Apakah hukum bekerja di kedai yang ada jual arak?
Dalam artikel ini, saya melampirkan jawapan yang pernah dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus di halaman facebook beliau.
Semoga bermanfaat.
SOALANSeorang Islam bekerja di permis serbaneka 24 jam yang ada menjual arak.
Pekerja tersebut terpaksa menjadi jurujual jika ada orang kafir membeli arak.
Soalannya apakah hukumnya dia bekerja di situ dan adakah gaji yang ia terima itu haram walau pun dia tidak redha?
Bagaimanakah keadaannya di akhirat nanti?
JAWAPAN
Hukum bekerja di kedai atau pasaraya yang ada jual arak bergantung kepada tugas yang dilakukan.
Jika tidak terlibat sedikit pun dengan arak maka tidak haram seperti dia bertugas di bahagian menjual pakaian atau bahagian barangan dapur atau lainnya.
Tetapi jika kerjanya terlibat dengan arak seperti menjadi jurujual sebagaimana dalam soalan atau tukang susun arak atau yang membuat order atau pemandu yang membawa arak atau yang menguruskan arak atau seumpamanya maka hukumnya adalah haram samada dia redha atau tidak dan setiap hari pekerja tersebut mendapat dosa dan dia juga berkongsi dosa orang yang meminum arak tersebut.
Gaji yang diterimanya itu adalah haram dan di dunia ini semua amalan baiknya tidak diterima kerana syarat diterima segala amalan ialah tidak memakan harta dari usaha yang haram.
Rasulullah saw bersabda:
Allah tidak akan menerima solat tanpa bersuci dan tidak akan menerima amal sedekah dari harta yang haram.”
(Hadith Muslim)
Kedudukannya di akhirat nanti jika tidak mendapat ampunan Allah ialah di neraka dan tidak masuk syurga.
Dari Ka’ab bin ‘Ujrah r.a. bahwa Rasululah saw bersabda:
Wahai Ka’ab bin ‘Ujrah tidaklah tubuh badan seseorang yang tumbuh dari harta yang haram kecuali nerakalah lebih layak dengannya.”
(Hadith Tirmizi)
Rasulullah saw pernah bersabda:
Tidak akan masuk syurga tubuh badan yang membesar dari harta yang haram.”
(Hadith Ibnu Hibban)
KESIMPULAN
Kerja di mana-mana permis atau pasaraya yang mana kerjanya terlibat dengan arak seperti menjadi jurujual atau seumpamanya adalah haram dan gaji yang diperolehinya setiap bulan adalah haram
Siapa yang makan dari harta yang haram tidak diterima akan amal dan doanya.
Wajib bagi siapa yang bekerja di kedai yang terlibat dengan arak ini berhenti serta merta.
Wajib atas pemerintah melarang pekerja Islam terlibat dengan arak dan jika tidak maka pemerintah juga berdosa kerana tidak mencegah kemunkaran dengan kuasanya..
wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus
Sumber asal kepada jawapan ini boleh dilihat pada Facebook Ustaz Azhar Idrus pada pautan ini
Tinggalkan Komen Anda..