Pada masa kini, kita dapat memerhati bahawa dalam kalangan penuntut ilmu, mereka mempunyai norma-norma yang menjadi warisan daripada generasi dahulu sehingga kini.
Kita tidak mengetahui bilakah lahirnya norma ini dan mengapa mereka mengamalkannya sehingga menjadi seolah-olah satu kepercayaan yang diterima tanpa menyelidik?
Terdapat pelbagai norma yang berlaku dalam kalangan penuntut ilmu dan penulisan ini bertujuan untuk mengenal pasti apakah norma yang sedang berlaku, kesan jangka masa panjang terhadap penuntut ilmu, kritikan serta solusi terhadapnya.
Sebelum kita mengenal pasti apakah norma yang sedang berlaku, haruslah kita faham dahulu punca berlakunya norma tersebut dan mengapa ia berbentuk ‘authoritative’ sehinggakan ia seperti tidak boleh dipersoalkan.
Pengalaman merupakan salah satu faktor yang menentukan kebenaran sesuatu penyataan itu kerana ia merupakan satu peristiwa dimana seseorang manusia itu dapat mengenali, menilai dan memahami sesuatu perkara daripada sudut susah atau senang dan benar atau batil sesuatu perkara itu.
Bila pensyarah A lebih seronok berbanding pensyarah B..
Norma yang pertama yang berlaku dalam kalangan penuntut ilmu ialah mudah menerima kata-kata mereka yang berpengalaman.
Norma ini pada asalnya, amat membantu tetapi apabila ia disalah tafsir dan diamalkan, ini amatlah bahaya.
Penyataan individu yang berpengalaman tidaklah beberapa kuat untuk dipercayai akan tetapi apabila seseorang pelajar itu mendengar daripada ‘senior’ mereka, lebih daripada 5 orang, ia menjadi seolah-olah satu sumber yang kuat untuk dipercayai dan diamalkan.
Sebagai contoh, ‘senior’ mengatakan bahawa subjek sekian sekian adalah susah dan lecturer sekian sekian adalah sebegini dan sebegitu. Kita pun mempercayainya begitu sahaja atas dasar mereka telah melalui peristiwa tersebut dan mereka lebih mengetahuinya.
Kesannya terhadap penuntut ilmu ialah ia akan menjadikan pelajar itu kerap menerima sesuatu benda dengan membuta tuli, asalkan ia datang daripada sumber yang boleh dipercayai.
Tiada langsung usaha untuk menyelidik kebenaran atau mencari solusi.
Lanjutan daripada kesan ini, ia akan memberi kesan kepada pembentukan mentaliti yang negatif dan menanamkan rasa takut di dalam diri penuntut ilmu dan daripada pembentukan itu, ia akan mengawal perbuatannya, daripada perbuatannya itu, ia akan menghasilkan keputusan yang tidak memberangsangkan.
Ini adalah hasil daripada pemikiran negatif akibat norma yang pertama tadi.
Sebagai contoh, Senior kepada Ali menceritakan kepada Ali mengenai kesusahan sesuatu subjek akademik.
Mereka mengatakan bahawa tiada siapa pun yang pernah dapat gred A kerana lecturernya amat tegas dan tidak pernah memberi markah kasihan.
Lalu Ali mempercayainya tanpa menyelidik, dengan pengetahuan Ali mengenai subjek ini, apabila dia mengambilnya, dia tidak langsung berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana dia tahu ‘end result’ nya yang dia tidak akan mendapat A.
Contoh yang seterusnya ialah Senior kepada Ali menceritakan kepada Ali mengenai perbandingan pensyarah-pensyarah di fakulti mereka.
Mereka mencadangkan Ali untuk memilih pensyarah A berbanding pensyarah B kerana pensyarah A tidak tegas, belajar seronok dan mudah memberi lebih markah berbanding pensyarah B.
Sedangkan pensyarah B itu bertegas kerana inginkan pelajar-pelajar beliau memahami dengan sebenar subjek itu, bukan sekadar tahu dan hafal.
Ali pun tanpa menyelidiki mempercayai informasi tersebut dan memilih pensyarah A.
Niatnya memilih itu adalah untuk menyelamatkan ‘pointer’ akademiknya, bukan tujuan untuk benar-benar menuntut ilmu dan ingin mendisiplinkan diri.
Ini adalah sesuatu yang harus dielakkan, ia menunjukkan seolah olah bahawa seseorang itu tidak layak menerima gelaran sebagai mahasiswa mahupun penuntut ilmu kerana begitu mudah mempercayai sesuatu penyataan.
Solusi kepada norma ini adalah apabila kita mendengar sesuatu perkara yang dinyatakan oleh seseorang atau sekumpulan manusia, kita harus menyelidik sama ada secara pertanyaan kepada orang yang ditujukan oleh ‘senior’ tersebut ataupun turun terus berjumpa untuk mengalaminya sendiri.
Untuk menguatkan lagi berkenaan kewujudan norma ini, kita dapat lihat bahawa di dalam universiti, masing masing memilih pensyarah atas dasar nasihat ‘senior’ mereka.
Walhal semua pensyarah di dalam universiti mempunyai kualiti, cara mengajar dan disiplin mereka tersendiri.
Jika mereka tidak ada perkara tersebut, mana mungkin mereka akan mengajar di semua universiti yang terkemuka di dalam Malaysia. Walaupun pada hakikatnya benda itu benar-benar berlaku, kita harus menjadi antara generasi yang memecahkan norma tersebut.
Kita harus membuktikan bahawa sebenarnya kesusahan yang kita sering alami di dalam pelajaran kita atau pensyarah yang sekian sekian yang dikatakan sebenarnya mengajar tidak bagus ialah kerana ‘ attittude’ kita bukan kerana sesebuah subjek atau pensyarah tersebut.
Jika kita dapat menumpukan segala fokus dan meningkatkan usaha kepada tahap yang luar biasa di dalam memahami sesuatu subjek itu, maka tidak mustahil untuk kita menukar norma yang bahawa subjek itu sebenarnya antara yang paling senang untuk mendapat keputusan yang cemerlang ataupun pensyarah itu sebenarnya mempunyai kualiti mengajar yang baik apabila kita mendekatinya melalui medium konsultasi.
Mesin fotostat yang tidak berkualiti
Norma yang kedua, antara yang paling kritikal dan dianggap mampu merosakkan masa depan negara adalah apabila seseorang penuntut ilmu itu, di dalam kepalanya, penuh dengan segala ilmu yang dihafalnya kulit ke kulit, sempurna ayat yang dihafalnya, namun beliau hanya mampu untuk meluahkan balik sahaja, tanpa memahami isi sebenar sesuatu ilmu itu.
Ramai menyangka bahawa jika kita menghafal dan meluahkan balik di dalam peperiksaan dan daripada situ, kita mendapat pointer yang tinggi, kita sudah boleh digelar antara pelajar yang pandai.
Apabila ditanya sedikit mendalam mengenai apa yang dihafal, mula tergagap untuk jawab kerana selama ini dia hanya menghafal sahaja tanpa memahami.
Perlu untuk kita faham bahawa penuturan semula segala apa yang dihafal tidak menjadikan seseorang itu orang yang faqih.
Akan tetapi menutur semula segala apa yang dihafal dengan kefahaman yang mendalam, barulah melayakkan seseorang digelar sebagai seorang pakar.
Antara kesan norma ini terhadap penuntut ilmu ialah ia menghalang kapasiti intelektual mereka untuk respon mengenai isu semasa ataupun menyelesaikan masalah dalam kadar yang cepat kerana mereka tidak mampu untuk mengaplikasikan apa yang dipelajari oleh mereka di dalam dunia sebenar.
Sebagai contoh, jika ada orang bertanyakan soalan kepada Ahmad mengenai undang-undang kontrak.
Beliau hanya dapat menceritakan bagaimanakah jenis kontrak itu, elemen yang terdapat di dalamnya dan seksyen yang berkaitan mengenai kontrak itu.
Apabila tiba masa orang menceritakan masalah kepada Ahmad untuk Ahmad menyelesaikannya, Ahmad gagal untuk respon mengenai solusi permasalahan itu kerana dia hanya menghafal secara teori mengenai jenis kontrak, iaitu menunjukkan dia hanya tahu apakah jenis kontrak itu.
Akan tetapi bila ia melibatkan bagaimana ia berfungsi atau bagaimana ingin menyelesaikan masalah yang berlaku disebabkan faktor tertentu, Ahmad gagal untuk mengetahuinya kerana dia tidak memahami apa yang dihafalnya.
Jika lahirnya generasi sebegini dan generasi tersebut memimpin negara kita, ini akan menyebabkan kejatuhan negara kita dalam jangka masa yang singkat.
Oleh itu, kita haruslah mengetahui serta memahami aplikasi kepada teori yang kita ketahui itu dalam permasalahan semasa dan yang akan datang.
Norma seterusnya ialah membuat tugasan bertulis dengan tidak serius. Apabila penuntut ilmu kini diberi tugasan bertulis.
- Antara perkara pertama yang hadir di dalam fikiran mereka ialah ini adalah satu beban.
- Yang kedua, mereka akan memikirkan cara yang mudah untuk menyiapkan tugasan itu seperti meniru tugasan yang sudah disiapkan pada semester lepas atau copy paste sahaja diaripada internet.
- Yang ketiga, tiada kesedaran bahawa tugasan itu bertujuan untuk meningkatkan kefahaman kita dalam sesuatu subjek itu.
Disebabkan perkara-perkara inilah, kualiti tugasan bertulis penuntut ilmu masa kini berada di dalam tahap amat tidak berkualiti.
Kesan norma ini terhadap penuntut ilmu ialah mereka menutup minda mereka sendiri daripada menghasilkan teori baru ataupun solusi kepada permasalahan semasa dan norma ini menghalang diri mereka untuk menghasilkan tugasan bertulis yang kualitinya tahap ‘reseach paper’.
Barah yang semakin kronik dalam kalangan pelajar
Lanjutan daripada kesan ini, apabila mereka meletakkan sahaja jari mereka di papan kekunci, mereka merasakan janggal untuk menulis.
Idea tidak banyak dan terus merasakan malas hendak buat dan copy paste sahaja.
Oleh itu, penuntut ilmu haruslah serius dalam melakukan tugasan bertulis walaupun topik yang diberi atau dipilih itu tidak beberapa menarik.
Di peringkat universiti inilah medan latihan bagi penuntut ilmu melatih penulisan yang berkualiti tinggi. Ikutlah metodologi yang betul dalam membuat penulisan.
Lakukan banyak pembacaan dan kajian mengenai apa yang hendak ditulis dan merasakan setiap tugasan bertulis itu adalah medium untuk pembinaan diri, bukan bebanan.
Benarkah nota internet sudah mencukupi?
Norma yang terakhir untuk menamatkan penulisan ini adalah kurang terlibat dalam sesi konsultasi bersama pensyarah.
Penuntut ilmu masa kini mempunyai banyak sumber untuk mendapat ilmu, jadi apabila mereka memasuki kelas, mereka sudah mempunyai nota yang cukup sehinggakan mereka merasakan bosan untuk mendengar perkara yang sama daripada pensyarah.
Mereka menganggap bahawa mereka boleh memahami hanya daripada internet tanpa mendapatkan nasihat daripada pensyarah.
Bukan itu sahaja, bahkan ada yang mengeluarkan soalan yang berniat untuk mencabar pengetahuan guru itu dan menunjukkan dirinya lebih mengetahui daripada guru.
Jika soalan itu bertujuan untuk berdiskusi tidak mengapa, akan tetapi jika ia adalah untuk berlagak depan orang lain bahawa dirinya lebih mengetahui sesuatu ilmu itu daripada pensyarah, ini adalah amat tidak berpatutan.
Kesan norma ini ialah kita dapat lihat hilangnya adab-adab menuntut ilmu dalam kalangan penuntut ilmu.
Apabila hilangnya adab di dalam diri seseorang, maka barakah menuntut ilmu itu akan hilang dan ia berupaya untuk mencetuskan kekacauan dan pergaduhan dalam masyarakat pada masa yang akan datang.
Banyak lagi konsekuensinya akan tetapi hanya dua ini sahaja yang disebut di dalam penulisan ini. Apabila kita menyebut tentang sesi konsultasi, ia bukan berkaitan akademik sahaja.
Tetapi ia boleh menjadi tempat rujukan mengenai apa-apa sahaja yang berkaitan dengan diri pelajar itu.
Inilah masanya penuntut ilmu untuk mendapatkan segala nasihat-nasihat yang berguna untuk dirinya agar diri mereka boleh menjadi seseorang yang dapat menyumbangkan sesuatu dalam agama dan negara mereka.
Oleh itu, penuntut ilmu hendaklah banyakkan sesi konsultasi dengan pensyarah untuk mendapat kefahaman yang lebih mendalam dan mendapatkan nasihat yang berguna untuk dirinya serta memelihara adab-adab menuntut ilmu terhadap guru-guru kita.
Penutup
Banyak lagi norma-norma yang negatif yang tidak diletakkan di dalam penulisan ini.
Ini adalah tugasan kita sebagai seorang mahasiswa untuk menyeru generasi kita agar tidak terjebak di dalam norma-norma sebegini agar masa hadapan mereka dan juga negara ini akan lebih cerah, maju dan sejahtera.
…
Artikel ini adalah kiriman oleh Wan Harith Iskandar Bin Wan Roslan, pelajar UIAM (Ahmad Ibrahim Kuliyyah of Law). Blog beliau boleh diakses DISINI.
Semoga memberi manfaat kepada semua.
Tinggalkan Komen Anda..
sebuah renungan indah pada setiap penuntut ilmu…thanks
betul…sy setuju