Assalamualaikum. Bismillah. Assolatuwassalam ala Rasulillah.
Alhamdulillah dalam dunia yang semakin berputar ligat dan kehidupan yang semakin rumit setiap hari, sempat kita saling bertukar salam dan mendoakan kesejahteraan diantara satu sama lain.
Diharap awak sentiasa sihat sejahtera dan diberkati-Nya.
Kehadapan awak yang sentiasa dalam doa saya,
Kita berkenalan kerana ada sesuatu yang menggerakkan kita ; Tuhan dan takdir.
Kita berkenalan kerana dalam hati ada sesuatu yang bercambah ; ukhwah.
Kita berkenalan kerana berkongsi satu persamaan ; minat kita terhadap tulisan-tulisan lewat alam maya.
Alhamdulillah bersyukur saya kerana kita ditemukan dan bersahabat.
Kerana nikmat yang paling berharga sesudah iman dan kesihatan adalah memiliki sahabat yang soleh/solehah.
Saya harap persahabatan ini berkekalan, walau saya sedar tiada apa yang kekal di dunia ini melainkan Allah.
Awak, ada banyak perkara yang saya ingin tanya, yang saya ingin tahu, yang saya ingin dengar dari awak berkenaan tulisan-tulisan berkenaan kekecewaan dan kesedihan yang selalu awak paparkan.
Maaf bukan niat saya untuk menyibuk tetapi saya terlalu ingin tahu kenapa tulisan-tulisan itu yang awak pilih untuk dipaparkan.
Adakah Awak Dihantui Masa Silam Yang Memedihkan?
Ceritakan pada saya awak, saya ingin jadi pendengar awak yang setia, walau saya tahu pendengar yang paling setia bagi setiap manusia adalah Tuhan.
Saya ingin berkongsi kepedihan awak.
Adakah kesedihan itu adalah kerana awak tidak mendapat bahagia yang awak impikan?
Kerana manusia, saya juga tidak terkecuali, sememangnya akan bersedih, kecewa dan terluka dalam proses mencari kebahagiaan.
Awak Nak Dengar Cerita Berkenaan Bahagia?
Tapi sebelum tu izinkan saya bertanya apa erti bahagia bagi awak?
- Adakah ia sejenis peluang dan nasib baik dalam kehidupan?
- Adakah ia adalah rasa kepuasan dalam jiwa kerana berjaya memiliki apa yang diingini?
- Adakah ia boleh diertikan dengan keadaan gembira yang dirasai diri?
Jujurnya saya juga tidak mengetahui apa sebenarnya erti bahagia.
Kerana terlalu banyak perbezaan pendapat berkenaan bahagia diantara seseorang dan seseorang yang lain.
Dan benarkan saya berkongsi apa yang saya rasa tentang bahagia.
Saya faham awak, kebahagian itu mungkin adalah ketika kita mengenali seseorang, menjadi teman seseorang, dan memesrai seseorang membuatkan kita berusaha untuk mengejar kebahagiaan yang kita impikan bersama dia.
Namun saya tertanya-tanya, adakah bahagia itu tidak tetap kedudukannya dan sentiasa berubah bentuk hingga perlu dikejar?
Rupanya jawapan itu ada pada diri sendiri.
Bahagia itu ada dalam hati.
Kita cuma perlu mengubah sedikit sudut pandang maka bahagia itu akan terpantul dari dalam diri.
Awak, kekecewaan dan kesedihan akibat keinginan untuk mencapai bahagia yang tidak kesampaian yang kita inginkan itu bukanlah atas hukuman Allah atau kesilapan kita sendiri.
Semua itu sebenarnya adalah ujian buat kita dan manusia yang ingin merasai makna kebahagiaan sebenar di dunia ini.
Kerana kebahagiaan itu bukanlah kepuasan fizikal mahupun kepuasan jiwa, bukan juga pengalaman indah yang diciptakan minda, dan kebahagiaan itu juga bukanlah bagaimana sesuatu perasaan yang bermula itu berahkir seperti apa yang kita inginkan.
Kebahagiaan hanyalah dapat dikecapi apabila kita kembali kepada fitrah.
Kebahagiaan itu bukan berakhir dengan kepuasan diri sendiri tetapi harus berakhir dengan tujuan utama penciptaan manusia di muka bumi ini; iaitu kembali kepada Allah.
Dan manusia punya banyak cara untuk meraih bahagia namun pilihan terbaik adalah melakukan penyerahan kepada Allah. Kerana dengan kembali kepada Allah, kita akan mengenali diri sendiri dan tujuan utama kenapa kita diciptakan.
Bahagia itu tafsirlah dalam erti apa sekalipun, ia akan menemui satu titik yang sama iaitu bahagia itu adalah apabila kita redha kepada apa jua yang Allah beri dan Allah kembali meredhai kita.
Maka janganlah terlalu berduka tentang terlepasnya bahagia pada masa lalu, awak. Kerana Allah sebenarnya sedang menilai awak untuk memerhatikan apa usaha yang awak akan lakukan untuk mencapai redha-Nya.
Awak juga selalu mengatakan betapa berdosanya awak pada masa lalu.
Dan sebenarnya dalam jiwa saya, sentiasa ada perasaan mendesak untuk bertanya kenapa awak menggelar diri awak begitu.
Namun bila difikirkan itu urusan rahsia awak bersama Allah, maka saya menahan diri.
Cuma saya hendak katakan, dalam dunia ini sentiasa ada ruang untuk manusia kembali diterima dan memperbetulkan diri.
Adam dan Hawa yang melakukan dosa diberi peluang bertaubat dan akhirnya diterima semula oleh Allah.
Awak sangat beruntung sebenarnya, Allah menyedarkan awak tentang dosa awak dan dengan itu awak kembali berusaha untuk mentaati-Nya.
Mintalah Keampunan dan Hidayah Dari-Nya
Juga, saya tahu awak takut dengan masa depan.
Takut akan sesuatu yang tak pasti.
Dan lebih-lebih lagi lewat dari tulisan-tulisan awak, awak takut untuk terputus hubungan dengan orang yang awak sayangi.
Itu normal kerana kita adalah manusia biasa.
Tapi ketahuilah dengan mengingati Allah jiwa akan kembali tenang.
Maka marilah kita membaiki iman dan amal, kerana dengan imanlah kita tidak akan takut terhadap sesuatu yang tak pasti.
Dengan imanlah kita akan diberi kekuatan dan ketabahan untuk menempuh masa hadapan.
Awak, lupakanlah kesedihan masa lalu
Kerana hidup bukan untuk mengenang masa silam sebaliknya untuk mencipta masa hadapan yang baik.
Saya sayangkan awak, dan ketahuilah sedikit demi sedikit hati saya menangis apabila melihat atau membaca tulisan awak yang mengandungi kesedihan.
Bahagia itu datang dengan keredhaan dan ketaqwaan pada Ilahi. Moga kita sentiasa dijagakan hati agar tidak berpaling dari-Nya dan moga kita diredhai. InshaAllah.
Yang menyayangi awak,
saya.
Artikel ini tulisan Mohd Syukri Ali atau SederhanaIndah. Tulisan ini berpandukan buku syed naquib al-attas. Moga ada manfaat untuk mereka yang membaca
Tinggalkan Komen Anda..
Sape sape yng nk ngan aku silakn lh
Tq, peringatan yg sangat bermakna.
aman dunia kalau ada manusia macam anda
Alhamdulillah.. benar sekali bicara yang terungkap dalam surat ni.. bait kata-kata yang diungkapkan seolah2 merakam kembali sesi muhasabah diri yang saya lalui beberapa bulan yaang lalu lewat kekecewaan dan kesedihan yang menghimpit diri.. Alhamdulillah saat ini saya sedang melalui episod baru dalam pengembaraan kehidupan..yang mana saya yakin sekali fasa kegembiraan ini bila2 masa sahaja akan bertukar menjadi fasa kesedihan..kerana hidup ibarat roda..ujian nikmat dan derita akan silih berganti selagi kita berada di atas dunia…apa yang penting adakah nilai syukur kita kepada Pencipta berjaya dipersembahkan dalam hati, kata2 dan perbuatan..semuanya merupakan amal ibadah yang akan menjadi saham untuk kita di dunia dan lebih2 lagi untuk dituai di akhirat kelak.. apa sahaja yg datang dalam hidup kita sama ada nikmat kesenangan mahupun ujian kesempitan…semuanya harus ditangani secara bijaksana…dan disyukuri sebaiknya.. semoga Allah sentiasa memandu kita dalam melalui tarbiyahNya setiap hari,jam, dan detik kehidupan…aamiinn..
Ya betol saya pun same
alhamdulillah…dpt sedikit ketenangan apbila mmbc page ni…
Untuknya…. surat yang tidak dikirim…
Ya Allah, di saat hati ini tidak tenteram mencari jawapan, terbaca surat yang merungkai segalanya. Alhamdulillah. Ku faham kini. Syukur..
Hanya mampu menyembunyikan perasaan. malu untuk meluahkan pada si dia. Hati ini bahagia bila bersamanya. selalu menasihatiku akan kehidupan duniawi yang penuh dengan pancaroba dan cubaan.
terima kasih untuk.. surat yang tak pernah dikirim..
ada jawapan untuk saya didalamnya…
syukur..
terima kasih kita telah dipertemukan, maka terjawab la semua persoalan bermain di minda dan persoalan dalam karya tulisan. syukur