Kenapa begitu sukar untuk membentuk tabiat yang baik?
Mengapa sangat susah untuk kekal istiqamah dalam membuat perubahan?
Bagaimana anda boleh meneruskan niat baik anda untuk melakukan perubahan walaupun nampak seperti tiada hasil?
Persoalan-persoalan ini sering menganggu kita.
Kita ingin menjadi lebih baik dari sebelumnya, tetapi niat murni kita itu selalu tersekat.
Kita selalu gagal tanpa punca.
Anda dan saya.
Kenapa Kita Selalu Gagal Untuk Berubah ke Arah Perkara Baik?
Kita semua mempunyai harapan dan impian.
Setidak-tidaknya, kebanyakan orang mempunyai kemahuan yang sama.
Contohnya adalah seperti kita mahu badan kita nampak menarik dan sihat, mahu menghafaz al-Quran, mahu menulis buku, mahu lebih dihormati oleh keluarga dan rakan.
Secara keseluruhan, ini adalah perkara-perkara yang baik.
Cantik sebenarnya bila kita mempunyai matlamat dan mengetahui apa yang kita mahu. Ia memberikan kita arah dan tujuan.
Bagaimana pun, kadangkala harapan dan impian itu sendiri yang akan mensabotaj kita daripada menjadi lebih baik.
Bagaimana? keinginan.
Keinginan atau nafsu akan mengumpan kita untuk ‘menggigit lebih besar daripada apa yang kita mampu kunyah.‘
Anda akan faham apa yang saya maksudkan:
- Anda berazam untuk mengingat semua surah dalam al-Quran. Anda menghafal berterusan sepanjang hari pada hujung minggu. Selepas pergi kerja pada hari isnin, anda langsung tidak kembali menghafal selepas itu.
- Anda terinspirasi dengan kisah travel kawan-kawan yang menjelajah negara lain, maka anda pun mula menulis plan rancangan untuk travel ke seluruh dunia. Pada akhirnya anda hanya ‘lemas’ dalam semua butiran perancangan dan berakhir dengan duduk dirumah sahaja.
- Anda termotivasi dengan rancangan The Biggest Loser. Anda pergi ke gim, buat latihan all-out sehingga otot anda cedera dan mengambil tempoh tiga bulan untuk pulih.
Apa yang selalu terjadi, kita membiarkan motivasi dan kemahuan yang sedang membuak itu mendorong kita menjadi kalut untuk menyelesaikan keseluruhan masalah atau keinginan dengan sekali hadap sahaja..
… berbanding bermula dengan langkah kecil sebagai suatu rutin harian.
Saya tahu. Perkara ini bosan.
— impian yang ingin kita capai adalah sangat berbeza dengan tindakan yang akan membawa kita ke sana.
Tidak ramai orang yang mampu terus membuat perubahan besar sekali gus.
Tidak ramai orang mampu istiqamah.
Oleh itu bagaimana untuk kita kekal istiqamah dan konsisten dalam membuat perubahan?
Saya gembira anda bertanya.
Mari saya jelaskan.
Kita Harus Tetapkan Impian Yang Besar, Tetapi Mesti Mulakan Dengan Langkah yang Kecil..
Apabila kita benar-benar ingin berubah untuk perkara lebih baik, kita harus bermula dengan langkah yang kecil.
Cuba bayangkan tabiat-tabiat ini:
- Anda memberus gigi.
- Anda memakai tali pinggang keledar.
- Anda menggigit kuku.
Kelakuan ini cukup kecil sehinggakan kita langsung tak terfikirkannya. Kita melakukannya secara automatik.
Mereka adalah kelakuan-kelakuan kecil yang membentuk tabiat kita secara berterusan.
Jadi masuk akal atau tidak, jika saya katakan cara terbaik untuk memulakan sesuatu adalah dengan membuat perubahan kecil terlebih dahulu.
Yang mana otak kita boleh cepat belajar dan mengulangi secara automatik.
Lama-kelamaan, kita akan top-up kemajuan kita sehingga mencapai apa yang kita inginkan, tanpa rasa lelah dan sukar.

Analogi pendekatan ini sama seperti belajar berenang:
Bila kita terus terjun ke air yang dalam sebaik sahaja kita mendapatkan ransangan motivasi, kita hanya akan gagal, dan lemas dengan cepat.
Kita memerlukan lebih banyak rangsangan motivasi apabila tabiat baru kita semakin ‘lemas’.
Tetapi, bila kita mulai berenang di air yang cetek terlebih dahulu, pasti perlahan-lahan akan kita akan pergi ke air yang lebih dalam.
Sehingga sampai ke titik di mana kita boleh berenang sendiri sama ada bermotivasi atau tidak.
Kita sudah selesa dengan perubahan-perubahan yang berlaku pada diri kita. Ia sudah bersemadi dengan tubuh kita. Ia sudah menjadi kepercayaan kita.
Nampak?
Beri Tumpuan Kepada Gaya Hidup, Bukan Kepada Perubahan Hidup
Sering kali kita taksub dengan membuat perubahan yang mengubah hidup.
Tetapi untuk mencapai sesuatu yang mengubah hidup, anda terlebih dahulu harus menukar gaya hidup.
Cuba wujudkan tabiat-tabiat kecil terlebih dahulu.
- Mengingat 30 juz al-Quran adalah satu perubahan hidup, menghafaz 10 ayat baru setiap hari adalah gaya hidup yang baru.
- Menerbitkan sebuah buku adalah satu perubahan hidup, menulis 5 muka surat setiap hari adalah gaya hidup yang baru.
- Bangun Solat Tahajjud setiap malam adalah perubahan hidup, pastikan solat fardhu tepat pada waktu setiap masa adalah gaya hidup yang baru.
- Menurunkan berat badan 20kg adalah satu perubahan hidup, minum 8 gelas air masak setiap hari adalah gaya adalah hidup yang baru.
- Ingin menjadi muslimah yang sebenar-benar soleh adalah perubahan hidup, menjaga pemakaian (aurat) dan tutur kata adalah gaya hidup yang baru.
Nampak perbezaannya?
Mempunyai matlamat hidup adalah perlu kerana ia menunjukkan arah hidup, tetapi kadangkala ia juga ‘menipu kita’ dengan menyasarkan apa yang tak mampu dikendalikan.
Langkah kecil – rutin harian kecil yang diulangi secara berterusan – inilah yang akan membuatkan apa yang kita hendak capai menjadi realiti.
Saya tahu ini kelihatan hampir tiada makna pada mulanya.
Tetapi tabiat kecil sebenarnya boleh memberikan kemajuan yang luar biasa dengan cepat.
Daripada Aisyah r.a., Nabi s.a.w. bersabda:
Wahai manusia lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Amalan yang paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.”
— Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Istiqamah — walaupun adakalanya amalan tersebut nampak kecil, tetapi kebaikan yang dilaksanakan secara istiqamah itu akan memberikan impak tabiat yang baik kepada pelakunya secara berterusan.
Nampak?
Islam itu agama yang mudah sebenarnya.
Penutup: Tips Untuk Kekal Istiqamah
Bertahan dalam perubahan yang baik sememangnya sukar.
Ini sudah tentu kerana pada asasnya jiwa manusia selalu dibayangi oleh hawa nafsu.
Sebenarnya ada 2 elemen yang menyukarkan kita untuk istiqamah bertahan dengan perubahan baik, iaitu nafsu (syaitan) dan Mazmumah, iaitu kelemahan diri kita sendiri.
Namun jangan bimbang, dengan strategi yang kita bincangkan diatas, InsyaaAllah kita akan dapat membuat kemajuan dan menjadi seorang muslim yang produktif.
Ini adalah beberapa peraturan ringkas tapi berkesan untuk kekal dengan perubahan yang ingin kita lakukan:
- Bermula dengan sesuatu sangat mudah untuk anda. Ia mesti menjadi begitu mudah sehingga anda tidak boleh mengatakan tidak. Pastikan ia tidak sukar langsung.
- Anda perlu meningkatkan pencapaian perubahan tersebut setiap hari, tetapi dengan cara yang sangat kecil.
- Walaupun selepas meningkatkan pencapaian perubahan tersebut, pastikan semuanya kekal mudah. Jika perlu, pecahkan kepada bahagian yang lebih kecil dan mudah.
- Sentiasa mengingatkan diri kita dengan niat asal dan re-charge semangat kita dengan zikir mengingati Allah.
Apa yang terpenting, mulakan langkah pertama.
Akhir sekali adalah kita perlu memohon kekuatan daripada Allah agar segala perubahan ke arah kebaikan yang kita lakukan diberi kekuatan pertolongan.
Semoga hati kita terus diberi kekuatan untuk istiqamah.
YAA MUQALLIBAL QULUUB, TSABBIT QALBII ‘ALAA DIINIKA WA ‘ALAA THOO’ATHIK.
Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu dan di atas ketaatan kepada-Mu.
Semoga memberi manfaat kepada semua.
Sila tinggalkan pandangan anda.
Jika terdapat pandangan atau masalah yang anda hadapi mengenai perkara ini, sila tinggalkan pada ruangan komen di bawah.


Assalamualaikum. Saya nak bertanye, saya ade kenalan hamba Allah. Dia serba sedikit telah menjentik hati saya untuk dekatkan diri pada Allah SWT. Alhamdulillah saya serba sedikit telah mendekatkan in syaa Allah terus istiqamah mendekatkan diri kepada Allah SWT. Cuma sepanjang perjalanan saya itu, saya sentiasa merase sedih. Hampir setiap hari saya akan menangis, kadang sekejap kadang lama. Seolah-olah ade benda yg tak kene. Dan saya malu, segan, takut kalau ade org lain yg perasan perubahan saya.Apa yg perlu saya buat untuk menghilangkan rasa ni?
Waalaikumussalam warahmatullah wabarakatuh,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah menjentik hati awak untuk mendekatkan diri kepada-Nya. Ini adalah tanda kasih sayang Allah SWT kepada awak, kerana tidak semua orang diberikan hidayah seperti ini.
Perasaan sedih yang awak alami adalah sesuatu yang biasa bagi mereka yang sedang melalui fasa perubahan hati dan kehidupan.
Rasa sedih itu mungkin datang kerana:
Apa yang boleh awak lakukan:
1/ Bersangka Baik dengan Allah
Ingatlah, air mata yang awak titiskan kerana Allah itu adalah berharga di sisi-Nya. Rasulullah SAW bersabda:
“Tidak akan masuk neraka seseorang yang menangis kerana takut kepada Allah sehingga susu kembali ke putingnya (iaitu mustahil).”
(Riwayat Tirmidzi)
Maka, jangan takut dengan tangisan itu. Ia adalah salah satu tanda cinta dan keikhlasan awak kepada Allah SWT.
2/ Banyakkan Doa dan Zikir
Ketika hati terasa berat atau sedih, bangkitlah dengan doa kepada Allah. Luahkan segala rasa kepada-Nya. Antara doa yang boleh diamalkan:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الثَّبَاتَ فِي الْأَمْرِ، وَأَسْأَلُكَ عَزِيمَةَ الرُّشْدِ
“Allahumma inni as-aluka thabat fil amr, wa as-aluka azimata ar-rushd.”
(Ya Allah, aku memohon kepada-Mu keteguhan dalam urusan agamaku dan azam untuk terus berada di jalan kebenaran.)
Perbanyakkan zikir seperti La ilaha illallah dan Hasbiyallah wa ni’mal wakil. Zikir ini akan memberi ketenangan kepada hati awak.
3/ Fokus kepada Hubungan dengan Allah
Rasa malu atau segan terhadap orang lain adalah fitrah. Namun, ingatlah bahawa perubahan yang awak lakukan adalah demi Allah, bukan untuk pandangan manusia. Jika orang lain perasan, jadikan ia motivasi untuk istiqamah dan bukan alasan untuk berasa rendah diri.
4/ Carilah Sokongan daripada Orang yang Faham
Jika awak rasa berat untuk menghadapi perjalanan ini seorang diri, carilah kenalan atau saudara yang boleh memberi sokongan, seseorang yang boleh mendengar dan memahami tanpa menghakimi.
5/ Bersyukur dan Tetap Istiqamah
Hargai setiap langkah kecil yang awak ambil. Ingat, Allah SWT lebih melihat usaha dan keikhlasan kita, bukan hasilnya semata-mata. Beristiqamahlah, walaupun hanya dengan amalan kecil, seperti solat sunat, membaca al-Quran, atau berdoa.
—
Rasa sedih itu adalah tanda hati yang hidup dan peka dengan cinta Allah SWT. Jangan putus asa. Awak sedang berada di jalan yang benar. Perasaan malu dan takut itu akan hilang sedikit demi sedikit apabila awak terus istiqamah dan memperkuat hubungan dengan Allah.
Semoga Allah SWT memberikan ketenangan kepada hati awak, mempermudahkan perjalanan hijrah awak, dan mengukuhkan iman awak di setiap langkah. Jangan lupa, Dia sentiasa dekat dengan hambaNya yang bersungguh-sungguh mencariNya. 🌸
Assalamualaikum..terima kasih keatas artikel ini.. bermaanfaatnya ia kepada saya
amin amin.. semoga kita semua selalu kiat dan tabah dan semangat kearah istiqamah.. tunai kerana Allah SWT.. amin
Assalamualaikum! Terima kasih banyak di atas komen Anda.
Saya gembira mendengar artikel ini memberi manfaat kepada Anda. Semoga kita semua sentiasa diberi kekuatan, ketabahan, dan keazaman untuk istiqamah dalam setiap perjuangan kita, semuanya kerana Allah SWT. 🌼