Apakah syarat sah takbiratul ihram?
Dalam artikel ini, saya melampirkan jawapan yang pernah dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus di halaman facebook beliau.
Semoga bermanfaat
SOALANBolehkah ustaz sebutkan syarat-syarat takbiratul ihram kerana saya tidak ingat mana yang wajib dilakukan dan mana yang tidak boleh dilakukan ketika takbiratul ihram?
JAWAPAN
Berkata Imam Ibnu Naqib Al-Misri:
Takbiratulihram: Bermula lafaz takbir itu tertentu dengan bahasa arab yaitu الله أكبر atau الله الأكبر.
Jikalau seorang menggugurkan satu huruf darinya atau diam antara dua kalimahnya atau menambah antara kedua kalimahnya akan huruf wau atau menambah antara huruf ba’ dan ra’ akan alif nescaya tidak sah takbir.
Maka jika seorang itu lemah dari menyebutnya seperti orang bisu atau umpamanya maka wajib ia menggerakkan akan lidahnya dan dua bibirnya semampunya.
Maka jika seorang itu tidak tahu menyebut dalam bahasa arab maka hendaklah dia bertakbir dengan apa bahasa yang dia boleh dan wajib atasnya belajar menyebutnya jika mungkin.
Maka jika dia tidak belajar sedangkan dia mampu dan waktu telah sempit maka hendaklah dia terjemahkan takbir itu dengan bahasanya dan dia kena ulangi solat tersebut.
Dan sekurang-kurang takbir dan dan segala bacaan dan segala zikir itu hendaklah didengar pada telinganya jika dia orang yang mendengar tanpa halangan dan adalah imam itu menguatkan akan semua bacaan takbir.
Dan disyaratkan bahawa takbirnya itu dalam keadaan berdiri betul pada sembahyang fardu.
Maka jika ada satu huruf daripada takbir itu diucapkan tidak pada waktu berdiri betul nescaya tidak sah takbir jika sembahyang fardu dan sah pada sembahyang sunat.”
(Kitab Umdah As-Salik Wa Uddah An-Nasik)
KETERANGAN
Takbiratul ihram disyaratkan mesti dengan bahasa arab yaitu الله أكبر.
Wajib menyebut kesemua huruf-hurufnya yaitu delapan huruf semuanya.
Jika kurang satu huruf sahaja ketika mengucapnya maka tidak sah takbirnya.
Wajib berturut-turut menyebut kedua kalimahnya maka jika selepas menyebut الله dia diam dahulu kemudian baru dia menyebut أكبر nescaya tidak sah takbirnya.
Tidak boleh menambah huruf و antara dua kalimahnya kerana akan berbunyi اللهوأكبر .
Tidak boleh menambah huruf ا antara huruf ba’ dan huruf ra’ kerana akan jadi أكبار .
Orang yang bisu diwajibkan menggerakkan dua bibirnya ketika melakukan segala rukun qauli.
Orang yang baru memeluk Islam dan tidak mampu lagi menyebut lafaz takbir maka boleh dia terjemahkan dengan menyebut dalam bahasa yang diketahuinya yang membawa maksud Allah Yang Maha Besar.
Orang yang tidak pandai melafazkan takbir dengan betul wajib belajar sehingga dia dapat sebut dengan betul dan begitu juga wajib dia belajar semua bacaan dalam sembahyang sampai dapat menyebut dengan betul.
Sekurang-kurang had takbir yang diucapkan itu mesti didengar pada telinga sendiri maka jika tidak berbunyi semuanya atau sebahagiannya tidak berbunyi maka takbirnya tidak sah.
Dan wajib takbiratul ihram itu dalam keadaan berdiri tegak.
Oleh kerana itu jika takbir seorang pada hal belum lagi berdiri betul maka takbirnya tidak sah.
Contoh yang banyak berlaku dalam perkara ini ialah seorang yang bertakbir sebelum sampai pada saf atau hanya sebelah kakinya sampai pada saf atau ketika bangun dari duduk atau berbaring sebelum lagi betul berdirinya sudah bertakbir maka semua contoh ini tidak sah takbirnya.
Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus
Sumber asal kepada jawapan ini boleh dilihat pada Facebook Ustaz Azhar Idrus pada pautan ini
Tinggalkan Komen Anda..