ciri mereka yang beriman adalah yang menjaga adab dan pertuturan kata-kata mereka.
Golongan ini sudah tentu tidak berbicara hal yang melalaikan tetapi setiap kata-kata mereka adalah yang bermanfaat dan berhikmah.
Begitu juga dalam perbuatan dan tindak tanduk mereka yang sentiasa berusaha menjauhi perkara yang melalaikan dan berlumba-lumba melakukan kebaikan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT.
5. Dikurniakan Kekuatan Dan Rezeki (Halal dan Diberkati)
Dengan menunaikan setiap amal ibadah kepada Allah SWT, tidak kiralah apapun ibadahnya pasti akan ditunaikan rezeki yang melimpah-ruah, seperti makanan yang enak, kesihatan, keluarga yang bahagia dan sebagainya.
Bahkan setiap rezeki akan diberkati oleh Allah SWT.
Penutup
Menjadikan Solat Sunat Tahajjud sebagai rutin harian adalah langkah terakhir dan utama.
Walaupun solat ini merupakan solat sunnah, tetapi ia penting kerana dapat mendekatkan diri kepada Allah. Solat ini juga akan membuatkan kita mendapat pengampunan dari Allah atas dosa-dosa dan kesilapan setiap hari.
Allah SWT sangat mengasihi orang yang melaksanakan solat-solat sunat secara istiqamah.
Tinggalkan Komen Anda..