Cara Solat Di Atas Bot Dan Kapal (Panduan Lengkap)

solat atas bot

Bagaimanakah cara solat di atas bot dan kapal?

Panduan ini akan membimbing anda melakukan solat di atas bot dan kapal secara lengkap, mudah, dan boleh difahami oleh semua orang.

InsyaAllah, anda akan dibimbing langkah demi langkah sehingga selesai.

Pengenalan Mengenai Solat Di Atas Bot Dan Kapal

Satu keadaan yang agak berbeza di atas bot berbanding di dalam kenderaan darat adalah ayunan bot di atas air.

Keadaan ini bukan sahaja menyebabkan ketidakseimbangan malah seringkali menyebabkan mabuk laut.

Daripada Abdullah Ibnu Umar RA, beliau telah bertanya seorang sahabat kepada Rasulullah SAW:

Bagaimana cara solat di dalam perahu? Rasulullah SAW menjawab: Bersolatlah di dalamnya dengan berdiri kecuali jika engkau takut tenggelam

— Riwayat al-Bazzar dan Daruqutni

Hadis di atas adalah sebagai dalil bolehnya bersolat di atas kenderaan tidak kira apa jenis kenderaan itu sekalipun kerana pelajaran hadis (illat) bukanlah berkenaan hukum perahu, tetapi berkenaan kebolehan pelaksanaan solat di atas kenderaan.

Diambil daripada perbuatan Rasulullah SAW dan para sahabat yang pernah bersolat secara duduk di atas kenderaan tunggangan mereka.

Hadis berikut menerangkan Rasulullah SAW dan sahabat Baginda pernah solat di atas tunggangan mereka bagi mengelakkan daripada terperangkap dalam cuaca hujan lebat.

Ya’la bin Murrah RA menerangkan bahawa para sahabat pernah menyertai Rasulullah SAW dalam satu perjalanan lalu sampai ke satu lembah, sedang beliau berada di atas kenderaannya dan langit pula sangat mendung dan dibawahnya sangat basah.

Kemudian datang waktu solat lalu beliau memanggil tukang azan lalu dia azan dan iqamat.

Lantas, Rasulullah SAW terus maju dengan kenderaannya dan solat berjemaah bersama mereka (para sahabat). Beliau memberi isyarat yang sujudnya lebih rendah daripada rukuknya.

Dua hadis di atas jelas membolehkan solat-solat fardu dilaksanakan di atas kenderaan dan jikalau seseorang itu menghadapi kesukaran, maka solat dilaksanakan secara duduk.

Demikianlah teladan yang diriwayatkan daripada para sahabat seperti Anas bin Malik, Jabir, Tawus, Zaid dan lain-lain.

Solat sebegini adalah tetap sah jikalau kesulitan itu adalah benar-benar ikhlas dan tidak perlu diulangi.

Akan tetapi, jikalau tidak menghadapi kesukaran dan dia bersolat secara duduk di atas kenderaan, maka solatnya itu adalah tidak sah kerana dianggap sengaja mengabaikan serta meremehkan rukun kewajipan solat.

Demikian menurut ijmak para fuqaha mazhab asy-syafie, Maliki, Hanbali dan lain-lain.

Imam an-Nawawi mensyarahkan,

Menurut pendapat mazhab kami (mazhab asy-syafie), apabila seseorang bersolat fardu di dalam kapal maka tidak boleh baginya mengerjakan solat dengan duduk  selama sanggup berdiri. Diserupakan orang itu dengan keadaan di darat.”

Demikian juga pendapat Imam Malik dan Imam Ahmad bin Hanbal.

Menurut pendapat Imam Abu Hanifah, boleh dikerjakan dengan duduk kalau kapal itu sedang bergerak.

Menurut pendapat ulama-ulama mazhab asy-Syafie, jika orang yang sedang solat itu mabuk laut, maka dibolehkan dia mengerjakan solat fardunya sambil duduk kerana dia dipandang sebagai tidak berupaya berdiri.

Dan jika angin bertiup dan beralih haluan kapal, lalu beralih juga mukanya dari kiblat, wajiblah dia memutarkan badannya ke arah kiblat itu dan terus mengerjakan solat.

Kaedah Berwuduk Di Atas Bot Dan Kapal

Di atas bot, wuduk boleh dilaksanakan menggunakan air bersih, air sungai atau air kolam di sekeliling bot.

Abu Hurairah RA berkata, seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah SAW, “Ya Rasulullah, kami berada di atas kapal, kami hanya membawa sedikit air yang jikalau kami gunakan untuk berwuduk, nescaya kami akan mati kehausan. Bolehkah kami berwuduk dengan air laut?” Rasulullah SAW menjawab, “Air laut itu suci airnya dan halal bangkainya”.

— Riwayat an-Nasa’i

Penentuan Arah Kiblat di Atas Bot

Untuk solat di atas bot, penumpang hendaklah yakin dengan kedudukan arah kiblat dan sekurang-kurangnya mereka hendaklah solat mengadap kiblat ketika takbiratul ihram.

Ruang Solat di Atas Bot

Ruang di atas bot berkait dengan saiznya. Biasanya, ruang di atas sampan dan bot fiber lebih sempit dan lebih kecil berbanding dengan ruang di atas kapal. Ruang untuk solat lebih luas dengan adanya dek dan bilik.

Solatlah dalam keadaan yang selesa sama ada dalam keadaan berdiri, duduk atau baring, bergantung pada keadaan.

Utamakan keselamatan diri dengan sentiasa memakai jaket keselamatan.

Bagaimana Dengan Pergerakan Bot Semasa Solat?

Sebaik-baiknya solatlah dalam keadaan duduk (boleh memegang bot dengan satu tangan) untuk mengelakkan kemudaratan sekiranya hilang keseimbangan badan ketika bersolat.

Boleh juga solat secara baring sekiranya mengalami mabuk laut yang teruk dan tidak dapat duduk.

Kaedah Cara Solat di Atas Bot Atau Kapal

Berikut adalah tatacara mengerjakan solat di atas bot atau kapal

  1. Berdiri dengan betul sekiranya berupaya.
  2. Jika tidak berupaya, laksanakan dengan duduk seperti tahiyat awal atau tahiyat akhir.
  3. Jika tidak mampu juga, hendaklah duduk dengan apa cara duduk yang boleh, sekalipun duduk di tepi bot.
  4. Ketika berniat dan bertakbiratul ihram, hendaklah mengadap kiblat.
  5. Selepas itu, teruskanlah solat dalam keadaan berdiri ataupun duduk.
  6. Jika tidak boleh, maka berniat dan bertakbirlah mengikut arah mana seseorang itu sedang duduk.
  7. Dalam keadaan duduk, rukuk dilakukan dengan menurunkan anggota mulai kepala hingga pinggang, separuh daripada keadaan sujud, sementara dua tapak tangan di atas bahagian lutut.
  8. Sujud dilakukan seperti biasa jika boleh. Jika sujud tidak dapat dilakukan seperti biasa kerana tidak boleh bergerak daripada tempat duduk atau tiada ruang yang membolehkan sujud, maka turunkan anggota kepala hingga ke pinggang ke arah lantai di paras semaksima yang boleh, sementara dua tapak tangan diletakkan di mana-mana tempat yang boleh.
  9. Dalam keadaan kepala tidak dapat digerakkan, gantikan perbuatan rukuk dengan memejamkan mata pada kadar separuh pejam manakala untuk sujud, pejamkan mata sepenuhnya.
  10. Duduk tahiyat sama ada awal atau akhir, hendaklah duduk dengan apa sahaja cara yang boleh.
  11. Memberi salam di akhir solat.

Penutup

Bersolatlah walau dimana sahaja. Hatta dibelakang unta sekalipun. Solat menjadi penghubung secara langsung antara manusia dengan Allah SWT.

Tidak ada ibadah lain yang lebih utama daripada solat dalam menghubungkan hamba dengan Tuhannya.

Yang pertama dihisab dari amalan hamba pada hari kiamat adalah solatnya

– Riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah

Sumber rujukan saya untuk panduan ini adalah buku praktik solat waktu kritikal, yang ditulis Dr. Haji Ahmad Nasir Mohd Yusoff.

Semoga dapat memberi manfaat kepada semua. InsyaAllah.

Photo of author

Muhamad Naim

Bertugas sebagai pendidik dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Telah menubuhkan dan menulis di web akuislam.com semenjak tahun 2010. Saya berharap laman web ini memberi manfaat kepada anda semua. Semoga Allah redha.

Suka Apa Yang Anda Baca?

Daftarkan nama dan email anda untuk mendapatkan panduan dan perkongsian berkualiti terus ke inbox anda secara PERCUMA!







Privasi anda adalah keutamaan kami. Kami tidak bertolak ansur dengan spam dan kebocoran maklumat kepada pihak ketiga.

Tinggalkan Komen Anda..

DAFTAR NOTIFIKASI DI SINI..
Maklumkan saya jika terdapat:
guest

5 Comments
Komen Terbaru
Komen Terdahulu Paling disukai
Inline Feedbacks
View all comments
WMRBHJWE
WMRBHJWE
1 tahun yang lalu

Assalamualaikum.. Alhamdulillah,faham,syukur,indahnya perkongsian ini.mga kbaikan dpt diperolehi bsma..Wallahuaqlam..

Azura yusoff
Azura yusoff
2 tahun yang lalu

Terima kasih ustaz. Saya belajar solat di bot disini. Alhamdulillah

Noraini Hamdan
Noraini Hamdan
2 tahun yang lalu

Terima kasih. Perkongsian yg bernas