Hukum Solat Jumaat Diluar Masjid

solat jumaat diluar masjid

Apakah hukum Solat Jumaat diluar masjid?

Dalam artikel ini, saya melampirkan jawapan yang pernah dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus di halaman facebook beliau.

Semoga bermanfaat.

SOALAN

Di tempat saya ada jemaah yang mengerjakan solat jumaat di luar masjid seperti di kawasan lapang di belakang dan di tepi banggunan masjid kerana hanya bilangan yang terhad sahaja bolih solat di dalam masjid sebab peraturan SOP.

Adakah sah solat mereka?

Adakah patut dikunci pagar masjid setelah jemaah sudah memenuhi di dalam masjid atau dibiarkan terbuka supaya orang dapat solat di dalam halaman masjid?

Dan apakah sah solat orang safnya terputus dengan orang lain sebab ada tiang masjid disitu?


JAWAPAN

SYARAT SAH MAKMUM MENGIKUT IMAM

Jika makmum dan imam sama-sama berada dalam satu banggunan seperti masjid maka disunatkan makmum berdiri pada jarak tidak lebih tiga hasta dari orang yang dihadapannya.

Contohnya ketika solat itu dikerjakan hanya ada seorang imam dan tiga orang makmum maka hendaklah makmum yang tiga orang itu berbaris dibelakang imam dengan jarak tiga hasta.

Akan tetapi jika ketiga-tiga makmum itu berbaris jauh dari imam seperti imam berada di bahagian hadapan masjid dekat mihrab manakala makmum bertiga itu dibelakang sekali dekat pintu keluar dan masih di dalam masjid maka sah solat ketiga orang makmum itu tetapi makruh jika tidak ada sebarang uzur.

Adapun jika makmum solat diluar dari banggunan masjid seperti dikawasan lapang atau padang dibelakang masjid maka sah solat mereka dengan syarat jarak antara mereka dengan saf yang dibelakang sekali di dalam masjid itu tidak lebih dari 300 hasta atau lebih kurang 135 meter.

Berkata Imam Nawawi:

وَإِذَا جَمَعَهُمَا مَسْجِدٌ صَحَّ الِاقْتِدَاءُ وَإِنْ بَعُدَتْ الْمَسَافَةُ وَحَالَتْ أَبْنِيَةٌ، وَلَوْ كَانَا بِفَضَاءٍ شُرِطَ أَنْ لَا يَزِيدَ مَا بَيْنَهُمَا عَلَى ثَلَاثِمِائَةِ ذِرَاعٍ

Dan apabila imam dan makmum berhimpun pada satu masjid nescaya sah ikutannya walaupun jauh jarak( antara keduanya) dan berhubung (ada pintu jika berada pada bahagian yang berasingan). Dan kalau keduanya pada padang disyaratkan bahawa tidak lebih jarak antara keduanya daripada 300 hasta.”

(Kitab Al-Minhaj)

Berkata Imam Taqiyuddin Ad-Dimasyqi:

إِذا كَانَ الامام فِي الْمَسْجِد وَالْمَأْمُوم خَارج الْمَسْجِد وَلَيْسَ بَينهمَا حَائِل صَحَّ الِاقْتِدَاء إِذا لم تزد الْمسَافَة على ثلثمِائة ذِرَاع

Ertinya:

Apabila adalah imam itu di dalam masjid dan makmum itu di luar masjid dan tiada ada halangan antara keduanya nescaya sah ikutannya apabila tidak lebih jaraknya dari 300 hasta.”

(Kitab Kifayatul Akhyar)

MAKMUM BERADA DI DEPAN DARI IMAM

Disyaratkan pula bagi sahnya makmum yang berada di luar masjid itu hendaklah makmum tersebut berada di belakang daripada imam.

Oleh itu jika makmum berada lebih hadapan daripada imam seperti makmum yang solat di kiri kanan banggunan masjid nescaya solatnya itu tidak sah.

Perkara ini hendaklah diberi perhatian oleh jemaah yang hadir ketika dewan masjid telah penuh dan mereka terpaksa solat di luar banggunan masjid.

Berkata Imam Taqiyuddin Ad-Dimasyqi:

الشَّرْط الثَّانِي أَن لَا يتَقَدَّم الْمَأْمُوم على الامام فِي الْموقف لِأَن المقتدين بِالنَّبِيِّ صلى الله عَلَيْهِ وَسلم رَضِي الله عَنْهُم أَجْمَعِينَ لم ينْقل عَنْهُم التَّقَدُّم عَلَيْهِ وَكَذَا المقتدون بالخلفاء الرَّاشِدين لم ينْقل عَن أحد مِنْهُم ذَلِك فَلَو تقدم الْمَأْمُوم على الامام بطلت صلَاته على الْجَدِيد

Ertinya:

Dan syarat yang kedua hendaklah makmum tidak di hadapan daripada imam pada tempat dia berdiri kerana tidak pernah para sahabat r.a. berada di hadapan Nabi saw ketika solat mengikut Nabi saw dan begitu juga tidak pernah diriwayatkan yang demikian itu dari orang-orang yang mengikut akan sekelian Khalifah Ar-Rasyidun. Maka jikalau makmum terkehadapan daripada imam nescaya batal solat makmum atas qaul jadid.”

(Kitab Kifayatul Akhyar)

WAJIB MAKMUM DILUAR MASJID TAHU PERGERAKAN IMAM

Dan disyaratkan sahnya makmum mengikut imam hendaklah makmum mengetahui pergerakan solat imam itu samada makmum itu solat di dalam masjid atau di luar masjid.

Dan mengetahui pergerakan solat imam itu boleh dengan cara makmum nampak dengan matanya imam bergerak atau dengar dengan telinganya suara imam dan boleh juga makmum melihat muballigh atau mendengar muballigh atau makmum melihat makmum yang dihadapannya atau mendengarnya.

Maka jika makmum tidak nampak imam dan muballigh dan tidak mendengar imam atau muballigh dan tidak nampak dan tidak mendengar makmum yang dihadapannya nescaya solat makmum tersebut tidak sah kerana dia tidak tahu pergerakan solat imam samada dia berada di luar masjid atau di dalam masjid.

Berkata Imam Nawawi:

يشترط لصحة الاقتداء علم المأموم بانتقالات الإمام، سواء صليا في المسجد، أو في غيره، أو أحدهما فيه، والآخر في غيره، وهذا مجمع عليه. قال أصحابنا: ويحصل له العلم بذلك بسماع الإمام، أو مَن خلفه، أو مشاهدة فعله، أو فعل مَن خلفه، ونقلوا الإجماع في جواز اعتماد كل واحد من هذه الأمور

Ertinya :

Disyaratkan bagi sahnya mengikut imam ialah mengetahui oleh makmum dengan segala pergerakkan imam dan ini telah diijmakkan atasnya.

Berkata Ashab kami: Dan hasil bagi makmum itu mengetahui pergerakkan imam dengan mendengar akan imam atau mendengar akan makmum yang dibelakang imam atau dengan melihat pergerakkannya atau pergerakkan orang yang dibelakang imam.

Dan telah dinaqalkan akan ijmak pada harus berpegang atas tiap-tiap satu dari sekelian perkara tadi.”

(Kitab Al-Majmu’)

Dan berkata Imam Taqiyuddin Ad-Dimasyqi:

أَحدهَا الْعلم بِصَلَاة الامام أَي الْعلم بأفعاله الظَّاهِرَة وَهَذَا لَا بُد مِنْهُ وَنَصّ عَلَيْهِ الشَّافِعِي وَاتفقَ عَلَيْهِ الْأَصْحَاب ثمَّ الْعلم قد يكون بمشاهدة الإِمَام وبعض الصُّفُوف وَقد يكون بِسَمَاع صَوت الامام أَو بِسَمَاع صَوت الْمبلغ

Ertinya:

Bermula salah satu syarat sah mengikut imam itu ialah mengetahui akan solat imam ertinya makmum tahu dengan sekelian perbuatan solat imam yang zahir.

Dan ini adalah satu kemestian. Dan telah menaskan atasnya oleh Imam Syafie dan telah sepakat atasnya oleh Ashab.

Kemudian mengetahui akan pergerakkan imam itu boleh dengan cara melihat akan imam dan melihat akan sebahagian saf.

Dan terkadang dengan cara mendengar akan suara imam atau mendengar suara muballigh.”

(Kitab Kifayatul Akhyar)

Maka orang yang mengerjakan solat di luar masjid sebagaimana ditanya dalam soalan tersebut sah solatnya jika jarak antaranya dan antara orang yang berada dibelakang sekali di dalam masjid tidak lebih dari 300 hasta dan dia dapat mengetahui pergerakkan imam dengan melihat atau mendengar akan imam atau muballigh atau makmum yang berada di dalam masjid.

KUNCI PINTU PAGAR MASJID

Ketika berlakunya wabak berjangkit di sebuah negara dan pemerintah menetapkan peraturan penjarakkan ketika beribadah dan langkah yang sebaiknya ialah tidak dikunci pintu pagar masjid setelah dewan solat penuh supaya orang yang tidak dapat masuk ke dalam dewan solat boleh bersolat di luar banggunan masjid dengan menjaga penjarakkan.

Ini ialah jika kawasan tersebut bukan kawasan yang berlaku wabak.

Ada pun jika kawasan tersebut merupakan tempat yang berlaku wabak yang disebut kawasan merah maka syarak membenarkan meninggalkan solat secara berjemaah samada lima waktu atau jumaat dan manusia mengerjakannya di rumah masing-masing kerana memelihara kesihatan dan nyawa adalah didahulukan dari mendapatkan fadhilat.

Maka jika tidak dapat memenuhkan ruang solat di dalam masjid kerana menjaga penjarakkan maka biarkan orang yang tidak dapat masuk ke dalam masjid bersolat di luar masjid.

Qaedah fiqh menetapkan :

الميسور لا يسقط بالمعسور

Ertinya:

Perkara yang boleh dilakukan tidak gugur dengan sebab ada perkara yang sukar dilakukan.”

Dan pihak pengurusan masjid hendaklah menyediakan pembesar suara supaya orang-orang yang solat di luar bangunan masjid dapat mengikut imam dengan mendengar akan suaranya atau suara muballigh.

SOLAT DI SEBELAH TIANG

Begitu juga dengan orang yang solat disebelah tiang masjid maka solatnya adalah sah dan tidak dikira terputus safnya dengan makmum yang lain dengan tiada makruh kerana wujud keuzuran yaitu ada tiang yang menghalanginya.

Tetapi jika tidak ada tiang atau suatu halangan maka sengaja berdiri renggang dari jemaah adalah makruh.

Qaedah fiqah yang berbunyi:

الكَرَاهَة تَزُولُ بالحَاجَة

Ertinya:

Tidak dihukumkan makruh ketika ada keperluan (uzur).”

Sama juga masalahnya dengan seorang makmum lelaki yang mengikut imam sepatunya dia berdiri di sebelah kanan imam dan makruh dia berdiri di sebelah kiri imam akan tetapi jika ada halangan seperti tiang atau seumpamanya maka berdirinya di sebelah kiri imam adalah harus tidak lagi makruh.

KESIMPULAN

Sah kerjakan solat di luar banggunan masjid dengan syarat jarak tempat makmum tersebut berdiri tidak lebih dari 300 hasta dari makmum yang dibelakang sekali yang berada didalam masjid.

Dan disyaratkan lagi hendaklah makmum yang solat di luar masjid itu tahu pergerakan imam yang solat di dalam masjid samada dengan lihat atau dengan dengar suara imam atau muballigh.

Sebaiknya jika dewan solat sudah penuh hendaklah orang-orang yang tidak dapat masuk diizinkan bersolat di dalam kawasan masjid dengan menjaga penjarakkan kerana mengikut peraturan yang telah ditetapkan olih pemerintah.

Harus solat terputus saf jika ada uzur seperti terhalang oleh tiang dan seumpamanya dan makruh jika tanpa uzur.

Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus

Sumber asal kepada jawapan ini boleh dilihat pada Facebook Ustaz Azhar Idrus pada pautan ini

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments