Contoh & Jenis Najis: Mughallazah, Mutawassitah & Muhaffafah

jenis najis dalam islam

Apakah contoh dan jenis najis dalam Islam?

Bagaimana pula cara yang betul menyucikan najis-najis tersebut menurut Islam?

Panduan ini akan menghuraikan secara lengkap mengenai soal taharah (bersuci).

Panduan ini merangkumi beberapa perkara seperti:

  • Takrifan najis
  • Kategori najis ringan, sederhana dan berat serta perbezaannya
  • Kaedah membersihkan dan menyucikan najis

.. dan sebagainya.

Panduan ini ditulis secara tersusun untuk memudahkan pemahaman anda.

Jika memerlukan maklumat mengenai topik ini, mari kita mulakan.

Pengenalan

Islam adalah agama kebersihan.

Agama ini ialah satu cara hidup yang sempurna syariatnya dan lengkap pula tatacara pengamalannya.

Taharah atau bersuci merupakan suatu tugas yang begitu penting dalam kehidupan seorang Muslim kerana ia punca atau asas penerimaan segala amal ibadat.

Sekiranya seseorang itu mengerjakan ibadah solat tetapi belum bersuci dan membersihkan diri sama ada dari segi tubuh badan, pakaian, tempat tinggal dan sebagainya, maka solatnya dikira tidak sah.

Apabila solat yang merupakan tiang agama itu tidak sah maka ibadah-ibadah lain juga turut tidak diterima Allah.

Takrif Najis

Pengertian najis dari segi bahasa ialah benda yang kotor.

Dari segi syarak pula, najis adalah benda kotor yang menghalang sahnya solat, termasuklah najis hukmi dan hakiki.

Pembahagian Bentuk Najis

Terdapat dua jenis bentuk najis, iaitu Najis ‘Aini dan Najis Hukmi.

1. Najis ‘Aini

Najis ‘aini adalah najis yang dapat dilihat atau dirasa atau dihidu baunya. Contohnya tahi, air kencing dan darah.

2. Najis Hukmi

Najis hukmi adalah najis yang sudah hilang kesannya seperti sudah hilang bau atau warnanya. Contohnya air kencing yang sudah kering.

Pensyariatan Untuk Bersuci (Taharah)

Kewajipan membersihkan najis disebutkan dalam al-Quran dan al-Sunah dengan jelas.

AL-QURAN

1. DAGING BABI

Firman Allah SWT tentang daging babi:

Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan ke padaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi — kerana sesungguhnya ia adalah kotor.

(Surah al-An’am 6:145)

2. CECAIR YANG MEMABUKKAN

Firman Allah SWT tentang cecair yang memabukkan adalah najis:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari pada perbuatan syaitan.”

(Surah a-Ma’idah 5:90)

3. BANGKAI HAIWAN

Firman Allah SWT tentang bangkai haiwan:

Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain daripada Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala.

(Surah Ma’idah 5:3)

AL-HADIS

4. AIR LIUR ANJING

Sabda Rasulullah SAW tentang air liur anjing yang najis:

“Bekas air sesiapa di antara kamu yang dijilat anjing boleh dibersihkan dengan membasuh nya tujuh kali dan yang pertamanya dengan tanah.”

(Riwayat Muslim dalam Sahih Muslim, kitab Taharah: Bab hukum jilatan anjing)

Jenis-Jenis Najis

Semua najis yang menghalang sahnya solat adalah sama dari segi kekotorannya.

Tetapi yang membezakannya adalah cara ia dibersihkan berdasarkan syarak.

Fuqaha membahagikan najis kepada tiga bahagian berdasarkan kepada cara menyucikannya.

TIGA KATEGORI NAJIS

1. Najis Mughallazah (Najis Berat)

Najis yang hanya boleh dibersihkan dengan tujuh basuhan termasuk sekali basuhan dengan air tanah.

2. Najis Mutawassitah (Najis Pertengahan)

Najis yang perlu dibasuh dengan air mutlak hingga hilang bau, rasa dan warna.

3. Najis Mukhaffafah (Najis Ringan)

Najis yang boleh dibersihkan dengan renjisan air.

NAJIS MUGHALLAZAH (NAJIS BERAT)

cara samak

Najis yang tidak memadai membasuhnya dengan air seperti najis-najis yang lain.

Najis ini perlu dibersihkan dengan cara “sertu”, iaitu enam kali basuhan dengan air mutlak dan satu kali basuhan air tanah.

Najis itu juga disebut sebagai Najis Mughallazah dalam bahasa Arab yang bermaksud najis yang berat untuk menyucikannya.

Jenis-Jenis Najis Mughallazah

Najis mughallazah atau najis berat ini terbahagi kepada dua, iaitu:

1. Anjing

Anjing dan keturunannya serta semua yang berasal daripadanya adalah najis, termasuk air liur, peluh dan darah.

Jika bekas, pakaian atau anggota badan terkena najis ini, ia hendaklah dibersihkan sebanyak tujuh kali dan salah satunya hendaklah menggunakan air yang dicampurkan dengan tanah.

Hukum ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:

Bekas air sesiapa diantara kamu yang dijilat anjing boleh dibersihkan dengan membasuhnya tujuh kali dan pertamanya dengan tanah.

(Riwayat Muslim dalam Sahih Muslim, Kitab Taharah, Bab Hukum jilatan anjing)

Boleh difahami disini, jika mulut anjing yang lebih bersih adalah najis, bahagian-bahagian lain sudah tentu lebih najis.

Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW telah dijemput ke rumah satu keluarga Ansar dan dia menerimanya.

Kemudian, dia sekali lagi dijemput ke sebuah rumah lain, tetapi dia tidak pergi.

Apabila mereka bertanya, Baginda menjawab:

“Kerana di rumah kamu ada anjing.” Mereka membalas. “Tapi di rumah mereka ada kucing”. Baginda menjawab: “Kucing adalah haiwan pemangsa”

(Riwayat Ahmad daripada Abu Hurairah)

2. Babi

Babi dan keturunannya sama ada disembelih mengikut syarak atau tidak, haiwan ini adalah najis berat.

Oleh itu, air liur darah, darah, najis, daging, bulu, tulang atau kulit sama ada yang telah disamak atau tidak, adalah najis.

Ini adalah berdasarkan firmah Allah SWT:

Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi, kerana sesungguhnya ia adalah kotor.

— Surah al-An’am 6: 145)

Cara Menyucikan Najis Mughallazah

Najis ini apabila terkena pada pakaian, badan atau tempat, hendaklah dibersihkan dengan tujuh basuhan.

Salah satu daripada tujuh basuhan itu hendaklah menggunakan air bercampur tanah.

(1 air tanah + 6 kali air mutlak = 7 basuhan)

Cara samak (sertu) ini terpakai tidak kira sama ada najis itu nampak zahir najisnya (‘aini) atau tiada kesan (hukmi)

Kaedah penyuciannya secara lengkap langkah-demi-langkah boleh dirujuk pada panduan ini: Kaedah Menyucikan Najis Mughallazah

NAJIS MUTAWASSITAH (NAJIS PERTENGAHAN)

Najis mutawassitah adalah najis pertengahan najis yang perlu dibasuh dengan air mutlak.

Najis sederhana yang tidak perlu dibasuh berulang kali seperti najis berat dan tidak memadai dengan hanya dipercikkan air ke atasnya seperti najis ringan.

Jenis-Jenis Najis Mutawassitah

1. ARAK

Ini termasuk semua jenis arak dan semua cecair yang memabukkan.

Firman Allah SWT:

Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari pada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.

(Surah a-Ma’idah 5:90)

Rasulullah SAW pula bersabda:

Setiap yang memabukkan itu adalah arak, dan setiap arak adalah haram.

(Riwayat Muslim daripada Ibn Umar dalam Sahih Muslim, kitab Minuman: Bab penjelasan bahawa setiap yang memabukkan itu adalah arak, dan setiap arak adalah haram)

2. DARAH

Semua jenis darah manusia dan haiwan adalah najis.

Darah yang tidak tergolong sebagai najis:

  • Bukan darah manusia yang mati syahid, kerana darah orang yang mati syahid adalah suci.
  • Bukan darah haiwan yang hidup di dalam air, seperti ikan.
  • Darah yang banyak dan mengalir, tidak termasuk darah hati dan limpa, kerana kedua dua darah ini tidak dianggap najis berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

“Dihalalkan untuk kamu dua jenis bangkai dan dua jenis darah. Dua jenis bangkai itu ialah ikan dan belalang. Semen tara dua jenis darah pula ialah hati dan limpa.”

(Riwayat Ibn Majah daripada Abdullah bin Umar dalam Sahih Ibn Majah, kitab Makanan: Bab hati dan limpa)

3. BANGKAI

Semua haiwan yang tidak disembelih atau disembelih tanpa mengikut hukum syarak adalah najis.

Ini termasuklah semua haiwan yang disembelih untuk berhala dan yang disebut selain daripada nama Allah. Ini berasaskan kepada firman Allah SWT:

Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain daripada Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala.

(Surah Ma’idah 5:3)

Tiga Jenis Bangkai Yang Tidak Dianggap Sebagai Najis

1. MAYAT MANUSIA

Mayat manusia tidak dianggap sebagai najis kerana kemuliaannya di sisi Allah, sebagaimana firman-Nya:

Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam. Dan kami telah beri mereka menggunakan berbagai bagai kenderaan di darat dan di laut dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka daripada benda-benda yang baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih lebihnya atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.

(Surah al-Isra’ 17:70)

Maksud kemuliaan yang dikurniakan kepada manusia dalam ayat ini ialah manusia itu suci sama ada ketika dia masih hidup atau setelah mati.

Abu Hurairah r.a. pernah bercerita kepada Abu Rafie’ r.a. bahawa:

Nabi SAW bertemu dengannya di sebatang jalan Madinah, sedangkan dia dalam keadaan berjunub. Lalu dia menyembunyikan diri daripadanya dan pergi mandi junub. Setelah itu, Nabi SAW memanggilnya. Apabila dia pergi kepadanya, Baginda berkata: “Ke mana kamu pergi Abu Hurai rah?” Jawabnya, “Wahai Rasulullah, ketika anda terserempak dengan saya, saya dalam keadaan berjunub, dan saya tidak mahu duduk berdekatan denganmu sehinggalah saya mandi” Sabda Baginda: “Maha Suci Allah, sesungguhnya orang Mukmin tidak najis.”

(Riwayat Muslim daripada Abu Hurairah dalam Sahih Muslim, kitab Haid: Bab dalil orang Islam tidak najis)

2. BELALANG

3. IKAN

Kedua-dua haiwan ini tidak dianggap sebagai bangkai yang najis berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

Dihalalkan kepada kamu dua jenis bangkai dan dua jenis darah. Dua bangkai tersebut ialah ikan dan belalang. Dua jenis darah pula ialah hati dan limpa.

(Diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar dalam Sunan Ibn Majah, kitab Makanan: Bab hati dan limpa)

4. AIR KENCING, TAHI DAN MUNTAH MANUSIA SERTA BINATANG

Air kencing, tahi dan muntah manusia adalah najis dan wajib dibasuh.

Melainkan air kencing kanak-kanak lelaki yang masih menyusu, belum memakan makanan selain susu ibunya atau susu-susu yang lain, memadai sekadar direnjis air.

Begitu juga air kencing, tahi dan muntah haiwan-haiwan yang tidak dimakan dagingnya, seperti keldai dan baghal, atau yang dimakan dagingnya seperti lembu dan kambing, adalah najis.

Dalil yang menyatakan air kencing itu najis adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim bahawa seorang Badwi telah kencing di dalam masjid, lalu Baginda bersabda:

Tuangkan ke atasnya sebaldi air.

(Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Perintah Baginda agar menuangkan sebaldi air ke atas air kencing menunjukkan bahawa air kencing adalah najis.

5. ANGGOTA BADAN YANG TERPOTONG ATAU TERCERAI DARIPADA SEEKOR HAIWAN YANG MASIH HIDUP

Anggota atau mana-mana bahagian haiwan yang terpisah atau terpotong dari pada haiwan yang masih hidup adalah najis.

Seperti ekor yang dipotong daripada seekor lembu yang masih hidup, adalah najis dan haram dimakan.

Sabda Rasulullah SAW:

Apa yang terpotong daripada haiwan yang masih hidup, adalah bangkai.

(Riwayat Abu Daud melalui Abu Waqid dalam Sunan Abi Daud, kitab Pemburuan: Bab buruan yang terpotong)

Tetapi rambut dan bulu haiwan yang boleh di makan dagingnya seperti bulu kambing biri-biri, dikecualikan daripada hukum ini, dan ia adalah suci.

Firman Allah SWT:

Dan Dia menjadikan bagi kamu daripada kulit binatang-binatang ternak: Khemah khemah (tempat berteduh), yang kamu mendapatinya ringan (dibawa ke mana-mana) semasa kamu merantau dan semasa kamu berhenti dan (Dia juga menjadikan bagi kamu) daripada berjenis jenis bulu binatang-binatang ternak itu, pelbagai barang perkakas rumah dan perhiasan, (untuk kamu menggunakannya) hingga suatu masa.

(Surah al-Nahl 16:80)

6. SUSU HAIWAN YANG TIDAK DIMAKAN DAGINGNYA

Susu haiwan seperti keldai, dan baghal yang tidak dimakan dagingnya, adalah najis dan haram diminum.

Ini kerana hukum susu adalah sama dengan hukum dagingnya.

7. AIR WADI

Wadi ialah air putih yang keluar dari pada zakar selepas membuang air kecil atau kerana mengangkat benda yang berat, dan ia adalah najis.

Kerana air ini keluar bersama dengan air kencing dan selepasnya.

Oleh itu, ia mengikut hukum air kencing yang najis dan perlu dibersihkan.

8. AIR MAZI

Mazi ialah air jernih, pekat dan lekit yang keluar kerana syahwat atau apa bila memikirkan tentang seks.

Air mazi keluar dahulu sebelum air mani ketika berjimak walaupun manusia tidak akan merasa ketika ia keluar. Ia keluar daripada lelaki dan juga perempuan, tetapi perempuan lebih banyak me ngeluarkan air mazi.

Air mazi ini adalah najis dan perlu dibasuh zakar dan faraj serta pakaian atau tempat yang terkena air tersebut.

Keluarnya air mazi ini juga menyebabkan batalnya wuduk berdasarkan hadis Ali bin Abu Talib r.a.:

Saya adalah seorang lelaki yang kerap keluar air mazi, lalu saya mengarahkan seorang lelaki (al-Miqdad bin al-Aswad) untuk bertanyakan kepada Nabi SAW kerana (malu dengan) kedudukan anak perempuannya (Fatimah sebagai isteri Ali). Dia bertanya dan Baginda menjawab: ‘Berwuduklah dan basuh zakar kamu’

(Hadis Sahih, diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Ali bin Abu Talib dalam Sahih al-Bukhari, kitab Basuhan: Bab membasuh air mazi dan berwuduk)

Cara Menyucikan Najis Mutawassitah

Najis mutawassitah adalah jenis najis yang tidak perlu dibasuh berulang kali seperti najis berat, tetapi ia juga tidak memadai dengan hanya dipercikkan air ke atasnya seperti najis ringan.

Kaedah penyucian bagi najis jenis ini adalah seperti berikut:

1. Baju atau pakaian terkena najis mutawassitah. Air najis tersebut hendaklah dihilangkan daripada badan, baju atau tempat yang terkena najis.

2. Hendaklah mengalirkan air di tempat tersebut hingga hilang sifat-sifatnya (warna, bau dan rasa) dan tidak memadai dengan mengelapnya dengan kain atau kertas.

3. Hendaklah dibersihkan semua sifat-sifat najis tersebut. Jika masih ada kesan, pakaian itu hendaklah diberus.

4. Rendam sebentar pakaian tadi jika kesannya masih ada.

5. Akhir sekali, apabila air najis telah hilang, seperti air kencing yang telah kering, tempat tersebut masih perlu dibilas dengan air mutlak yang mengalir.

NAJIS MUKHAFFAFAH (NAJIS RINGAN)

Najis mukhaffafah adalah najis yang boleh dibersihkan dengan renjisan air.

Jenis-Jenis Najis Mukhaffafah

1. AIR KENCING KANAK-KANAK

Secara spesifiknya adalah air kencing bayi lelaki yang berumur kurang daripada dua tahun dan hanya minum susu ibunya.

Dengan kata lain, bayi lelaki itu belum makan sebarang makanan lain (bijirin, susu lembu, buah-buahan, glukos dan sebarang bentuk makanan) sama ada banyak atau sedikit.

Memadai menyucikannya dengan merenjiskan air ke tempat yang terkena air kencing tersebut dan tidak disyaratkan air itu mengalir.

Dalilnya adalah berdasarkan hadis yang diriwayat kan daripada Ummu Qais binti Mihsan rha:

Dia menemui Rasulullah SAW ber sama dengan seorang anak lelaki yang masih kecil dan belum makan apa-apa makanan Lalu Baginda mendudukkannya di atas ribanya. Kemudian kanak kanak itu kencing di atas pakaiannya, dan Baginda pun meminta air lalu merenjs-renjinya tanpa membasuhnya.

(Riwayat al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari, kitab Taharah Bab air kencing kanak-kanak. Riwayat Abu Daud dalam Sunan Abi Daud, kitab Taharah: Bab air kencing kanak-kanak terkena baju dan riwayat al-Nasa’i dalam Sunan al-Nasa’t, kitab Taharah: Bab air kencing kanak-kanak yang belum makan makanan)

Cara Menyucikan Najis Mukhaffafah

Jika air kencing kanak-kanak ini terkena pada badan, pakaian atau tempat, memadai merenjiskan air pada seluruh tempat yang terkena najis ini, tanpa perlu mengalirkan air.

Najis Yang Dimaafkan

Kadangkala ada najis yang terkena pada tubuh dan sesuatu tempat yang sukar dikesan atau sukar dielakkan.

Jenis najis seumpama ini dengan beberapa syarat tertentu, dimaafkan sehingga ibadah boleh dilakukan tanpa membersihkannya terlebih dahulu.

Antara jenis najis yang dimaafkan termasuklah:

1. PERCIKAN AIR KENCING

Percikan air kencing yang terlalu sedikit hingga tidak dapat dilihat oleh mata kasar apabila ia mengenai pakaian atau badan.

Sama ada ia najis mughallazah (air kencing anjing atau tahi), mutawassitah (seperti air kencing manusia atau haiwan) atau mukhaffafah (air kencing kanak-kanak lelaki berusia kurang dua tahun dan hanya minum susu).

2. DARAH, NANAH DAN NAJIS YANG DIBAWA LALAT

Darah, nanah, darah kutu anjing dan najis yang dibawa lalat yang sedikit dimaafkan.

3. DARAH ATAU NANAH SENDIRI

Darah atau nanah luka walaupun banyak dengan syarat ia terjadi pada diri manu sia itu sendiri (tidak berpindah ke tempat lain).

Luka tersebut juga bukan perbuatannya dan bukan dengan sengaja. Darah dan nanah itu juga tidak mengalir ke anggota lain. Jika ia terkena pada orang lain, darah dan nanah ini dianggap sebagai najis.

Atau jika darah pada tangan mengalir ke kaki, ia menjadi najis. Atau jika darahnya telah bercampur dengan darah orang lain, ia juga menjadi najis

4. TAHI ATAU AIR KENCING YANG SEDIKIT

Tahi atau air kencing haiwan yang me mujak biji-bijian dan yang terkena susu ketika diperah.

Syarat-syaratnya:

  • Najis tersebut tidak banyak hingga mengubah sifat-sifat susu tersebut.
  • Najis yang terkena biji-bijian dan susu adalah daripada haiwan yang digunakan untuk mengisar bijian tersebut dan yang diperah susunya

Selain itu, najis tersebut juga hanya sedikit dan tidak mengubah susu.

5. TAHI IKAN

Tahi ikan di dalam air selagi ia tidak mengubahnya.

Begitu juga dengan tahi burung pada tempat-tempat yang selalu dilaluinya, seperti kawasan Tanah Suci Makkah, Madinah dan Jamek Umawi kerana keadaan ini sukar untuk dihindari secara umum.

6. DARAH DAGING JUALAN

Darah yang terkena pada penjual daging, jika tidak banyak.

7. DARAH PADA DAGING DAN TULANG

Darah yang sedikit pada daging dan tulang.

8. SISA MUNTAH KANAK-KANAK

Sisa muntah pada mulut kanak-kanak atau bayi.

Mulut kanak-kanak yang terdapat sisa muntah padanya apabila dia menghisap puting ibunya.

9. AIR LIUR BASI YANG BUKAN DARIPADA USUS BESAR

Air liur basi yang keluar daripada orang yang sedang tidur.

Bagi orang yang mengeluarkan terlalu banyak air liur ketika tidur (seperti berpenyakit).

Keadaan ini tidak dapat dielakkan. Tetapi sekiranya air liur yang keluar itu adalah gelema atau lendir daripada usus besar, ia adalah najis.

Jika tidak dapat dipastikan sama ada ia daripada usus besar atau tidak, dihukum sebagai suci.

10. MAKANAN ATAU RUMPUT UNTUK DIKUNYAH

Makanan atau rumput yang dimasukkan ke dalam perut haiwan.

Kemudian dikeluarkan semula ke dalam mulut untuk dikunyah, jika terkena pada baju atau tubuh penggembala.

11. TANAH JALAN

Tanah jalan yang diyakini bernajis tetapi tidak dapat dielakkan daripada terkena pakaian.

Tetapi dengan syarat, ia hanya pada bahagian) bawah pakaian dan ain najis itu tidak kelihatan.

12. PAKAIAN ORANG BERNAJIS

Pakaian peminum arak, tukang daging, kanak-kanak dan orang kafir yang menggunakan bahan bahan yang najis (mengikut syarak).

Pakaian itu adalah bersih pada pendapat yang lebih sahih.

13. BULU HAIWAN YANG TIDAK DIMAKAN DAGINGNYA

Bulu yang sedikit.

Bulu yang hanya sedikit daripada haiwan yang tidak dimakan dagingnya, kecuali bulu anjing dan babi.

14. BULU HAIWAN TUNGGANGAN

Bulu haiwan tunggangan walaupun banyak.

Ini kerana sangat sukar untuk mengelakkannya. Seperti bulu kuda dan unta.

15. KESAN TATU

Kesan tatu pada kulit jika tidak dapat dihilangkan

Melainkan hingga memudaratkan manusia atau kos terlalu tinggi untuk membuangnya

16. NAJIS TIKUS YANG SEDIKIT

Sedikit najis tikus yang masuk ke dalam takungan air dan tidak mengubah sifat sifat air tersebut.

17. BANGKAI YANG TIDAK MENGALIR DARAH

Bangkai yang tidak mengalir darahnya atau yang tidak berdarah apabila terjatuh ke dalam cecair seperti lalat, lebah dan semut.

Tetapi dengan syarat, ia jatuh sendiri dan ia tidak mengubah sifat air tersebut.

Kesimpulan
  1. Najis yang halus dan sedikit sehingga sukar dilihat dengan mata kasar. Contohnya najis pada kaki lalat dan percikan air najis yang sedikit.
  2. Darah, nanah dan muntah yang sedikit dan tidak mengalir. Ini termasuk tompokan darah, nanah dan muntah yang besarnya tidak melebihi ukuran wang syiling lima sen.
  3. Bangkai binatang yang tidak berdarah seperti lalat dan semut.
  4. Darah dan nanah yang keluar daripada luka pada tubuh sendiri walaupun banyak. Namun, sekiranya darah dan nanah itu daripada tubuh orang lain, hukumnya tetap najis.
  5. Najis binatang melata yang sukar dikesan atau dielakkan.
  6. Najis ikan di dalam air, dengan syarat tidak mengubah sifat air.
  7. Najis burung yang terkena pada pakaian di tempat-tempat tumpuan manusia seperti kawasan Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjid ‘Umawi. Ini disebabkan ia sukar dielakkan.
  8. Darah yang ada di dalam daging yang sudah siap dilapah dan dipotong.

Adakah Air Mani, Air Mazi Dan Air Wadi Itu Najis?

Apakah status hukum bagi tiga jenis cairan yang keluar dari badan ini?

Air Mani

Air yang terpancut keluar dari alat kelamin lelaki ketika bersetubuh atau apabila mencapai puncak syahwat atau bermimpi.

Air mani bukan najis tetapi perlu mandi wajib bagi menyucikannya untuk membolehkan seseorang menunaikan ibadah.


Air Mazi

Cecair jernih yang keluar dari alat kelamin, biasanya keluar terdahulu daripada mani, yang tidak mewajibkan seseorang mandi junub.

Air mazi adalah najis dan tidak wajib mandi, memadai membasuh sahaja tempat berkenaan.


Air Wadi

Air putih (pekat) yang keluar dari zakar atau faraj ketika badan penat bekerja.

Hukumnya adalah najis mutawassitah iaitu sama dengan air mazi dan tidak perlu mandi wajib memadai dengan membasuhnya sahaja.

Cara Basuhan Najis

Kaedah Basuhan 1

KAEDAH BERBILANG BASUHAN

Mazhab Syafi’i mensyaratkan agar najis mughallazah dibersihkan dengan tujuh kali basuhan dan salah satu basuhan tersebut adalah dengan air bercampur tanah yang bersih.

Ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Bekas air sesiapa di antara kamu yang dijilat anjing boleh dibersihkan dengan membasuh nya tujuh kali dan yang pertamanya dengan tanah.”

(Riwayat Muslim dalam Sahih Muslim, kitab Taharah: Bab hukum jilatan anjing)

CARA BASUHAN NAJIS ANJING DAN BABI

Basuhan pertama hendaklah dengan air yang dicampurkan dengan tanah yang suci agar basuhan seterusnya dengan air boleh membersihkan tanah tersebut. Air tanah ini hendaklah diratakan atau dialirkan di atas tempat yang terkena najis.

Pendapat yang azhar dalam mazhab Syafi’i mene tapkan tanah sebagai campuran di dalam air, dan tidak memadai dengan sabun, atau peluntur.

Tetapi sekiranya sabun dan peluntur ini digunakan terlebih dahulu untuk menghilangkan ain najis tersebut, itu tidak mengapa.

CARA BASUHAN NAJIS SELAIN ANJING DAN BABI

  • Untuk membasuh najis selain daripada anjing dan babi pula, hendaklah dihilangkan ain najis itu terlebih dahulu, jika ada.
  • Kemudian air mutlak hendaklah dialirkan di tempat tersebut sehingga hilang bau, rasa dan warnanya. Boleh menggunakan sabun untuk menghilangkannya.
  • Tetapi tidak disyaratkan berapa kali basuhan, asalkan najis tersebut telah hilang.
  • Tetapi jika salah satu sifatnya tidak boleh atau, terlalu sukar untuk dihilangkan, ia dimaafkan.

Contoh: warna tidak hilang

Bau dan rasa najis dapat dihilangkan tetapi warnanya tidak hilang walaupun telah dibasuh berkali-kali, maka ia dimaafkan.

Sekiranya najis tersebut telah hilang sifat-sifatnya (najis hukmI), tetapi diyakini terdapat najis di situ, memadailah dengan mengalirkan air di tempat tersebut sekali sahaja

Contoh: najis telah kering

Baju yang terkena air kencing tetapi kerana terdedah lama pada cahaya matahari, ia telah kering sehingga menghilangkan bau, rasa dan warnanya.


Kaedah Basuhan 2

KAEDAH MENGALIRKAN AIR

Mazhab Syafi’e dalam pendapat yang lebih sahih mensyaratkan air dialirkan atau disimbah pada tempat yang terkena najis jika air sedikit.

Kerana air yang sedikit jika tidak dialirkan dan dibiarkan bertakung bersama dengan najis, ia akan menajiskan air tersebut.

Seperti memasukkan sehelai baju yang terkena tahi ke dalam sebaldi air, air itu menjadi najis dan menajiskan seluruh baju tersebut.

RENDAM DAN BILAS

Tetapi sekiranya seorang itu merendamkan sehelai baju yang bernajis di dalam sebaldi air dan dibiarkan semalaman untuk menanggalkan ain najis tersebut, kemudian membilasnya semula dengan air mutlak, maka ia menjadi suci.

BASUH MULUT SELEPAS MUNTAH

Begitu juga, seorang yang muntah atau minum arak hendaklah membasuh mulutnya dengan ber kumur dengan air beberapa kali sebelum menjamah makanan.

Jika tidak, makanan yang dimakan itu dikira sebagai bernajis.

DISIMBAH AIR YANG BANYAK

Tanah yang bernajis juga boleh dihilangkan dengan disimbah dan dialirkan air yang banyak padanya, sehingga menenggelamkan tempat najis tersebut.

Ini adalah berdasarkan hadis Abu Hurairah r.a. tentang seorang orang Badwi yang kencing di dalam masjid, katanya:

Seorang lelaki Badwi berdiri, lalu membuang air kecil di dalam masjid dan orang ramai memarahinya. Nabi SAW berkata kepada mereka: ‘Biarkan dia, dan curahkan sebaldi atau setimba air di atas air kencingnya. Kamu semua diutus untuk memudahkan dan bukannya menyu sahkan.”

(Riwayat al-Bukhari daripada Abu Hurairah dalam Sahih al-Bukhari, kitab Wuduk: Bab mencurahkan air ke atas air kencing di dalam masjid)

Kaedah Basuhan 3

KAEDAH MENAMBAH AIR

Membersihkan air yang bernajis dengan menambahkan air boleh dilakukan dalam keadaan keadaan berikut:

AIR LEBIH DUA QULLAH BERUBAH SIFAT

Sekiranya najis mengubah sifat-sifat air yang lebih daripada dua qullah, ditambahkan air lain ke dalam bekas tersebut sehingga ia menghilangkan sifat-sifat najis.

AIR KURANG DUA QULLAH

Jika najis terjatuh ke dalam air yang kurang dua qullah, ditambah air lain ke dalamnya sehingga cukup dua qullah.

Tetapi dengan syarat, najis itu hanya sedikit dan tidak mengubah sifat-sifat air.

AIR MUSTAKMAL KURANG DUA QULLAH

Air mustakmal yang kurang dua qullah tidak boleh digunakan untuk mengangkat hadas.

Tetapi sekiranya ditambah air mustakmal atau air mutlak lain sehingga cukup dua qullah, air ini menjadi air mutlak yang suci dan menyucikan.

Photo of author

Muhamad Naim (Admin)

Penulis utama dan ketua editor. Menubuhkan web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

127 thoughts on “Contoh & Jenis Najis: Mughallazah, Mutawassitah & Muhaffafah”

  1. Assalamualaikum.
    1)bagi kucing yang pernah makan makanan yang berunsur khinzir,bolehkah kita memegang kucing itu?
    2)jika kucing itu menjilat atau menyentuh kucing lain, bagaimana pula dengan kucing yang lain itu?

    Reply
    • Waalaikumsalam warahmatullahi wabarakatuh.

      1) Memegang kucing yang pernah makan makanan berunsur khinzir:

      Kucing yang makan makanan yang mengandungi unsur khinzir tidak menjadikan bulu atau badan kucing itu najis. Oleh itu, memegang kucing tersebut adalah dibenarkan. Namun, jika ada sisa makanan berunsur khinzir yang masih melekat pada mulut atau bulu kucing, seeloknya dibersihkan terlebih dahulu.

      2) Jika kucing yang telah makan makanan berunsur khinzir menjilat atau menyentuh kucing lain:

      Jika kucing pertama (yang makan makanan khinzir) menjilat kucing yang lain dan tiada sisa makanan berunsur khinzir yang melekat, maka kucing yang kedua tetap suci. Masalahnya bukan berada pada kucing itu sendiri, tetapi pada sisa makanan berunsur khinzir. Jadi, jika kucing pertama menjilat kucing kedua selepas mulutnya bersih dari sisa makanan khinzir, maka tiada masalah dari segi hukum syarak.

      Namun, penting untuk diingat bahawa sebaik-baiknya kita mengelak memberikan makanan yang mengandungi unsur khinzir kepada kucing kita. Selain daripada isu kebersihan, makanan berunsur khinzir mungkin tidak sesuai bagi kesejahteraan kesihatan kucing.

      Semoga menjawab soalan anda.

      Reply
  2. Assalamualaikum.saya Pernah pegang anjing dahulu.jika baju saya sudah kena anjing dan tidak ingat baju yang mana satu..lalu baju itu sudah bercampur dengan baju lain.bagaimana?adakah semua tempat lain yang saya pegang perlu di sertu juga.?-maaf ya saya segan nak isi nama.-

    Reply
    • Waalaikumsalam.

      Pertama-tama, adalah penting untuk memahami bahawa dalam mazhab Shafie, air liur anjing dianggap sebagai najis mughallazah (najis berat).

      Oleh itu, jika baju telah terkena najis tersebut, ia perlu disertu (dibasuh dengan cara khusus) untuk membersihkannya.

      1. Tentang Baju yang Tercampur: Jika anda tidak pasti baju mana yang terkena najis dan baju tersebut telah bercampur dengan baju lain, namun baju-baju tersebut belum dicuci bersama-sama, hanya baju yang terkena najis sahaja yang perlu disertu. Baju lain yang tidak terkena najis tetap dianggap suci.

      2. Jika Baju Sudah Dicuci Bersama-sama: Jika baju yang terkena najis telah dicuci bersama-sama dengan baju lain dalam mesin cuci, dan mesin cuci tersebut membuang air setidaknya dua kali (sekali untuk membasuh dan sekali untuk membilas), maka seluruh baju yang ada di dalam mesin cuci itu dianggap suci.

      3. Tentang Tempat yang Anda Pegang: Sekiranya anda telah memegang baju yang terkena najis dan kemudian memegang benda atau tempat lain, perlu dinilai adakah najis itu betul-betul telah dipindahkan. Jika anda yakin najis telah dipindahkan, maka tempat tersebut perlu dibersihkan. Namun, jika anda ragu atau tiada kesan najis yang nampak, maka anda boleh menganggapnya suci.

      Untuk mengelak keraguan, elakkan membiarkan baju yang dicurigai terkena najis bercampur dengan baju lain sebelum proses pembersihan dilakukan.

      Semoga penjelasan ini membantu.

      Reply
  3. Assalamua’laikum ustaz. saya nak tanya..saya terpijak taik(xpasti taik kucing atau taik anjing..dimana pijak pun xtahu..agak sahaja ketika beli makanan, masuk kereta, balik rumah, esok pagi pergi kerja..tengah buat kerja baru perasan bau..sy terus asing kasut tersebut..)
    Masalahnya, ofis saya berkarpet. Saya pula da pijak merata..saya pon da tak ingat tempat mana saya lalu akibat sibuk kerja ke sana ke sini..karpet kereta saya da lapik surat khabar, nanti balik basuh..cuma di ofis, bagaimana ya? mcm susah je..especially di station meja sendiri..susah hati saya memikirnya..saya berhati2 pijak dengan kasut supaya (xcabut kasut) agar x direct kene lantai..saya harap pijak dengan selipar hari2 atau kering..oh ye..karpet of kos kering..tp kaler gelap, xpasti nak ainnya..risau juga kot bekas taik di tapak kasut tu jadi habuk ..sapu dek cleaner, cleaner sapu tempat2 lain..aduh..byknya masalah najis berpindah ni..

    Reply
  4. Assalamualaikum ustaz, kucing saya berada didalam bilik saya ketika saya sedang tidur. kemudian saya bangun dan ada bau hancing. tapi saya tidak tahu dimana dia kencing. Bagaimana cara untuk saya membersihkannya?

    Reply
    • Wassalam,

      Pertama sekali kena kenalpasti dahulu dimana kencing kucing tersebut.

      Bila sudah jumpa, kena sucikan tempat tersebut dengan air mutlak sehingga hilang bau dan rupa air kencing itu.

      Reply
  5. As-salam ust.

    Dalam keadaan tidak sedar, Saya terpijak najis cicak di dalam keadaan yang basah.

    Masa saya terpijak itu, saya sangka kan kotoran tak bernajis. Dan saya telah jalan merata dalam rumah saya termasuk atas carpet. Namun, bila saya periksa, rupanya ia najis cicak.

    Saya tidak nampak ain najis tersebut, melainkan tapak kaki saya yang berair di atas lantai.

    Namun dicarpet, saya tidak dapat pastikan dimana bekas tapak kaki saya kerana carpet saya warna gelap

    Saya hanya lap menggunakan kain kering bekas tapak kaki saya di atas lantai. Dan basahkan air tanpa lap. Saya biarkan ia kering sendiri.

    Manakala dicarpet pula, saya tidak lap kerana saya tak tahu dimana kesan tapak kaki saya tu. Saya cuma renjiskan air saja.

    Dua dua bekas air tapak kaki tu, takda kesan ain najis. Hanya air semata.

    Soalan saya

    1. Adakah bekas air tapak kaki saya ini dikira air mutanajis? Kalau saya pijak bekas tapak kaki ini ketika hendak menunaikan solat, adakah solat saya tidak sah atau ia nya sah kerana ia tergolong dalam najis yang dimaafkan?

    2. Sudah Sucikah kaedah pencucian saya di atas itu?

    3. Adakah ini boleh dikira sebagai umum al-balwa?

    Mohon ustat dapat menjawab 3 persoalan saya ini.

    Reply
    • Waalaikumsalam

      Saya faham kebimbangan anda mengenai isu najis. Sebelum saya menjawab, penting untuk diingatkan bahawa pendapat mengenai kotoran cicak boleh berbeza-beza bergantung kepada mazhab fiqh.

      Namun, dalam mazhab Shafie, najis cicak dianggap sebagai najis.

      1. Bekas Air Tapak Kaki yang Mengandungi Najis:

      Mengikut mazhab Shafie, jika bekas air tersebut mengandungi najis (meskipun ia tidak kelihatan), ia dianggap sebagai air mutanajis. Namun, dalam konteks solat, jika seseorang tidak tahu (tidak sedar) mengenai kewujudan najis atau dia lupa, maka solatnya sah. Jadi, jika anda tidak tahu mengenai najis tersebut pada masa itu dan telah solat, solat anda dianggap sah. Untuk keselamatan, di masa akan datang, elakkan solat di kawasan tersebut sehingga anda yakin ia suci.

      2. Kaedah Pencucian Anda:

      Dalam mazhab Shafie, untuk membersihkan najis, kawasan yang bernajis perlu dicuci dengan air sehingga hilang kesan najis dan bau, walaupun mungkin masih ada warna (seperti kes cicak). Jadi, jika bekas najis tersebut hilang dengan cara yang anda lakukan, maka ia dianggap suci.

      3. Umum Al-Balwa:

      “Umum al-balwa” adalah situasi di mana sesuatu menjadi sangat biasa sehingga sukar untuk dielakkan dan menjadi suatu ujian (balwa). Dalam situasi seperti ini, beberapa ulama memaafkan sesetengah hukum kerana kesulitan yang dialami. Namun, dalam kes anda, saya tidak pasti ia boleh dikategorikan sebagai “umum al-balwa” kerana ia adalah situasi tertentu yang berlaku pada anda dan bukanlah sesuatu yang biasa berlaku dalam masyarakat.

      Sebagai cadangan, pada masa akan datang, jika anda tidak pasti sesuatu itu najis atau tidak, ambil langkah berjaga-jaga dengan membersihkannya dengan air.

      Ini boleh membantu mengelakkan was-was (keraguan) dalam solat dan amalan harian anda.

      Semoga penjelasan ini membantu.

      Reply
  6. Assalamualaikum Ustaz, jika selepas dibuang najis kucing terus dimop maka seluruh kawasan itu sudah bernajis kan wlpn tidak kelihatan. Adakah saya perlu menjirus air mutlak ke seluruh kawasan? Lokasinya di dalam rumah.

    Reply
    • Wassalam,
       
      Kalau dekat dengan sumber air, lebih baik dilalukan air di kawasan itu.
       
      Tapi jika kawasan itu jauh ditengah rumah (sukar untuk melalukan air), maka cukup sekadar dilap dengan air mutlak sebanyak 3 kali sehingga hilang warna dan bau dikawasan itu. Kemudian keringkan.
       
      InsyaaAllah, bila kering kawasan itu dianggap suci dari najis.

      Reply
      • ya ustaz, lokasi di tingkat 2 dan tiada paip air di situ. jika di lap boleh kah dgn mencelup mop ke dalam air mutlak dalam baldi dan mop seluruh kawasan, di ulang lagi dgn air mutlak yg baru sehingga 3 kali? perlukah mengelap dgn air kelihatan mengalir atau cukup sekadar basah? maaf ustaz dan terima kasih jawab, sudah lama saya buntu.

        Reply
    • Wassalam,
       
      Menurut Ibnu Qudamah, para ulama sepakat menghukum cicak adalah haiwan yang darahnya tidak mengalir.
       
      Oleh itu, bangkainya tidaklah najis.

      Reply
  7. Asalamualaikum ustaz. Saya nak tanya jika tangan kita tersentuh kasut kulit babi dan kita samak sekali dgn air tanah dan 6kali air mutlak di sinki. Adakah sinki itu pun kena najis?dan perlu ke samak sinki?

    Reply
  8. Saya guna tuala untuk lap telefon saya yang basah kena air.Lepas lap rasa macam tuala tu ada najis.Tapi tak ingat ada ke tidak,kalau ada saya tak tau yang bahagian saya lap tu ada najis atau tidak.Apa yang perlu saya lakukan?Anggap tuala itu ada najis atau biar sahaja?
    Mohon penjelasan ustaz

    Reply
  9. ustaz.. nak tanya.. saya ada jerawat di dahi dan saya picit dn ia keluarkan darah.. saya dah cuci sebaik mungkin.. dan dah kering sikit luka jerawat tu. kemudian esoknya saya nak cuci sedikit di bahagian luka tu dengan tisu tapi xjangka dia akan luka sikit.. jadi saya cuci dgn sedikit air.. lepas tu saya lap ngan tisu kering.. saya tgk di tisu ada sikit je tompok darah.. saya lap lg dgn tisu kering dah akhirnya dah takda darah.. saya terus yakin xde darah dan terus ambil wudhuk sbb nak solat lps tu.. jadi soalan saya adakah betul cara cuci tompokan darah yg sedikit tu dengan tisu kering beberapa kali? atau sebenarnya perlu juga lap dengan tisu basah di tempat luka yg sedikit itu?

    Reply
    • Wassalam.

      Tidak mengapa sebab darah tersebut sudah kering.
      Lagi pun muka sudah dicuci semasa mengambil wuduk, jadi tiada masalah di situ.

      Reply
  10. Assalamualaikum ustaz.
    saya ada soalan berkaitan Najis Mughallazah
    semasa saya di airport,pemeriksaan keselamatan telah dilakukan mengunakan seekor anjing terlatih,pakaian saya semasa itu berseluar shortpant,manakala semasa berada dalam barisan untuk pemeriksaan,anjing terlatih itu memeriksa setiap individu dalam barisan dan semasa tiba giliran saya,betis kaki saya terkena bulu anjing akibat dilibas oleh anjing tersebut dengan ekornya.
    adakah saya perlu samak bahagian yang terkena bulu anjing tersebut.semasa terkena bulu tersebut keadaan dibahagian betis saya kering dan anjing terlatih itu juga kering.sekian soalan saya uztaz

    Reply
  11. assalamualaikum ustaz, adakah lantai yang terdapat sedikit tahi cicak di mop dengan air sabun najis. bagaimana jika seluruh lantai rumah di tingkat atas dan bawah di mop? adakah saya dalam keadaan najis jika ada kesan air mazi di katil dan saya tidur di katil tersebut dan badan saya berpeluh?

    Reply
  12. salam ustaz… tadi saya was was kalau najis terkena Pakaian saya… jadi bila saya solat, sy
    total gunakan pakaian tu sbb susah nak tukar dan cuci di sekolah. lagipun kami deberikan sekitar 15 min sahaja until siap untuk ke solat

    masa solat, fikiran saya tak dapat khusyuk dan saya fikir2 tentang najis tu sahaja…. adakah solat saya sah?

    soalan 2) sukar untuk saya memberishkan segala najis kerala kesan2 air wadi susah nak hilangkan dan tak sihat apabila nak guna sabun setiap kali. bagaimana?

    Reply
    • Wassalam,

      1) Solat awak sah sebab awak hanya was-was, bukan yakin terkena najis.Kaedah ini disebut اليقين لا يزال بالشك…

      2) Maaf, untuk soalan 2 ni saya tak paham awak nak tanya apa..

      Reply
  13. Salam ustaz, kalau macam ada pakaian yg bernajis yg dibasuh bersama pakaian lain,kira bercampur la. dah basuh dan bilas tempat yg diyakini bernajis, lepas sidai baru perasan ada sedikit kesan hingus pada baju yg masih tersisa. Adakah hingus itu memerangkap najis atau dimaafkan ?

    Reply
    • Wassalam,

      Hingus tidak termasuk dalam kategori najis.
      Najis ni adalah cecair yang keluar daripada perut.

      Reply
  14. Asslam ustad

    Saya nk tanya kalau pakaian saya kena percikan air najis contoh mcm air kencing lepstu saya gi solat.adkh pakaian saya suci dn solat saya sah

    Reply
    • Wassalam,

      Kalau kita nampak percikan air kencing itu, wajib dibersihkan tempat terkena najis itu atau tukar kepada pakaian baru.

      Kalau sedikit dan sukar dikesan, dimaafkan.

      Oleh sebab itulah kita semua disunatkan untuk kencing duduk.

      Reply
  15. Asslam ustad

    Saya nk tanya kalau adik saya(baby)bermain kat taman smbil pakai kasut lpstu dia masuk kerumh dengn kasut tersebut dn berjlan jln didlm rumah lapstu terkena pakaian saya lapstu sya gi solat.saya x pasti lah kt kasut adik saya ade najis atau tidak tapi saya x dpt tengok dn pasti kat pakaian saya ade najis atau tidak

    Adkah sah solat saya

    Reply
  16. Asslam ustad

    Saya nk tanya kalau pakaian(bukan pakaian untuk solat)saya terkena air sampah tapi saya tidak nampak air smapah tersebut lepastu saya baring dikatil samapai pagi esok(kering) lepastu saya baring diatas katil sambil berpakaian solat

    Adakah pakaian saya suci atau tidak?

    Reply
    • Wassalam,

      Ya suci kerana air itu sudah kering. Lagipun, najis yang halus dan sedikit sehingga sukar dilihat dengan mata kasar adalah dimaafkan oleh syarak.

      Reply

Leave a Comment