27 Waktu Terbaik Untuk Berdoa & Kepentingan Doa Dalam Menyelesaikan Masalah

waktu terbaik untuk berdoaBilakah waktu terbaik untuk berdoa?

Dan apakah kepentingan doa kepada kita dalam menyelesaikan masalah kehidupan?

Artikel ini akan menyenaraikan beberapa perkara penting berkaitan doa seperti:

  • Waktu terbaik untuk berdoa,
  • Adab dalam berdoa,
  • Syarat doa dimakbulkan
  • Sebab mengapa doa ditolak.

Apa yang paling penting, anda akan mengetahui mengapa doa itu penting kepada kita dalam menyelesaikan setiap masalah dalam kehidupan.

Oleh itu anda harus membaca penulisan ini.

InsyaaAllah ia akan memberikan input yang berguna kepada kehidupan kita.

 

Apakah Kepentingan Doa Kepada Hidup?

Firman Allah SWT:

Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kepada-ku, nescaya Aku perkenankan untukmu

— Surah Ghafir ayat 60

Ajaran Islam begitu kaya dengan doa.

Bukan sahaja untuk melaksanakan perkara besar, tetapi untuk melaksanakan perkara yang dipanjang remeh sekali pun, Islam mengajar kita untuk berdoa.

Kita berdoa bukan untuk memberitahu Allah apa yang kita pinta.

Tanpa diberitahu pun, Allah memang sudah sedia mengetahui segala sesuatu.

Allah Maha Mengetahui segala apa yang kita zahirkan mahupun apa yang kita sembunyikan.

— Jadi, perlu apa lagi kita berdoa?

Berdoa sebenarnya satu tugas pengabdian.

Dengan berdoa kita mengakui kelemahan, kemiskinan, kehinaan, kejahilan dan lain-lain sifat kehambaan kita di sisiNya.

Doa ialah untuk membuktikan sifat kehambaan kita dihadapan Allah SWT.


1. Mengekalkan Hubungan Dengan Allah Setiap Masa

Manusia memerlukan Allah lebih daripada segala keperluan lain.

Tanpa Allah dalam hatinya, manusia umpama ikan yang ketiadaan air. Jiwanya akan mati.

Manusia akan hilang ketenangan, kebahagiaan dan keharmoniaan walaupun dia memiliki segala-galanya.

Tanpa hubungan dengan Allah yang berkekalan, manusia umpama layang-layang yang terputus tali.

Doa jua sebenarnya ialah zikir – yakni interaksi dan komunikasi kita kepada Ilahi dengan cara yang paling harmoni.

Allah memerintahkan kita agar berdoa untuk mengingatiNya kerana hanya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.

Melalui ketenangan itulah hakikat sebuah kebahagiaan.

Demikian yang dijelaskan dalam firman Allah SWT:

Yakni mereka yang beriman dan hati mereka menjadi tenang dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang

— Surah al-Ra’d ayat 28

Orang yang sering berdoa tidak akan dilanda stress yang melampau dan kemurungan dalam hidup.

Hal ini demikian kerana talian hayatnya sentiasa bersambung dengan Allah, apatah lagi ketika dia memerlukan pertolongan.


2. Keupayaan Melakukan Perubahan Ke Arah Kebaikan Secara Berterusan

Manusia perlu sentiasa berubah.

Daripada kurang baik kepada baik.

Daripada baik kepada yang lebih baik (cemerlang).

Hidup orang yang berjaya sentiasa lebih baik daripada sebelumnya. Sama ada kebaikan itu berkait dengan Allah mahupun yang berkait dengan manusia.

Dan Dia memperkenankan (doa) orang yang beriman serta mengerjakan amal yang soleh dan menambah (pahala) kepada mereka daripada kurniaNya

— Surah al-Syura ayat 26

Doa itu harapan.

Doa ialah satu kunci menggamit pertolongan Allah untuk melaksanakan perubahan diri yang dimaksudkan.

Manakala usaha ialah langkah untuk merialisasikan harapan itu.

Dengan berdoa kita mengharapkan sebaik takdir. Dengan berusaha kita melaksanakan sebaik tadbir.

Apabila bergabung tadbir dan takdir yang baik, insyaaAllah kita akan berubah ke arah yang lebih baik.


3. Didampingi Oleh Malaikat dan Menghalau Syaitan

Dalam mengharungi kehidupan ini, sentiasa ada makhluk lain yang mengiringi dan mendampingi kita.

Apabila kita makan tanpa berdoa misalnya, syaitan akan menumpang makan bersama-sama kita.

Akibatnya, makanan yang kita makan akan hilang keberkatannya.

Syaitan sentiasa menghasut dengan menimbulkan keraguan, ketakutan, kerakusan dan lain-lain rasa yang negatif dalam hati.

Inilah punca kejahatan, kegelisahan dan kegagalan dalam kehidupan seseorang.

Jadi, hanya dengan mengingati Allah menerusi doa, kita mampu menghalau syaitan yang sentiasa mendampingi kita.

Jika kita berdoa, malaikat akan mendampingi kita dan akan memberi sarana atau input yang baik-baik ke dalam hati kita.

Kesannya, manusia yang sentiasa didampingi malaikat akan lebih terkawal kata-kata, pertimbangan, keputusan dan tindakan dalam hidupnya.

Oleh sebab itu berdoalah, insyaaAllah malaikat akan hampir, syaitan pula akan meminggir.


4. Membentangkan Masalah Dengan Jelas

Doa ialah langkah pertama untuk menyelesaikan masalah.

Doa secara tidak langsung ialah cara kita membentangkan masalah kita untuk diselesaikan.

Malangnya, ramai orang yang hanya gelisah tidak tentu arah apabila ditimpa masalah. Mereka hilang arah, atau tidak tahu pun apa masalah mereka yang sebenar.

Doa menolong kita menukarkan masalah ke dalam bentuk perkataan.

Dengan berdoa, masalah yang asalnya kabur dan samar menjadi jelas dan terang.

Doa ialah seperti menulis masalah kita di atas kertas. Dengan berdoa seolah-olah kita “berkata-kata” dengan Allah.

Justeru, semasa kita bermohon, merayu, mengadu dan meluahkan segala-galanya kepada Allah, kata-kata kita semasa itu seperti membentangkan masalah kita ke hadapan-Nya.

Ini akan memberi kelegaan, malah masalah itu sudah menjadi separuh selesai!


5.  Melahirkan Rasa Berkongsi Menghadapi Kebuntuan

Menurut pakar psikologi, tidak ramai manusia yang begitu kuat sehingga mampu menanggung masalah paling sulit dan perit secara bersendirian.

Adakalanya kita sangat memerlukan insan lain untuk mendengar dan berkongsi masalah kita dengan seseorang.

Namun adakalanya masalah kita terlalu personal yang kita rasa malu atau enggan untuk diceritakan kepada orang lain.

Kadangkala kebimbangan kita terlalu tinggi sehingga tidak dapat berbincang dengan saudara-saudara atau sahabat-sahabat karib.

Pada ketika itu kepada siapa kita hendak mengadu?

Ya sudah pasti kepada Allah.

Berdoalah, Allah sentiasa sedia dan setia untuk mendengarnya.

Berdoa memberikan kita berasa “tidak bersendirian” dalam menghadapi sebarang kebuntuan hidup.

 

Adab-Adab Dalam Berdoa

Dalam berdoa, terdapat adab-adabnya.

Antara adab dalam berdoa adalah:

  1. Dalam keadaan berwuduk
  2. Dalam keadaan menutup aurat
  3. Mengadap ke kiblat
  4. Dalam keadaan khusyuk dan tawaduk
  5. Tidak tergesa-gesa
  6. Dimulai dengan memuji kebesaran Allah
  7. Kemudian berselawat ke atas Baginda Rasulullah SAW
  8. Membaca doa itu dengan cara penuh harapan akan dimakbulkan.
  9. Diakhiri dengan selawat dan salam
  10. Seeloknya kita mengetahui isi dan makna doa itu.

Yang paling utama ialah jangan sekali-kali berputus asa untuk terus berdoa kepada Allah SWT.

Apabila kita yakin bahawa Allah itu Maha Pemurah, tentu kita yakin bahawa Dia akan melayan permintaan kita.

Apabila kita yakin Allah itu Maha Kaya, tentu kita yakin Dia mampu memberikan apa yang kita minta.

 

Syarat Doa Dimakbulkan

  1. Menjaga makanan dan minuman supaya tidak terambil yang haram dan yang syubhah
  2. Harta yang digunakan jelas bersih dan halal punca perolehannya
  3. Tidak melakukan perbuatan maksiat
  4. Hindarkan fikiran daripada perkara-perkara yang tidak baik

 

 

Waktu Yang Terbaik Untuk Berdoa

Sebenarnya tiada halangan masa untuk berdoa.

Namun terdapat beberapa waktu dan keadaan yang lebih afdhal jika kita memanjatkan doa kepada Allah.

Waktu-waktu ini insyaaAllah doa kita akan lebih mudah diterima:

  1. Pada malam al-Qadar (sepuluh malam terakhir yang ganjil dalam bulan Ramadhan)
  2. Pada hari Arafah (9 Zulhijjah ketika jemaah haji wukuf di Arafah)
  3. Pada bulan Ramadhan
  4. Pada malam Jumaat
  5. Pada hari Jumaat
  6. Waktu berjumaat, lebih-lebih lagi ketika imam duduk di mimbar sampai imam mengucapkan salam.
  7. Pada tengah malam
  8. Seperdua malam yang kedua (selepas 12 malam)
  9. Sepertiga malam yang pertama (jam 6 sampai 10 malam)
  10. Sepertiga malam yang terakhir (selepas jam 2 pagi)
  11. Pada waktu sahur (sebelum fajar)
  12. Sesudah berwuduk
  13. Ketika orang azan untuk solat
  14. Antara azan dan iqamat
  15. Ketika orang mengucapkan iqamat
  16. Ketika berbaris (jalan bersama) menuju medan perang sabil (peperangan mempertahankan ajaran Islam)
  17. Dalam pertempuran di medan perang
  18. Pada akhir tiap-tiap solat fardhu
  19. Pada waktu sedang sujud (dalam solat atau luar solat)
  20. Ketika sedang membaca al-Quran
  21. Setelah tamat membaca al-Quran
  22. Ketika minum air zam-zam
  23. Pada waktu ayam jantan berkokok (pada waktu pagi).
  24. Pada saat berkumpulnya kaum Muslimin kerana agama
  25. Pada waktu berkumpul untuk berzikir (iaitu berkumpul untuk menyebut kebesaran Allah, bertakbir, bertahmid dan bertasbih, atau berkumpul membaca dan mempelajari al-Quran atau berkumpul menerima pelajaran agama Islam)
  26. Pada waktu turun hujan.
  27. Ketika menutupkan mata orang yang telah mati.

 

Sebab-Sebab Doa Ditolak

Antara sebab doa seseorang ditolak adalah kerana hatinya yang buta disebabkan sepuluh perkara:

  1. Mengenali Allah, tetapi tidak menunaikan suruhanNya
  2. Mengatakan cinta kepada Rasul Allah, tetapi meninggalkan sunnahnya
  3. Membaca al-Quran tetapi tidak beramal dengannya
  4. Makan nikmat Allah, tetapi tidak bersyukur kepadaNya
  5. Mengatakan syaitan musuhnya, tetapi tidak menentangnya
  6. Mengatakan Syurga itu benar, tetapi tidak beramal untuknya.
  7. Mengatakan Neraka itu benar, tetapi tidak lari daripadanya.
  8. Mengatakan mati itu benar, tetapi tidak bersedia untuknya.
  9. Bangun daripada tidur lalu menceritakan segala keaiban manusia, tetapi melupakan keaiban diri sendiri.
  10. Mengebumikan mayat-mayat (sahabat-sahabatnya) tetapi tidak mengambil iktibar daripada mereka.

 

PENUTUP:

Doa Ialah Cara Hidup Yang Menjadi Tradisi Orang Soleh

An-Nu’man Ibn Basyir meriwayatkan daripada Nabi SAW:

Sesungguhnya doa itu ialah ibadah

— Hadis riwayat Abu Daud (1479)

Bermula daripada bangun tidur, membersihkan diri, masuk tandas, keluar tandas, memakai baju, melihat cermin, makan minum sehinggalah tidur semula.

Semua perlakuan itu ada doanya yang khusus.

Malah, untuk melakukan hubungan suami isteri juga ada doanya.

Itulah uniknya Islam.


Semoga artikel ini memberi manfaat kepada anda. 

Sila share jika anda rasa ia boleh membawa kebaikan bersama.

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

2 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
JENAH BINTI ADAM
JENAH BINTI ADAM
3 tahun yang lalu

Assalamualaikum. Boleh tak membaca selawat, istigfar tanpa wuduk ?

Lynda Rahin
Lynda Rahin
3 tahun yang lalu

Assalammualaikum ustaz,saya ada satu pertanyaan tentang doa,sy ada terbaca doa selepas tahiyat dan sebelum salam,adakah ia tidak ternasuk dalam 27 doa di atas? Dan adakah doa bolh di baca dalm rumi ketika masih dlam solat? Maksudnye selepas tahiyat dan sebelum salam.