
Apa salahnya untuk menjadi sopan?
Sepanjang hidup ini, saya selalu dicop sebagai budak sopan.
Selalunya sebab kerana saya ini jenis pendiam, pemalu dan kononnya nampak baik.
Apabila saya fikir dan imbas kembali, sebenarnya menjadi ‘terlalu sopan’ ini kadangkala boleh memberi banyak masalah kepada saya.
Apabila kita berusaha untuk nampak baik dan tidak mempedulikan perasaan serta kehendak kita sendiri, pasti akan ada pihak yang akan mengambil kesempatan terhadap diri kita.
Mereka nampak kebaikan dan kesopanan itu satu kelemahan.
Kelemahan yang boleh diambil kesempatan.
Saya rasa ramai orang seperti saya terjebak adalah masalah ini, kerana kita fikir kita seharusnya dan seboleh-bolehnya nampak orang yang sopan dan beradab.
Saya percaya bahawa apabila saya fokus berbuat baik, orang disekeliling tidak akan bercakap tentang kekurangan atau keburukan saya.
Saya sangka mereka hanya akan bercakap benda yang baik-baik mengenai saya.
Sebenarnya saya silap.
Bukan semua orang kisah sangat dengan kebaikan kita pamerkan. Malah dianggap lemah dan mudah dimanipulasi.
Sebenarnya, terlalu sopan santun juga tidak bagus.
Ia menyebabkan banyak kesusahan pada diri dan kesannya kepada orang sekeliling. Ia menghakis diri kita sendiri. Mengapa?
Mari saya terangkan.
Orang sopan selalu kurang jujur
Menjadi sopan bukan sekadar membuatkan kita tidak berterus terang, malah pula menyebabkan kita menjadi penipu.
Ini disebabkan oleh kerana kita merasakan ia lebih baik daripada menyinggung perasaan orang lain.
Jika ada kawan yang mengajak anda keluar malam, dan anda tidak mahu, anda tidak berterus-terang secara jujur apa yang anda rasa.
Tetapi sebaliknya anda berdalih dengan mengatakan, “Sorilah, aku nak ikut, tapi aku kena hantar mak aku pergi.. bla.. bla..”
Selain daripada ‘mengotorkan’ persahabatan, orang yang menipu akan menderita dari segi mental dan kesihatan jasmani, seperti sakit kepala dan mengalami tekanan.
Walaupun kita rasa lega buat sementara dengan menjadi sopan, kita akan langsung tidak selesa.
Stress akan muncul ‘diatas nama sopan santun’ boleh meletakkan tekanan yang tinggi ke atas kesihatan fizikal dan mental kita.
Orang yang sopan selalu dilihat sebagai tidak tegas atau senang dimanipulasi.
Ramai orang yang sopan tidak akan berterus-terang bila mereka tidak mahu atau tidak bersetuju tentang sesuatu perkara.
Sebaliknya, mereka akan melapik ayat mereka atau berpura-pura ok “ikut la, saya tak kisah”,”saya ikut je mana-mana”.
Masalahnya, bila kita selalu berbuat perkara ini bila berhadapan orang lain, kita dengan sendirinya akan mula memendam perasaan sebenar kita.
Cuba lihat contoh didalam discussion group atau mesyuarat.
Kebanyakan daripada kita cenderung untuk mematuhi sesuatu tingkahlaku atau pendapat dalam kehidupan kerana kita rasa ia akan memberi kita peningkatan dari segi penerimaan sosial.
Kita lebih selesa untuk tidak mengeluarkan pendapat dan hanya menyokong pendapat orang lain walaupun pada dasarnya kita kurang bersetuju.
Kita ketagih untuk nampak baik.
Kita tidak mahu kelihatan ganjil di dalam kumpulan, jadi kita hanya bersetuju sahaja dengan pendapat orang lain daripada pandangan diri kita sendiri.
Tetapi untuk menjadi seorang sahabat yang baik, rakan kongsi, suami isteri atau ketua, kita harus untuk berkongsi pandangan kita dan juga mendengar pandangan orang lain.
Transperancy adalah penting. Ada masanya kita harus berterus-terang demi mengelakkan salah faham.
Salah satu cara yang saya dapati boleh membantu menilai semula bagaimana saya rasa tentang persahabatan, kerja, dan juga aktiviti dalam kumpulan, adalah dengan menyenaraikan perkara-perkara yang kita tidak suka dan tidak mahu lakukan.
Walaupun kebanyakan orang mungkin tidak begitu peka kepada perasaan mereka sendiri, aktiviti ini mungkin akan menjadi titik permulaan dalam membantu anda menuntut kembali beberapa pendapat anda.
Masalah utama yang menjadi batu penambat kepada kita adalah budaya ketimuran yang amat menekankan ‘sopan santun’
Kita akan dianggap biadap jika membantah pandangan orang yang lebih tua. Ibu bapa contohnya.
Orang lain akan nampak kita sebagai membosankan
Jika kita hanya berterusan bercakap dan melakukan benda sopan, dan merasa tidak perlu untuk menyuarakan pendirian sendiri, orang lain akan mula memikirkan kita sebagai seorang yang membosankan.
Jika rakan atau rakan sekerja kita memerlukan pendapat, dan kita hanya bersetuju sahaja dengan idea asal mereka setiap masa, pasti mereka rasa lebih baik bercakap dengan cermin.
Penting untuk anda tahu bahawa jika ada seseorang bertanya pendapat anda adalah kerana ambil berat tentang apa yang anda ingin perkatakan.
Tidak kiralah sama ada di rumah atau pun kehidupan profesional di tempat kerja, anda pasti tidak mahu dicop sebagai seorang yang bosan kan?
Oleh itu jangan takut untuk berkongsi pandangan dengan orang lain, kerana mereka akan lebih suka melihat anda sebagai seorang yang dinamik dan unik.
Semua orang layak untuk bersuara. Jangan takut.
Orang baik selalu memberi pujian apabila ia tidak berhak
Memang bagus untuk memberi pujian pada tugas yang dilakukan dengan baik, tetapi ia juga boleh membawa kemudaratan jika tugas yang dilaksanakan oleh seseorang tersebut sebenarnya tidak benar-benar cemerlang.
Bukan sahaja anda merosakkan maklum balas pembetulan yang diperlukan orang ini, malah anda juga akan merosakkan harga diri mereka apabila mereka tahu bahawa apa yang anda katakan selama ini hanyalah untuk berbasa-basi.
Adalah amat penting bagi setiap orang yang berada dalam setiap level kedudukan kepimpinan sekali pun untuk tidak fokus sangat menjadi pemimpin yang bersopan santun, tetapi sebaliknya memberi tumpuan untuk menjadi pemimpin yang kuat dan tegas.
Ini tidaklah bermakna bahawa anda perlu menjadi seorang pemimpin yang zalim; anda cuma hanya tidak perlu melayan emosi semua orang seperti mereka ‘kulit telur’. (terlalu berhati-hati dan berjaga-jaga)
Saya dapati cara yang terbaik untuk memberi kritikan tanpa mengguris perasaan adalah dengan menggunakan pendekatan “sandwich“.
Pendekatan sandwich adalah dengan memberikan pujian yang jujur mengenai topik pada waktu itu dan diikuti dengan kritikan (membina) serta seterusnya diakhiri dengan kata-kata pujian untuk mengambil hati.
Walaupun terdapat perdebatan mengenai keberkesanan kaedah itu, secara peribadi, saya tidak mempunyai masalah. Ia selalu berkesan.
Apa yang penting adalah bahawa anda memberikan maklum balas yang realistik, bukan sekadar menjadi sopan
Orang sopan selalunya ‘membenci’ orang yang mereka telah buat baik
Yang peliknya, menjadi baik kepada orang sepanjang masa sebenarnya boleh menyebabkan anda tidak suka dan membenci orang-orang yang mendapat manfaat daripada kebaikan anda.
Sentiasa akur kepada kehendak orang lain boleh menyebabkan anda menjadi tertekan, bekerja lebih keras, dan rasa pahit terhadap orang yang anda bantu.
Inilah yang menidakkan niat asal perbuatan baik yang kita lakukan.
kita cenderung untuk terjebak pada berkata ‘ya’ kepada orang lain dan bersikap sopan kerana kita fikir ia menjadikan kita orang yang lebih baik dalam cara tersebut.
Secara realitinya, kita tidak jujur dengan orang yang kita bantu.
Kita juga menipu diri kita dan menghadkan diri kita dari istirehat yang amat diperlukan dan masa untuk diri sendiri.
Penutup
Tujuan saya menulis artikel bukanlah untuk mendakwa bahawa orang yang sopan itu adalah lemah. Tidak.
Menjadi garang juga tidak bagus untuk kita dan orang sekeliling, tetapi maksud sebenar saya adalah kita harus menilai kembali bagaimana untuk mempamerkan ‘kebaikan’ dan ‘kesopanan’ dari segi perbuatan dan kata-kata kita.
Jika anda benar-benar ikhlas dengan perkara baik yang anda katakan dan lakukan, itu adalah bagus dan patut diteruskan.
Tetapi jika sebenarnya anda tak nak, maka hanya terus berterus-terang tentang apa yang anda rasakan.
Semua orang akan faham nanti.
Jangan selalu biarkan diri anda diambil kesempatan.
Anda pasti akan penat dan kecewa!
Adakah anda salah seorang yang mengalami situasi ini?
Saya suka untuk mendengar pengalaman dan pandangan anda pada ruangan komen dibawah.


Assalamualaikum, admin…
Terima kasih atas perkongsian, saya rasa tajuk ni memang kena dengan ramai orang…
Kadang2 bukan nak tunjuk baik tetapi keadaan ketika itu dan sebab nak jaga hati banyak pihak, mediamkan diri adalah tindakan yang paling tepat…Tapi bila difikrkan balik perlu banyak2 doa untuk bersihkan hati untuk lihat keadaan lebih positif (bukan berpura baik tetapi memang benar2 melakukan kebaikan)…
sekadar pandangan…
Terima kasih…
Assalamualaikum admin..
Terima kasih atas artikal y bermanfaat ini.
Situasinya sama dgn apa y saya alami skrg ni.. saya terlalu baik dgn org smpai org ambil kesempatan atas kebaikkan saya. Drpd saya ikhlas nk tlg hinggakn saya rasa tawar hati klu nk buat baik dgn org. Smpai satu tahap saya jadi stress n kemurungan.. adakah saya perlu berterus terang dgn dia tau lebih baik saya pendam sahaja?.. hope admin dpt membantu..
Wassalam,
Saya pernah rasa apa yang kamu rasa. Percayalah, kamu mesti bangun mempertahankan diri dan menyuarakan juga apa yang kamu rasa. Atleast, kita akan lega dan kerja yang dilakukan lebih ikhlas.
Tarik nafas dalam-dalam, dan suarakan apa yang kamu rasa itu dalam keadaan tenang.
InsyaaAllah, pihak lain akan faham dengan kehendak dan pendirian kita :)
Ada pro n con…
But yg penting bijak mnangani situasi.. Don’t let situasi kuasi diri…
Perbetulkn niat(keikhlasan) dlm setiap tindakan…
100% X salah lgsung mnjadi sopan tp bijak sesuaikan dgn situasi…
Ya benar. Memang tidak salah jadi sopan, cuma perlu pandai pertahan hak diri sendiri dan jangan biarkan orang lain ambik kesempatan.
Lihat situasi dan berfikir sedikit, seperti apa yang dinyatakan tuan.
Terima kasih kerana meninggalkan pandangan. :)
Setuju dengan point2 artikel ni…berbuat baik biar berpada2..jahat jangan sesekali…pandai2 lah bawak diri dalam setiap keadaan & situasi agar diri sendiri x dianggap lemah dan mudah dimanipulasi…manusia mcm ni akan sampai satu tahap dia frust,penat dan rasa diri useless..so..mulakan untuk berubah..berubah untuk berani dan tegas dgn benda yg betul!.
Terima kasih FizzNazman kerana meninggalkan pandangan.
Ya, memang ada benarnya pepatah melayu tersebut, “buat baik berpada2, buat jahat jangan sekali”. Orang dulu-dulu nampaknya sudah lebih dahulu mengalami situasi ini.
Terima kasih tuan. Saya setuju, pada masa kini. Lebih baik berterus terang daripada bersopan setiap masa, sama ada dengan orang seusia atau lebih tua.
Sama-sama tuan.
Ya, berterus-terang adalah jalan yang terbaik, tetapi bersopan juga perlu. Mungkin kita perlu berterus-terang tetapi dalam sopan, seperti teknik sandwich yang saya katakan.
Sesungguhnya hati saya sangat tersentuh dengan artikel ini kerana pernah mengalami situasi-situasi yang sedemikian.
Terima kasih atas pandangan juga nasihat yang membuka mata.
Kita semua kebanyakkannya mengalami masalah yang sama.
Semoga perkongsian ni memberi manfaat :)
Ada betul penulisan ni..tp x smua nye btol..sbb mnusia fitrahnye ingin jadi baik
As Salam,
Yes, memang itu adalah fitrah, tidak dinafikan. Perspektif setiap orang adalah berbeza, jalan hidup kita juga berbeza-beza.
Terima kasih kerana meninggalkan komen dari sudut pandangan saudari.
Assalamualaikum.
ya benar apa yang ditulis diatas. kadang sebab ingin menjadi kelihatan terlalu sopan sampaikan pendaapt yang tidak masuk akal pun kita iyakan sebab nak jaga perasaan. menipu tu selalu tpi niat harap it membawa kebaikan buat dia. contoh, ada satu situasi kadang kita jadi marah dengan kelakuan kawan kita tapi bila ditanya “ko marah ke tadi?”, dengan selamba kita pasti jawab “taklah,aku ok je” tapi kelakuan kita bukan menunjukkkan sebaliknya. mereka terasa itu;ah bertanya. kadang nak jaga perasaan orang lain, kita yang marah2 dan stress sendiri.. That why, kitani perlu muhasabah diri sendiiri.. always!
Wassalam Asmaa,
I’ve been there. Selalu menidakkan perasaan sendiri demi kelihatan cool dan baik. Tapi bukan selamanya kita mampu bertahan seperti ini, sebab perasaan marah itu berkumpul semakin banyak, sikit demi sedikit.
Ya penting dalam komunikasi adalah berterus-terang. Mungkin sukar, tapi itulah yang terbaik daripada terus memendam.
Semoga kita semua dibawah jagaan-Nya! :)
Salam semua, pada pandangan saya, apa yg dikatakan adalah betul. Saya sendiri mengalaminya dan saya setuju.
Kadang2 menjadi baik sangat membuatkan kita lebih benci dgn diri kta sendiri, and you wished you could turn back the time and do it better than before.
Wassalam,
Terima kasih kerana berkongsi pengalaman. Yes, i’ve been there.
Memang kesal bila teringat kembali waktu dahulu diri terlalu naif mengenai hal ini.
Namun takpa, masa akan mematangkan kita. InsyaaAllah kita semua akan lebih berhati-hati menilai keadaan.
Semoga kita semua dibawah jagaan-Nya.
Menjadi sopan untuk manusia? Bukankah hidup dan mati kerana Allah swt? Berlaku sopan santun Itu amalan terpuji, orang keji atau puji Itu semua ujian. Apa apa pun bergantung kepada niat, Allah swt tahu luar dalam kita.
Iya, benar. Hidup mati memang kerana Allah.
Point utama yang ingin saya sampaikan adalah, kita harus menilai kembali bagaimana untuk mempamerkan ‘kebaikan’ dan ‘kesopanan’ kita.
Janganlah sampai diambil kesempatan terhadap diri kita, semata-mata hanya mahu kelihatan baik dan sopan, namun hakikatnya jiwa kita tertekan.
Sopan tapi tegas. Sopan tetapi tidak membiarkan diri sendiri dizalimi.