Adakah Isteri Perlu Minta Izin Suami Untuk Berpuasa Sunat?

Minta Izin Suami Untuk Berpuasa

Benarkah isteri yang ingin berpuasa sunat perlu minta izin suami?

Bagaimana keadaannya jika puasa wajib seperti puasa qada atau puasa nazar, adakah perlu juga minta izin suami?

Jawapan

Memang ada hadis yang menjelaskan kewajipan ke atas isteri untuk meminta izin suaminya jika hendak berpuasa.

Hal ini sebagaimana hadis berikut:

1. Rasulullah SAW bersabda:

[Terjemahan]

Tidak halal bagi seorang wanita berpuasa sedangkan suaminya hadir (ada bersamanya) tanpa keizinannya

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

1. Dalam hadis yang lain, dijelaskan pengecualian bagi puasa Ramadan:

[Terjemahan]

Tidak boleh seorang wanita berpuasa sedangkan suaminya hadir (ada bersamanya) kecuali dengan izinya, selain puasa Ramadan

(Riwayat Abu Dawud)

Berpandukan hadis-hadis tersebut, para ulama menetapkan bahawa haram bagi isteri berpuasa ketika suaminya ada bersamanya jika puasa tersebut adalah puasa sunat atau puasa wajib yang waktunya (untuk melakukannya) masih luas.

Adapun jika waktunya telah sempit, misalnya hanya berbaki lima hari lagi sebelum masuk Ramadan sedangkan si isteri belum qada lima hari puasa Ramadan sebelumnya, maka wajib ke atasnya untuk qada puasa tersebut meskipun tidak diizinkan suaminya.

Hal ini kerana hak Allah lebih besar dan utama untuk ditunaikan berbanding hak suami.

Dijelaskan dalam kitab Dalil al-Falihin Lituruqi Riyadi al-Solihin juz 2 hlm 407:

[Terjemahan]

Tidak halal yakni tidak boleh bagi wanita berpuasa, walaupun puasa itu puasa fardu yang waktunya masih luas kerana hak suami perlu ditunaikan dengan segera, sedangkan waktu (untuk tunaikan puasa) fardu itu masih luas.

Tambahnya lagi:

[Terjemahan]

Dan rentetan daripada hal tersebut, jika waktu (untuk menunaikan puasa) fardu itu telah sempit, seperti tidak berbaki Syaaban melainkan hanya sekadar untuk qada puasa Ramadan (yang ditinggalkan) sahaja, nescaya boleh bagi si isteri berpuasa tanpa keizinan suaminya

Kesimpulan

Setiap isteri yang hendak berpuasa, tidak kira puasa sunat mahupun fardu yang tempohnya masih luas (untuk qada pada bila-bila masa), maka wajib meminta keizinan suami.

Adapun jika waktu untuk qada puasa telah sempit, contohnya jumlah hari puasa yang wajib diqada bersamaan dengan baki hari dalam bulan Syaaban, maka dibolehkan bagi isteri untuk berpuasa walaupun tanpa keizinan suaminya.

Sesungguhnya hak Allah adalah lebih berhak dan utama untuk ditunaikan berbanding hak suami.

Wallahu a’lam.

Tinggalkan Komen Anda..

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments