SOLAT KHAUF (Panduan Solat Waktu Takut & Waktu Peperangan)

solat khauf

Apakah itu Solat Khauf?

Bagaimana cara mengerjakannya?

Panduan ini akan membimbing anda menunjukkan cara solat khauf yang betul, sempurna dan sah.

Ia juga menerangkan segala perkara yang berkaitan dengannya.

  • Sebab-sebab yang membolehkan solat ini dilakukan
  • Situasi dan kaifiat solat ini

Dan paling penting, panduan ini ditulis secara lengkap, mudah dan ringkas bagi membantu anda memahami topik ini dengan lebih baik.

Pengenalan Solat Khauf

Solat Khauf adalah solat yang dilakukan dalam keadaan berperang dengan musuh atau dalam keadaan ketakutan akibat peperangan atau bencana alam dan malapetaka.

Dalam bahasa Arab, perkataan takut ini dikenali dengan istilah ‘khauf’.

Apabila perkataan solat dan khauf digabungkan, ia membawa maksud solat dalam situasi takut seperti dalam peperangan.

Ia berbeza dengan solat-solat yang lain kerana mempunyai beberapa rukhsah, terutamanya ketika berjemaah.

Ketika keadaan tidak aman dan memaksa seseorang sentiasa bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain atau sentiasa terpaksa mengawasi sekelilingnya daripada ancaman musuh di dalam peperangan, solat boleh dilaksanakan dengan cara yang termampu bergantung kepada keadaan waktu itu.

Sebab-Sebab Solat Khauf Dilaksanakan

Sepertimana solat musafir disyariatkan atas faktor kesulitan dengan syarat yang ditetapkan syarak, solat khauf juga disyariatkan dengan syarat-syarat tertentu dan disebabkan oleh faktor takut kepada ancaman dan serangan pihak musuh yang boleh mengancam keselamatan nyawa.

Antara sebab-sebab yang membolehkan solat khauf adalah seperti berikut:

  1. Wujudnya musuh sama ada ia menggugat atau tidak (sekiranya terdapat tentera musuh yang bersedia untuk menyerang di sempadan, tentera Islam boleh solat Khauf walaupun pertempuran belum berlaku)
  2. Melarikan diri daripada air banjir.
  3. Melarikan diri daripada kebakaran.
  4. Melarikan diri daripada perompak, penyamun atau pembunuh.
  5. Apa-apa sahaja sebab yang boleh menimbulkan ketakutan secara umum.

Cara Mengerjakan Solat Khauf

Solat khauf sama ada dengan berjemaah atau bersendirian boleh dilakukan dengan beberapa cara mengikut kegawatan keadaan masa itu.

Panduannya boleh dilihat daripada apa yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Diharuskan untuk tentera melakukan solat dengan dua orang imam, di mana setiap kumpulan dengan seorang imam.

Diharuskan juga untuk tentera melakukan solat Khauf secara berjemaah dengan seorang imam mengikut mana-mana kaifiat yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW telah melakukan beberapa kali solat khauf yang kesemuanya dengan berjemaah.

Solat khauf dilihat daripada kedudukan musuh dan peraturannya adalah seperti berikut:

Musuh tidak berada di arah kiblat

Apabila bilangan musuh sedikit dan orang Islam lebih ramai serta ada cukup kekuatan untuk bertahan, solat dilakukan dengan dua cara, iaitu:

Cara Pertama

  1. Imam membahagikan tentera Muslimin kepada dua pasukan. Satu pasukan berjaga menghadap musuh dan pasukan yang kedua berbaris di belakang imam untuk solat berjemaah.
  2. Apabila imam berdiri untuk rakaat kedua, makmum di belakang berniat mufaraqah dan menyudahkan solatnya secara bersendirian.
  3. Selepas itu mereka mengambil alih tempat untuk berjaga. Pasukan yang berhadapan dengan musuh tadi pergi ke belakang imam untuk berjemaah dengan imam yang sedang solat rakaat kedua.
  4. Apabila imam membaca tahiyat, makmum bangun mengerjakan rakaat kedua dan seterusnya solat seperti biasa dan mendapatkan imam yang sedang bertahiyat.
  5. Seterusnya mereka memberi salam bersama imam.
  6. Solat seperti ini sama seperti situasi dalam peperangan Zat ar-Riqa’
YouTube video

Dalam cara pertama ini, pasukan pertama boleh berimam sebanyak satu rakaat apabila solat itu hanya dua rakaat iaitu Subuh.

Tetapi apabila solat tiga atau empat rakaat, pasukan pertama boleh berimam sebanyak dua rakaat sebelum niat mufaraqah serta menghabiskan bakinya secara bersendirian sebelum masuk pasukan yang kedua.

Pasukan kedua walaupun hanya mengikut pergerakan imam satu atau dua rakaat iaitu baki rakaat imam, tetapi mereka boleh memberi salam bersama-sama imam.

Adilnya, pasukan pertama dapat bertakbiratul ihram bersama-sama imam.

Cara Kedua

Adalah dengan keadaan dan kedudukan sama, cuma setiap pasukan solat dengan sempurna.

  • Pasukan yang berada di belakang solat dengan sempurna bersama dengan imam.
  • Selepas salam, mereka berpindah ke hadapan mengambil untuk berjaga. Imam mendirikan pula solat sekali lagi dan kumpulan yang di hadapan pula solat bersama dengan imam.
  • Solat seperti ini sama seperti situasi solat dalam peperangan Batn-Nakhl.

Musuh berada di arah kiblat

Apabila tentera Muslimin hendak melakukan solat berjemaah serentak untuk mendapatkan fadilat jemaah yang lebih besar, imam hendaklah membahagikan jemaah kepada dua bahagian dalam dua, atau empat saf atau lebih.

Berikut adalah cara melakukan solat khauf dalam situasi ini:

  1. Imam memerintahkan makmumnya berdiri dua saf dan solat serentak semua sekali.
  2. Apabila imam sujud, makmum saf pertama sahaja sujud bersama, manakala makmum saf kedua tetap berdiri mengawal keadaan.
  3. Apabila imam dan makmum saf pertama berdiri untuk rakaat yang kedua, barulah makmum saf yang kedua sujud dan mereka mendapatkan imam pada qiam rakaat kedua.
  4. Apabila imam sujud rakaat kedua, makmum saf kedua berpindah ke hadapan dan sujud. Makmum saf pertama berpindah ke belakang berkawal dalam masa iktidal.
  5. Kemudian mereka terus bersolat untuk menyertai kedudukan imam yang sedang duduk tahiyat dan semuanya memberi salam bersama-sama imam.

Solat ini pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam peperangan di Usfan.

Sebuah hadis menceritakan, maksudnya:

Daripada Jabir r.a berkata: “Aku telah menyaksikan solat khauf bersama-sama Rasulullah SAW iaitu kami berbaris dua saf. Satu saf di belakang Rasulullah SAW sedangkan musuh diantara kami dan kiblat, lalu bertakbirlah Nabi SAW dan kami (semua barisan dari dua saf) juga takbir semua. Kemudian Baginda rukuk dan kami semua rukuk, kemudian Baginda mengangkat kepalanya lalu Baginda turun sujud bersama saf yang mengiringinya, sedangkan saf yang dibelakang tetap mengawasi musuh. Ketika Baginda selesai sujud, saf yang di hadapan juga selesai dan berdiri bersama Baginda. Dalam hadis lain, Jabir r.a berkata: kemudian Nabi SAW memberi salam dan kami pun ikut memberi salam semuanya.

Solat Ketika Sangat Takut

Ketika sangat takut disebabkan keadaan terlalu gawat dan tidak berupaya melakukan solat secara berjemaah, diharuskan solat berseorangan:

  • Sama ada ketika menaiki tunggangan, menaiki kenderaan atau berjalan kaki.
  • Sama ada menghadap kiblat atau tidak dengan memulakan takbiratul ihram ke arah kiblat jika berupaya.
  • Sama ada imam di hadapan atau di belakang, masing-masing boleh menghadap ke mana-mana pihak yang dapat.
  • Sah solatnya apabila terpaksa melakukan perbuatan yang banyak seperti menembak, menikam, menetak musuh berturut-turut beberapa kali.
  • Harus memegang senjata yang ada darah yang banyak kerana terpaksa. Walau bagaimanapun, tidak dibenarkan bercakap-cakap atau bertarik-tarik.

Penutup

Semoga panduan ini dapat membantu anda dalam mengerjakan solat dalam waktu-waktu yang kritikal dan darurat.

Jika anda ada sebarang soalan atau kemusykilan, sila nyatakan perkara tersebut pada ruangan komen di bawah.

Rujukan

  • Ensiklopedia Solat A-Z Tentang Solat, Dr. Nik Yusri Musa
  • Praktik Solat Waktu Kritikal, Dr. Hj. Ahmad Nasir Mohd Yusoff.
Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

7 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
ahpik
ahpik
11 bulan yang lalu

solat khauf ni ganti solat fardu ke?

Lutfi
Lutfi
3 tahun yang lalu

Assalamualaikum, saya nak mintak ustaz tulis sekali boleh hikmah solat khauf dan pengsyariatannya dekat blog ini………

Akmal
Akmal
3 tahun yang lalu

Assalamualaikum warahmatullahi wabaraktuh, bang nak hadis Dan mungkin ayat Al Quran Yang digunakan dalam konteks ni bang

amira
amira
Reply to  Akmal
3 tahun yang lalu

surah an nisa ayat 97 – 103

zul
zul
Reply to  Akmal
3 tahun yang lalu

Qs Albaqarah 2:239