Adakah imam perlu bertakbir kuat pada semua takbir dalam solat?
Dalam artikel ini, saya melampirkan jawapan yang pernah dijawab oleh Ustaz Azhar Idrus di halaman facebook beliau.
Semoga bermanfaat.
SOALANAdakah imam kena bertakbir dengan kuat pada semua takbir mula sembahyang dan takbir hendak rukuk dan hendak sujud atau hanya kuat pada takbir mula sembahyang?
JAWAPAN
Ketika menjadi imam adalah disunatkan atasnya menguatkan bacaan takbiratul ihram dan semua takbir berpindah rukun dan juga salam supaya makmum mendengarnya.
Kata Imam Nawawi :
Disunatkan bagi imam menguatkan bacaan takbiratul ihram dan sekelian takbir berpindah rukun supaya memperdengarkan kepada makmum untuk mereka tahu kedudukan solatnya.
Maka jika masjid itu besar yang tidak sampai suara imam kepada sekelian jemaah atau lemah suara imam kerana sakit atau seumpamanya atau asal kejadian imam itu perlahan suaranya maka hendaklah menyampaikan suara imam itu oleh sebahagian makmum atau jemaah dari mereka itu atas sekira-kira perlu kerana hadith yang sahih sungguhnya Nabi saw telah sembahyang dengan manusia ketika baginda sakit dimana Abu Bakar r.a. telah memperdengarkan suara baginda akan para jemaah.”
Hadith Riwayat Imam Bukhari Dan Muslim daripada Aisyah r.a.”
Kesimpulan
Disunatkan atas imam samada sembahyang fardu atau sunat dan samada pada sembahyang baca kuat atau baca perlahan menguatkan suaranya sekadar perlu pada tempat-tempat berikut:
- Ketika takbiratulihram.
- Ketika takbir hendak rukuk.
- Ketika bangun dari rukuk kepada iktidal.
- Ketika takbir turun kepada sujud.
- Ketika bangun dari sujud kepada duduk antara dua sujud.
- Ketika takbir untuk sujud yang kedua.
- Ketika bangun dari sujud yang kedua kepada rakaat yang lain.
- Ketika bangun dari sujud yang kedua kepada duduk tahyat awal atau duduk tahyat akhir.
- Ketika memberi salam.
Jika suara imam tidak dapat didengar oleh semua makmum maka harus menggunakan muballigh iaitu seorang yang sembahyang dibelakang imam membaca dengan kuat bacaan yang disunatkan ke atas imam seperti di atas.
Dan faedah menguatkan suara imam pada takbiratul ihram dan takbir berpindah rukun dan salam itu ialah memudahkan makmum mengikutinya.
Ada pun bacaan Fatihah dan surah maka tidak masuk ia dalam masalah ini kerana sudah tetap ia sunat dikuatkan pada rakaat pertama dan rakat kedua pada sembahyang fardu subuh dan maghrib dan isyak dan sembahyang sunat yang disunatkan membaca kuat.
Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus
Sumber asal kepada jawapan ini boleh dilihat pada Facebook Ustaz Azhar Idrus pada pautan ini
Tinggalkan Komen Anda..