
Apakah maksud rukun wuduk?
Apakah anggota wajib wuduk?
Rukun wuduk bermaksud perkara-perkara asas yang wajib dilakukan ketika berwuduk.
Bila semua perkara ini sudah dilakukan, maka sudah sah wuduk kita.
(Perkara lain seperti doa selepas wuduk adalah sunat sahaja)
Rukun wuduk mempunyai enam perkara; iaitu niat, membasuh muka, membasuh tangan hingga ke siku, menyapu kepala, membasuh kaki hingga ke buku lali dan tertib.
Anggota wajib wuduk pula ialah:
- Seluruh muka.
- Sebahagian kepala.
- Membasuh tangan hingga ke siku.
- Membasuh kaki sehingga ke buku lali.
Sekiranya tertinggal salah satu rukun atau anggota wajib wuduk, maka wuduk itu tidak sah.
Rukun wuduk mengikut turutan adalah seperti berikut:
Rukun Wuduk Pertama:
Niat Wuduk
Lafaz niat wuduk adalah:

Nawaitu Rafaal Hadasi As-Ghori Lillahi Taala
Niat dalam Bahasa Melayu:
Sahaja aku mengangkat hadas kecil kerana Allah Taala
Lafaz niat dalam bahasa arab yang diucapkan secara lisan hukumnya sunat.
Niat yang wajib ialah lintasan dalam hati yang dihadirkan ketika mula membasuh sebahagian muka.
Sebaik-baiknya, dilafazkan niat sebelum mula mengambil wuduk untuk memudahkan berniat dalam hati.
Rukun Wuduk Kedua:
Membasuh Muka

Bahagian muka yang wajib dibasuh dengan mengalirkan air meliputi bahagian anak rambut di dahi sehingga ke bawah tulang dagu dan melebar dari anak telinga kanan sehingga ke anak telinga kiri termasuk rambut yang tumbuh di antaranya.
Sebaiknya, dimulakan basuhan di bahagian atas muka membawa ke bahagian bawah.
Rukun Wuduk Ketiga:
Membasuh Dua Tangan Hingga ke Siku

Wajib meratakan air ke semua bahagian di antara hujung jari hingga ke siku.
Sebaik-baiknya dimulakan basuhan dari hujung jari hingga melebihi siku dengan mendahulukan tangan kanan.
Rukun Wuduk Keempat:
Menyapu Sebahagian Kepala
Memadai menyapu air pada ubun-ubun, walaupun sekadar membasahkan sekurang-kurangnya tiga helai rambut asalkan rambut yang dibasahkan itu berada dalam had kepala.

Tidak sah menyapu air pada rambut yang melepasi had kepala seperti rambut pada bahagian bahu atau hujung rambut yang berikat.
Adalah lebih baik menyapu keseluruhan kepala sebagaimana amalan Rasulullah SAW.
Rukun Kelima:
Membasuh Kaki hingga ke Buku Lali

Wajib membasuh kaki dari hujung jari hingga ke buku lali.
Sekiranya sebahagian kaki yang wajib dibasuh kudung, maka wajib membasuh bahagian yang masih ada.
Perhatian:
Apabila seseorang itu terlupa membasuh kaki selepas beredar dari tempat wuduk, dia hanya perlu membasuh kaki selagi basuhan wuduk pada kepalanya belum kering.
Tidak perlu mengulang basuhan dari awal
Rukun Keenam:
Tertib
Setiap rukun wuduk mesti dilakukan mengikut turutan.
Ini sebagaimana hadis riwayat Nuโaim bin Abdullah al-Mujmir:
Aku lihat Abu Hurairah r.a berwuduk, maka dibasuhnya muka dan dilebihkan sedikit daripada had muka.
Kemudian dibasuh dua tangannya kanan dan kiri masing-masing sampai ke ke siku.
Kemudian menyapu kepalanya, kemudian membasuh dua kakinya kanan dan kiri masing-masing sampai ke betis.
Kemudian berkata Abu Hurairah r.a: โBegini aku lihat Rasulullah SAW berwudukโ
โ Riwayat Muslim
Rujukan Tambahan:
Panduan Wuduk Sempurna
Sila rujuk panduan ini untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kaedah cara mengambil wuduk yang sempurna: Cara Ambil Wudhu (Panduan Lengkap Bergambar)
Tinggalkan Komen Anda..
Assalamualaikum ustaz. Niat wuduk tu bermula ketika air mengalir sebahagian muka ke seluruh muka? Jika niat โsahaja akuโ tu air masih mengalir, tp bila perkataan โberwudukโ muncul dalam hati, air dah berhenti mengalir adakah sah niat wuduk? Basuh muka air kena mengalir keseluruhan muka ataupun sebahagian muka kemudian ratakan air ke muka?
Waalaikumussalam.
1/ Dalam mazhab Syafie, niat wuduk wajib dihadirkan ketika mula membasuh sebahagian muka. Jika pada saat air masih mengalir ke muka awak sudah terlintas dalam hati maksud, โaku berwuduk / mengangkat hadas kecil kerana Allahโ, maka wuduk itu sah, walaupun perkataan โberwudukโ itu sendiri hanya terlintas jelas selepas air berhenti. Yang diambil kira ialah maksud niat dalam hati, bukan sempurna atau tidak susunan ayat yang awak bayangkan.
2/ Yang perlu dijaga ialah: jangan sampai mula membasuh muka sedangkan hati langsung belum berniat apa-apa, kemudian baru terlintas niat selepas air putus โ itu tidak menepati rukun. Jadi cara paling selamat, biasakan niat dalam hati sebelum atau serentak ketika air pertama menyentuh muka, dan jangan terlalu dilayan rasa was-was pada perkataan.
3/ Tentang basuh muka: yang wajib ialah air sampai dan diratakan ke seluruh kawasan muka yang ditentukan syarak (daripada tempat tumbuh rambut biasa di dahi hingga bawah dagu, dan dari telinga kanan hingga telinga kiri). Tidak disyaratkan air mengalir serentak ke seluruh muka; memadai air mengalir pada sebahagian muka dahulu, kemudian awak ratakan dengan tangan sehingga basah seluruh bahagian yang wajib.
Wallahu aโlam.
Assalamualaikum ustaz..klau tangan Kita pasang jarum branula masa kena warded sah ke wuduk Tu..sebab air xkena Ada salotape Tu.
Waalaikumsalam,
Mengenai wuduk ketika tangan dipasang jarum branula, dalam Mazhab Syafie, ada beberapa pandangan. Secara asasnya, wuduk adalah sah jika semua anggota wuduk terkena air. Namun, jika ada sebab yang menghalang air sampai ke kulit seperti salotape yang menutupi jarum branula, ini boleh dianggap sebagai halangan.
Dalam situasi ini, ada pendapat yang mengatakan boleh melakukan masah (mengusap) di atas salotape tersebut sebagai ganti membasuh bahagian yang tertutup, dengan syarat tidak membahayakan kesihatan atau mengganggu peralatan perubatan.
Semoga penjelasan ini membantu.
Terima kasih ustaz
Sama-sama :-)
Page ni sangat2 bagus sebab semua panduan berkaitan ibadah lengkap dan jelas penerangan dia
Alhamdulillah, terima kasih atas maklumbalas.
berkumur kumur itu sunat ke wajib?
Sunat
Bagaimana jika selama dia berwudhuk dia tersalah telinga dulu baru kepala apakah yang patut di lakukan
Kena perbetulkan ambil wuduk
mulut hidung macam mana ye ? sunat kan ?
Ya sunat.
Bolehkah wudhuk tanpa basuh sblah kaki disebabkan ada kecederaan bahagian tersebut?
Kena tengok tahap kecederaan. Kalau kecederaan itu memang tidak boleh kena air, kena tayamum. Jika tayamum juga tidak boleh, maka barulah dimaafkan pada syarak.
Adakah sah wuduk kalau bahagian muka tidak sampai bawah dagu?
Tidak sah sebab dagu juga sebahagian daripada wajah.
basuh tiga kali jugak ke ustaz?
Sunat untuk buat 3 kali
assalamualikum ustaz, maaf nak tanya, bahagian bawah dagu untuk perempuan wajib dibasuh ke ?
Wassalam. Ya wajib basuh.