
Apakah hukum serangga yang ada najis hinggap pada orang yang sedang solat?
Adakah solat itu terbatal?
Dalam artikel ini, saya melampirkan jawapan yang pernah dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus di halaman facebook beliau.
Semoga bermanfaat
SOALANMohon ustaz jelaskan berkenaan serangga yang hinggap pada najis kemudian hinggap di atas orang yang sedang mengerjakan solat adakah sah solat orang itu?
JAWAPAN
Najis yang ada pada kaki serangga seperti lalat yang hinggap ia di atas pakaian atau badan orang yang sedang solat adalah dimaafkan sekalipun ditakdirkan najis pada kaki serangga itu lekat pada pakaian atau badannya kerana sedikit najis tersebut pada adatnya.
Yang sedikit itu dianggap seperti tidak ada pada hukum.
Tersebut pada kitab I’anah At-Talibin :
Telah berkata guru kami seperti perkataan Imam As-Suyuthi kerana mengikut akan sebahagian ulamak mutaakhirin sungguhnya dimaafkan dari sedikit najis pada uruf.
Dan apa yang lekat pada kaki lalat sekalipun dilihat ertinya dimaafkan daripada najis yang ada pada kaki lalat di dalam air dan lain daripada air sekalipun dapat dilihat dimaafkan daripadanya sama sekali.”
Maksudnya jika serangga seperti lalat hinggap di atas najis kemudian terbang lalat itu dan hinggap pula di atas pakaian atau badan orang yang sedang solat maka najis yang lekat pada pakaian atau badannya itu dimaafkan kerana sedikitnya najis itu.
Apabila dimaafkan maka solat yang sedang dikerjakan itu tidak batal.
Dan selain lalat adalah bersamaan hukumnya dengan serangga yang lain pada hukum.
Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus
Sumber asal kepada jawapan ini boleh dilihat pada Facebook Ustaz Azhar Idrus pada pautan ini
Tinggalkan Komen Anda..