Apakah yang dimaksudkan dengan darah nifas?
Panduan ini akan menerangkan secara lengkap dan terperinci berkaitan darah nifas dan hukum yang berkaitan dengannya.
Contoh situasi juga disertakan bagi memudahkan kefahaman pembaca.
Mari kita mulakan..
- Definisi Nifas
- Tempoh Darah Nifas
- Hukum Darah Yang Keluar Melebihi Tempoh Maksimum Nifas
- Terhenti Darah Nifas Dalam Tempoh Masa Nifas
- Status Darah Nifas Bagi Wanita Yang Melahirkan Anak Secara Pembedahan
- Bilakah Nifas Bermula Bagi Wanita Yang Melahirkan Anak Kembar?
- Darah Nifas Bagi Wanita Keguguran
- Kesimpulan
Definisi Nifas
Dari segi bahasa, nifas bermaksud wanita yang melahirkan anak apabila dia hamil.1
Dari segi sudut syarak pula, majoriti fuqaha berpendapat nifas ialah darah yang keluar selepas melahirkan anak.2
Darah Yang Keluar Sebelum Anak Dilahirkan
Darah yang keluar sebelum anak dilahirkan maksudnya ialah darah yang keluar satu, dua atau tiga hari sebelum melahirkan anak.
Darah itu merupakan tanda-tanda hampir melahirkan anak.
Para fuqaha berselisih pendapat mengenai darah ini.
Mengikut mazhab Hanafi, Maliki dan Syafi’e darah tersebut bukan darah nifas, darah itu adalah darah fasad (penyakit).
Manakala, mazhab Hambali berpendapat darah itu ialah darah nifas.3
Darah Yang Keluar Bersama Anak Yang Dilahirkan
Para fuqaha juga berselisih pendapat dalam masalah ini.
Mengikut mazhab Maliki dan Hambali, darah tersebut ialah darah nifas.
Manakala mazhab Hanafi dan Syafie berpendapat darah itu bukan darah nifas. Mereka menganggap darah itu darah fasad (penyakit).4
Tempoh Darah Nifas
Tempoh Minimum Nifas
Menurut mazhab Syafi’e, tempoh nifas sekurang-kurangnya adalah sekelip mata (satu lahzah) atau darah yang keluar sekali gus dengan bayi.
Ini juga merupakan pandangan majoriti ulama fiqh mazhab.
Majoriti ulama fiqh berpendapat bahawa tidak ada had bagi sekurang-kurang nifas
— kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah, juz 6, halaman 41
Oleh itu, seorang wanita yang melahirkan anak dan keluar darah sekali gus bersama anaknya kemudian tiada lagi darah yang keluar selepas itu, maka wanita tersebut tidak dianggap bernifas lagi dan dia hendaklah mandi wajib (mandi wiladah), menunaikan ibadah sebagaimana orang yang suci.
Dalam sejarah ada disebutkan bahawa Sayyidatina Fatimah binti Rasulullah SAW digelar al-Zahra’ kerana beliau pernah melahirkan anak waktu tenggelam mega merah (Ghurub al-Syafaq), selepas itu beliau bersih daripada nifas, lalu beliau mandi nifas dan menunaikan solat isyak dalam waktu itu juga.
Tempoh Maksimum Nifas
Menurut mazhab Syafi’e, sebanyak-banyak tempoh haid (tempoh maksimum) ialah 60 hari 60 malam.
Perkara ini sebagaimana dijelaskan oleh Imam al-Nawawi:
Sekurang-kurang (tempoh) nifas adalah sekejap. Sebanyak-banyak (tempoh) nifas ialah 60 hari. Kebiasaannya, nifas adalah 40 hari
— kitab Minhaj al-Tholibin halaman 20
Bahkan pandangan ini juga merupakan pandangan yang masyhur dalam mazhab Maliki, bukan sahaja mazhab Syafi’e.
Mazhab Hanafi dan Hambali pula berpendapat, tempoh maksimum nifas ialah selama 40 hari.
Bagi mereka, 40 hari adalah tempoh kebiasaan nifas.5
Mereka berpendapat tempoh maksimum nifas 40 hari berhujah dengan hadis riwayat Ummi Salamah:
Wanita-wanita nifas pada zaman Rasulullah SAW duduk (tidak menunaikan ibadah) selepas nifasnya 40 hari
— Riwayat at-Tirmizi, Sunan at-Tirmizi. Jil 1 hlm 91
Hadis riwayat Anas r.a:
Sesungguhnya Rasulullah SAW memberi tempoh kepada wanita nifas selama 40 hari kecuali beliau dapati bersih (daripada darah) sebelum demikian
— Riwayat Ibn Majah no. 649
Bagi mereka yang berpendapat tempoh maksimum nifas 60 hari pula beranggapan bahawa 40 hari itu adalah tempoh kebiasaan wanita nifas.6
Hukum Darah Yang Keluar Melebihi Tempoh Maksimum Nifas
Darah yang keluar melebihi tempoh maksimum nifas 40 hari bagi mazhab Hanafi dan Hambali, manakala melebihi 60 hari bagi mazhab Syafi’e dan Maliki adalah dianggap darah fasad (istihadah).
Selain itu, fuqaha mazhab Hambali mensyaratkan supaya darah yang melebihi tempoh maksimum nifas yang kebetulan atau bertepatan dengan masa kebiasaan haid, maka darah itu dikira sebagai darah haid.
Sebagai contoh, kebiasaan haid bagi Amani ialah 15 hari bulan pada tiap-tiap bulan.
Amani melahirkan anak pada 1 Jun. Ini bererti tempoh maksimum nifasnya ialah pada 10 Julai.
Sekiranya darah keluar berterusan sehingga 20 Julai, maka tempoh 15 Julai hingga 20 Julai (6 hari) adalah dikira haid bagi mazhab Hambali kerana tempoh yang melebihi maksimum nifasnya telah menepati tarikh kebiasaan haidnya (15 hari bulan).
Namun, sekiranya darah yang melebihi tempoh maksimum nifasnya terhenti pada 13 Julai, maka darah itu tidak dikira sebagai haid bahkan nifas kerana tidak menepati tarikh kebiasaan haidnya.
Terhenti Darah Nifas Dalam Tempoh Masa Nifas
Gambaran masalah ini adalah seperti berikut:
Wanita yang bernifas mendapati darah keluar selepas melahirkan anak beberapa hari, kemudian darah terputus beberapa hari, selepas itu darah keluar kembali.
Apakah hukum hari-hari yang bersih daripada darah itu? Adakah hari-hari itu dikira tempoh nifas atau tidak?
Para fuqaha telah berselisih pendapat mengenai masalah di atas.
Pendapat mereka adalah seperti berikut:
- Mazhab Hambali berpendapat, tempoh terhenti darah dalam masa nifas dikira bersih daripada nifas. Wanita itu wajib melakukan perkara-perkara yang diwajibkan ke atas wanita yang suci.
- Mazhab Hanafi berpendapat, tempoh terhenti darah dalam masa nifas dikira sebagai tempoh nifas. Sekalipun masa terhenti darah itu sehingga 15 hari lebih.
- Mazhab Syafi’e berpendapat, tempoh darah terhenti dalam masa nifas selama 15 hari atau lebih dikira bersih. Sekiranya darah terhenti kurang daripada 15 hari, tempoh itu dikira nifas. Jika terhenti 15 hari, kemudian darah keluar pula maka darah yang keluar selepas 15 hari itu dikira sebagai darah haid.
- Mazhab Maliki berpendapat, tempoh darah terhenti dalam masa nifas sehingga setengah bulan dikira bersih. Darah yang keluar selepas itu dikira haid. Sekiranya darah terhenti kurang daripada setengah bulan, maka tempoh terhenti itu dikira nifas.
Sekiranya darah keluar satu hari kemudian, bersih satu hari dan keadaan itu berterusan hingga ke tempoh maksimum nifas iaitu 60 hari, hendaklah dihimpunkan hari-hari yang keluar darah sehingga cukup 60 hari (maksimum nifas).
Manakala hari-hari yang suci diantara sela (celah-celah) masa hari-hari keluar darah itu dikira sebagai tempoh suci.
Oleh itu, wanita tersebut wajib menunaikan semua ibadah yang dilakukan oleh wanita yang suci kecuali persetubuhan.7
Status Darah Nifas Bagi Wanita Yang Melahirkan Anak Secara Pembedahan
Para fuqaha juga tidak ketinggalan membincangkan hukum mengenai wanita yang melahirkan anak secara luar biasa atau bukan tabii, melalui pembedahan seumpamanya.
Mereka berpendapat hukumnya sama dengan wanita yang melahirkan anak secara normal, iaitu apabila seseorang wanita yang melahirkan anak melalui pembedahan pada perutnya, maka tidak mendapati darah pada tempat kebiasaan melahirkan anak secara normal (kemaluan) maka wanita itu dikira bersih, iaitu (tiada nifas).
Namun sekiranya dia mendapati darah pada kemaluannya, maka dia dianggap bernifas.
Menurut penjelasan pakar perubatan dan wanita yang pernah melahirkan anak secara pembedahan; kebiasaannya wanita yang bersalin melalui kaedah ini juga mengalami pendarahan nifas.
Bilakah Nifas Bermula Bagi Wanita Yang Melahirkan Anak Kembar?
Majoriti fuqaha mentakrifkan kembar ialah dua orang anak atau lebih dalam satu kandungan, dengan syarat tempoh kelahiran diantara satu kembar dengan kembar yang lain tidak melebihi enam bulan.
Sekiranya melebihi jarak enam bulan kelahiran anak-anak itu, dikira dua kandungan dan dua nifas.
Tetapi para fuqaha berselisih pendapat mengenai kembar yang dilahirkan sekali gus atau kurang daripada enam bulan.
Apakah nifas bermula dari kelahiran kembar pertama atau kedua?
Antara pandangan daripada empat mazhab utama adalah:
- Mazhab Hambali berpendapat, nifas bermula setelah lahir kembar pertama.
Sama ada kembar kedua dilahirkan setelah kembar pertama berumur 40 hari atau kurang daripada itu.
Contohnya, jika kembar kedua dilahirkan apabila kembar pertama sudah berumur 40 hari, maka darah yang keluar selepas melahirkan kembar kedua itu dianggap darah fasad (istihadah) kerana nifas bermula setelah melahirkan kembar pertama dan tamat tempohnya setelah genap 40 hari.
Mazhab Hanafi juga berpendapat nifas bermula setelah lahir kembar pertama. - Mazhab Syafi’e berpendapat apabila seorang wanita melahirkan anak kembar, maka nifasnya bemula selepas melahirkan kembar kedua.
Darah yang keluar selepas melahirkan anak yang pertama tidak dikira darah nifas, malah dianggap sebagai darah haid, sekiranya ia bertepatan dengan kebiasaan haid, ia dianggap sebagai darah fasad (penyakit). - Mazhab Maliki pula berpendapat, apabila jarak diantara kembar pertama dan kedua dilahirkan selama 60 hari, maka kedua-dua kelahiran itu dikira berasingan iaitu setiap kembar dikira satu nifas.
Sekiranya jarak diantara kembar pertama dan kedua kurang daripada 60 hari, maka nifasnya bermula daripada kelahiran kembar pertama.
Dalam meneliti persoalan ini dan pendapat yang dikemukakan oleh para fuqaha, ada dua perkara yang perlu diambil perhatian:
Pertama, ternyata bahawa persoalan ini dibincangkan atas andaian sekiranya kes kembar sebegini berlaku.Kes ini disebut sebagai fiqh al-Iftiradh (فِقْهُ الْإِفْتِرَاضِ)
Amat sukar untuk kita menggambarkan anak kembar dilahirkan dalam jarak yang melebihi tempoh maksimum nifas (60 hari), apatah lagi terpisah dengan jarak masa enam bulan.
Walau bagaimanapun, ahli feqah telah membuat andaian dan telah menentukan hukumnya.
Kedua, pendapat yang dikemukan oleh mazhab Maliki paling munasabah untuk diterima dan paling praktikal untuk diamalkan kerana pendapat ini lebih rasional dan sesuai dengan perbincangan yang lalu mengenai tempoh maksimum nifas bagi satu kelahiran.
Pendapat ini juga secocok dengan pendapat yang dikemukakan mengenai permulaan nifas bagi perempuan yang melahirkan anak kembar.
Mazhab Hambali, Hanafi dan Maliki bersependapat nifas bermula dari lahirnya kembar pertama. Cuma mazhab Syafi’e yang berpendapat nifas bermula dari kelahiran kembar kedua.
Darah Nifas Bagi Wanita Keguguran
Keguguran mengikut istilah Bahasa Arab ialah anak yang lahir daripada kandungan ibunya dalam keadaan tidak sempurna.
Mengikut istilah syarak pula, keguguran ialah anak yang lahir daripada kandungan ibunya dalam keadaan mati atau tidak sempurna kejadiannya.
Keguguran mengikut pendapat fuqaha ada dua keadaan:
- Keguguran yang nyata dan jelas, iaitu janin yang gugur itu jelas sifat kejadiannya sebagai anak yang sempurna dan diketahui jantinanya.
- Keguguran yang tidak nyata dan tidak jelas, iaitu janin yang gugur itu tidak sempurna sifat kejadiannya seperti ketulan darah (‘alaqah) atau daging (mudghah) sahaja.
Fuqaha sependapat mengatakan bahawa keguguran dalam bentuk yang pertama iaitu keguguran dalam bentuk yang jelas kejadian janin, dikira sebagai nifas dan mesti mengikut hukum-hukum yang berkaitan dengan wanita nifas.
Manakala keadaan keguguran dalam bentuk yang kedua, iaitu keguguran dalam bentuk yang tidak jelas sifat kejadian janin seperti keluar ketulan darah (‘alaqah) atau daging (mudghah) maka fuqaha berselisih pendapat mengenainya.
Pendapat mereka adalah seperti berikut:
- Mazhab Hanafi berpendapat bahawa wanita yang keguguran sama ada kejadian janin itu sempurna atau tidak dikira nifas.
Sekiranya dia bercerai semasa mengandung, maka iddahnya dikira tamat setelah berlaku keguguran. - Mazhab Syafi’e berpendapat bahawa thabit hukum nifas tidak disyaratkan anak yang dilahirkan itu sempurna kejadian dan hidup.
Malah, kalau dilahirkan dalam keadaan mati atau hanya berbentuk ketulan daging sama ada menyerupai manusia atau tidak akan diperakui bahawa daging manusia, maka wanita tersebut dikira bernifas.
Pendapat ini sama dengan pendapat mazhab Hanafi. - Dalam kitab Bughyah al-Tullab disebutkan darah yang keluar selepas keguguran diperingkat ‘alaqah dan mudghah dikira sebagai darah nifas. Sebaliknya keguguran dalam peringkat sebelum 40 hari (sebelum ‘alaqah) tidak dikira nifas.8
- Mazhab Maliki berpendapat sekiranya gugur ketulan darah atau daging maka tidak dikira nifas.
Sebaliknya jika gugur selepas empat bulan kandungan walaupun tidak jelas tanda-tanda hidup selepas dilahirkan maka wanita itu dikira bernifas. - Mazhab Hambali pula memberikan dua pendapat.
Satu pendapat mengganggap wanita yang keguguran dalam apa jua bentuknya dikira bernifas.
Satu pendapat yang lain tidak menganggapnya bernifas
Kesimpulan
Semoga panduan ini memberi manfaat kepada anda.
InsyaaAllah panduan ini akan disemak dan ditambahbaik dari masa ke semasa.
Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, bolehlah dinyatakan pada ruangan komen di bawah. InsyaaAllah saya akan memberi respons kepada setiap komen yang ditinggalkan.
Terima kasih.
Nota Kaki
1 Ibn Manzhur, op.cit
2 Al-Bahuti, op. cit, jil 1 halaman 219, Ibn al-Humam, op. cit, hlm 129
3 Al-Zuhayli op. cit jil 1, hlm 465-467
4 Abd Rahman al-Jaziyri, al-Fiqh ‘ala al-Mazahib al-Arba’ah. Jil. 1 hlm 131, Al-Zuhayli, op. cit, jil 1, hlm 466-467
5 Al-Sarakhsi, al-Mabsut. Jil 2, hlm 19, al-Bahuti. Jil 1, hlm 218. al-Bujairimi, op. cit., jil 1, hlm 308
6 Al-Ramli, Nihayah al-Muhtaj. Jil 1, hlm 357
7 ‘Abd Rahman al-Jaziyri al-Fiqh ‘ala al-Mazahib al-Arba’ah. Jil. 1 hlm 1
8 Syeikh Nuruddin ar-Raniri, Bughyah al-Tullab. Jil 1 hlm 92
Nota Rujukan
- Darah Wanita, Pandangan Ulama dan Pakar Perubatan — Prof. Madya Dr. Anisah Ab. Ghani
- Soal Jawab Fiqh Ibadah, Jilid 1, Bab Taharah, Darah Wanita & Solat — Ustaz Abu Usamah @ Mohd Hanapiah Haji Hussin.
Tinggalkan Komen Anda..
Dalam situasi saya, 1/2 saya bersalin. Dan selama 44hari (16/3) saya keluar darah. Dari 17-21/3, saya suci. Dan darah datang kembali pada 22/3-8-4. Macam mana ye. Saya kurang arif la bab nifas dan istihadah.