Adakah Batuk Membatalkan Solat? [Ust Azhar Idrus]

Adakah Batuk Membatalkan Solat

Adakah benar jika seorang itu sedang mengerjakan solat kemudian dia batuk maka batal solatnya?

JAWAPAN

Semata-mata batuk ketika mengerjakan solat tidaklah membatalkan solat akan tetapi batuk itu boleh menjadi sebab solat seseorang itu batal sebagaimana yang akan diterangkan.

Batuk yang menjadi sebab batal atau tidak sahnya solat ialah batuk ketika membaca rukun qauli iaitu batuk ketika takbiratul ihram dan batuk ketika membaca fatihah dan batuk ketika membaca tahiyat akhir dan batuk ketika memberi salam.

Kita ambil satu contoh batuk ketika membaca fatihah.

Jika batuk berlaku selepas selesai membaca satu ayat seperti selesai membaca Alhamdulillahi Rabbil ‘Almiin lalu dia terbatuk maka batuk seperti ini tidak memudaratkan bacaan. Dia hanya perlu menyambung bacaan Ar-Rahmani -Ar-Rahiim selepas batuknya itu.

Begitulah dikiaskan dengan ayat-ayat yang seterusnya.

Ada pun jika batuk ketika sedang membaca satu ayat dan sebelum selesai membacanya lalu dia terbatuk maka wajiblah diulangi bacaan ayat tersebut kerana bacaan itu tidak sempurna bunyi sebutannya kerana dicelahi dengan bunyi batuk.

Jika tidak diulanginya bacaan yang tidak sempurna itu lalu dia rukuk maka batal solatnya kerana berpindah dari qiam kepada rukuk tanpa membaca fatehah dengan betul.

Dan adapun batuk pada bacaan surah yang sunat maka sunat dia ulangi bacaan tersebut dan jika tidak diulanginya bacaan yang sunat itu maka solatnya tidak batal kerana bacaan surah itu hanyalah sunat bukannya rukun.

Dan harus seorang yang sedang membaca bacaan yang sunat bahawa dia tinggalkan membacanya sebab batuknya itu.

Diriwayatkan daripada Abdullah Bin Sa’id r.a. menceritakan:

صَلَّى لَنَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الصُّبْحَ بِمَكَّةَ فَاسْتَفْتَحَ سُورَةَ الْمُؤْمِنِينَ حَتَّى جَاءَ ذِكْرُ مُوسَى وَهَارُونَ أَخَذَتِ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَعْلَةٌ فَرَكَعَ

Ertinya : “Rasulullah sollallahu alaihi wasallam telah menjadi imam bagi kami dalam solat fardu subuh di Mekah maka baginda memulai (selepas fatehah) dengan membaca surah Al-Mu’minun sehingga sampai kepada ayat yang menyebut kisah Nabi Musa dan Harun. Kemudian telah mengenai akan Nabi sollallahu alaihi wasallam oleh batuk lalu Nabi sollallahu alaihi wasallam pun rukuk.” (Hadith riwayat Imam Muslim)

Berkata Imam Nawawi yang maksudnya :

“Hadith ini menjadi dalil bahawa dibenarkan menghentikan bacaan (surah) dan tidak makruh yang demikian itu jika seseorang itu berhenti dengan ada sebab.” (Kitab Syarah Muslim)

Jadi terjawab sudah bahawa batuk di dalam solat tidak membatalkan solat kerana bukan dengan sengajanya dia batuk dan mengeluarkan bunyi.

Yang jadi batal solat ialah apabila bacaan yang wajib tidak disebut dengan sempurna dengan sebab seseorang itu batuk dan tidak dia ulangi membacanya dengan betul dan seperti demikian juga hukumnya dikiaskan dengan batuk itu dengan berdehem dan sendawa dan bersin dan menguap.

Menyebut oleh Dr Wahbah Zuhaili :

ويعذر في اليسير عرفاً من التنحنح ونحوه كالسعال والعطاس وإن ظهر به حرفان

Ertinya : “Dan diberi uzur pada sedikit berdehem dan umpamanya seperti batuk dan bersin dan sekalipun keluar darinya dua huruf.” (Kitab Al-Fiqh Al-Islami)

Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus

Sumber asal kepada jawapan ini boleh dilihat pada Facebook Ustaz Azhar Idrus pada pautan ini

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments