Apakah adab semasa ziarah kubur?
Dan apakah perkara-perkara yang dilarang dilakukan semasa menziarahi kubur.
Panduan ini akan menerangkan secara padat dan ringkas mengenai adab-adab ziarah kubur dan perkara yang ditegah untuk dilakukan.
Semoga bermanfaat..
Adab-Adab Menziarahi Kubur
Hukum menziarahi perkuburan adalah sunat bagi kaum lelaki menurut ijma’ ulama.
Pada awalnya Rasulullah melarang umat Islam daripada menziarahi tanah perkuburan tetapi kemudian
Nabi membenarkannya berdasarkan sabda Baginda yang diriwayatkan daripada Buraidah bin al-Hasib:
Dahulunya aku pernah melarang kamu semua daripada menziarahi kubur tetapi sekarang ziarahilah kubur kerana hal tersebut akan mengingatkan kamu tentang akhirat.
(Hadis riwayat al-Tirmidzi)
Namun, bagi kaum wanita pula terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama mazhab al-Shafi’i.
Sebahagian mereka berpendapat bahawa makruh bagi kaum wanita menziarahi tanah perkuburan kerana ditakuti mereka hadir dengan tabarruj (berhias-hias), menangis-nangis, meraung-raung atau meninggikan suara lantaran hati mereka itu lembut, banyak bersedih dan tidak kuat untuk menanggung musibah.
Sebahagian pendapat yang lain menyebut bahawa diharuskan kepada kaum wanita untuk menziarahi tanah perkuburan jika aman daripada fitnah.
Di dalam al-Taqrirat al-Sadidah karangan Hassan Ahmad al-Kaaf menyebut bahawa sunat bagi kaum wanita menziarahi perkuburan ahli keluarga dan kaum kerabatnya. Termasuk juga sunat menziarahi makam para Nabi dan orang-orang soleh.
Antara adab-adab yang perlu diamalkan ketika menziarahi tanah perkuburan ialah:
Sebaik sahaja melangkah masuk ke kawasan perkuburan, sunat memberi salam kepada para penghuninya dengan ucapan:
Salam sejahtera ke atas kamu wahai penghuni kubur dari kaum mukminin dan kami In shaa Allah pasti akan menyusul kalian.
(Hadis riwayat al-Tirmidzi)
Apabila berjalan di kawasan perkuburan, elakkan daripada melangkah atau memijak di atas kubur kerana perbuatan tersebut adalah makruh lantaran ia merupakan satu bentuk penghinaan.
Sebaliknya, jika terpaksa melangkah di atas kubur disebabkan kawasan laluan yang sempit atau tidak ada laluan yang lain kecuali perlu melangkahnya atau tidak menyedari di situ ada kubur, maka hal itu tidak dianggap makruh.
Apabila penziarah telah berada pada kubur yang hendak diziarahinya itu, sunat baginya mendekati kubur tersebut sekadar dekatnya dia bersama si mati ketika dia masih hidup.
Bacalah beberapa ayat al-Quran ataupun surah yang mudah seperti surah Yasin atau surah-surah lazim di sisi kubur si mati.
Pahala bacaan al-Quran itu akan diperolehi oleh si pembaca tetapi si mati akan mendapat rahmat atas bacaan tersebut kerana rahmat Allah akan turun apabila ayat-ayatNya dibacakan.
Berdoalah buat si mati sebaik sahaja selesai membaca al-Quran dan menghadiahkan pahala bacaan al-Quran yang sama kepada roh si mati.
Segala amalan soleh seperti solat, puasa, sedekah, bacaan surah Fatihah dan sebagainya, jika dihadiahkan pahalanya yang sama buat si mati, maka pahala tersebut akan sampai kepada si mati dengan izin Allah .
Perlu diingatkan, jangan sesekali menyapu-nyapu kubur atau mengucupnya atau memberi salam padanya dengan isyarat tangan kerana hal tersebut merupakan bid’ah yang menyimpang daripada syariat Islam.
Para penziarah boleh menziarahi kubur sama ada dalam keadaan berdiri ataupun duduk seperti mana sewaktu dia menziarahi si mati dahulu ketika masih hidup.
Larangan di Tanah Perkuburan
Di dalam kitab Fiqh al-Manhaji ada menyebut tentang amalan bid’ah yang berlaku dalam kalangan masyarakat Islam apabila berlaku kematian.
Antaranya:
Melakukan amalan-amalan yang sama sekali menyalahi adab-adab ketika mengiringi jenazah ke tanah perkuburan seperti meninggikan suara sama ada berzikir mahupun berkata-kata.
Bahkan hendaklah memperlahankan suara jika mahu berzikir, bertahlil atau berkata-kata.
Membawa jambangan bunga, daun dan sebagainya bersama-sama jenazah.
Perbuatan ini dikira sebagai bid’ah yang haram yang mana amalan tersebut telah mempengaruhi umat Islam agar mengikuti budaya orang bukan Islam dalam upacara pengkebumian mereka.
Bahkan perbuatan ini suatu pembaziran yang sama sekali tidak berfaedah.
Membuat binaan di atas kubur sama ada di dalam atau di luar kubur dengan bahan-bahan yang boleh menyerap haba panas seperti simen, kapur dan sebagainya.
Sebaliknya, jika membina kepok ataupun binaan di atas tanah kubur dengan tujuan agar tanahnya tidak mendap atau roboh ataupun bagi membezakan antara tanah kubur dengan tanah biasa ataupun bagi mengelakkan dipijak dan tidak dihormati, maka harus membuat binaan di atasnya dengan syarat binaannya rendah, tidak melibatkan pembaziran dan sederhana bentuknya.
Sekiranya berlebih-lebihan dalam binaannya sehingga melibatkan perbelanjaan yang besar, maka ia merupakan pembaziran yang tidak dibenarkan.
Meninggikan tanah kubur sebagaimana yang menjadi kebiasaan dalam masyarakat pada hari ini apabila mengkebumikan jenazah.
Hukumnya adalah makruh tahrim kerana menurut sunnah Nabi tanah kubur tidak boleh ditinggikan melebihi sejengkal dari paras tanah.
Meratapi jenazah dengan menghitung hitung kebaikannya atau menangisi jenazah dengan suara yang meraung-raung atau memukul-mukul dada atau menepuk-nepuk kepala atau mengoyakkan baju.
Semua perbuatan ini adalah haram kerana tidak menzahirkan kepatuhan dan penerimaan qadak dan qadar Allah.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Malik al-Asy’ari bahawa Nabi bersabda:
Apabila seorang wanita yang meratapi jenazah tidak bertaubat sebelum dia meninggal dunia. Maka, dia akan dibangunkan pada hari kiamat kelak dalam keadaan dipakaikan dengan pakaian yang berminyak dan pakaian kurap.
(Hadis riwayat Muslim)
Ahli keluarga si mati sibuk menyediakan dan menghidangkan makanan kepada penziarah yang hadir sebagaimana yang berlaku pada hari ini.
Hal ini merupakan larangan dan bid’ah yang sangat ditolak dan jelas bertentangan dengan sunnah Nabi.
Ini kerana, amalan sunnah adalah sebaliknya iaitu jiran tetangga atau sahabat handai kepada ahli keluarga si mati yang seharusnya menyediakan makanan dan menjamunya kepada ahli keluarga tersebut dan para penziarah.
Bahkan sunat menyediakan makanan yang banyak agar mencukupi untuk menjamu ahli keluarga si mati di sepanjang hari kematian itu sehari semalam.
Hukum ini merujuk kepada hadis Nabi ketika mana Jaafar bin Abu Talib dilaporkan terbunuh, maka Baginda memerintahkan kepada para sahabat:
Sediakanlah makanan buat ahli keluarga Jaafar kerana sesungguhnya telah datang kepada mereka musibah (kematian) yang menyibukkan mereka.
(Hadis riwayat Abu Daud dan al-Tirmidzi)
Mengadakan Tahlil Arwah
Berkenaan dengan tahlil arwah yang telah menjadi amalan dalam masyarakat Islam di negara ini, maka amalan tersebut sama sekali tidak bertentangan dengan syariat Islam.
Ini kerana, bacaan tahlil mengandungi bacaan ayat-ayat al-Quran, selawat, zikir tasbih, tahmid dan istighfar serta doa bagi memohon keampunan dan menghadiahkan ganjaran pahalanya buat si mati.
Lazimnya, majlis tahlil ini diakhiri dengan jamuan kepada mereka yang hadir.
Amalan ini merupakan amalan yang baik bahkan menghadiahkan bacaan ayat-ayat al-Quran dan doa buat si mati adalah digalakkan dalam Islam.
Termasuk juga menjemput dan memberi makan kepada orang ramai merupakan amalan yang menjadi sunnah Nabi sendiri.
Jika majlis tahlil diadakan dengan tujuan untuk mengingati Allah dengan berzikir, menghadiahkan bacaan al-Fatihah dan ayat-ayat al-Quran kepada si mati serta bersedekah makanan kepada orang ramai, maka hal ini mempunyai ganjaran pahala di sisi Allah SWT, InShaAllah.
Tetapi perlu diingat, jangan menetapkan hari-hari yang tertentu sebagai hari untuk mengadakan majlis tahlil seperti hari ke-3, hari ke-7, hari ke-40, hari ke-100 dan sebagainya kerana perbuatan ini sama sekali tidak pernah dianjurkan oleh sunnah apatah lagi disyariatkan.
Bahkan majlis tahlil boleh diadakan pada bila-bila masa sahaja tanpa khusus kepada hari atau bulan tertentu.
Perlu diingatkan juga, segala perbelanjaan untuk mengadakan majlis tahlil tidak boleh diambil daripada harta si mati kerana harta tersebut sudah dikira sebagai harta pusaka apatah lagi jika si mati itu meninggalkan waris dari kalangan kanak-kanak yang belum baligh.
Maka, harta tersebut merupakan harta anak yatim yang tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya.
Sebaliknya perbelanjaan untuk mengadakan majlis tahlil boleh dikeluarkan oleh ahli waris sendiri daripada harta mereka ataupun menggunakan wang yang disedekahkan oleh orang ramai kepada keluarga si mati.
Majlis tahlil juga harus diadakan mengikut kemampuan masing-masing tanpa melibatkan pembaziran ataupun melampaui batas kerana ia bukan perkara yang wajib.
Apa yang penting adalah doa buat si mati.
Wallahu a’lam
Tinggalkan Komen Anda..