Apakah Tanda Pasangan Suami Atau Isteri Curang? Apa Yang Perlu Dilakukan?

Suami isteri curangBagaimana kita boleh tahu suami atau isteri kita curang?

  • Bagaimana tanda curang tersebut?
  • Apakah yang perlu dilakukan jika terbukti curang?

Langit tidak selalunya cerah.

Begitulah alam perkahwinan yang adakalanya diuji dengan pelbagai masalah – antaranya isu kecurangan.

Walaupun masyarakat mencemuh dan kebanyakkan agama melarang perilaku ini, namun ia sering berlaku dan menjadi punca keretakan rumah tangga.

Jika anda salah seorang daripada mereka yang mengalami masalah ini:

Artikel ini akan cuba membantu anda menyelesaikan masalah pasangan suami atau isteri curang dengan sebaik yang mungkin.

 

Apakah Tanda-Tanda Jika Suami atau Isteri Berlaku Curang?

Kecurangan selalunya berlaku dalam rahsia.

Banyak pasangan diluar sana tidak tahu atau terlepas pandang akan kecurangan suami atau isterinya.

Ini disebabkan oleh kecekapan mereka menyimpan rahsia, serta sikap yang innocence seolah-olah mengambarkan tiada apa yang sedang mereka lakukan.

Bagi yang dicurangi, jangan salahkan diri anda sekiranya tidak menyedari walaupun it happens right under your nose

Memang kita akan rasa bodoh dan perbodohkan.

Kita akan kesal kerana tidak menyedari tanda-tanda kecurangan pasangan kita sudah berbulan-bulan atau bertahun-tahun lamanya.

Di sini saya kongsikan beberapa tanda seseorang itu telah melakukan kecurangan berdasarkan kajian daripada kes-kes mahkamah:


1. Tahap Privasi Telefon Yang Tidak Masuk Akal

Orang yang curang biasanya akan membuat dan menjawab panggilan telefon secara berbisik atau berahsia.

Bermesej tidak kira masa. Berchatting pada lewat malam ketika semua sedang lena.

Handphone sentiasa dibawa bersama walaupun ke mana sahaja sehingga ke bilik air.

Malah telefon tersebut diletakkan password yang sukar diakses. Mungkin juga kerap menyatakan silap nombor apabila ditanya siapa.

Bahkan bil telefon juga turut dirahsiakan.


2. Tabiat Diri Yang Berbeza Dari Biasa

Sebagai pasangan anda adalah insan yang paling rapat dan lebih mengenali suami atau isteri.

Namun, kadang-kala kita pasti tertanya-tanya mengapa ada sesetengah masa kelakuan mereka berbeza daripada biasa.

Mereka mula memberi tumpuan kepada penampilan diri; mengubah gaya rambut, haruman minyak wangi yang bertukar ganti dan sebagainya.

Kalau ini memang sudah kebiasaanya atau tuntutan semasa – maka tiada apa yang perlu diragui.

Tetapi sekiranya muncul tanpa sebab musabab maka perlulah berhati-hati.


3. Sumber Kewangan Yang Susut

Sikap cermat berbelanja tiada lagi, wang simpanan keluarga diambil sesuka hati, banyak berhabis memenuhi keinginan diri bukan keperluan keluarga.

Bila tidak cukup duit disalahkan anak dan pasangan.

Muncul bil kad kredit atau resit-resit untuk barangan yang tidak dapat dikesan bahkan tiada kaitan dengan keluarga, pejabat mahupun sesiapa yang dikenali.


4. Jadual Peribadi Yang Sangat Padat

Terlalu banyak masa diluar rumah berbanding bersama keluarga.

Sering di pejabat sehingga lewat malam, sering outstation dan travel secara diam-diam.

Pasangan curang juga sering melebihkan “kawan” daripada pasangan di hujung minggu dan cuti am. Kadang-kadang tidak dapat dihubungi atau dikesan.

Malah mudah melenting apabila dipersoalkan jadual harian.

Mereka sering memberi banyak alasan atau cerita-cerita yang tidak konsisten.


5. Interaksi Yang Semakin Kurang

Sikap yang tidak dapat diramal, moody dalam banyak hal, mahu bersendirian dan tidak boleh disentuh walhai ianya halal.

Mudah bertengkar bila berbual dan keluar rumah tanpa sebarang kata.


6. Keinginan Seks dan Kasih Sayang Yang Berkurang

Dua kemungkinan yang boleh berlaku:

  • Keinginan seks menjadi tinggi bahkan lebih ghairah.
  • Atau mengelak untuk bersama tanpa alasan munasabah.

Kerap tidur berasingan di bilik sebelah, bahasa dan isyarat cinta (pelukan dan ciuman) yang semakin berkurang serta ayat cinta seperti ‘i love u’ semakin sukar diungkapkan.


7. Hubungan Dengan Anak-Anak Yang Semakin Renggang

Sebahagian daripada mereka yang curang dilihat jarang meluangkan masa dan kurang memberi perhatian terhadap anak-anak dan pasangan.

Banyak peranan mula dilepaskan kepada pasangan:

Cepat marah bila anak tidak ikut arahan, permintaan anak sering diketepikan, perkembangan dan pembelajaran anak tidak diikuti.

Dan apabila gagal, maka akan disalahkan pasangan.

Namun bila berjaya tiada penghargaan yang akan diberikan.


8. Kurang Melibatkan Pasangan Dalam Kehidupan Peribadi

Selalunya orang yang curang kurang minat untuk melibatkan pasangan dalam kehidupan sosialnya.

Permintaan pasangan untuk mengikut ke majlis keraian ditolak.

Hasrat pasangan untuk bersua dengan kenalan pejabat dan jiran tetangga turut ditegah.

Dia lebih suka keluar bersama kawan-kawan dan mengelak untuk keluar berdua dengan pasangan sahaja.


 

Sabar Dahulu, Jangan Terus Membuat Tuduhan

isteri curang

Antara tanda lain yang memungkinkan pasangan anda curang apabila instinct atau gerak hati anda menyuarakannya..

.. lebih-lebih lagi jika anda tidak pernah merasa sangsi, curiga dan cemburu dengannya sebelum ini.

Namun, timbul persoalan apabila ingin memberitahu pasangan apa yang dirasa tidak kena dengan dirinya atau perlukah bertanyakan seperti ini:

Awak ada perempuan lain ke? Awak curang belakang saya ke?

Dinasihatkan agar tidak terus menuduh pasangan anda curang hanya dengan meneliti tanda-tanda yang dinyatakan diatas.

Kita juga perlukan bukti yang sahih.

Tuduhan liar sebegitu boleh memporak-perandakan rumahtangga dan menghuru-harakan keadaan.

Sebaliknya, mintalah pendapat atau pandangan dari mereka yang arif dalam isu sebegini.

Jangan menghabiskan sepanjang hayat anda hanya dengan mencari petunjuk atau tanda-tanda kecurangan pada pasangan anda.

Sebaliknya mohonlah perlindungan dan bantuan daripada Allah.

Percayalah semua bentuk penipuan atau pengkhianatan yang dilakukan pasangan akan terbongkar jua akhirnya dengan petunjuk dan izinNya.

 

Bagaimana Berhadapan Dengan Pasangan Apabila Timbul Kesangsian?

Bersemuka dengan pasangan bukan bermakna kita menyerang pasangan.

Menyerang lebih kepada serangan peribadi yang menyakitkan seperti tuduhan, kritikan, hentaman serta penderaan mental, emosi mahupun fizikal.

Sebaliknya konsep bersemuka dengan pasangan adalah persetujuan untuk mendapatkan penjelasan terhadap sesuatu isu.

Beberapa perkara yang mungkin berlaku sekiranya isteri yang dicurangi berkonfrontasi dengan suami yang curang.

Antara respons atau maklum balas daripada pasangan boleh datang dalam pelbagai bentuk iaitu:

  • Penerangan
  • Pengakuan
  • Penafian
  • Pembelaan diri

Tidak dinafikan semua perasaan akan mula bercampur-baur bila mengesyaki pasangan berlaku curang di belakang.

Perlu atau tidak berdepan dengan pasangan bagi merungkai segala persoalan yang bermain di fikiran adalah terpulang kepada anda.

Dinasihatkan agar anda menilai beberapa perkara di bawah ini sebelum melakukannya:


1. Buat Persediaan Yang Sewajarnya

Pilih masa dan tempat yang sesuai dan jauh dari gangguan.

Pastikan anda betul-betul tenang dan bersedia untuk berdepan dengan pasangan.

Elakkan confront disaat anda sedang marah kerana keberkesanan perbincangan bergantung pada apa yang anda fikirkan dan bagaimana anda melaluinya.

Maklumkan pada pasangan apa tujuan dan harapan anda dari perbincangan tersebut.


2. Elakkan Perkara Ini

Elakkan confront melalui telefon mahupun mesej.

Maklumkan pada pasangan apa yang anda telah tahu, dengar dan nampak tentang kecurangannya.

Mohon penjelasan sebaiknya jika terdapat percanggahan maklumat yang ditemui.

Luahkan perasaan anda yang terasa dikhianati, sedih, kecewa, takut, terhina andai tiada ketelusan dan kejujuran dalam kata-kata pasangan anda.

Elakkan memerangkap pasangan anda dengan penipuan hanya untuk mendapatkan kebenaran seperti mengada-mengadakan cerita atau bahan bukti yang tidak wujud kerana ia boleh mengeruhkan keadaan.

Bijaklah dalam menanyakan soalan.

Saya dengar awak kerap keluar berdua dengan staf awak, boleh jelaskan pada saya?

adalah lebih baik daripda terus menyerang dengan soalan seperti:

Awak curang dengan saya ke? Siapa dia orang tu?

 

Perlukah Bersemuka Dengan Pihak Ketiga?

Perlukah kita bersemuka dengan orang yang cuba merosakkan rumah tangga kita?

Lazimnya, kemarahan yang datang tatkala mengetahui pasangan ada hubungan sulit membuatkan anda terasa benar ingin bersemuka atau menyerang orang ketiga tersebut dan memberitahu pasangannya (jika orang ketiga itu sudah berkahwin) tentang kecurangan yang berlaku.

Mungkin ia boleh memberi kepuasan — tetapi cuma seketika.

Anda tidak dapat apa-apa dengan cara ini melainkan hanya lebih terluka dan sakit hati.

Bagi sesetengah individu yang dicurangi apa yang dilakukan itu adalah sebagai dendam.

Bagi yang lain pula, mereka percaya apabila keluarga, suami atau isteri orang ketiga itu tahu, maka akan tamatlah skandalnya.

Apa yang diharap daripada tindakannya itu adalah orang ketiga akan merasakan derita seperti yang dirasainya.

Mungkin betul dia akan terasa sakit malah orang di sekelilingnya, anak-anak dan ahli keluarga turut terasa sakitnya.

Biarpun begitu, kesakitan anda tidak akan terhenti di situ malah masalah tidak akan selesai jika dimaklumkan pada pasangan orang ketiga itu.

Oleh itu, jika anda bercadang untuk memberitahu pada pasangan orang ketiga itu, fikirlah berkali-kali.

Ramai wanita atau isteri yang dicurangi menyesal setelah bertindak memaklumkan kecurangan yang berlaku pada pasangan orang ketiga.

Ini kerana mereka akan dimarahi oleh suami yang sedang angau bercinta.

Malah lebih sakit apabila suami menyebelahi dan membela kekasih gelapnya dari isteri sendiri.

Ini adalah pahit untuk ditelan. Rasa lebih sakit dikhianati.

Andai masih berhajat dan berhasrat ingin menemuinya atau bercakap dengannya sama ada melalui telefon atau whatsapp, dua persoalan yang harus kita timbulkan:

  • Apa niat dan tujuan untuk berjumpa?
  • Bagaimana keadaan emosi diri sebelum, semasa dan selepas bersemuka?

Buatlah senarai semak baik dan buruk bagi memperjelaskan kesan setiap tindakan yang ingin dilaksanakan.

Andai kedua-dua jawapannya adalah negatif, maka elakkan dari meneruskan rancangan tersebut.

Namun jika sebaliknya, maka berundinglah secara bijaksana dan penuh terhormat.

Walaupun niat anda baik untuk mempertahankan rumahtangga tetapi jika tidak kena dengan caranya seumpanya menyerang, bergaduh, maki hamun dan sebagainya, maka natijah akan lari dari landasan sebenar.

Ingatlah bahawa matlamat tidak menghalalkan cara.

Bila niat dan cara baik pendekatannya, natijahnya akan turut baik.

Berikan tumpuan dan fokus pada apa yang penting sekarang.

Satu percubaan yang dilihat dapat membantu ialah dengan duduk dan bercakap dengan pasangan anda yang curang dalam keadaan tenang.

Ini akan membuatkan pasangan anda rasa selamat untuk menjawab.

Anda perlu tahu niatnya terhadap hubungan itu.

Orang ketiga tidak mempunyai jawapan kepada soalan ini.

Hanya dengan bercakap dengan pasangan anda akan tahu erti hubungan itu padanya dan bagaimana anda boleh membina semula kehidupan.

 

Jika Suami Telah Terlanjur Sehingga Berzina, Bolehkah Saya Meminta Cerai?

bercerai

Apa yang berlaku menjadikan saya tawar hati untuk meneruskan ikatan perkahwinan ini.

Adakah wajar saya menuntut cerai atas sebab ini?

Puan boleh menuntut cerai atas sebab yang dinyatakan itu.

Walau bagaimanapun, sebelum menuntut cerai kerana sebab di atas, sewajarnya pihak isteri mengambil kira beberapa perkara berikut terlebih dahulu.


1. Bukti dan maklumat yang diterima itu perlu dinilai terlebih dahulu sama ada sahih atau tidak.

Jika maklumat datang daripada orang lain, maka perlu diteliti kewibawaan pemberi maklumat itu dan perlu juga disiasat sama ada benar atau tidak.

Jika bukti itu diperoleh dari gambar, video atau rekod komunikasi melalui telefon bimbit dan seumpamanya, perlu diselidiki juga sama ada tulen atau rekaan.

Juga perlu diambil kira kemungkinan maklumat itu adakah hanya berbentuk gurauan atau permainan.

Prinsip menyiasat maklumat yang diterima ini berasaskan ayat al-Quran:

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.

Surah Al-Hujuurat ayat 6


2. Jika maklumat itu benar sekali pun, perlu juga dinilai kemungkinan suami telah bertaubat dan meninggalkan terus perbuatan terkutuk itu.

Taubat suami ini boleh dilihat melalui beberapa petanda seperti dia melaksanakan amal ibadahnya yang fardhu dengan cukup, melakukan amalan-amalan sunat, bersedekah, membaca al-Quran dan meninggalkan tabiat-tabiat buruk.


3. Jika pasti suami terlibat dalam dosa besar itu dan dia masih tidak bertaubat dengan taubat nasuha, menjadi peranan isteri untuk menegur, menasihati dan menghalang kemungkaran itu mengikut kemampuan.

Jika perlu, bolehlah mendapatkan bantuan daripada rakan, ibu bapa, guru atau orang-orang yang lebih berpengalaman untuk menasihatinya.

Nasihat dan perbincangan mungkin boleh mencetuskan kesedaran dan membuka jalan penyelesaian kepada masalah yang timbul.


4. Jika segala ikhtiar tidak mendatangkan hasil, maka sewajarnya isteri menimbangkan kembali ikatan perkahwinan yang wujud itu.

Pertimbangan ini perlu dibuat kerana beberapa sebab, termasuklah:

  • Keterlibatan dalam dosa besar secara berterusan akan menjejaskan peranan seorang suami yang sepatutnya memimpin dan membimbing keluarga menuju kebahagiaan dan takwa
  • Zina boleh mendedahkan isteri kepada penyakit seperti AIDS dan seumpamanya
  • Akhlak seorang bapa boleh mempengaruhi tingkah laku anak-anak. Oleh itu, faktor pendidikan anak juga perlu dipertimbangkan.
  • Rumah tangga yang berkat dan sakinah adalah rumah tangga yang bersih daripada dosa-dosa besar. Hakikat kebahagiaan emosi dan rohani berkait rapat dengan ikatan manusia dengan Allah Yang Maha Pengasih.

Apa yang penting, pertimbangan mestilah dibuat berasaskan kepada iman, maklumat yang jelas dan pertimbangan yang waras.

Bukan bersandarkan kepada emosi dan perasaan.

 

Dayuskah Jika Tidak Menceraikan Isteri Curang?

dayus

Apakah maksud sebenar dayus?

Ramai ulama’ membincangkan berkenaan dayus melalui pengkajian, penelitian dan pemahaman yang khusus terhadap hadis-hadis Nabi SAW yang berkaitan.

Ringkas untuk difahami, dayus merupakan satu gelaran penghinaan khusus buat lelaki yang sanggup membiarkan isteri, anak perempuan dan ahli keluarganya melakukan kemungkaran seperti berzina, mendedahkan aurat, bergaul bebas dan berbagai keadaan lagi..

… tanpa ada sebarang perasaan untuk mengubahnya.

Sabda Rasulullah:

Tiga yang tidak akan memasuki syurga sampai bila-bila iaitu si dayus, si wanita yang menyerupai lelaki dan orang yang ketagih arak.’ lalu sahabat berkata: ‘wahai Rasulullah, kami telah faham erti orang yang ketagih arak, tetapi apakah itu dayus?’ Baginda berkata: ‘Iaitu orang yang tidak mempedulikan siapa yang masuk bertemu dengan ahlinya (isteri dan anak-anaknya)’

— Hadis riwayat At-Tabrani

Imam az-Zahabi dalam kitabnya Al-Kabair turut menerangkan perihal dayus:

Dayus adalah sesiapa yang menyangka (atau mendapat tanda) bahawa isterinya melakukan perkara keji (seperti zina) maka ia mengabaikannya kerana cintanya kepada isteri, maka tiada kebaikan untuknya dan tanda tiada kecemburuan (yang diperlukan oleh Islam) dalam dirinya.

Dayus hanya akan sabit ke atas lelaki bila mana mengetahui isteri atau anak perempuannya melakukan kemungkaran secara terbuka namun hanya membiarkannya.

Jika ia berlaku secara sulit, maka tiadalah tanggungjawab ke atas lelaki dan tidaklah dia disabit dayus.

Maknanya, jika isteri berlaku curang dibelakang, sedang suami tidak mengetahuinya sehinggalah dimaklumi kepadanya tanpa disertakan bukti untuk mengesahkannya itu tidak dinamakan dayus.

Begitu juga setelah suami mendapat tahu kecurangan isterinya dan dia telah mengakui dan kemudian telah bertaubat nasuha, lantas si suami memaafkan dan menerimanya kembali juga tidak digelar dayus sebaliknya punyai hati yang tulus.

Melainkan jika suami mengetahui isterinya berlaku curang dan berterusan melakukan kemungkaran sedang suami tidak cemburu bahkan tiada usaha melarang.

Maka ini sememangnya layak dikatakan dayus.

Soal perlu cerai atau tidak, suami perlu pertimbangkannya dengan bijak.

Jangan buat keputusan terburu-buru mengikut hawa nafsu, sebaiknya berfikir dahulu.

Fahami setiap hukum penceraian; wajib, haram, sunat, harus dan makruh.

Wajar diceraikan isteri yang terus-menerus bersikap nusyuz sehingga menjadikan suaminya dayus.

Dimana isteri semakin rancak dengan maksiat sehingga apa yang ditegur, dilarang mahupun dinasihati langsung tidak dipandang.

Apatah lagi mahu bertaubat sebaliknya mencabar hukum Tuhan.

Jika penceraian juga dipilih, lakukan dengan cara terbaik melalui proses yang betul agar redha Allah dapat diraih.

 

Penutup: Berhikmah Dalam Menyelesaian Ujian Rumah Tangga

Hidup ini memang ada pasang surutnya.

Tidak semua perkara boleh diselesaikan dengan mudah, terutamanya perkara yang melibatkan kepercayaan.

Ujian yang menimpa suami isteri apabila pasangannya terlibat dengan perkara sumbang merupakan ujian yang besar.

Islam memberikan beberapa jalan keluar bagi merungkaikan kekusutan ini berdasarkan prinsip-prinsip syariah yang adil dan penuh rahmat.

Semoga tulisan ini mampu membantu anda menyelesaikan masalah sedikit sebanyak.


Anda boleh meninggalkan komen pada bahagian bawah jika mempunyai sebarang persoalan.

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

45 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
Aisy
Aisy
2 tahun yang lalu

Assalamualaikum Perampas suami orang tanpa rasa bersalah hingga sanggup menggunakan Hot Fm Poligami Sedunia 2012 hingga sanggup suruh Suami cerai kan saya sampai Talak 3.
Apa yang terjadi saya tak tahu langsung yang yang suami macam itu sebab saya terlalu percaya pada dia.sebab saya pernah mimpi yang suami saya ada perempuan lain. Tapi saya yang disalahkan. Hingga sekarang masih bersama perempuan itu sampai suami kata kita tak sehaluan dia hanya kesian saja.

Allahuakbar

Zulkifli
Zulkifli
2 tahun yang lalu

Assalamuallaikom, saya nak minta bantuan T_T, …sebenarnya isteri saya ada mesej dengan lelaki lain dan saya pon dah melarang dia banyak kali sudah hampir sebulan dia mesej dengan lelaki lain, apabila nak tido malam telefon mesej pasang (mod Kapal Terbang) siap pasang kunci lagi telefon… Dan number telefon saya dia block habis cuma boleh mesej dekat instagram jaa….. Baru baru nie pon saya dah bincang dengan isteri saya dalam instagram supaya jangan chat lelaki lain kira boleh berhari hari saya pesan kepada nya jangan mesej lelaki lain, tapi dia abaikan saya terus jugak mesej lelaki lain….kerja umah pon tidak amek peduli & kain baju saya pon tak basuh sudah semua saya buat sendiri, kadang² pinggan mangkuk semua saya yg buat, ….smpai sekarang dia masih mesej lelaki lain,….saya sudah tak boleh tahan T_T rasa sakit gila hati nie, sebab saya terlalu sayangkan isteri saya……. Apa yg saya cakap dia tak amek peduli langsung… Dia nak keluar makan malam saya tak izin kan dia keluar jugak dgn balik tengah malam T_T….. Saya sudah tak boleh tahan ? disuruh solat pon tak nak…. Kira apa yg saya cakap mmg dia tak amek dengar terus,….. Apa patut saya buat ? nak cerai kan dia takut nanti nak naik mahkamah ,kawan² cerita mahkamah semua berat belah perempuan T_T tapi kes saya nie apa patut saya buat….. Saya sudah tak tahan, dalam rumah nie saya nie seperti tidak wujud,… Patut kah saya naik mahkamah bantu please. ?

Mas
Mas
3 tahun yang lalu

Salam, apakah tindakan yg perlu dilakukan. Jika mempunyai suami yg suka ada skandal. Saya sudah mendirikan rumah tgga 8 tahun, mempunyai 3 org anak,. Suami asyik tukar pasangan, bila kantoi, akan tukar pasangan baru pulak. Saya bosan hidup dgn manusia x setia, dh bercinta ,habis nafkah anak2 isteri diabaikan..sudah dinasihati akan elok skeejap tetapi kembali kepada asal. Tidak serik

Ahmad
Ahmad
3 tahun yang lalu

Saya macam sedang mengalami perkara ni. Kami da berkahwin selama 10tahun tidak ada anak. Sejak kebelakangan ni, isteri saya seeing keluar malam. Walaupun tak berahsia dia beritau saya dia keluar dgn seorang lelaki/teman atas tujuan business discussion. Isteri saya bukan jenis yg curang, malah dia tekun kje bantu saya maklumlah sama2 bekerja demi hidup dan masadepan. Dia juga seorang yg setia sampailah baru2 ni selalu keluar petang balik hingga 10-11mlm. Dia benarkan saya track phone dia supaya saya tau dimana dia berada. Phone password pon dia tak tukar kerana phone password kami sama aje. Saya pon tak tau mcm mana, Dia memang selalu ke rumah teman lelaki itu. Saya tak tau la samada betul business discussion atau hanya berbual2.. saya tak nak syak prasangka, tapi jauh dlm hati rasa mcm keliru.. isteri saya jenis tak suka dipaksa kalau disuruh buat sesuatu.. dlm perkara mcm ni, Kalau saya paksa dan tanya dia akan rasa dipaksa utk berterus terang dgn saya. Saya mmg sedang bercadang utk tetap bertanya tapi dgn cara baik. Sedih, keliru, kecewa pon ada lumrah hati, Kalau pun dia menang curang, saya redha, cuma perlu kan penjelasan. Saya redha dan tak takut kalau terpaksa berpisah Kalau dia benar2 curang walaupun dia tak berterus terang.. yg saya takut saya jadi dayus dan memdapat dosa percuma atas perbuatannya. Bagi saya, perkara yg benar2 susah ialah membuat dia berterus terang.. dianya kalau rasa terlalu dipaksa dia akan ckp ‘Kalau tak percaya, kite cerai aje..’

Lavenda
Lavenda
3 tahun yang lalu

Adakah masih boleh diberi ruang dan kemaaffan atau didikkan dan bimbingan bgi org yg telah curang pada pasangannya sebelom nikah ? Dan akhirnya dia juga akui salah itu .. hina sehina manusia hina lagi perbuatan itu

Nadhirah
Nadhirah
4 tahun yang lalu

Suami saya pernah curang selama setahun lebih tanpa pengetahuan saya. Dan dia telah berzina selama wktu itu juga. Ank dh 2 org. Dia hampir nk berkahwin dgn kekasih dia tetapi trhalang krn kekasih dia adalah tunangan orang dan tidak mendapat restu ibu bapa. Sekarang suami bertaubat dan mahu kembali kepada saya. Tetapi hati saya telah tawar terhadapnya. Sedih, kecewa, sakit hati kerana ditipu dan saya susah nak lupa peristiwa hitam ini. Sewaktu dia curang dulu memang perangai dia banyak berubah. Sekarang saya ‘terpaksa’ menerimanya kembali demi anak2 yg masih kecil dan masih memerlukan perhatian dari seorang bapa.

Ju
Ju
Reply to  Nadhirah
4 tahun yang lalu

hidup awak tenang tak selepas awak terima dia kembali. Boleh awak share tips camna cara nak hidup bahagia tanpa kenang perkara lepas suami pernah curang. Walau bertahun saya masih tak mampu lupakan apa yg berlaku.

Mal
Mal
4 tahun yang lalu

Isteri saya telah curang dengan saya. Apakah yg harus saya lakukan? Dia menceritakan kepada saya semasa pertama kali buat, dia rasa bersalah. Tapi tetap buat tiga empat kali lepas tu. Atas alasan nak balas jasa lelaki tersebut sebab selalu tolong pinjamkan duit. Saya mengaku gaji saya tak seberapa. & saya selalu pinjam duit gaji isteri sampai kadang2 tak mampu nk bayar balik. Smpai laa bulan 2 hari tu kantoi iMessage dengan saya. Sekarang sudah sebulan lebih, setiap hari saya fikir hal ini. Mulut saya cakap saya maafkan, tapi hati saya tak dapat maafkan. Kadang2 bila bersama dgn isteri saya terfikir isteri saya bekas org. Apa yg harus saya lakukan? Kami baru berkahwin 3tahun, anak sudah nak masuk dua tahun. Kami bercinta selama 7 tahun. Apakah yg harus saya lakukan kepada isteri saya dengan lelaki tersebut?

Din senawang
Din senawang
4 tahun yang lalu

Assalamualaikum
Isteri Saya pernah curang Dan kecurangan iitu terbongkar akhirnya kami berbincang Dan isteri sy mengatakan kecurangan disebabkan oleh sy tiada kebahagian selamat perkahwinan
Sy menerima penghinaan dari isteri sy
Sy dengar dengan baik
Sekarang kami masih bersama
Kecurangan telah berlaku 2 tahun lepas
Cuma masalah nya sekarang sy terhimpit dgn kata2 isteri sy penghinaan nya terhadap sy walaupun setelah 2 tahun berlaku tapi Luka masih terasa walaupun sy sudah memaafkan isteri sy
Cinta yg sy berikan sudah tiada cuma tinggal sayang sbb anak2
Bantu sy sbb tertekan jiwa ni Tak tahu nak cakap macam mn

Rizal azman
Rizal azman
Reply to  Din senawang
4 tahun yang lalu

Memang sakit bro..sy juga pernah mgalami nasib yg sama n smpi skarang masih sy bertahan sbb ank2.demi melihat kbhagiaan utk ank2 tp dlm hati yg dah hancur xde sape yg dpt faham…wlu pedih di dlm..tp di luar masih mampu tenang n tersenyum dpn ank2.

Aisy
Aisy
Reply to  Din senawang
2 tahun yang lalu

Semoga tabah awak demi anak2. Tapi saya juga macam awak hidup demi anak2 banyak kan Zikrullah

Sang pendusta
Sang pendusta
4 tahun yang lalu

Assalamualaikum para saudara seislam semua ,
Saya ingin bertanya pendapat sebagai seorang suami , apakah yang wajar dilakukan sekiranya sang isteri berlaku curang dan mengakuinya malah berkata “at least dia tidak menipu” adakah saya dikira dayus jika saya melarangnya namun dia enggan untuk memberi kerjasama.Pertanyaan saya adakah saya sebagai suami haruskah saya menceraikan isteri yang tergamak berbuat demikian , info tambahan ; hubungan intim sudah tiada rasa nikmat , selalu bersama telefonnyaa siang dan malam sehingga anak terabai , lebih memandang telefon daripada suami sendiri , di hadapan keluarga lain di dalam bilik lain , bebas bergaul di tempat kerjanya..

Tolong saya sudah berkali kali saya menasihatinya agar memikirkan hubungan perkahwinan ini dan jugak anak yang masih lagi belum mummayiz iaitu 1 tahun 6 bulan.

Hazwani
Hazwani
4 tahun yang lalu

Good sharing, thank you so much for the info