Memahami Khiyar Dalam Jual Beli (Hak Membatalkan Jual Beli)

khiyar dalam jual beli

Apakah hukum khiyar dalam jual beli?

Artikel ini akan mengulas secara lengkap berkaitan topik khiyar dalam jual beli

Panduan ini disediakan secara ringkas agar memudahkan kita semua memahami khiyar dalam transaksi jual beli.

Tanpa membuang masa, mari kita mulakan..

Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Khiyar?

Khiyar bermaksud memilih sama ada meneruskan transaksi yang sudah sah dan termeterai, atau merungkaikannya kembali sebagaimana sebelum berlakunya jual beli.

 

Bolehkah Dirungkaikan Semula Kontrak Yang Sudah Dipersetujui?

Secara asalnya, apabila berlakunya jual beli yang cukup syarat syarat dan rukun-rukunnya, kontrak tersebut menjadi sah dan terlaksana.

Pada waktu itu, berlakulah pemindahan pemilikan barang daripada penjual kepada pembeli, dan pembayaran daripada pembeli kepada penjual.

Walaupun begitu, syariat Islam masih memberikan ruang untuk pihak yang berkontrak kerana terdapat kemungkinan sesuatu kontrak itu dilakukan secara gopoh tanpa membuat penelitian mendalam.

Justeru, pihak yang berkontrak masih berhak untuk memulangkan barang-barang dengan memenuhi beberapa syarat.

Perkara ini dibahaskan oleh ulama di bawah tajuk al-khiyar.

 

Apakah Syarat-Syarat Khiyar?

Secara khususnya, pensyariatan khiyar ini terbit daripada dalil as-Sunnah.

Sebagai contoh, Rasulullah bersabda, “Jual beli itu berserta khiyar selama mana kedua-duanya belum berpisah (Riwayat Al-Bukhari)

Imam Malik meriwayatkan, “Adalah Ibnu Umar r.a. apabila membeli sesuatu dan dia menyukainya, dia pisahkan dirinya daripada tuan punya barang (penjual).”

Berdasarkan nas ini, para ulama khususnya ulama mazhab Syafi’i mengatakan hadis ini menunjukkan pensyariatan khiyar al-majlis.

  1. Khiyar al-majlis bermaksud kedua-dua pihak yang berkontrak, walaupun kontrak sudah termeterai dan sah, masih mempunyai hak untuk kembali merungkaikan kontrak tersebut selama mana mereka belum meninggalkan majlis kontrak itu. Sekiranya salah seorang daripada mereka meninggalkan majlis tersebut, maka hilanglah kelayakan untuk merungkai kembali kontrak daripada kedua-dua pihak.
  2. Khiyar asy-syarat pula ialah jenis khiyar yang kedua berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari. Hibban bin Munqiz ra. mengadu kepada Rasulullah bahawasanya dia telah ditipu dalam jual beli. Lantas Rasulullah bersabda, “Sekiranya kamu berjual beli, katakan, Tiada tipu daya, dan untukku khiyar selama tiga hari” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Dalil ini jelas menunjukkan pensyariatan khiyar (pilihan untuk merungkai kontrak).

Atas dasar itu, khiyar asy-syarat mengandungi beberapa syarat:

  1. Khiyar hanya untuk tempoh masa tertentu. Hadis menyatakan tempoh selama tiga hari. Tempoh tersebut memadai bagi pembeli melihat kecacatan yang mungkin wujud pada barang yang dibeli. Bahkan, tempoh yang lama menyukarkan penjual kerana masih tidak pasti untuk menggunakan bayaran tersebut kerana ditakuti pembeli memulangkan barang-barang.
  2. Tempoh tersebut hendaklah bersambungan dengan kontrak iaitu tidak terpisah dari waktu berkontrak. Justeru, tidak sah khiyar sekiranya dimulakan setelah selesai berjual beli, atau setelah satu tempoh tertentu.

 

Adakah Khiyar Terdapat Dalam Setiap Transaksi dan Tidak Luput?

Tidak begitu.

Khiyar boleh luput oleh sebab-sebab berikut:

  1. Tamat tempoh tiga hari bagi khiyar asy-syarat, atau berpisah antara dua pihak yang berkontrak dalam khiyar al-majlis
  2. Pihak yang memegang hak khiyar melepaskan hak khiyar dengan berkata: “Aku teruskan kontrak (tanpa khiyar) atau aku pilih berjual beli.”
  3. Khiyar juga luput apabila pihak yang memiliki khiyar menggunakan barang yang dibeli itu kerana penggunaan melambangkan pembeli telah tekad meneruskan kontrak tersebut.

Pada keadaan tersebut, kontrak jual beli itu adalah sah dan menjadi mandatori tanpa ada hak oleh pihak pembeli untuk memulangkannya.

 

Bagaimana pula jual beli cara moden seperti telefon, Internet atau SMS?

Inilah perlunya kita memahami konsep khiyar al-majlis dan khiyar asy-syarat.

Konsep berada dalam majlis, bermaksud kita berada dalam majlis kontrak secara berterusan.

Oleh itu, jual beli atas talian dikira berada dalam majlis selama mana talian tersebut tidak terputus

Setelah terputus talian, maka majlis kontrak telah sempurna dan pihak yang memiliki khiyar sudah tidak mempunyai hak memulangkan di bawah khiyar al-majlis.

 

TIDAK MENSYARATKAN CACAT

Adakah khiyar al-majlis dan khiyar asy-syarat ini berkait dengan barangan jualan yang rosak atau cacat?

Khiyar al-majlis dan khiyar as-syarat tidak terikat atau tidak mensyaratkan wujudnya kecacatan pada barang jualan apabila merungkai kontrak tersebut.

Kedua-dua khiyar ini memberi ruang kepada kedua-dua pihak memikirkan semula keputusan mereka untuk berkontrak kerana ditakuti mereka gopoh, atau terpengaruh dengan dakwaan tertentu.

 

Khiyar Barangan Rosak

Sekiranya barangan yang dibeli cacat atau rosak, bolehkah menggunakan khiyar?

Ya Khiyar tersebut dinamakan khiyar al-‘aib.

Ini berdasarkan larangan Rasulullah supaya menjauhi penipuan ketika berjual beli.

Larangan itu bermaksud, pembeli mempunyai hak untuk memulangkan barang-barang tersebut sekiranya disedari terdapat kecacatan walaupun sudah meninggalkan majlis dan melebihi tempoh tiga hari.

Keharusan ini dibenarkan dengan syarat kecacatan tersebut adalah kecacatan lama.

Bahkan ulama menolak syarat jual beli yang menolak khiyar, sebaliknya ulama menganggap syarat menolak khiyar tersebut (iaitu adalah syarat sia-sia dan perlu dibuang) dan jual beli tetap mempunyai khiyar kepada pihak yang layak.

 

BOLEHKAH PENIAGA MENOLAK KHIYAR?

Secara umumnya penjual diharuskan mensyaratkan tidak boleh dipulangkan semula barang-barang jualan.

Namun ia masih tertakluk kepada beberapa situasi:

 

1. KHIYAR AR-RUKYAH

Saya pernah mendengar tentang khiyar ar-rukyah. Apakah pula maksud khiyar ar-rukyah?

Selain tiga jenis khiyar yang telah dijelaskan, terdapat satu lagi khiyar iaitu khiyar ar-rukyah.

Khiyar ar-rukyah ialah hak pembeli untuk meneruskan akad atau merungkaikan kembali (membatalkan akad melalui fasakh) apabila melihat keadaan sebenar barang jualan.

Contohnya, pembeli mendapati saiz sebenarnya barang adalah kecil lantas berasa tertipu dan ingin membatalkan urus niaga tersebut.

 

SADARAN NAS

Apakah dalil pensyariatan khiyar ar-rukyah ini?

Pensyariatan khiyar ar-rukyah adalah berdasarkan hadis, “Sesiapa yang membeli sesuatu dan dia tidak melihatnya, maka dia mempunyai khiyar jika telah melihatnya.” (Hadis mursal riwayatnya dhaif)

Walaupun begitu, la diamalkan oleh Sahabat Nabi

berdasarkan riwayat al-Baihaqi dan ath-Thahawi, laitu Usman bin Affan ra menjual tanahnya di Bashrah kepada Thalhah bin Ubaidillah r.a.

Maka dia berkata kepada Usman, “Engkau memperdayakanku,” lalu Thalhah berkata, “Untukku khiyar kerana aku membeli sesuatu yang aku tidak lihat.”

Kadi atau hakim ketika itu iaitu Jubair bin Matham menghukumkan khiyar ke atas Thathah.

Tidak ada riwayat yang menunjukkan para sahabat yang lain menolak penghakiman kadi itu.

Justeru, pihak pemerintah seharusnya menjadikan satu peraturan yang wajib bagi urus niaga online supaya memberikan hak memulangkan barang kepada pelanggan sekiranya barang jualan tersebut berlainan daripada tanggapan sebenar pelanggan.

 

2. TIDAK BOLEH KHIYAR

Bolehkah penjual mensyaratkan tiadanya khiyar (hak memulangkan barang yang telah dibeli)?

Secara umumnya, penjual diharuskan mensyaratkan tidak boleh dipulangkan barang-barang jualannya yang telah dibeli oleh pembeli.

Namun masih tertakluk kepada beberapa situasi:

  1. Pembeli dan penjual dalam jual beli biasa, iaitu pembeli telah melihat barang jualan yang mahu dibeli. Sekiranya penjual mensyaratkan tiada khiyar (iaitu tidak boleh dipulangkan kembali), maka ternafilah khiyar majlis.
  2. Pembeli tiada lagi hak untuk memulangkan semula barang. Namun jika ada kecacatan, pembeli masih mempunyai hak untuk memulangkannya semula di bawah khiyar kecatatan (khiyar al-aib).

Pengguna mungkin perlu membuat tuntutan melalui mahkamah atau tribunal tuntutan pengguna sekiranya penjual ingkar memenuhi tuntutan pengguna.

Dari sudut syarak, sekiranya berlaku aib atau kecacatan, penjualmasih perlu bertanggungjawab berdasarkan hadis-hadis yang saya bentangkan sebelum ini.

 

3. BELI BARANG CONTOH

Bagaimana pula jika pembeli membeli barang sampel seperti perabut, dan penjual mensyaratkan tidak bola dipulangkan semula?

Jual beli sebegini kedudukannya adalah sama seperti kes di atas.

Pembeli tidak mempunyai hak memulangkannya berdasarkan hadis, “Orang-orang Islam berpegang kepada syarat-syarat mereka.” (Riwayat Baihaqi)

Perabut sampel dan perabut yang dihantar secara lazimnya adalah bersaiz dan berbentuk dengan bentuk dan saiz yang sama.

Namun mereka masih mempunyai hak untuk tidak menerima barang yang dihantar, atau untuk menuntut ganti rugi atas sebarang kecacatan di bawah khiyar al-‘aib.

Atau menukarkan kepada barang baru sekiranya kecacatan tersebut berkait dengan struktur utama sesuatu barang.

Pembeli masih perlu menggunakan proses mahkamah atau tribunal tuntutan pengguna sekiranya penjual ingkar terhadap tanggungjawab ini.

 

4. BELI DARIPADA KATALOG

Bagaimana pula jika pembeli membeli barang yang tidak dapat dilihat secara fizikal, sebaliknya hanya melihat melalui gambar atau skrin komputer?

Sekiranya barang yang dijual merupakan barang-barang yang biasa kedapatan di pasaran (diketahui saiz dan bentuknya), maka kedudukannya adalah sama seperti kes yang telah kita bincangkan sebelum ini.

Namun, sekiranya barang yang dijual sukar dilihat oleh umum di pasaran, pembeli masih mempunyai hak memulangkannya di bawah khiyar melihat barang (khiyar rukyah) walaupun penjual mensyaratkan tidak boleh dipulangkan semula

Pada situasi ini, jika penjual ingkar, kebiasaannya mahkamah atau tribunal yang perlu memutuskannya bagi mengelak pembeli daripada membuat dakwaan yang tidak berasas dan membebankan penjual.

Bagi memastikan kesahihan kontrak, pengguna perlu mengetahui kesahihan kewujudan pihak yang berkontrak tersebut.

 

5. BELI RUMAH ATAU KENDERAAAN

Bagaimana pula khiyar dalam pembelian kereta dan rumah yang ada pada hari ini?

Secara khususnya, pembelian kereta termasuk dalam pembelian yang disyaratkan oleh penjual untuk tidak boleh dipulangkan semula. Syarat tersebut diharuskan sebagaimana yang telah kita bincangkan.

Sebagai pengguna, kita sebenarnya tidak mempunyai masalah khiyar ketika pembelian kereta, kerana pengguna masih mempunyai hak tidak menerima penghantaran kereta sekiranya

kereta itu mempunyai kecacatan. Pembeli sepatutnya melakukan pemeriksaan rapi sebelum menandatangani kertas penerimaan barangan.

Sekiranya terdapat kecacatan, pengguna masih berhak mendapatkan ganti rugi sebagaimana yang diperuntukkan dalam “Warranty” yang diberi kepada pelanggan, dan ini diharuskan syarak.

Demikian juga ketika pembelian rumah, pengguna masih berhak mendapatkan ganti rugi atau jaminan pembaikan terhadap rumah yang tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan dan perkara ini diharuskan oleh syarak.

 

Rujukan & Penutup

Artikel ini adalah petikan daripada buku Q&A Muamalat, Dr. Asmadi Mohamed Naim, Pensyarah Pusat Pengajian Perniagaan Islam, UUM.

Di zaman ini, urusan jual beli sangat mudah berlaku hatta dihujung jari sekali pun.

Oleh itu penting bagi kita mengetahui hak-hak kita sebagai pembeli dan penjual.

Dengan ilmu, kita semua akan dapat mengelakkan diri daripada perangkap riba, perjudian, gharar dan kezaliman ketika bertransaksi.

Semoga artikel ini memberi manfaat kepada semua.

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments