TataCara Solat Dalam Kapal Terbang (Panduan Lengkap)

solat dalam kapal terbang

Bagaimana cara melakukan solat semasa penerbangan di dalam kapal terbang?

Artikel ini akan menerangkan secara lengkap bagaimana kaedah untuk melaksanakan solat dalam kapal terbang yang betul dan tepat.

Oleh itu, panduan ini akan membimbing anda secara mudah, lengkap dan boleh difahami oleh semua orang.

Maka tanpa buang masa mari kita ikuti panduan ini.

Pengenalan Mengenai Solat Di Dalam Penerbangan

Solat di dalam kapal ada dicatatkan dalam hadis yang diterima daripada Ibnu Umar.

Katanya, Rasulullah SAW ditanya tentang solat di atas kapal, maka jawab Baginda:

Solatlah di sana dengan berdiri, kecuali apabila engkau takut tenggelam”

— Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Juga diterima daripada Abdullah bin Abi ‘Utbah:

Saya menyertai Jabir bin Abdullah, Abu Said al-Khudri dan Abu Hurairah di dalam sebuah kapal. Mereka bersolat sambil berdiri dan berjemaah dengan diimami oleh salah seorang daripada mereka, padahal mereka sedang menghampiri pantai”

— Riwayat Said bin Mansur

Situasi solat di dalam kapal terbang sama ada penerbangan dalam negeri atau luar negeri adalah sama dari sudut perlaksanaan rukun, pengambilan wuduk, penentuan arah kiblat dan tayamum, tetapi berbeza sedikit dari sudut penentuan waktu solat.

Oleh kerana solat ini biasanya dilakukan semasa bermusafir, maka ia boleh dilakukan secara jamak dan qasar.

Solat di dalam kapal terbang boleh dikerjakan dalam keadaan berdiri di kabin belakang (ketika waktu tenang) dan dalam keadaan duduk ketika keadaan kapal terbang tidak begitu tenang.

Penentuan Arah Kiblat Dalam Kapal Terbang

Memandangkan arah kiblat sukar ditentukan kerana pergerakan pesawat, penumbang hendaklah menentukan arah kiblat dan yakin dengan arah tersebut.

Dia hendaklah sekurang-kurangnya menghadap ke arah kiblat ketika takbiratul ihram.

Sekiranya usaha telah dilakukan dan masih tidak menemui arah kiblat sama ada ketika berada di dalam kenderaan seperti kapal terbang dan kereta api, maka dalam situasi ini perlu dianggarkan arah kiblat yang tepat.

Hal ini merujuk kepada maksud hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi di dalam kitab beliau, Sunan al-Kubra dan Imam ash-Syaukani di dalam kitab Nail al-Authar.

Daripada Jabir bin Abdullah RA yang bermaksud:

Kami pernah solat pada satu malam yang mendung dan tidak mengetahui arah kiblat. Apabila kami solat kami perhatikan bahawa kami (sebenarnya) solat bukan menghadap ke arah kiblat. Lalu kami sampaikan hal ini kepada Rasulullah lalu Baginda bersabda, ‘Kamu telah melakukan yang terbaik’. Seterusnya Jabir berkata, ‘Dan Baginda tidak menyuruh kami mengulanginya’.”

— Riwayat Imam al-Baihaqi

Kaedah Solat Di Dalam Kapal Terbang

YouTube video

Kaedah menunaikan solat fardu di dalam kapal terbang adalah sama dengan kaedah solat di dalam kenderaan awam.

Hanya apabila timbul kesukaran, maka kesempurnaan gerakan solat itu berkurangan selari dengan kadar kesukaran yang dihadapi.

Ia mempunyai persamaan dengan kaedah solat orang sakit dalam beberapa keadaan dan berbeza pula dalam beberapa keadaan lain, iaitu:

1. Hendaklah berusaha selagi mampu bagi mencari tempat untuk bersolat dengan sempurna.

Bertanyalah kepada anak kapal dan ruang sebaiknya untuk bersolat.

Jika ruang itu digunakan oleh mereka dalam kesibukan kerja-kerja kabin, maka tunggulah sehingga kerja mereka berkurang atau selesai.

Satu alternatif lain adalah dengan memilih penerbangan dengan syarikat Muslim kerana anak-anak kapalnya akan lebih memahami kehendak kita berbanding dengan syarikat penerbangan bukan Muslim.


2. Jikalau tiada tempat untuk solat, maka tetaplah bersolat di tempat duduk sendiri dan solatlah dengan sujudnya ditunduk lebih rendah daripada rukuk.

Perintah menghadap kiblat tetap ada sebagaimana yang diterangkan sebelum ini.


3. Jikalau terdapat dua pilihan, satunya boleh menghadap ke arah kiblat tetapi solatnya harus secara duduk.

Manakala yang kedua ialah boleh solat secara sempurna tetapi tidak dapat menghadap kiblat melainkan pada takbir pertama, maka hendaklah dia mengutamakan solat menghadap ke arah kiblat sekalipun secara duduk.

Di dalam kenderaan bergerak seperti kapal laut, kereta api, dan pesawat, seseorang itu haruslah berusaha untuk menghadap kiblat mengikut kemampuan dirinya yang sebaik mungkin.

kiblat kapal terbang
Sesetengah penerbangan seperti Emirates menyediakan kemudahan penunjuk arah kiblat terkini pada sistem hiburan mereka

Hal ini kerana solat secara duduk mememangnya dibolehkan oleh nas yang jelas tatkala menghadapi kesukaran.

Manakala solat tanpa menghadap ke arah kiblat dengan sempurna adalah satu kebolehan yang diijtihadkan.


4. Jikalau sedang solat dan pesawat bergoyang sedikit, maka dibolehkan berpegang atau bersandar sebentar pada dinding atau kerusi bagi mengimbangkan diri.

Ini mengingatkan kepada sunah Rasulullah SAW yang solat dengan bersandarkan tiang tatkala umurnya sudah lanjut.


5. Jikalau pesawat banyak bergoyang sehingga membimbangkan, maka dibolehkan solat duduk dengan rukuk secara membongkok dan sujudnya seperti biasa hingga ke lantai pesawat.

Jikalau sedang bersolat secara berdiri dan di pertengahannya pesawat mula bergoyang, maka teruslah solat dengan duduk sehingga habis tanpa perlu dimulakan semula.


6. Jikalau goyangan pesawat adalah keterlaluan sehingga  keluar tanda “Pasang tali pinggang keselamatan” atau “Fasten seat belt”, maka sebaiknya duduk dahulu dan bersolatlah kemudian apabila suasana kembali tenang.

Penutup: Islam Tidak Memaksa Melakukan Perkara Yang Bahaya

Memaksa diri beribadah sehingga mendatangkan kecederaan bukanlah sesuatu yang dicenderungi agama.

Malah akan dipertanggungjawabkan jikalau kecederaannya itu menyebabkan dia tidak dapat meneruskan ibadah yang lain, meninggalkan amanah tanggungan dan menyusahkan pula orang lain.

Oleh itu, jika goyangan pesawat berlanjutan sehingga dijangka akan melewati waktu solat (contohnya solat subuh) maka laksanakanlah ia secara duduk di kerusi sendiri.

Sumber rujukan saya untuk panduan ini adalah buku praktik solat waktu kritikal, yang ditulis Dr. Haji Ahmad Nasir Mohd Yusoff.

Semoga dapat memberi manfaat kepada semua.

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

7 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
Seroja As Salam
Seroja As Salam
1 tahun yang lalu

Alhamdulillah terima kasih atas penerangan. Semoga tuan beroleh balasan baik dari Allah atas usaha ini. Mohon doakan saya sama yang baru nak mengerjakan umrah 6 Nov ini.

abidin
abidin
1 tahun yang lalu

Alhamdulillah sgt membantu. tkasih

Puan
Puan
2 tahun yang lalu

Terima kasih banyak2 Moga Allah berkati usaha Tuan/Puan yg prihatin ni

Saiful
Saiful
3 tahun yang lalu

Alhamdulillah… jazakallah Khairan maklumat nya