Apakah menghias kubur?
Adakah ia perbuatan yang dilarang dalam Islam?
Dalam artikel ini, saya melampirkan jawapan yang pernah dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus di halaman facebook beliau.
Semoga bermanfaat.
SOALANAkhir-akhir ini banyak kita lihat orang-orang menghias kubur sedara mereka yang telah meninggal dunia seperti dibina binaan yang cantik-cantik atau disapu cat dan atau meletakkan batu nisan yang mahal harganya atau seumpamanya.
Adakah dibolehkan menghias kubur seperti ini?
JAWAPAN
Membuat binaan tanpa sebab di atas kubur yang diwakafkan adalah bida’ah yang dilarang dengan larangan haram seperti membina rumah atas kubur tersebut atau diletakkan simen konkrit atau batu marmal yang besar dan mahal atau lainnya.
Ada pun meletakkan kurungan empat persegi samada yang diperbuat daripada kayu atau lainnya jika bertujuan mengelakkan dari digali oleh haiwan atau dilangkah atau dipijak orang akan kubur dengan syarat tidak ditanam ke dalam tanah sebahagiannya dan lagi tidak bersaiz besar sehingga mengambil ruang tanah yang lebih tanah kosong yang sepatutnya digunakan untuk mayat yang lain maka setengah fuqahak mengharuskannya.
Begitu juga dilarang menyapu cat dengan tujuan berhias kerana tidak disuruh oleh syarak menghias kubur melainkan kerana supaya dilihat bersih maka dibolehkan oleh setengah ulamak dengan tidak ada tujuan perhiasan dan tidak berlebih-lebihan.
Berkata Syeikh Umairah:
Para imam mazhab berkata bermula hikmah dilarang berhias ialah kerana membazirkan harta cara yang sia-sia tanpa tujuan yang dibenarkan syarak.”
(Hasyiah Umairah)
Tersebut pada kitab Al-Fiqh ala Mazahib Al-Arba’ah:
Dimakruhkan buat binaan atas kubur apabila tiada tujuan berhias dan berbangga-bangga.
Dan jika bertujuan menghias kubur dan berbangga-bangga nescaya adalah hukumnya itu haram.”
KESIMPULAN
Hukum membuat binaan atas kuburan adalah bida’ah yang dilarang melainkan kerana hajat seperti apabila kubur itu tidak dikepung maka akan dipijak orang atau jika tidak diletakkan simen di atasnya akan digali oleh haiwan buas maka diharuskan oleh setengah fuqahak dengan syarat tidak ditanam dan kecil serta ringan supaya mudah dialihkan ketika perlu.
Syariat sama sekali tidak menyuruh menghiasi kuburan dan membazir kepada perkara yang tidak bermenafaat sedikit pun kepada mayat.
Mengecat kubur seperti nisannya dengan pelbagai warna dengan tujuan perhiasan adalah dilarang melainkan dengan tujuan supaya nampak bersih dan tidak dengan tujuan berhias.
Adalah satu keobodohan yang amat nyata apabila ibu bapa masih hidup tidak dibaiki rumah mereka dan tidak dihias tempat mereka tinggal tetapi setelah mereka mati berlumba-lumba membuat binaan kubur dan nisan yang mahal-mahal supaya kelihatan cantik.
Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus
Sumber asal kepada jawapan ini boleh dilihat pada Facebook Ustaz Azhar Idrus pada pautan ini
Tinggalkan Komen Anda..