Kenapa Kita Sukar Bertahan dan Istiqamah Untuk Buat Perkara Baik?

Istiqamah dalam menakluk perubahan yang besar

Kenapa begitu sukar untuk membentuk tabiat yang baik?

Mengapa sangat susah untuk kekal istiqamah dalam membuat perubahan?

Bagaimana anda boleh meneruskan niat baik anda untuk melakukan perubahan walaupun nampak seperti tiada hasil?

Persoalan-persoalan ini sering menganggu kita.

Kita ingin menjadi lebih baik dari sebelumnya, tetapi niat murni kita itu selalu tersekat.

Kita selalu gagal tanpa punca.

Anda dan saya.

 

Kenapa Kita Selalu Gagal Untuk Berubah ke Arah Perkara Baik?

Kita semua mempunyai harapan dan impian.

Setidak-tidaknya, kebanyakan orang mempunyai kemahuan yang sama.

Contohnya adalah seperti kita mahu badan kita nampak menarik dan sihat, mahu menghafaz al-Quran, mahu menulis buku, mahu lebih dihormati oleh keluarga dan rakan.

Secara keseluruhan, ini adalah perkara-perkara yang baik.

Cantik sebenarnya bila kita mempunyai matlamat dan mengetahui apa yang kita mahu. Ia memberikan kita arah dan tujuan.

Bagaimana pun, kadangkala harapan dan impian itu sendiri yang akan mensabotaj kita daripada menjadi lebih baik.

Bagaimana? keinginan.

Keinginan atau nafsu akan mengumpan kita untuk ‘menggigit lebih besar daripada apa yang kita mampu kunyah.

Anda akan faham apa yang saya maksudkan:

  • Anda berazam untuk mengingat semua surah dalam al-Quran. Anda menghafal berterusan sepanjang hari pada hujung minggu. Selepas pergi kerja pada hari isnin, anda langsung tidak kembali menghafal selepas itu.
  • Anda terinspirasi dengan kisah travel kawan-kawan yang menjelajah negara lain, maka anda pun mula menulis plan rancangan untuk travel ke seluruh dunia. Pada akhirnya anda hanya ‘lemas’ dalam semua butiran perancangan dan berakhir dengan duduk dirumah sahaja.
  • Anda termotivasi dengan rancangan The Biggest Loser. Anda pergi ke gim, buat latihan all-out sehingga otot anda cedera dan mengambil tempoh tiga bulan untuk pulih.

Apa yang selalu terjadi, kita membiarkan motivasi dan kemahuan yang sedang membuak itu mendorong kita menjadi kalut untuk menyelesaikan keseluruhan masalah atau keinginan dengan sekali hadap sahaja..

… berbanding bermula dengan langkah kecil sebagai suatu rutin harian.

Saya tahu. Perkara ini bosan.

Realitinya adalah:

— impian yang ingin kita capai adalah sangat berbeza dengan tindakan yang akan membawa kita ke sana.

Tidak ramai orang yang mampu terus membuat perubahan besar sekali gus.

Tidak ramai orang mampu istiqamah.

Oleh itu bagaimana untuk kita kekal istiqamah dan konsisten dalam membuat perubahan?

Saya gembira anda bertanya.

Mari saya jelaskan.

 

Kita Harus Tetapkan Impian Yang Besar, Tetapi Mesti Mulakan Dengan Langkah yang Kecil..

Apabila kita benar-benar ingin berubah untuk perkara lebih baik, kita harus bermula dengan langkah yang kecil.

Cuba bayangkan tabiat-tabiat ini:

  • Anda memberus gigi.
  • Anda memakai tali pinggang keledar.
  • Anda menggigit kuku.

Kelakuan ini cukup kecil sehinggakan kita langsung tak terfikirkannya. Kita melakukannya secara automatik.

Mereka adalah kelakuan-kelakuan kecil yang membentuk tabiat kita secara berterusan.

Jadi masuk akal atau tidak, jika saya katakan cara terbaik untuk memulakan sesuatu adalah dengan membuat perubahan kecil terlebih dahulu.

Yang mana otak kita boleh cepat belajar dan mengulangi secara automatik.

Lama-kelamaan, kita akan top-up kemajuan kita sehingga mencapai apa yang kita inginkan, tanpa rasa lelah dan sukar.

istiqamah dalam perubahan
Berubah – biar perlahan, asal kita tidak lelah dan sentiasa berterusan. Inilah istiqamah

Analogi pendekatan ini sama seperti belajar berenang:

Bila kita terus terjun ke air yang dalam sebaik sahaja kita mendapatkan ransangan motivasi, kita hanya akan gagal, dan lemas dengan cepat.

Kita memerlukan lebih banyak rangsangan motivasi apabila tabiat baru kita semakin ‘lemas’.

Tetapi, bila kita mulai berenang di air yang cetek terlebih dahulu, pasti perlahan-lahan akan kita akan pergi ke air yang lebih dalam.

Sehingga sampai ke titik di mana kita boleh berenang sendiri sama ada bermotivasi atau tidak.

Kita sudah selesa dengan perubahan-perubahan yang berlaku pada diri kita. Ia sudah bersemadi dengan tubuh kita. Ia sudah menjadi kepercayaan kita.

Nampak?

 

Beri Tumpuan Kepada Gaya Hidup, Bukan Kepada Perubahan Hidup

Sering kali kita taksub dengan membuat perubahan yang mengubah hidup.

Tetapi untuk mencapai sesuatu yang mengubah hidup, anda terlebih dahulu harus menukar gaya hidup.

Cuba wujudkan tabiat-tabiat kecil terlebih dahulu.

  • Mengingat 30 juz al-Quran adalah satu perubahan hidup, menghafaz 10 ayat baru setiap hari adalah gaya hidup yang baru.
  • Menerbitkan sebuah buku adalah satu perubahan hidup, menulis 5 muka surat setiap hari adalah gaya hidup yang baru.
  • Bangun Solat Tahajjud setiap malam adalah perubahan hidup, pastikan solat fardhu tepat pada waktu setiap masa adalah gaya hidup yang baru.
  • Menurunkan berat badan 20kg adalah satu perubahan hidup, minum 8 gelas air masak setiap hari adalah gaya adalah hidup yang baru.
  • Ingin menjadi muslimah yang sebenar-benar soleh adalah perubahan hidup, menjaga pemakaian (aurat) dan tutur kata adalah gaya hidup yang baru.

Nampak perbezaannya?

Mempunyai matlamat hidup adalah perlu kerana ia menunjukkan arah hidup, tetapi kadangkala ia juga ‘menipu kita’ dengan menyasarkan apa yang tak mampu dikendalikan.

Langkah kecil – rutin harian kecil yang diulangi secara berterusan – inilah yang akan membuatkan apa yang kita hendak capai menjadi realiti.

Saya tahu ini  kelihatan hampir tiada makna pada mulanya.

Tetapi tabiat kecil sebenarnya boleh memberikan kemajuan yang luar biasa dengan cepat.

Daripada Aisyah r.a., Nabi s.a.w. bersabda:

Wahai manusia lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Amalan yang paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.”

— Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Istiqamah — walaupun adakalanya amalan tersebut nampak kecil, tetapi kebaikan yang dilaksanakan secara istiqamah itu akan memberikan impak tabiat yang baik kepada pelakunya secara berterusan.

Nampak?

Islam itu agama yang mudah sebenarnya.

 

Penutup: Tips Untuk Kekal Istiqamah

Bertahan dalam perubahan yang baik sememangnya sukar.

Ini sudah tentu kerana pada asasnya jiwa manusia selalu dibayangi oleh hawa nafsu.

Sebenarnya ada 2 elemen yang menyukarkan kita untuk istiqamah bertahan dengan perubahan baik, iaitu nafsu (syaitan) dan Mazmumah, iaitu kelemahan diri kita sendiri.

Namun jangan bimbang, dengan strategi yang kita bincangkan diatas, InsyaaAllah kita akan dapat membuat kemajuan dan menjadi seorang muslim yang produktif.

Ini adalah beberapa peraturan ringkas tapi berkesan untuk kekal dengan perubahan yang ingin kita lakukan:

  1. Bermula dengan sesuatu sangat mudah untuk anda. Ia mesti menjadi begitu mudah sehingga anda tidak boleh mengatakan tidak. Pastikan ia tidak sukar langsung.
  2. Anda perlu meningkatkan pencapaian perubahan tersebut setiap hari, tetapi dengan cara yang sangat kecil.
  3. Walaupun selepas meningkatkan pencapaian perubahan tersebut, pastikan semuanya kekal mudah. Jika perlu, pecahkan kepada bahagian yang lebih kecil dan mudah.
  4. Sentiasa mengingatkan diri kita dengan niat asal dan re-charge semangat kita dengan zikir mengingati Allah.

Apa yang terpenting, mulakan langkah pertama.

doa istiqamah

Akhir sekali adalah kita perlu memohon kekuatan daripada Allah agar segala perubahan ke arah kebaikan yang kita lakukan diberi kekuatan pertolongan.

Semoga hati kita terus diberi kekuatan untuk istiqamah.

YAA MUQALLIBAL QULUUB, TSABBIT QALBII ‘ALAA DIINIKA WA ‘ALAA THOO’ATHIK.

Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu dan di atas ketaatan kepada-Mu.

Semoga memberi manfaat kepada semua.

Sila tinggalkan pandangan anda.

Jika terdapat pandangan atau masalah yang anda hadapi mengenai perkara ini, sila tinggalkan pada ruangan komen di bawah.

Photo of author

Muhamad Naim (Admin)

Penulis utama dan ketua editor. Menubuhkan web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

94 thoughts on “Kenapa Kita Sukar Bertahan dan Istiqamah Untuk Buat Perkara Baik?”

  1. Assalamualaikum. Saya nak bertanye, saya ade kenalan hamba Allah. Dia serba sedikit telah menjentik hati saya untuk dekatkan diri pada Allah SWT. Alhamdulillah saya serba sedikit telah mendekatkan in syaa Allah terus istiqamah mendekatkan diri kepada Allah SWT. Cuma sepanjang perjalanan saya itu, saya sentiasa merase sedih. Hampir setiap hari saya akan menangis, kadang sekejap kadang lama. Seolah-olah ade benda yg tak kene. Dan saya malu, segan, takut kalau ade org lain yg perasan perubahan saya.Apa yg perlu saya buat untuk menghilangkan rasa ni?

    Reply
    • Waalaikumussalam warahmatullah wabarakatuh,

      Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah menjentik hati awak untuk mendekatkan diri kepada-Nya. Ini adalah tanda kasih sayang Allah SWT kepada awak, kerana tidak semua orang diberikan hidayah seperti ini.

      Perasaan sedih yang awak alami adalah sesuatu yang biasa bagi mereka yang sedang melalui fasa perubahan hati dan kehidupan.

      Rasa sedih itu mungkin datang kerana:

      • Kesedaran akan dosa-dosa lalu – Hati yang mula lembut kerana hidayah Allah sering kali menyesali kekhilafan yang lampau. Ini adalah tanda taubat yang ikhlas.
      • Perasaan kerdil di hadapan Allah – Perasaan rendah diri di hadapan Allah adalah salah satu tanda iman. Ia membuat kita sedar betapa bergantungnya kita kepada rahmat-Nya.
      • Cabaran perubahan – Perjalanan mendekatkan diri kepada Allah memang tidak mudah. Ia sering kali melibatkan ujian, termasuk rasa malu atau takut terhadap persepsi orang lain.

      Apa yang boleh awak lakukan:

      1/ Bersangka Baik dengan Allah

      Ingatlah, air mata yang awak titiskan kerana Allah itu adalah berharga di sisi-Nya. Rasulullah SAW bersabda:

      “Tidak akan masuk neraka seseorang yang menangis kerana takut kepada Allah sehingga susu kembali ke putingnya (iaitu mustahil).”
      (Riwayat Tirmidzi)

      Maka, jangan takut dengan tangisan itu. Ia adalah salah satu tanda cinta dan keikhlasan awak kepada Allah SWT.

      2/ Banyakkan Doa dan Zikir

      Ketika hati terasa berat atau sedih, bangkitlah dengan doa kepada Allah. Luahkan segala rasa kepada-Nya. Antara doa yang boleh diamalkan:

      اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الثَّبَاتَ فِي الْأَمْرِ، وَأَسْأَلُكَ عَزِيمَةَ الرُّشْدِ

      “Allahumma inni as-aluka thabat fil amr, wa as-aluka azimata ar-rushd.”
      (Ya Allah, aku memohon kepada-Mu keteguhan dalam urusan agamaku dan azam untuk terus berada di jalan kebenaran.)

      Perbanyakkan zikir seperti La ilaha illallah dan Hasbiyallah wa ni’mal wakil. Zikir ini akan memberi ketenangan kepada hati awak.

      3/ Fokus kepada Hubungan dengan Allah
      Rasa malu atau segan terhadap orang lain adalah fitrah. Namun, ingatlah bahawa perubahan yang awak lakukan adalah demi Allah, bukan untuk pandangan manusia. Jika orang lain perasan, jadikan ia motivasi untuk istiqamah dan bukan alasan untuk berasa rendah diri.

      4/ Carilah Sokongan daripada Orang yang Faham
      Jika awak rasa berat untuk menghadapi perjalanan ini seorang diri, carilah kenalan atau saudara yang boleh memberi sokongan, seseorang yang boleh mendengar dan memahami tanpa menghakimi.

      5/ Bersyukur dan Tetap Istiqamah
      Hargai setiap langkah kecil yang awak ambil. Ingat, Allah SWT lebih melihat usaha dan keikhlasan kita, bukan hasilnya semata-mata. Beristiqamahlah, walaupun hanya dengan amalan kecil, seperti solat sunat, membaca al-Quran, atau berdoa.
       

      Rasa sedih itu adalah tanda hati yang hidup dan peka dengan cinta Allah SWT. Jangan putus asa. Awak sedang berada di jalan yang benar. Perasaan malu dan takut itu akan hilang sedikit demi sedikit apabila awak terus istiqamah dan memperkuat hubungan dengan Allah.

      Semoga Allah SWT memberikan ketenangan kepada hati awak, mempermudahkan perjalanan hijrah awak, dan mengukuhkan iman awak di setiap langkah. Jangan lupa, Dia sentiasa dekat dengan hambaNya yang bersungguh-sungguh mencariNya. 🌸

      Reply
  2. Assalamualaikum..terima kasih keatas artikel ini.. bermaanfaatnya ia kepada saya
    amin amin.. semoga kita semua selalu kiat dan tabah dan semangat kearah istiqamah.. tunai kerana Allah SWT.. amin

    Reply
    • Assalamualaikum! Terima kasih banyak di atas komen Anda.

      Saya gembira mendengar artikel ini memberi manfaat kepada Anda. Semoga kita semua sentiasa diberi kekuatan, ketabahan, dan keazaman untuk istiqamah dalam setiap perjuangan kita, semuanya kerana Allah SWT. 🌼

      Reply
  3. Alhamdulillah, blog ini amat bermakna buat mereka yang tercari-cari akan jawapan mengenai perubahan yang perlu dibuat terhadap dirinya supaya kehidupan yang deredhai dan dirahmati dapat dikecapi.Allahumma solli’ala Muhammad.

    Reply
    • Assalamualaikum,

      Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana artikel ini dapat memberikan sedikit manfaat dan panduan kepada Anda.

      Semoga dengan niat yang tulus dan usaha yang ikhlas, kita semua dapat melakukan perubahan positif dalam diri dan mendapatkan redha dan rahmat dari-Nya. Allahumma solli’ala sayyidina Muhammad.

      Terima kasih kerana meluangkan masa untuk memberikan komen yang bermakna. Semoga Allah sentiasa memberkati kita dengan hidayah dan kefahaman yang mendalam. Amin. 🌸

      Selamat meneruskan perjalanan mencari ilmu dan kebenaran!

      Reply
  4. Terima kasih ustaz dengan penerangan ini. Semoga Allah mengurniakan kita semua istiqomah selamanya Aamiin Ya Rabbal Alaamiin.

    Reply
    • Assalamualaikum,

      Terima kasih di atas kata-kata yang baik dan doa Anda. Saya hanyalah perantara untuk menyampaikan ilmu. Semoga Allah SWT menerima usaha kita dan memberi taufik serta hidayah kepada kita semua. Aamiin Ya Rabbal Alaamiin.

      Semoga selalu dalam lindungan Allah. 🌼

      Reply
  5. Terima kasih kpda ustaz yg berilmu ini. kerana memberi ilmu Kpda yg tidak berilmu menjadi berilmu. #insyaallah

    Reply
    • Assalamualaikum,

      Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT. Terima kasih di atas kata-kata yang baik dan positif. Sebagai seorang penyampaian ilmu, tujuan saya hanyalah untuk berkongsi apa yang saya ketahui dengan harapan dapat membantu orang lain. Semoga Allah SWT sentiasa memberkati kita dengan ilmu yang bermanfaat dan membimbing kita pada jalan yang lurus. insyaallah

      Jangan ragu untuk bertanya jika ada lagi perkara yang ingin Anda ketahui. Semoga ilmu yang diperoleh membawa manfaat dan mendekatkan kita kepada pencipta kita.

      Selamat meneruskan perjalanan mencari ilmu dan mendekatkan diri kepada-Nya! 🌸

      Reply
    • Soalan mengenai sama ada perlu mengikut fikiran sendiri atau tidak memerlukan pertimbangan yang mendalam. Sebelum membuat keputusan, pertimbangkan beberapa aspek berikut:

      1. Adakah tindakan atau keputusan yang ingin Anda ambil selaras dengan niat dan tujuan yang baik? Adakah ia mendatangkan kebaikan dan manfaat kepada diri sendiri dan orang lain?

      2. Adakah Anda mempunyai ilmu dan informasi yang cukup tentang perkara yang sedang Anda pertimbangkan? Kadang-kadang, mendapatkan nasihat atau keterangan tambahan boleh membantu membuat keputusan yang lebih baik.

      3. Tanyakan pada diri sendiri adakah keputusan yang ingin diambil berasaskan emosi semata-mata atau ada pertimbangan logik di sebaliknya? Walaupun emosi memainkan peranan penting dalam kehidupan kita, penting untuk memastikan keputusan tidak diambil semata-mata kerana emosi yang sementara.

      4. Jika Anda seorang Muslim dan berada dalam keraguan, Anda boleh mengerjakan solat istikharah untuk memohon petunjuk dari Allah SWT.

      5. Kadang-kadang, mendapatkan perspektif atau nasihat dari orang lain yang berpengalaman atau yang Anda percayai boleh membantu memberikan pandangan yang lebih luas dan objektif.

      Ingatlah bahawa dalam hidup, tiada keputusan yang 100% sempurna. Yang paling penting adalah kita membuat keputusan dengan niat yang baik, dengan ilmu yang cukup, dan dengan harapan agar keputusan tersebut akan membawa kebaikan.

      Semoga Anda diberikan kejelasan dan petunjuk dalam membuat keputusan.

      Reply
  6. Assalamu’alaikum ustaz.. alhamdulillah… Saya baru belajar…semoga saya istiqomah dan …mcm saya bisa amal dengan istiqomah ?

    Reply
    • Waalaikumsalam,

      Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana memberi Anda keinginan untuk belajar dan keazaman untuk istiqomah dalam amalan.

      Istiqomah, atau konsistensi dalam beramal, memang salah satu cabaran terbesar dalam kehidupan kita sebagai hamba Allah. Berikut adalah beberapa tips untuk membantu Anda istiqomah:

      1. Niat: Pastikan niat Anda jelas dan tulus untuk Allah SWT. Dengan niat yang kuat, insya’Allah, Anda akan mendapati diri Anda lebih mudah untuk istiqomah.

      2. Mulakan Dengan Yang Ringan: Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya amal yang paling dicintai oleh Allah adalah amal yang dilakukan secara istiqomah walaupun sedikit.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

      3. Buat Jadual: Membuat jadual atau rutin harian boleh membantu Anda mengingatkan tentang amalan yang ingin dilakukan.

      4. Bersama Sahabat yang Soleh: Berkawan dengan mereka yang mempunyai semangat yang sama untuk beribadah dan beramal dengan istiqomah. Mereka boleh memberi semangat dan dorongan.

      5. Selalu Muhasabah Diri: Luangkan masa untuk merenung dan menilai diri. Jika ada kelemahan, cari jalan untuk memperbaikinya.

      6. Minta Pertolongan dari Allah: Sentiasa berdoa agar Allah memberi kita kekuatan dan keistiqomahan dalam amalan. Solat Istikharah juga boleh membantu dalam membuat keputusan.

      7. Jangan Putus Asa: Jika Anda tergelincir atau terlalai, jangan berputus asa. Ingatlah bahawa pintu taubat sentiasa terbuka. Bangkit semula dan teruskan usaha Anda.

      Semoga dengan usaha dan doa, Anda akan mendapat keistiqomahan dalam amalan Anda. Ingatlah, setiap langkah kecil yang kita ambil dengan ikhlas, insya’Allah, akan mendapat ganjaran dari-Nya.

      Semoga Allah SWT memudahkan perjalanan Anda. Aamiin. 🌸

      Reply

Leave a Comment