Bagaimana Tabiat Kita Terbentuk Secara Neurologi?

tabiat
Tabiat terbentuk dengan Istiqamah | cauliflower head by myraincheck

Bagaimana Tabiat Kita Terbentuk?

Pernahkah kamu terfikir bagaimana pemikiran serta tabiat seseorang terbentuk?

Masih ingat lagi apabila kamu cuba untuk melakukan sesuatu azam yang baru seperti ingin berjoging setiap minggu, mahu membaca lebih banyak buku serta berazam mahu mengulang kaji pelajaran setiap hari?

Termasuk juga dengan keinginan untuk melakukan solat tahajud setiap malam. Jadi pernah terfikir mengapa ianya seperti sukar untuk kamu melakukannya dan sering akhirnya tergendala?

Jawapannya.. jaringan neuron yang terbentuk dalam otak kamu berkenaan perkara tersebut masih belum kukuh.

Dan melalui artikel ini kamu akan mengetahui dengan jelas apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan jawapan itu sekaligus memberi semangat untuk kamu melakukan perubahan dengan adanya pengetahuan baru ini.

Artikel ini juga akan menerangkan mengenai teori 21 hari yang sering kita dengar sebagai satu tempoh untuk sesuatu perbuatan itu bertukar menjadi tabiat. Sebelum itu mari kita melihat keadaan otak kamu dengan lebih dekat lagi.

 

Sel Otak Yang Kompleks!

Di dalam otak kamu secara kasarnya terdapat lebih kurang 100 billion sel otak atau dikenali dengan nama neuron yang digelar neurosaintis sebagai “functional information processing unit” bagi otak kamu.

Ini bermaksud segala proses yang berlaku dalam otak kamu akan melibatkannya. Neuron tidak bertindak sendirian sebaliknya ia akan membentuk neural network atau jaringan neuron bersama-sama dengan neuron yang lain.

Neural network ini juga disebut sebagai neural connection atau neural circuit. Jadi apakah fungsi neural network atau jaringan neuron ini?

Semuanya.

Segala bentuk aktiviti yang berlaku dalam otak kamu ada jaringan neuron yang tersendiri termasuk proses kamu berjalan, mendengar, melihat, bercakap, tidak terkecuali apabila kamu berfikir serta tabiat kamu juga.

Jadi ini bermaksud setiap tabiat yang kamu lakukan ada jaringan neuronnya masing-masing.

 

Mari Kita Terus Melihat Contoh Secara Praktikal.

Aqilah berhasrat untuk mula berjaga malam bagi mengerjakan solat sunat.

Keesokkannya dia bangun pada pukul 5 pagi, kemudian melakukan solat sunat tersebut. Pada waktu ini secara neurologinya boleh dikatakan telah mula terbentuk satu jaringan neuron yang baru berkaitan perbuatan tersebut.

Kemudian kawannya Siti, juga berhasrat untuk mengikutinya. Selang beberapa hari mereka bersama- sama melakukan qiam. Tetapi semakin lama Siti semakin jarang untuk bangun malam. Jika kebiasaannya 3 kali seminggu kini tinggal sekali seminggu.

Dan akhirnya Siti mula kembali kepada tabiat asalnya dan tidak lagi bangun pada malam hari kerana dirasakan sukar.

Aqilah pula sebaliknya, masih mengekalkan amalannya malah dia merasakan semakin mudah pula untuk berjaga malam. Mengapa ini berlaku?

Jawapannya seperti yang disebutkan pada awal artikel ini, jaringan neuron yang terbentuk dalam otak Siti berkenaan tabiat tersebut telah menjadi semakin kukuh disebabkan Aqilah secara konsistennya mengulangi amalan tersebut berulang-ulang kali.

Semakin kerap Siti bangun pada malam hari semakin kukuh jaringan neuron yang terbentuk, dan semakin kukuh jaringan tersebut, semakin mudah untuk Siti bangun pada malam hari.

 

Pentingnya Untuk Istiqamah!

Inilah keistimewaan otak yang digelar saintis sebagai neuroplasticity.

Kebolehan otak kamu untuk menyesuaikan diri dengan mengubah struktur jaringan neuronnya berpandukan tingkah laku kamu serta keadaan semasa.

Semakin kerap kamu melakukan sesuatu perkara, lebih mudah untuk kamu melakukannya lagi disebabkan jaringan neuron yang terlibat kini semakin kukuh.

Jika kamu semakin jarang mengulangi sesuatu tabiat pula, jaringan neuron yang melibatkan tabiat tersebut akan semakin lemah lalu akhirnya terlerai seperti mana yang berlaku kepada Siti.

Dan inilah hikmahnya mengapa kita dituntut untuk melakukan sesuatu amalan secara istiqamah kerana secara neurologinya semakin konsisten kita melakukan amalan tersebut semakin terasa senang untuk kita melakukannya semula disebabkan jaringan neuron atau neural network yang terbentuk kini semakin kukuh.

Begitulah secara ringkas bagaimana terbentuknya tabiat kamu secara neurologi.

Jadi persoalan keduanya adakah benar kamu perlu mengulangi sesuatu perbuatan selama 21 hari berturut-turut untuk menjadikannya satu tabiat yang baru?

Jawapannya, mungkin ya dan mungkin juga tidak.

Sebelum itu mari kita lihat terlebih dahulu dari mana datangnya teori 21 hari ini.

 

Teori 21 Hari

Ianya datang dari sebuah buku pada tahun 1960 yang bertajuk Psychocybernetics, hasil karangan Dr Maxwell Maltz, seorang doktor bedah.

Dia mendapati, pesakitnya yang telah dipotong tangan atau kaki disebabkan penyakit, mengambil masa lebih kurang 21 hari bagi mental pesakit tersebut untuk menerima keadaan fizikal mereka yang telah berubah.

Namun para pengkaji mendapati, 21 hari yang dimaksudkan tersebut hanya merujuk kepada perubahan imej diri yang berlaku bukan kepada perubahan tabiat seseorang.

Jadi berapa tempoh yang diperlukan untuk menjadikan sesuatu tabiat?

Bergantung.

Tempoh yang diperlukan untuk menjadikan sesuatu perbuatan sebagai tabiat bergantung kepada individu berkenaan dan berbeza setiap daripada kita.

Ada individu yang kelihatannya mengambil masa 18 hari untuk membina tabiat baru berdasarkan eksperimen yang dijalankan namun ada juga individu yang mengambil masa sehingga 66 hari.

Jadi kesimpulannya kuatkan semangat kamu untuk melakukan perubahan tanpa perlu mengira bilangan hari yang kamu perlu tempuhi.

Jumlah hari yang diperlukan adalah berbentuk subjektif. Perlu diingat ianya tidak semestinya perlu berturut-turut setiap hari, apa yang penting ianya perlu istiqamah serta pastikan ianya berterusan.

Semakin konsisten kamu melakukan sesuatu perkara, semakin meningkat peratusan kamu untuk menjadikannya sebagai satu tabiat yang baru.

Video podcast di bawah memberi penerangan dengan lebih jelas lagi serta kamu dapat melihat sendiri bagaimana terbentuknya neural network atau jaringan neuron ini.

Ditambah juga dengan bagaimana untuk mengaplikasikan pengetahuan ini bagi memulihkan ketagihan serta tabiat buruk yang mungkin kamu miliki.

YouTube video

Artikel ini adalah perkongsian daripada Amirul Bin Ramli, Certified Master Practitioner Neuro Linguistic Programming, [ blog / FB ] ke inbox kami. Semoga apa ilmu yang ingin disampaikan memberikan manfaat kepada kita semua, InsyaAllah =)

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

7 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
naddya
naddya
8 tahun yang lalu

salam,
video tu xboleh nak play pun.
:(

naty
naty
10 tahun yang lalu

insyaallah..boleh amalkan..
bila baca artikel ni, rasa semangat nak buat amalan2 ke jalan Allah..supaya ianya berlarutan dan kita istiqamah dalam melakukannya..insyaallah

Zufar
Zufar
10 tahun yang lalu

bagus entri ni..mcm tu otak rupanya….sedar2 tak sedar aku baca smpai habis…hehe

KehalusanKelembutan
KehalusanKelembutan
10 tahun yang lalu

Nice sharing.. memang sebenarnya ia menjadi diri lebih bersemngt disamping pesanan ayahanda yg semakin utuh.

Moga Allah redha.
keep it up. TQ.

raudzah
raudzah
10 tahun yang lalu

Nice entry amirul..sebenarnya ini konsep istiqamahkan..kalau kita buat secara berterusan pasti akan jadi senang..then determination kena very strong..sometimes ada orang works well under pressure…

cik amal
cik amal
10 tahun yang lalu

sangat suka entry ni… dr muhaya pun pernah kata yg pasal 21 hari tu